General,Employment
Pecat pekerja secara tak adil. Syarikat ni kena bayar RM1.13 juta kepada bekas pekerja
over 4 years ago Azar Ishak[Click here for English version]
Kalau korang kena pecat hari ni – terutamanya tanpa sebab yang munasabah – rasa-rasanya korang akan bawa majikan ke mahkamah tak? Sebenarnya, ramai je rakyat Malaysia yang bawa kes mereka ke Mahkamah Perusahaan sebab rasa dah diberhentikan kerja secara tak adil oleh majikan masing-masing. Menurut laporan Malay Mail, 8 dari 10 kes yang dibicarakan di Mahkamah Perusahaan adalah kes pemecatan secara tak adil.
Jadinya pada kali ni, kami akan ceritakan tentang satu kes yang jadi pada tahun 2019 membabitkan seorang pekerja Petronas, dikenali sebagai NR. Seperti mana yang korang baca pada tajuk di atas, dia sebenarnya dah menang kes dan diberikan pampasan sebanyak RM1.13 juta. Oleh itu, jom kita ambil tahu macam mana kes ni bermula, apa yang membuktikan pemecatan tu sebagai salah dan macam mana dia akhirnya dapat pampasan dengan jumlah yang sangat besar.
Macam mana sebenarnya seseorang tu boleh ‘dipecat secara tak adil’?
Sebelum kita cerita lebih lanjut pasal kes ni, kami nak terangkan dulu secara ringkas apa dia dipecat secara tak adil ni sebenarnya. Sebabnya, syarikat boleh je pecat pekerja mereka atas alasan-alasan tertentu seperti salah laku dan prestasi yang kurang memuaskan.
[BACA LAGI: Boleh ke korang kena pecat kalau tahap kerja tak memuaskan?]
Bagaimanapun, majikan kena buktikan dakwaan tu dulu sebelum bertindak memecat pekerja. Kalau pekerja dipecat tanpa sebab yang munasabah dan pekerja dapat membuktikannya, ia boleh dikatakan sebagai dipecat secara salah. Hal ni seterusnya akan membolehkan korang ambil tindakan terhadap majikan. Berdasarkan Seksyen 20, Akta Perhubungan Perusahaan 1967:
Secara mudahnya, seseorang pekerja yang dimerasakan dirinya dah dipecat tanpa alasan yang adil boleh memfailkan kes terhadap majikannya di Mahkamah Perusahaan – untuk mendapatkan kerjanya semula.
Tapi, ada had masa iaitu korang kena failkan kes dalam tempoh 60 hari dari hari dipecat, atau kalau korang ada diberikan notis, ia dalam tempoh 60 hari sebelum tempoh notis tu tamat.
Bila kes ni dibawa ke mahkamah, mahkamah akan gunakan cara two-fold test bagi menentukan sama ada benar atau tak pekerja tadi dah dipecat secara tak adil. Dalam kes NR, mahkamah nampaknya merujuk kepada kes Auto Sdn. Bhd lwn Wong Seh Yen [1995], di mana hakim ada menyebut:
"Seperti yang ditunjukkan oleh Mahkamah ini baru-baru ini dalam Wong Yuen Hock lwn Syarikat Hong Leong Assurance Sdn. Bhd. & Rayuan Lain [1995] ... fungsi Mahkamah Perusahaan ... adalah untuk menentukan sama ada salah laku yang diadukan oleh majikan telah dibuktikan, dan kedua sama ada salah laku yang terbukti merupakan sebab atau alasan untuk pemecatan tersebut. "
Ringkasnya, salah laku harus dibuktikan dan salah laku itu kena cukup teruk sehingga membuatkan korang dipecat. Jadi sekarang, tibalah masa kami ceritakan kenapa NR ni dipecat.
Dia dah bekerja dengan syarikat tu selama 24 tahun
Sebenarnya, NR bukanlah orang baru dalam syarikat, sebab dia dah bekerja dengan Petronas sejak tahun 1993 lagi. Pada mulanya, dia berkhidmat sebagai Eksekutif Pembangunan Kakitangan dengan gaji bulanan sebanyak RM1,590. Sejak tu, dia tetap setia dengan syarikat dan dinaikkan pangkat beberapa kali. Masa dia diberhentikan kerja, jawatannya adalah Pengurus Kanan dengan gaji RM25,789 sebulan, selain dapat elaun bulanan kereta sebanyak RM1,600. Semuanya nampak macam biasa je, sampailah adanya ‘penstrukturan semula’ dalam syarikat dan sebuah bahagian baru ditubuhkan.
Dalam bahagian baru tu, NR ada orang atasan yang dikenali sebagai ZZ. Sekarang ni, NR dan beberapa rakan sekerjanya tak berapa ‘ngam’ dengan orang atasannya tu. Bahagian mereka tu juga ada masalah dalaman pada tahun 2016 dan mereka ada minta HR syarikat untuk tolong selesaikan masalah tu. Malangnya, HR minta mereka selesaikan isu tu antara mereka je. Tak lama lepas tu, pada awal tahun 2017, ada pula penilaian prestasi kakitangan untuk tahun sebelumnya.
Mereka pun buat mesyuarat tentang perkara ni dengan ZZ sebagai orang yang bertanggungjawab. Mesyuarat ni kemudiannya buat keputusan untuk meletakkan NR dalam Pelaksanaan Peningkatan Prestasi (PIP) selama 6 bulan. Perkara ni agak mengejutkan jugalah sebab – inilah kali pertama NR dapat amaran pasal prestasi kerjanya. Selama 23 tahun dia bekerja dengan syarikat, dia dikatakan ada rekod prestasi yang baik dan perkara ni kemudiannya disahkan sendiri oleh mahkamah.
Apa-apa pun, dia lepas tu tetap pergi ke PIP dan ditempatkan di bawah pengawasan rakan sekerja lain yang dikenali sebagai SB. Setelah tamat 6 bulan (April-Oktober 2017), prestasi kerjanya dinilai semula oleh Jawatankuasa Pembangunan Kakitangan syarikat. Jawatankuasa kata yang mereka tak nampak sebarang peningkatan prestasi dan minta NR terus bekerja di bawah SB.
Sampailah pada pertengahan Disember apabila secara tiba-tiba NR dapat notis penamatan kerja serta merta. Maknanya, esok hari dia bukan lagi pekerja di syarikat. Kerana notis singkat tu, dia diberikan gaji 3 bulan sebagai pampasan dan cuti yang tak digunakan boleh ditukar dengan wang tunai.
Mahkamah tak terima cerita syarikat
Walaupun peristiwa tu jadi pada tahun 2017, hanya pada tahun 2019 kes ni dibicarakan di Mahkamah Perusahaan. Seperti yang disebutkan awal tadi, mahkamah akan gunakan two-fold test bagi menentukan sama ada NR dipecat secara adil atau tak. Berdasarkan pemeriksaan dan fakta kes, mahkamah kata yang NR memang dipecat tanpa alasan munasabah… dan memberikan sebab-sebab berikut:
- Dalam hujahnya, syarikat mengatakan yang prestasi NR buruk, dan dia juga ada masalah tingkah laku yang memberikan contoh buruk kepada orang lain. Tentang hal ni, mahkamah kata yang NR ada prestasi kerja baik selama 23 tahun dan dibuktikan oleh mereka yang pernah bekerjasama dengannya. Dia juga dah terima banyak kenaikan pangkat selama bertahun-tahun, yang mencerminkan etika kerjanya. Tak masuk akal untuknya secara tiba-tiba buat masalah pada tahun ke-24 bekerja. Mahkamah mengatakan yang syarikat berusaha memberi gambaran buruk terhadap NR.
- Sudah jelas yang NR dan ZZ ada perselisihan peribadi, yang menyebabkan NR dimasukkan ke dalam Pelaksanaan Peningkatan Prestasi (PIP). Mahkamah yakin bahawa PIP hanya digunakan sebagai alasan untuk memberhentikan NR.
- NR ada cuba dapatkan khidmat nasihat daripada HR dengan rakan-rakan yang lain masa mula-mula ada masalah dengan ZZ, tapi tak ada apa yang dilakukan tentang perkara ni.
- NR diletakkan di bawah pengawasan SB semasa PIP. Mahkamah mengatakan ada bukti bahawa SB sebenarnya tak memenuhi syarat untuk menjadi orang atasan NR, dan SB selalu bertanya kepada ZZ iaitu orang yang ada masalah dengan NR, nasihat tentang cara menilai kerja NR.
- Walaupun syarikat mengatakan NR tak lagi sesuai untuk melaksanakan tugasnya, mereka meletakkannya sebagai orang yang bertanggungjawab dalam sebuah projek besar — jadi tindakan mereka bertentangan dengan pendapat mereka.
Mahkamah kemudiannya kata – keputusan tu dibuat berdasarkan Seksyen 30(5) Akta Perhubungan Perusahaan 1967:
Dengan kata lain, lebih daripada aspek teknikal undang-undang, apa yang penting dalam memutuskan kes secara adil, akan menjadi fakta penting kes ni. Dan tentu saja, memutuskan kes dengan adil juga bermaksud memberikan remedi yang sesuai…
Dia nak dapatkan kerjanya balik, tapi mahkamah anggap tu bukanlah idea yang baik
Sebab kenapa NR failkan kes kepada Mahkamah Perusahaan adalah kerana dia nak dapatkan kerjanya balik. Seperti mana yang diperuntukkan dalam Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 – seseorang pekerja boleh mencabar majikannya dan mendapatkan kerjanya balik. Bagaimanapun, dalam situasi ni, mahkamah berpendapat itu bukanlah remedi yang sesuai untuknya. Jadinya, mahkamah buat keputusan yang dia kena diberikan pampasan wang daripada bekas majikannya.
Walaupun syarikat dah berikan 3 bulan gaji kepadanya sebagai pampasan. Disebabkan dia tak dapat kerjanya balik, mahkamah minta Petronas bayar gaji bulanannya sebanyak RM25,789 untuk setiap tahun dia bekerja dengan syarikat (RM25,789 X 24 = RM618,456). NR juga tak dapat cari kerja lain selepas dipecat dan Petronas kemudiannya diperintah memberikan backwages untuk 20 bulan (sebab mereka dah bayar gaji 3 bulan). Backwages ni pada asasnya adalah pendapatan yang hilang dari masa korang dipecat hingga hari korang dapatkan pampasan untuknya. Untuk NR, ia berjumlah RM515,380 (RM25,769.00 x 20).
Jadinya, RM515,380 + RM618,456 = RM1,133,836. Mahkamah berikan Petronas tempoh 30 hari untuk bayar jumlah ni.
Satu lagi yang korang kena tahu, keputusan Mahkamah Perusahaan adalah muktamad. Bagaimanapun, pihak-pihak terlibat masih boleh memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi. Namun begitu, semakan kehakiman hanya tengok tentang macam mana keputusan dibuat (contohnya: sama ada Mahkamah Perusahaan ada hak untuk buat keputusan dengan cara itu), bukannya sama ada betul atau tak.
Makanya sekarang, kalau korang dah diberhentikan kerja dan korang rasa ia dibuat tanpa sebab yang munasabah, nampaknya dah tiba masa untuk korang pergi ke Mahkamah Perusahaan.