Asklegal
Home banner 6b247a0c 85b5 447e b4fd 3a4b65548684

Corporate,Employment

Boleh ke korang kena pecat kalau tahap kerja tak memuaskan?

over 4 years ago Azar Ishak

98

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Dah 5 tahun korang kerja dengan syarikat yang sama. Boleh dikatakan yang korang memang dah berada dalam zon selesa dan tak pernah hadapi apa-apa masalah di tempat kerja… sampailah pada suatu hari ni. 

Korang masuk lewat ke pejabat (macam biasa) dan nampak surat korang diberhentikan kerja atas meja. Korang betul-betul rasa tak percaya yang korang dah dipecat! Lebih dari tu, korang sendiri tak tahu apa salah korang, sampai majikan ambil tindakan macam tu sekali. Korang pun ambil keputusan untuk luahkan rasa tak puas hati tu kepada majikan korang dan tanya dia kenapa korang dipecat, sedangkan korang tak buat salah pun. 

Masa tu majikan jawab – yang korang dipecat sebab gagal capai KPI bulan tu, selalu datang lambat dan ada ambil cuti tanpa maklumkan dulu kepada HR. Tapi sebabnya bukan tu je, majikan juga kata yang dia dapat banyak aduan pasal korang dari pekerja-pekerja lain dan pengurusan – yang akhirnya membuatkan syarikat ambil keputusan memecat korang. 

[BACA LAGI: Boleh ke anda dipecat sebab ambil banyak sangat MC?]

Tapi korang tak boleh terima semua dakwaan tu. Korang kata yang pemecatan tu sebagai tak adil, terutamanya bila korang dah anggap syarikat tu sebagai rumah kedua korang sendiri. Tapi, semua tu tak bagi kesan sangat sebab…

 

Syarikat memang boleh pecat anda kerana prestasi kerja teruk

Imej dari Giphy.

Secara umumnya, syarikat-syarikat boleh menamatkan perkhidmatan atau memecat pekerja yang prestasi kerja mereka teruk. Apa yang dikira sebagai prestasi kerja teruk ni termasuklah (bukan setakat yang dinyatakan di sini saja): 

  • Produktiviti yang rendah
  • Kualiti kerja tak setanding
  • Tak cekap bekerja
  • Tak dapat memenuhi standard yang diperlukan

Bagaimanapun, yang dinyatakan ni cuma sebahagian dari apa yang syarikat boleh gunakan untuk memberhentikan pekerja diorang. Tapi sebelum kita pergi jauh, ada satu lagi perkara yang korang kena tahu: Prestasi teruk ni tak sama dengan salah laku. Ini kerana, salah laku boleh jadi sebab seseorang pekerja tu tak datang kerja, buat gangguan seksual atau terlibat dalam jenayah (tapi tak terhad untuk hal-hal macam ni je).

Mungkin undang-undang UK boleh terangkan dengan lebih lanjut pasal apa dia prestasi teruk di tempat kerja ni. Dalam kes Littlewoods Organisation Ltd. v L. N. Egenti [1976], mahkamah menyatakan: 

"...mana-mana orang profesional...jika, dia dibawa ke notisnya bahawa pekerjaannya tidak menepati standard, dan jika dia tidak memperbaiki kualiti kerjanya dengan baik, dia mungkin menghadapi pemecatan. Itulah logiknya..."

Pada asasnya, seseorang pekerja yang tak menepati standard dan tak buat apa-apa untuk memperbaiki kualiti kerjanya boleh dipecat oleh syarikat kerana prestasi kerja yang teruk. Dengan kata lain, kalau korang dah bekerja dan kualiti kerja korang tu semakin berkurang – dan korang tak buat apa-apa untuk jadikannya lebih baik, korang boleh dipecat oleh syarikat. 

Tapi apa yang pasti, syarikat masih lagi kena ikut peraturan tertentu sebelum memecat seseorang di bawah undang-undang pekerjaan…

 

Syarikat kena berikan peluang untuk anda berubah

Imej dari imgflip.com

Tapi, walaupun dengan prestasi kerja yang teruk, majikan sebenarnya masih belum boleh memecat korang serta merta. Pertamanya, diorang kena berikan korang peluang untuk baiki prestasi korang dulu. Hal ni kita boleh rujuk pada kes IE Project Sdn Bhd v Tan Lee Seng [1987], di mana ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi oleh syarikat sebelum memecat pekerja:

“Majikan patut secara yang sangat perlahan untuk memecat pekerja atas alasan bahawa prestasi pekerja itu tidak memuaskan atau tidak dapat melakukan melakukan tugasnya… memberi amaran kepadanya tentang kebarangkalian… untuk dipecat atas alasan ini dan memberikannya peluang untuk memperbaiki prestasinya.” 

Ini adalah ringkasan tentang syarat-syarat yang ditetapkan dalam kes ini:

  1. Pekerja mesti diberikan notis atau amaran yang mencukupi tentang prestasi teruknya itu.
  2. Pekerja dah diberikan peluang/masa yang munasabah untuk memperbaiki prestasi kerjanya.
  3. Walaupun dah dapat notis dan peluang yang cukup, pekerja itu gagal memperbaiki prestasi kerjanya.

Jadinya, kalau prestasi kerja korang tu teruk, pertama sekali yang syarikat kena buat adalah bagi korang amaran dan notis. Dalam amaran tu, syarikat mesti kena jelaskan dengan terang tentang apa yang diorang nak daripada korang dan apa yang korang perlu perbaiki. Dan lepas tu, diorang kena berikan tempoh masa yang munasabah untuk korang perbaiki prestasi kerja. 

Hanya selepas diorang bagi korang peluang ni dan korang masih gagal baiki prestasi, barulah syarikat boleh pecat korang sebab masalah prestasi kerja teruk. 

Alasan untuk langkah-langkah ni adalah – selain daripada belas kasihan, ia juga nak menunjukkan yang syarikat tak pecat korang secara semberono atau secara tidak adil. Oleh itu, syarikat ada bukti yang pemecatan tu dilakukan secara munasabah.

Tapi, kalau korang rasa yang tindakan syarikat korang tu sebagai tak adil dan munasabah…

 

Korang boleh saman syarikat di Mahkamah Perusahaan

Imej dari SOSCILI

Jadinya, kalau korang rasa yang korang dah dipecat secara tak adil, korang sebenarnya boleh bawa kes ni ke Mahkamah Perusahaan. Seksyen 30(5), Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (tiada terjemahan rasmi, diterjemahkan oleh Asklegal) menyatakan:

"Mahkamah hendaklah bertindak menurut ekuiti, belas kasihan yang baik dan merit penting kes tanpa mengambil kira bidang teknikal dan undang-undang."

Pada asasnya, mahkamah akan mengambil kira kebajikan pekerja yang dah dipecat secara tidak adil. Tetapi perlu diingati juga, yang korang cuma ada 60 hari untuk failkan aduan selepas dipecat. Korang boleh baca macam mana nak buat aduan tu di sini ini.

Kalau mahkamah dapati yang korang dah dipecat secara tak adil, korang akan terima faedah-faedah tertentu. Ini kerana, pekerja yang dipecat secara tak adil berhak menuntut apa yang dinyatakan di bawah Peraturan Pekerjaan (Faedah-Faedah Penamatan dan Pemberhentian) 1980.

Bagaimanapun, ada sebahagian syarikat yang ada polisi dan peraturan tersendiri dalam hal faedah penamatan perkhidmatan. Jadinya, lebih baik korang periksa dulu dengan syarikat masing-masing.

 

Tags:
akta kerja 1955
mahkamah perusahaan
dipecat secara tak adil
syarikat
salah laku
dipecat sebab prestasi kerja teruk

98

Shares

A+

A-