Asklegal
Home banner b4c84462 2224 43e6 b5d3 d7a068b1df6d

Criminal

“Tertuduh dari Ipoh ditahan reman” – tetapi apakah makna reman?

about 6 years ago Clarence Kuna

308

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Baru-baru ini kami menerima satu soalan dari pembaca ASKLEGAL yang berbunyi: Adakah polis mempunyai hak untuk menahan anda jika anda belum dituduh secara rasmi untuk sesuatu jenayah?

Mari kita lihat contoh situasi berikut: anda sedang bersuka ria dengan kawan-kawan anda di kelab malam, minum dan berdansa, macam biasa, dan anda semua tidak melakukan apa-apa aktiviti yang salah. Tiba-tiba semua lampu kelab menyala, rupa-rupanya ada serbuan polis! Tata kala polis sedang memeriksa kad pengenalan setiap pengunjung, mereka terjumpa beberapa pil berhampiran anda, dan lantas mereka menahan anda untuk siasatan lanjut.

Anda dimasukkan ke dalam lokap namun anda masih lagi tenang menghadapi situasi anda sudah banyak baca artikel di AskLegal dan anda tahu anda akan dibebaskan dalam masa 24 jam. Malangnya pada jam yang ke 20, pegawai polis memberitahu anda yang mereka akan membawa anda ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan selama seminggu terhadap anda.

Contoh yang ringkas dan mudah ini akan membantu anda memahami apakah itu tahanan reman, tetapi sebelum kita kaji dengan teliti, mari kita lihat beberapa perkara asas.

 

Apabila abam polis menyoal kita, ianya bukan semestinya bermaksud mereka menangkap kita

Agak-agak berapa batang besi ya kalau dalam lokap reman? Gambar dari The Malaysian Times

Perkara pertama yang harus kita ingat adalah bukan semua interaksi kita dengan polis akan berakhir dengan penangkapan. Seksyen 15 Kanun Prosedur Jenayah (“KPJ”) menjelaskan situasi di mana tangkapan boleh berlaku: 

“Apabila pegawai polis atau orang lain hendak menangkap orang ia hendaklah menyentuh atau mengurung badan orang yang hendak ditangkap itu, melainkan jika ia menyerahkan dirinya melalui percakapan ataupun tingkah lakunya.”

Umumnya, tangkapan boleh berlaku dalam 3 situasi:

  1. Apabila PDRM menyentuh anda
  2. Apabila PDRM mengurung anda
  3. Apabila anda menyerah diri kepada PDRM

Jika mereka hanya menyoal anda, ini tidak bermakna mereka menahan anda. Tambahan pula, anda mempunyai hak untuk mengetahui sebab anda ditahan secepat mungkin di bawah seksyen 28A KPJ. Ada juga hak-hak lain yang perlu anda tahu jika anda ditahan.

[BACAAN LANJUT – Apakah hak anda jika anda ditahan PDRM?]

[BACAAN LANJUT – Bagaimana anda tahu yang anda ditahan oleh PDRM?]

Jika anda ditahan, PDRM hanya boleh menahan anda sehingga 24 jam untuk tujuan membantu dan melengkapkan siasatan mereka. Di penghujung 24 jam tersebut, jika pihak polis merasakan yang anda tidak bersalah, mereka mesti membebaskan anda.

Namun ada juga situasi di mana anda boleh ditahan lebih dari 24 jam dan di sinilah mahkamah akan mengeluarkan perintah tahan reman.

 

Perintah tahan reman boleh diberi sehingga 14 hari

Tuan, kita sudah jumpa dia. Mau kasi reman ka tuan?! – Gambar dari India TV News

Perintah tahan reman boleh diberi jika pihak polis berpendapat bahawa siasatan tidak boleh dilengkapkan dalam masa 24 jam. Dalam situasi ini, pihak polis akan membawa anda ke hadapan Majistret sebelum berakhirnya tempoh 24 jam dan mengemukakan petisyen kepada mahkamah untuk perintah tahan reman. Jadi, perintah tahan reman boleh diberi oleh Majistret untuk membolehkan PDRM meneruskan siasatan mereka. Selain itu, perintah tahan reman hanya boleh dibuat untuk menahan si tertuduh dalam kes jenayah dan bukannya saksi sepertimana dalam kes PDRM v Audrey Keong.

Seksyen 117(1) membolehkan perintah tahan reman diberi:

“Apabila seseorang ditangkap dan ditahan dalam kurungan, dan nampaknya penyiasatan tidak dapat dihabiskan dalam tempoh 24 jam sebagaimana yang ditetapkan oleh seksyen 28, dan ada sebab-sebab untuk mempercayai bahawa tuduhan atau maklumat itu adalah berasas, maka hendaklah pegawai polis yang menjalankan penyiasatan itu dengan segera menghantar satu salinan catatan harian yang ditetapkan kemudian kelak mengenai kes itu dan bersama-sama itu juga hendaklah menghantarkan orang yang tertuduh itu di hadapan Majistret itu.”

Tempoh reman bergantung kepada budi bicara Majistret tetapi garis panduan asas adalah seperti di bawah.

Jika kesalahan tersebut boleh membawa hukuman sehingga 14 tahun penjara, maka Majistret boleh memberi dua perintah tahan reman; perintah pertama tidak boleh melebihi 4 hari dan perintah kedua tidak boleh melebihi 3 hari. Ini bermakna jumlah hari anda boleh ditahan reman adalah selama 7 hari untuk kesalahan itu.

Jika kesalahan tersebut boleh membawa hukuman melebihi dari 14 tahun penjara, maka Majistret boleh memberi dua perintah tahan reman; perintah pertama tidak boleh melebihi 7 hari dan perintah kedua tidak boleh melebihi 7 hari. Ini bermakna jumlah hari anda boleh ditahan reman adalah selama 14 hari untuk kesalahan itu.

Tetapi kenapa perlu reman dua kali? Ini adalah kerana perintah pertama dibuat apabila pihak polis membawa anda ke hadapan Majistret apabila siasatan tidak boleh dilengkapkan dalam masa 24 jam pertama. Perintah kedua dibuat bila perintah pertama berakhir apabila pihak polis merasakan bahawa mereka memerlukan lebih banyak masa untuk menjalankan penyiasatan terhadap anda.

Ia perlu diingatkan bahawa sebelum perintah reman dikeluarkan, pegawai penyiasat mesti memberi satu salinan catatan harian kes (“investigation diary”) kepada Majistret. Ini diberi dalam seksyen 119 dan kegagalan dalam melampirkan catatan harian kes akan menjadikan sebarang perintah tahanan reman salah di sisi undang-undang seperti mana yang disebut dalam kes Re The Detention of Leonard Teoh Hooi Leong. Catatan kes harian adalah semua nota oleh pegawai penyiasat seperti tarikh permulaan siasatan, tempat-tempat yang telah dikunjungi dan kenyataan semua keadaan seperti mana yang ditentukan olehnya semasa siasatan dibuat.

Kalau nak kena sepak dengan Majistret bawaklah diari ini. Gambar dari near.st

Catatan siasatan harian akan membantu Tuan Majistret untuk membuat keputusan sama ada perintah tahan reman harus diberi atau tidak. Tetapi jika anda fikirkan bahawa anda boleh diikat jamin oleh keluarga atau rakan anda, hajat tersebut mungkin tidak kesampaian kerana....

 

“Ikat jamin bergantung kepada syarat reman”

Ikat jamin (“bail”) adalah “kebenaran” yang diberikan oleh pihak mahkamah untuk si tertuduh pulang sementara menunggu perbicaraan. Apabila perintah ikat jamin diberi, anda perlu membayar sejumlah wang kepada mahkamah dan jika anda gagal hadir ke mahkamah untuk perbicaraan, maka wang tersebut tidak akan dikembalikan. Pemberian ikat jamin juga bergantung kepada jenis kesalahan dan budi bicara mahkamah.

[BACAAN LANJUT – Apa itu ikat jamin?]

Namun ikat jamin hanya boleh diberi kepada beberapa jenis kesalahan dan ianya juga bergantung kepada perintah tahan reman. Ini bermakna jika anda boleh diikat jamin apabila anda dituduh melakukan kesalahan, hak ikat jamin hanya akan berkuat kuasa selepas tempoh tahanan reman. Dalam kes Duis Akim ianya diterangkan bahawa tertuduh tidak boleh diikat jamin ketika dia ditahan reman.

Dalam erti kata lain, walaupun anda berjaya mendapat perintah ikat jamin, anda masih lagi perlu menunggu sehingga tempoh perintah tahan reman berakhir sebelum anda dibebaskan.

Sebelum anda mengamuk, ingat bahawa perintah tahan reman bertujuan untuk membantu pihak polis dalam siasatan. Jika anda dibebaskan dengan ikat jamin ketika siasatan masih lagi dijalankan maka ianya sukar bagi mereka untuk membuat dan melengkapkan siasatan. Ini belum lagi diambil kira jika anda benar-benar bersalah. Manalah tahu, anda boleh mengambil peluang ini untuk memusnahkan semua bukti yang boleh mengimplikasikan anda dengan jenayah tersebut. Kalau itu kesnya, maka tak bergunalah perintah tahan reman.

Mana tau korang cuba nak lari macam si dia ni. Gambar dari Lawaksiyot

Jadi itulah dia kawan-kawan, jika anda rasa anda ditahan secara tidak sah, anda boleh mengemukakan saman sivil terhadap kerajaan tapi anda harus ingat bahawa jika polis menahan anda dengan cara yang tidak sah di sisi undang-undang ataupun menahan anda dengan tidak sah, ini tidak akan mempengaruhi perbicaraan jenayah yang mungkin akan melibatkan anda. Dalam kes ini, anda hanya boleh mengemukakan saman terhadap kerajaan (atau pakai ilmu sihir hitam).

(Ataupun, upah seorang peguam)

Tags:
kanun prosedur jenayah
duis akim
re the detention of leonard teoh
audrey keong v pdrm
reman
Abb3569d 1a37 409d ae68 577ef094832e
Clarence Kuna

clarencekuna@gmail.com


308

Shares

A+

A-