Asklegal
Home banner 28e45502 9972 4bbc b046 bcb2379cf592

Constitution,Criminal,General

4 dakwaan oleh Hakim Mahkamah Rayuan yang mendedahkan korupsi dalam sistem perundangan

almost 6 years ago Clarence Kuna

90

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Anda mungkin sudah sedia maklum tentang berita hangat yang membabitkan pengakuan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Hamid Sultan Abu Backer yang mendakwa bahawa terdapat salah laku di antara hakim-hakim dalam sistem perundangan Malaysia berhubung dengan:

  • Tuntutan mahkamah oleh anak perempuan Karpal Singh
  • Perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim
  • Perbicaraan penukaran agama anak Indira Gandhi kepada agama Islam
  • Salah guna dana awam; dan
  • ........Makanan Itali???

Apa hang kata tadi?

Pening nak mampuih! Gif dari SomethingAwful

Mungkin apa yang anda ketahui tentang dakwaan ini tidak masuk akal, melainkan anda telah pun membaca kesemua 63 muka surat dokumen berkenaan yang kini sedang tular di laman sosial – tetapi jangan bimbang, kami di Asklegal sedia membantu anda. Berikut adalah sedutan dari kisah tersebut:

Anak perempuan Karpal Singh, iaitu Sangeet Kaur Deo, telah membuat tuntutan mahkamah terhadap Ketua Hakim Negara (kira macam ketua semua hakim la tu) Richard Malanjum bagi tujuan mendapatkan pengisytiharan atau deklarasi (kenyataan rasmi dari mahkamah) bahawa Ketua Hakim Negara gagal dalam melindungi integriti sistem penghakiman (sistem perundangan) pada perbicaraan hasutan ke atas ayahnya pada tahun 2009, serta maklumat kepada siasatan dalaman yang dilakukan ke atas kes Karpal Singh dan Indira Gandhi. Pada dasarnya, beliau mendakwa bahawa perbicaraan tersebut tidak dijalankan dengan adil (campur tangan perundangan) dan menyoal kenapa Ketua Hakim Negara membuat keputusan untuk menggantung siasatan ke atas perbicaraan ayahnya pada November 2018.

[BACAAN LANJUT: Malaysia kini mempunyai Ketua Hakim Negara yang baru....tetapi apakah tugas beliau?]

Di sinilah peranan Tuan Hakim Hamid bermula. Menurut latar belakang beliau yang terkandung dalam afidavit, beliau adalah Hakim Mahkamah Rayuan dan dalam tempoh kerjayanya, telah menulis buku rujukan yang dikenali sebagai Siri Undang-Undang Janab. Agak menghairankan di sini juga adalah beliau juga menyatakan dirinya sebagai seorang tukang masak dan pemilik restoran yang berkaliber, khususnya kebolehan beliau menyediakan nasi briyani untuk 10 ribu orang, dan mendakwa bahawa jika beliau didapati tidak jujur, mengamalkan rasuah, atau tidak berkebolehan, beliau bersedia untuk melepaskan kerjaya penulisan dan membuka rangkaian restoran Janab’s Briyani House. Dalam erti kata yang lain, dia ni....

Camana, hebat tak? Gambar asal dari Kehakiman

Atas permintaan Sangeet Kaur, Datuk Dr. Hamid Backer kemudiannya memfailkan afidavit yang menyokong kenyataan Sangeet, dan ianya menyerlahkan beberapa kejadian di mana hakim-hakim tidak menjalankan tugas mereka dengan sempurna, atau sudah sedia maklum dengan apa yang berlaku namun tidak berbuat apa-apa mengenainya.

Kami akan memberi rujukan kepada bahagian-bahagian dalam dokumen tersebut yang digunakan dalam artikel ini dan anda boleh memuat turun afidavit tersebut di sini jika anda ingin membacanya.

 

Sejauh manakah kebenaran dakwaan ini?

Di mana ada kebenaran…..

Mungkin anda boleh menerima semua dakwaan ini sebagai benar – sebab dia ni kan hakim yang dah banyak merasa asam garam hidup, kan? – jawapan untuk ini adalah buat masa ini, semua dakwaan ini tidak semestinya benar sehinggalah siasatan telah dijalankan, namun ianya juga mungkin sesuatu yang kukuh. Kesemua ini bergantung kepada pemahaman maksud afidavit.

Afidavit merupakan satu kenyataan bersumpah yang menyatakan isi kandungan atau kejadian yang dialami oleh penulisnya dan dipercayai sebagai sesuatu yang benar-benar berlaku (ataupun juga dikenali sebagai “fakta”). Perbezaan di antara afidavit dan kenyataan Facebook atau surat tidak bertanda tangan adalah afidavit merupakan satu kenyataan yang dibuat atas sumpah, di mana jika ianya didapati mengandungi kenyataan palsu, penulisnya boleh dipenjarakan sehingga 3 tahun ataupun didenda. Asasnya, jika anda menipu dalam afidavit, anda memberi kenyataan palsu; di mana ianya merupakan satu jenayah.

Seksyen 191 Kanun Keseksaan – Kenyataan Palsu (Tiada terjemahan rasmi; diterjemah oleh Asklegal):

Barang siapa yang terikat di sisi undang-undang oleh suatu sumpah, atau oleh apa-apa peruntukan undang-undang yang nyata supaya menyatakan hal yang sebenar, atau yang terpaksa di sisi undang-undang supaya membuat suatu akuan atas apa-apa perkara, membuat sesuatu kenyataan yang palsu, dan yang ia sama ada ketahui atau percayai sebagai palsu, atau yang ia tidak percaya sebagai benar, adalah dikatakan memberi keterangan palsu.

Perlu juga diingati di sini bahawa kenyataan seterusnya dalam artikel ini tidak semestinya satu fakta ataupun sesuatu yang benar dalam apa jua cara sekalipun. Tuan Hakim Hamid telah bersumpah bahawa kenyataannya adalah benar, namun masih belum dipastikan sama ada ianya betul-betul benar atau tidak.

Satu lagi perkara yang perlu kami jelaskan di sini adalah Ketua Hakim yang dimaksudkan di sini tidak dinamakan, dan mungkin juga ianya merujuk kepada beberapa individu kerana 9 orang hakim telah menjawat jawatan ini sejak tahun 1994. Tuan Hakim Hamid juga merujuk kepada individu ini sebagai “ARLC”, iaitu singkatan kepada “Antagonist of Rule of Law and Constitution”.

 

Semua ini bermula dengan makan tengah hari Itali

Sopranos? Cam Sopranyes jer…. Gambar dari Showtime (YouTube)

Kami tak pasti jika individu yang terlibat mengikut gaya siri TV The Sopranos apabila membuat perjumpaan makan tengah hari, namun Tuan Hakim Hamid menerangkan bahawa, sebulan sebelum PRU14, beberapa orang hakim termasuk beliau dan seorang hakim tinggi mengadakan perjumpaan makan tengah hari di sebuah restoran Itali.

Pada masa ini, kesemua hakim-hakim ini berbincang tentang kemungkinan mereka akan dilucutkan jawatan ataupun menghadapi tribunal jika Pembangkang (Pakatan Harapan) memenangi pilihan raya.

Cakupan skrin dari afidavit Tuan Hakim Hamid

Walaupun tidak dinyatakan sama ada kes khusus yang diperbincangkan semasa perjumpaan, Tuan Hakim Hamid mengimbas kembali dalam afidavitnya bahawa beberapa keputusan kes berunsur politik dan perlembagaan yang sensasi melibatkan campur tangan kuasa-kuasa luar. Berikut adalah beberapa rumusan kes:

  • Anwar Ibrahim – pada masa rayuan kes Anwar, panel hakim (koram) yang terlibat sering diberitahu apa yang perlu mereka lakukan [49B]. Beliau juga mendakwa bahawa Mahkamah Rayuan “mengepikan” (“brushed aside”) persoalan sama ada Anwar diberi perbicaraan yang adil sebelum ini kerana pihak pendakwaraya gagal membuktikan kes mereka [100].
  • Indira Gandhi – Kes Indira Gandhi merupakan satu cabaran kepada Perlembagaan, sama ada kes-kes yang membabitkan pertukaran agama Islam harus didengari oleh Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil. Datuk Dr. Hamid mendakwa bahawa Ketua Hakim menegur [91] dan bertindak berang [92] ke atasnya kerana memberi keputusan yang memihak kepada Mahkamah Sivil.
  • Karpal Singh – Sebelum keputusan rayuan kes hasutan Karpal Singh diumumkan, koram yang terdiri dari 3 hakim terdahulunya membuat keputusan untuk membebaskan tertuduh (membuang semua tuduhan). Tetapi seorang hakim tinggi memanggil mereka dan memerintahkan mereka untuk mengekalkan tuduhan [50], di mana ianya menjadi keputusan muktamad yang diumumkan.

Apa yang penting tentang perjumpaan di restoran Itali ini adalah ianya merupakan satu sesi pengakuan rasa bersalah di mana ianya rata-rata membuktikan bahawa semua campur tangan yang dinyatakan di atas benar-benar berlaku.

Bagi Tuan Hakim Hamid, semua ini sudah cukup bagi memulakan satu Suruhan Jaya Siasatan Diraja (Royal Commission of Inquiry – RCI) untuk menyiasat tingkah laku beberapa hakim ini dan juga perlaksanaan yang menjejaskan integriti sistem perundangan...dan perihal ini pernah disuarakan beberapa kali.

 

Hakim diberikan kenaikan pangkat kerana mereka merupakan graduan dari institusi tertentu

Malaysia mengamalkan sistem perundangan di mana, dalam istilah yang ringkas, ianya berdasarkan tata tingkat dengan Mahkamah Persekutuan diletakkan di peringkat yang tertinggi. Anda boleh meneliti perihal ini di sini, tetapi apa yang nyata di sini adalah hakim-hakim dilantik berdasarkan beberapa kriteria seperti bilangan kes yang diadili, kualiti pengadilan yang diberi dan kelayakan. Ianya sama dengan sebuah syarikat di mana pekerja diberi kenaikan pangkat berdasarkan prestasi kerja mereka.

Tetapi seperti yang berlaku dalam mana-mana syarikat, masalah mungkin timbul apabila pekerja diberi kenaikan pangkat berdasarkan kecekapan mereka dalam mengampu boss – dan Tuan Hakim Hamid mendakwa bahawa perkara sebegini berlaku dalam badan kehakiman.

Berdasarkan cakupan skrin (screenshot) di atas, Tuan Hakim Hamid menjelaskan bahawa ada beberapa hakim yang diberi kenaikan pangkat kerana mereka menghadiri institusi pengajian yang sama ataupun mereka menurut perintah hakim-hakim yang berpangkat lebih tinggi dari mereka. Oleh itu, sekurang-kurangnya 80% hakim dalam temph pimpinan ARCL terdiri dari graduan institusi pengajian tinggi atau khidmat yang sama [25].

Sebaliknya, hakim-hakim yang enggan menurut perintah ARLC tidak diberi kenaikan pangkat [41-45] atau dihasut untuk menukar keputusan kes [103-107].

 

Wujudnya “hit squad” yang terdiri dari hakim-hakim untuk “membunuh” undang-undang

Gambar dari TheGamingHoe (YouTube)

Yang ini bukan cerita rekaan kami. Rupa-rupanya ada sekumpulan hakim yang diberi nama jolokan “Hit Squad” yang tugasnya membuat keputusan mahkamah yang menyebelahi kerajaan terdahulu.

Sebagai penjelasan, dalam kes mahkamah yang lebih tinggi, kes-kes ini diadili oleh panel yang terdiri dari tiga orang hakim yang akan membuat keputusan berdasarkan undi majoriti – sama seperti sistem juri di US tetapi di sini ianya terdiri dari hakim dan bukannya orang awam. Ini bermakna, berdasarkan teori, setiap hakim yang terlibat dapat memantau sesama sendiri, dan ini akan memberikan keputusan pengadilan yang adil dan saksama. Panel hakim ini dikenali sebagai koram.

Apa yang terjadi di sini adalah koram ini “diatur” dengan penglibatan hakim-hakim “Hit Squad” dari permulaan perbicaraan. Walaupun masih belum jelas sama ada hakim-hakim ini hanya menurut arahan ataupun kelihatan seakan membuat keputusan tertentu, implikasinya di sini adalah keputusan kes seseorang tertuduh sudah pun ditentukan dari awal, dan ini bergantung kepada budi bicara kerajaan terdahulu dan bukannya kepada fakta, undang-undang, ataupun perbahasan yang dibentangkan di mahkamah – di mana ianya akan membawa kepada keputusan yang tidak adil.

 

Mahkamah dipergunakan sebagai khidmat pemindahan wang

Gambar yang tidak diubahsuai dari Dumielauxpices

Tuan Hakim Hamid menerangkan bahawa beliau tidak selalunya ditentang oleh hakim-hakim tertinggi kerana keputusan kesnya yang tidak memihak kepada kerajaan terdahulu...beliau juga ditentang apabila keputusan beliau memihak kepada kerajaan terdahulu.

Ini adalah kerana kerajaan terdahulu dituduh mengambil kontrak dengan pihak yang dikaitkan dengan ahli politik (seperti syarikat yang dimiliki oleh individu yang mempunyai hubungan politik) tanpa niat untuk mematuhi/melaksanakan perjanjian-perjanjian ini, dan seterusnya menamatkan kontrak. Pelantikan politik ini seterusnya akan memfailkan saman terhadap kerajaan atas sebab melanggar kontrak dan akan menerima pampasan selepas itu. Walaupun ianya agak biasa untuk sesetengah pihak untuk memfailkan saman sebegini, namun ianya terpulang kepada mahkamah untuk memastikan bahawa kontrak tersebut adalah adil dan boleh dilaksanakan. Jika tidak ianya akan dianggap sebagai satu tipu muslihat.

Masih keliru? Cuba lihat contoh berikut:

Katakanlah anda dan majikan anda membuat perancangan untuk menggelapkan duit syarikat dengan membuat tuntutan palsu – anda akan membuat tuntutan ini dan majikan anda akan meluluskannya. Nampak senang kan? Tetapi masalahnya di sini adalah anda perlu pastikan bahawa tuntutan ini  tidak memberi tanda-tanda amaran kepada bahagian kewangan syarikat. Ini bermakna perancangan anda haruslah dibuat dengan canggih dan teliti, ataupun anda perlu pastikan bahawa individu yang terlibat dengan bahagian kewangan amat memahami keadaan ataupun dia memang tak tahu buat kerja. Kononnya lah.

Tuan Hakim Hamid menerangkan bahawa piawaian yang tinggi diperlukan untuk kes-kes pelanggaran kontrak yang berhubung dengan kerajaan kerana ianya melibatkan dana awam, dan menyoal adakah pengadilan yang berakhir dengan pembayaran pampasan kepada syarikat-syarikat ini adalah disebabkan oleh hakim-hakim yang kurang arif dengan undang-undang yang terlibat, ataupun kerana ada u(n)dang di sebalik batu.

 

Jadi, apa yang kecoh sangat tentang hal ini?

Memang nampak macam karangan budak jurusan undang-undang tahun satu yang cuba menerangkan sebab kenapa dia pilih jurusan tersebut, tetapi harus juga kita terangkan bahawa tugas badan kehakiman adalah untuk menterjemah dan menggunakan undang-undang tanpa campur tangan atau rasa bimbang terhadap balas dendam adalah satu aspek penting dalam mana-mana kerajaan setiap negara. Kami bertemu dengan Fahri Azzat, seorang peguam untuk mendapatkan hujahnya mengenai kemungkinan kesan JIKA afidavit ini terbukti benar:

  1. Ia akan melemahkan integriti dan reputasi badan kehakiman negara kita.
  2. Ia akan melemahkan kepercayaan umum terhadap kebolehan mahkamah dalam menegakkan keadilan.
  3. Rasuah dan korupsi mungkin berlaku di peringkat tertinggi sistem perundangan
  4. Ianya akan mengesahkan segala kecurigaan dan ketidakpercayaan bahawa sesetengah hakim dan kes diatur tanpa mengikut bukti dan undang-undang.
  5. Akhirnya, ia akan mewujudkan kelemahan dalam keselamatan negara kerana hakim-hakim yang tidak jujur boleh diugut.

Namun artikel ini tidak merangkumi semua perkara yang diketahui oleh Tuan Hakim Hamid. Dalam afidavit beliau, Tuan Hakim Hamid hanya memberi maklumat ringkas yang hanya akan dijelaskan dengan menyeluruh olehnya jika Suruhan Jaya Siasatan Di Raja ditubuhkan. Ada juga maklumat tambahan dan kes yang tidak kami bincangkan di sini, seperti hakim-hakim dipengaruhi dengan tawaran pekerjaan dalam sektor timbang tara selepas mereka bersara [124] dan keputusan yang tidak memihak kepada Pembangkang terdahulu sebagai satu kriteria untuk kenaikan pangkat [69].

Sekali lagi, anda mungkin perlu membaca afidavit ini untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas, dan ini sudah tentu dengan andaian bahawa apa yang terkandung dalamnya adalah benar. Pada masa ini, Badan Kehakiman pula telah membuat laporan polis berkenaan tuduhan yang dibuat dalam afidavit Tuan Hakim Hamid. Namun, pada 22hb Febuari, Dr. Mahathir telah menyatakan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan ini.

#BriyaniKeranaBenar
 

Tags:
mahkamah rayuan
datuk dr. hamid sultan abu backer
affidavit
suruhanjaya siasatan diraja
Abb3569d 1a37 409d ae68 577ef094832e
Clarence Kuna

clarencekuna@gmail.com


90

Shares

A+

A-