Traffic
Bolehkah anda membuat laporan kemalangan kepada PDRM selepas tempoh 24 jam?
about 6 years ago Clarence KunaKami di sini meminta pembaca membayangkan pengalaman ngeri automotif seperti mengalami kemalangan langgar-lari, dan dilanggar kereta yang tidak memiliki insurans. Sekarang, cuba bayangkan sesuatu yang lebih teruk. Bayangkan anda berdepan dengan kemalangan jalan raya di mana anda cedera parah sehingga anda terpaksa dimasukkan ke dalam wad hospital selama beberapa hari. Tentu anda akan berfikir langkah seterusnya, iaitu membuat laporan polis.
Semua orang tahu bahawa anda perlu membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam setelah kemalangan berlaku. TETAPI, anda cedera parah dan tidak boleh membuat laporan – adakah pihak polis akan menerima laporan polis jika anda hadir ke balai polis setelah beberapa hari?
Untuk menjawab persoalan itu, kita perlu meneliti undang-undang yang mengatakan bahawa laporan polis harus dibuat selepas kemalangan jalan raya.
Anda MESTI melaporkan semua kemalangan jalan raya dalam tempoh 24 jam
Undang-undang yang mengatakan bahawa laporan polis perlu dibuat terletak di bawah Seksyen 52(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ):
“Dalam hal sesuatu kemalangan seperti yang tersebut dahulu pemandu kenderaan motor itu dan, jika terdapat lebih daripada satu kenderaan motor, pemandu tiap-tiap kenderaan motor itu, hendaklah melaporkan kemalangan itu di balai polis yang berhampiran sekali dengan seberapa segera yang semunasabahnya praktik dan dalam mana-mana hal dalam tempoh dua puluh empat jam selepas berlakunya kejadian itu...” – penekanan diberi.
[BACAAN LANJUT – Kalau korang langgar kereta dari belakang, memang automatik salah korang ke?]
Mungkin anda tidak sedar tetapi ada definisi khusus untuk “kemalangan” di bawah undang-undang:
(Fakta menarik – atas sebab yang tidak diketahui, kucing tidak dikira sebagai “binatang”.)
Jika anda punya alasan munasabah, tak apa kalau lambat membuat laporan
Tegasnya, Seksyen 52(2) mengatakan bahawa laporan polis mesti dibuat walaupun kemalangan yang berlaku adalah yang kecil. Ia juga dianggap sebagai satu jenayah jika kemalangan tidak dilaporkan, seperti mana termaktub di bawah Seksyen 119(1) APJ. Seksyen tersebut agak panjang dan teknikal, tetapi ringkasnya ia mengatakan bahawa jika anda tidak mempunyai alasan yang sah untuk tidak mematuhi APJ, anda dikatakan melakukan jenayah. Untuk kesalahan pertama, anda boleh dihukum denda sehingga RM2,000 atau dipenjarakan sehingga 6 bulan, dan untuk ulangan kesalahan yang sama, anda boleh dihukum denda maksimum RM4,000 atau/dan dipenjarakan sehingga 12 bulan.
Namun begitu pihak polis tidaklah begitu kejam terhadap anda jika anda lambat membuat laporan polis. Mungkin anda mengalami kesukaran untuk bergerak, atau mungkin anda masih lagi terkejut dengan apa yang telah terjadi, ataupun anda mungkin masih tidak sedar diri dan sedang terlantar di hospital – pendek kata, jika anda cedera dan tidak mampu untuk membuat laporan polis dengan serta merta, ianya satu alasan munasabah.
Ingat bahawa Seksyen 119(1) mengatakan bahawa ianya adalah satu jenayah jika anda lakukannya “tanpa alasan yang sah”, jadi jika anda punya alasan yang sah dan tidak dapat membuat laporan dalam masa 24 jam, pihak polis bersedia untuk membantu. Sebagai contoh, rakan penulis ini pernah lambat dua hari dalam membuat laporan polis, dan polis menerima alasan “trauma”nya.
Satu lagi perkara....“settle” secara persendirian tidak diiktirafi oleh undang-undang
Ramai di antara kita tidak melaporkan kemalangan kecil yang tidak mengakibatkan kecederaan dan kerosakan besar. Walaupun ianya biasa dilakukan, sebenarnya ia melanggar undang-undang jika anda cuba “settle” kemalangan (walaupun ada kontrak bertulis). Jika anda berhadapan dengan situasi di mana anda cuba berunding dengan pemandu terbabit, tetapi mereka menolak rundingan di saat akhir dan cuba mendapatkan wang dari anda, ia mungkin bukan satu “alasan yang sah” untuk membuat laporan selepas tempoh 24 jam.
Pendek kata, pemandu yang satu lagi masih boleh membuat laporan polis setelah anda berdua sudah “settle” perkara ini – dan anda perlu berdepan pula dengan polis. Jadi adalah lebih baik jika anda membuat laporan polis untuk melindung anda dari tuntutan pihak ketiga di mana ceritanya boleh dipusing-pusing. Lebih-lebih lagi, anda tidak patut menyelesaikan kemalangan yang lebih besar daripada calar-calar kecil, melainkan anda mempunyai kepercayaan penuh terhadap pemandu yang satu lagi (tapi sejak bila kita percaya sangat orang yang kita tak kenal?).
Ianya menyusahkan sebab anda mungkin akan diberi saman dan mungkin juga akan hilang Diskaun Tiada Tuntutan (“No Claim Bonus”), tetapi ianya lebih baik dari diugut untuk membayar ganti rugi kenderaan satu lagi. Lagipun, jika laporan polis tidak dibuat, pihak yang satu lagi tetap boleh membuat laporan mereka dan membuat tuntutan terhadap anda, dan dalam kes ini, anda memiliki peluang tipis untuk membela diri anda.
clarencekuna@gmail.com