Corporate,General
Tabung Haji dilanda masalah. Apa akan terjadi kepada wang deposit anda?
about 6 years ago Clarence Kuna[Artikel asal dalam Bahasa Inggeris. Click here for English version]
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini kedudukan Tabung Haji semakin tidak menentu. Laporan demi laporan (berita) menyerlahkan masalah kewangan mereka, di mana ianya merupakan satu isu besar kerana mereka menguruskan dana milik rata-rata 9.3 juta Muslim Malaysia. Rumusan masalah mereka adalah berikut:
- Salah guna dana
- Melanggar peraturan akaun sendiri
- Mengisytiharkan dividen secara tidak sah
Kemudian tersebar pula berita bahawa pada 30hb November 2018, Lembaga Tabung Haji telah membuat dua laporan polis terhadap bekas pihak pengurusannya atas dakwaan salah guna dana di bawah Yayasan Tabung Haji, dan salah perwakilan yang dibuat berkenaan penjualan pegangan Tabung Haji ke atas PT TH Indo Plantations. Tidak lama selepas itu, laporan Straits Times pula mendakwa bahawa Tabung Haji memalsukan akaun untuk mewajarkan pembayaran dividen (hibah) sebanyak RM2.7 juta pada Februari 2018.
Tetapi semua yang berlaku sekarang bukannya permulaan kepada masalah dalam Tabung Haji. Pada tahun 2015, Bank Negara telah mengirim surat kepada Tabung Haji, menyatakan bahawa Tabung Haji perlu menguruskan risiko mereka dengan lebih baik kerana ia memiliki lebih liabiliti dari harta. Ringkasnya, mereka berhutang wang lebih dari yang dimiliki. Situasi pada tahun 2015 tidaklah begitu tenat, di mana Tabung Haji ketika itu memiliki harta bernilai 98 sen untuk setiap liabiliti bernilai RM1.
Namun.....
Prestasi Tabung Haji menjadi semakin teruk ketika ini
Bank Negara tidak mengawal selia Tabung Haji, jadi semua amaran yang diberi tidak diendahkan oleh Tabung Haji. Setakat 5hb Disember 2018, dianggarkan bahawa Tabung Haji hanya memiliki 80 sen harta untuk setiap RM1 hutang mereka. Ini bermakna jika setiap Muslim ingin mendapatkan kembali wang mereka dari Tabung Haji hari ini, mereka hanya akan mendapat 80 sen untuk setiap RM1 yang dilabur – jadi mereka akan kehilangan 20% wang simpanan mereka.
[BACAAN LANJUT – 3 cara Bank Negara mengawal ekonomi yang mungkin kita tidak pernah ketahui]
Kebanyakan rakyat Malaysia sekurang-kurangnya mengiktiraf Tabung Haji sebagai satu dana yang membantu rakyat Muslim tempatan untuk menyimpan wang bagi membantu mereka mengerjakan umrah ke Makkah (Haji), di mana ianya adalah satu rukun penting yang harus dikerjakan oleh setiap umat Muslim sekurang-kurangnya sekali dalam jangka hayat mereka.
Jadi persoalannya di sini adalah apakah Tabung Haji sepatutnya lakukan dengan semua wang ini, dan adakah kedudukan kewangan mereka sekarang boleh membenarkan rakyat Malaysia Muslim mengerjakan ibadah Haji mereka, lebih-lebih lagi jika dipertimbangkan bahawa tempoh menunggu adalah lebih kurang 89 tahun pada tahun 2017.
Mari kita lihat apa kata undang-undang mengenai operasi Tabung Haji.
Lembaga Tabung Haji merupakan satu syarikat
Menurut undang-undang, Lembaga Tabung Haji (Lembaga) adalah sebuah badan korporat (syarikat) yang ditubuhkan di bawah Akta Tabung Haji 1995. Aktiviti mereka terbahagi kepada tiga cabang utama, iaitu pengurusan Haji, pengurusan simpanan dan pelaburan.
Lembaga boleh menerima simpanan dari mana-mana Muslim yang mempunyai kerakyatan dan bermastautin di Malaysia, dan simpanan ini harus dibuat atas dua sebab sahaja, iaitu:
- Simpanan untuk tujuan mengerjakan ibadah Haji
- Simpanan untuk pelaburan atau semua urusan lain yang dibenarkan oleh Lembaga
Dana ini tidak hanya terdiri dari simpanan dari rakyat Malaysia Muslim (keuntungan tidak boleh diperoleh melalui simpanan), tetapi terdiri juga dari:
- Bantuan, derma, hadiah dan sumbangan kepada Lembaga
- Wang yang diperoleh dari pelaburan dan pinjaman
- Wang yang diperoleh dari projek, agensi, skim dan perniagaan yang dibuat melalui Tabung Haji
- Hartanah, pelaburan dan pelbagai jenis sumber pendapatan yang dimiliki oleh Lembaga
Di bawah undang-undang, Lembaga hanya boleh menggunakan dana ini untuk tujuan:
- Membayar penyimpan yang ingin mengeluarkan simpanan mereka
- Membayar balik pinjaman dan perbelanjaan
- Membayar tenaga kerja mereka
- Semua perbelanjaan yang melibatkan pengurusan dana dan pelaksanaan pelaburan
- Memberi pinjaman dan wang pendahuluan kepada pegawai dan pekerja Lembaga seperti mana yang dibenarkan oleh undang-undang
Ada juga tuduhan dibuat di mana sebanyak RM22 juta dari dana di bawah Yayasan Tabung Haji disalurkan kepada aktiviti yang berunsurkan politik, dan jika ianya benar, ini tidak dibenarkan. Tetapi harus kita beri perhati di sini – kebanyakan rakyat Muslim yang menyimpan wang dari hasil titik peluh mereka tidak menyedari akan masalah kewangan Tabung Haji kerana sejak tahun 2012, Tabung Haji membayar dividen yang berterusan kepada mereka. Tetapi apa masalahnya jika dividen diberi kepada mereka?
Lembaga boleh membayar dividen....hanya jika mereka memiliki dana yang secukupnya
Seksyen 22 Akta Tabung Haji menyatakan bilakah Lembaga Tabung Haji boleh mengumumkan dividen untuk penabung. Ia menyatakan bahawa Lembaga, atas budi bicara mereka, boleh mengumumkan dividen; di mana ianya akan diluluskan oleh Menteri yang bertanggungjawab ke atas Tabung Haji.
Tetapi sebelum itu, Lembaga harus mematuhi 3 syarat:
- Harta dana mesti tidak boleh kurang dari jumlah hutang. Perkiraan ini dibuat dengan anggapan bahawa wang penyimpan mesti dipulangkan dengan serta merta
- Lembaga harus memiliki dan menyelenggarakan Dana Rizab
- Dana Rizab mesti memiliki wang yang bersamaan atau lebih dari jumlah wang penyimpan + dividen yang diumumkan (Dana Rizab ≥ Wang Penyimpan +Dividen)
Jika kita teliti apa yang kita faham setakat ini, nampaknya ada sesuatu yang tidak betul berlaku kepada akaun Tabung Haji, kerana mereka mengalami kerugian wang. Pada masa itu juga, terdapat beberapa masalah pengendalian perakaunan yang timbul dari laporan audit mereka. Laporan Ketua Audit Negara juga mendapati bahawa Tabung Haji mengubah peraturan perakaunan mereka setiap tahun, termasuk mengubahnya sebanyak dua kali pada tahun 2017. Dalam pada itu, kita hanya boleh tunggu dan lihat apakah sebab ini semua berlaku selepas siasatan yang dilakukan sekarang selesai.
Persoalan besar sekarang adalah – apa akan berlaku kepada wang anda dalam Tabung Haji jika senario terburuk berlaku dan adakah ianya akan memberi kesan kepada peluang anda untuk menunaikan ibadah Haji?
Dana Tabung Haji dijamin oleh Kerajaan
Jika anda ada membuat simpanan dalam Tabung Haji, jangan bimbang kerana Seksyan 24 Akta Tabung Haji menyatakan bahawa jika Tabung Haji tidak dapat membuat bayaran untuk pengeluaran anda, kerajaan akan memberi pinjaman kepada Tabung Haji untuk membayar anda.
Walaupun ianya satu berita baik, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz membuat kenyataan bahawa “jaminan kerajaan” akan mempengaruhi kewangan kerajaan. Dan, jika anda bertanya-tanya dari manakan kebanyakan wang diperoleh, maka jawapannya adalah: dari pembayar cukai.
Namun begitu, masih ada harapan lagi untuk Tabung Haji.
Satu rancangan perubahan telah dibentangkan oleh pengurusan baru Tabung Haji dan ini termasuk mengasingkan pengurusan Haji daripada pengeluaran simpanan, supaya pengeluaran simpanan boleh diselenggarakan oleh Bank Negara. Di samping itu, penubuhan Special Purpose Vehicle pula akan mengambil alih pelaburan yang tidak menunjukkan prestasi baik dan akan memulihkannya dalam beberapa tahun ini.
clarencekuna@gmail.com