Asklegal
Home banner 64e4151c cdda 4778 bcae a305006311c5

Contract,Employment

Boleh tak syarikat tukar deskripsi kerja korang... lepas korang sain kontrak?

almost 5 years ago Azar Ishak

32

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Cuba korang bayangkan situasi ni: Korang dapat jawatan Eksekutif Jualan di sebuah syarikat dan segalanya okey je selama 6 bulan korang bekerja di sana. Korang ada bos yang baik, dapat capai target bulanan, dan akhirnya korang mula rasa selesa dengan kerja korang tu. Tapi, semua tu mula berubah bila korang perasan yang korang sekarang mula buat kerja lain...atau lebih tepatnya, korang mula buat kerja di luar bidang tugas korang

Korang pun persoalkanlah hal tu kepada bos korang, tapi dia cakap – apa yang korang buat tu semuanya di bawah tugas korang sebagai Eksekutif Jualan. Tapi korang rasa lain macam jugalah, sebab setakat yang korang tahu, apa yang korang buat tu tak ada dalam kontrak pekerjaan. Apa yang lagi teruk, korang tak dibayar untuk buat semua tu. 

Jadinya, timbullah persoalan sama ada boleh atau tidak syarikat tukar deskripsi kerja korang selepas korang tandatangan kontrak? 

 

Seorang wanita pernah saman syarikatnya sebab perkara ni

Imej dari Giphy.

Untuk menjawab persoalan ni, kita kenalah tengok kes-kes yang pernah dibicarakan di Mahkamah Perusahaan. Salah satunya adalah kes Ng Bee Yoong v. Capital Development Sdn Bhd, di mana pekerja ni pada mulanya berkerja di bawah Petaling Garden Berhad (PGB). Dia kemudiannya dipindahkan ke anak syarikat PGB, iaitu Capital Development Sdn Bhd (syarikat yang Bee Yoong saman lepas tu). 

Pada tahun 2009 – Capital Development dan PGB dah menjadi anak syarikat milik penuh PNB Commercial Sdn Bhd. Setahun lepas tu, Bee Yoong dapat surat pertukaran yang memintanya menerima jawatan di syarikat lain milik PNB...dengan skop kerja yang berbeza sama sekali.

Pada mulanya, dia bekerja sebagai Pengurus Hartanah di Capital Development dan kemudiannya dia ditawarkan berpindah menjadi Pengurus Jualan dan Hartanah di Hotel Sri Petaling KL iaitu syarikat di bawah PNB. Hal ni boleh dikatakan sebagai penurunan jawatan jugalah dari yang sebelumnya.

Senang cerita, dia dah diminta supaya bertukar jawatan kepada jawatan baru yang dia tak layak untuknya. Jadinya, dia pun tolak tawaran tu. Tapi rupa-rupanya, syarikat ada rancangan lain kalau tawaran ditolak. Mereka pun buat keputusan untuk pecat dia sebab tak terima tawaran berpindah. Bagaimanapun, tindakan syarikat ni dah membuatkan berlakunya kes tuntutan mahkamah yang besar, sampaikan dia berjaya menang dan dapat RM173,990.40!

Syarikatnya kata yang dia dipecat sebab Bee Yoong meninggalkan pekerjaannya tanpa memberi notis yang cukup, dan gagal membalas surat pertukaran yang diberikan oleh syarikat. 

Jadinya, bila pertikaian ni sampai ke mahkamah, ada 2 perkara yang perlu diputuskan.

 

Mahkamah bersetuju dengan pekerja tu

Imej dari Giphy.

Dalam kes ni, Mahkamah Perusahaan ada 2 isu yang mereka kena bagi keputusan:

  1. Sama ada syarikat memecatnya secara tak adil di bawah pemecatan konstruktif.
  2. Sama ada tawaran pertukaran tu adil kepada pekerja.

Jadinya, sebelum kita tengok dengan lebih terperinci tentang keputusan tu, kita kena tahu dulu apa dia pemecatan konstruktif ni. Secara amnya, pemecatan konstruktif terjadi bila majikan melanggar terma dalam kontrak pekerjaan, yang membawa kepada seseorang pekerja tu meletakkan jawatan atau dipecat. 

Tuntutan ke atas pemecatan konstruktif boleh dibuat di bawah Seksyen 20(1), Akta Perhubungan Perusahaan 1967, yang menyatakan – tak ada pekerja yang boleh ditamatkan pekerjaan mereka tanpa sebab dan alasan

“Apabila seorang pekerja, tanpa mengira sama ada dia merupakan seorang ahli suatu kesatuan sekerja atau sebaliknya, menganggap dia telah diberhentikan kerja tanpa sebab atau alasan yang adil oleh majikannya, dia boleh membuat representasi secara bertulis kepada Ketua Pengarah untuk pemulihan kerja pada pekerjaan lamanya; representasi tersebut boleh difailkan di pejabat Ketua Pengarah yang terdekat dengan tempat kerja di mana pekerja tersebut diberhentikan.”

Berdasarkan undang-undang di atas, mahkamah dalam kes ni menyimpulkan yang pekerja berkenaan ada tuntutan di bawah pemecatan konstruktif. Mahkamah juga kata yang pemecatan tu dibuat tanpa sebab atau alasan yang adil. Pertukaran pekerjaan juga dianggap sebagai tak adil, sebab deskripsi kerjanya tak sama dengan apa yang ada dalam kontrak pekerjaan.

[BACA LAGI: Can Malaysian law protect you if your boss forces you to resign?]

Ini dia antara isi surat yang diterima mahkamah, iaitu pekerja berkenaan dah beritahu majikannya bahawa terma pertukaran dan jawatan semula tugasnya tu sebagai tak adil:

"Pertukaran yang dicadangkan itu adalah ke syarikat yang berbeza, untuk skop kerja yang cukup berbeza, dalam industri yang sama sekali berbeza.... Deskripsi kerja untuk jawatan Pengurus Jualan dan Hartanah secara khusus mengharuskan saya untuk memiliki kompetensi pendidikan sekurang-kurangnya Diploma/Ijazah dalam Pengurusan Hotel dengan sekurang-kurangnya 5 tahun pengalaman dalam kerja berkaitan. Anda tahu benar yang saya tidak mempunyai kelayakan atau pendedahan sedemikian..."

Apa yang ditunjukkan di mahkamah ni menggambarkan yang pekerja berkenaan sedar dengan pertukarannya tu tak adil, dan juga kontrak pekerjaannya tak pernah kata yang dia akan ditukarkan ke satu kerja yang skop tugasnya tu sangat berbeza. 

Jadinya, kalau korang pernah diberikan jawatan semula dan ia di luar skop tugas korang, ini apa yang korang kena tahu:

 

Syarikat tak boleh paksa pekerja buat tugas baru

“Jangan suruh saya macam-macam” Imej dari Giphy.

Secara umumnya, syarikat mempunyai hak untuk memindahkan pekerja dalam lingkungan syarikat. Tapi dalam kes ni, syarikat yang terlibat adalah 2 syarikat yang berbeza dan skop kerja juga tak sama dengan apa yang disebut dalam kontrak pekerjaan

Makanya, majikan kena pastikan yang mana-mana pertukaran pekerja tu tak patut mengubah deskripsi kerja dalam kontrak pekerjaan secara ketara. Ia juga bukannya penurunan jawatan dan tak dibuat dengan niat jahat terhadap pekerja berkenaan. 

Kalau pekerja merasakan apa yang berlaku kepadanya tu sebagai pemecatan tak adil – sebab cuma tak terima pertukaran kerja atau skop kerja baru, korang bolehlah membawanya ke Mahkamah Perusahaan. Seksyen 30(5) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 menyatakan:

"Mahkamah hendaklah bertindak menurut ekuiti, hati nurani yang baik dan merit penting kes tanpa mengambil kira bidang teknikal dan undang-undang."

Jadinya di sini, mahkamah akan mengambil kira kebajikan pekerja yang dah dipecat secara tidak adil tu. Tapi korang juga kena ingat, yang korang cuma ada 60 hari untuk memfailkan aduan selepas dipecat. Korang boleh semak cara melakukannya, di sini.

Kalau mahkamah dapati korang dah dipecat secara tak adil, korang akan diberikan faedah-faedah tertentu. Antaranya seperti, tuntutan yang dinyatakan di bawah Peraturan Kerja (Faedah-faedah Penamatan dan Rentikerja Sentara) 1980. Bagaimanapun, terdapat juga syarikat-syarikat yang ada polisi-polisi dan peraturan dalam hal faedah-faedah penamatan ni. Jadinya, lebih baik korang periksalah dulu dengan syarikat masing-masing.

 

Tags:
pemecatan konstruktif
kontrak pekerjaan
dipecat secara tak adil
pertukaran kerja
deskripsi kerja
saman syarikat

32

Shares

A+

A-