Asklegal
Home banner c5f1b13b cec4 4410 a738 b622b2a41161

Civil,Constitution,General

Boleh ke syarikat di Malaysia jadi Muslim? Kes mahkamah ni berikan kita jawapannya

over 3 years ago Azar Ishak

196

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Pada tahun 2012, penerbit buku Ezra Zaid dah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Dia ditahan selepas syarikat penerbitannya, ZI Publications dah menerbitkan dan mengedarkan sebuah buku bertajuk “Allah, Kebebasan dan Cinta”. Menurut JAIS, penahanannya itu kerana Ezra dah melakukan kesalahan – penerbitan buku yang bertentangan dengan hukum syarak

Imej dari The Malaysian Times

Disebabkan ZI Publication menerbitkan dan mengedarkan buku yang dah diharamkan, diorang secara amnya memang akan dapat masalah dengan undang-undang sedia ada. Tapi dalam isu dengan JAIS ni, undang-undang yang mereka hadapi adalah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang hanya terpakai untuk orang Islam dan bukannya syarikat. Jadi, disebabkan mereka mendakwa Ezra secara peribadi kerana dia pengarah syarikat tu, ia dah menimbulkan dua persoalan:

  1. Boleh ke undang-undang dikenakan kepada pengarah syarikat, kalau syarikat yang sebenarnya melanggar undang-undang? 
  2. Kalau ZI Publications didakwa di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang hanya terpakai kepada orang Islam sahaja, adakah ini bermakna syarikat pun boleh jadi Islam (Muslim)?

Walaupun soalan kedua ni nampak macam tak berapa masuk akal, tapi sebenarnya penting sebab ia berkaitan dengan banyak persoalan tentang implikasi undang-undang. Sebab itulah kes ni berlarutan lama, sampailah mahkamah buat keputusan pada 25 September 2019 lalu.

 

Semuanya bermula dengan serbuan JAIS

Imej dari Giphy.

Pada Mei 2012, ZI Publications Sdn Bhd dah menerbitkan buku versi Bahasa Melayu untuk “Allah, Liberty and Love” (Allah, Kebebasan dan Cinta) oleh seorang penulis Kanada, Irshad Manji. Bagaimanapun, buku ni dianggap sebagai bertentangan dengan ajaran Islam dan pada 24 Mei 2012, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dah buat keputusan untuk kedua-duanya (dalam BM dan BI) diharamkan. 

Sekarang ni, kalau syarikat yang buat jenayah, hanya syarikat je yang akan didakwa. Pengecualian masih boleh jadi, tapi tu kita akan bincang nanti. Ini kerana, syarikat dianggap sebagai personaliti yang berasingan dari pengarah ataupun pekerja. Jadinya, kalau ada sebarang dakwaan untuk kes ni, dakwaan itu akan ke ZI Publications dan bukan orang di sebaliknya. 

Tapi, bila JAIS dapat tahu yang ZI Publications terbitkan dan edarkan buku ni, mereka buat yang lain. 

JAIS mendakwa pengarah ZI Publications

Lepas 5 hari KDN umumkan tentang pengharaman buku tu, JAIS bertindak menyerbu pejabat ZI Publications di Kelana Square, Petaling Jaya. Mereka juga rampas 180 cetakan buku dalam BM dan tahan pengarah syarikat, Ezra Zaid.  JAIS buat serbuan dan tahan Ezra Zaid tu sebab dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(1), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang menyatakan:

Mana-mana orang yang: – 
(a) mencetak, menyiarkan, menerbitkan, merakamkan atau menyebarkan dengan apa-apa cara apa-apa buku atau dokumen atau apa-apa bentuk lain rakaman yang mengandungi apa-apa jua yang bertentangan dengan Hukum Syara'; atau
(b) ada dalam miliknya apa-apa buku, dokumen atau bentuk lain rakaman sedemikian untuk dijual atau bagi maksud untuk disebarkan dengan apa-apa cara lain,
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

JAIS dakwa yang Ezra bersalah sebab menerbitkan dan mengedarkan buku “Allah, Kebebasan dan Cinta” dan kerana memiliki 180 cetakan buku itu. Dia kemudiannya didakwa di Mahkamah Syariah pada Mac 2013, tapi mengaku tak bersalah dan minta dibicarakan. 

Ezra cabar tuduhan syariah terhadapnya

Apa yang Ezra buat lepas tu agak rumit sikit, sebab ia melibatkan tindakan undang-undang yang melibatkan undang-undang berbeza. Nak lebih faham lagi, selain dari berurusan dengan Mahkamah Syariah, Ezra juga ambil keputusan untuk cabar dakwaan terhadapnya di Mahkamah Sivil. Dia failkan 3 semakan undang-undang sivil terhadap JAIS dan ini dia hasilnya:

  1. Menggunakan undang-undang Syariah untuk mengharamkan buku yang bertentangan dengan undang-undang Islam adalah tak berperlembagaan – Ezra kalah. 

  2. Mencabar Kementerian Dalam Negeri atas alasan pengharaman buku – TBC
  3. Serbuan JAIS, sita, penahanan dan pendakwaan adalah tidak sah – Menang (buat masa sekarang)

Untuk semakan pertama, Mahkamah Persekutuan menolaknya pada 2018. Keputusan itu dibuat kerana – JAIS didapati bertindak dalam bidang kuasanya untuk menguatkuasakan Seksyen 16, malah seksyen itu sah dan bukannya tak berperlembagaan. 

Untuk semakan kedua pula, Mahkamah Persekutuan membenarkan kerajaan membuat rayuan bagi mengekalkan pengharaman buku itu. 

Dan bagi semakan ketiga, Mahkamah Rayuan baru je buat keputusan baru-baru ni, dan ia juga adalah jawapan untuk soalan kita: Boleh ke undang-undang Syariah terpakai terhadap syarikat?

Jadinya, sekarang, jom kita tengok hal ni dengan lebih dekat lagi…

 

Sebuah syarikat secara teknikalnya adalah “orang”

Imej dari imgflip.
Apa dia personaliti undang-undang berasingan untuk syarikat?

Korang mesti tertanya apa dia sebenarnya personaliti undang-undang berasingan (separate legal personality) ni? Di bawah Seksyen 20, Akta Syarikat 2016 dah dinyatakan bahawa sesuatu syarikat yang diperbadankan di bawah Akta mempunyai keperibadian undang-undang yang berasingan daripada anggotanya. Ini bermakna, sesebuah syarikat itu wujud sebagai entiti undang-undang sendiri dan berasingan dari anggotanya seperti pengarah, pekerja dan sebagainya. 

[BACA LAGI: Syarikat Sdn Bhd wujud hari ni, sebab seorang tukang kasut disaman pada tahun 1893]

Jadinya, kalau korang nak saman syarikat atas apa-apa kesalahannya, korang cuma boleh saman syarikat je dan bukannya mana-mana anggotanya. Kecualilah, kalau tirai korporat (corporate veil) ni dibuang kerana terdapat beberapa keadaan di mana ahli-ahli syarikat seperti pengarah dapat dipertanggungjawabkan juga. Sebagai contoh, hal ni boleh jadi kalau ada pengarah syarikat yang menggunakan nama syarikat untuk menipu atau buat sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang

Hujah-hujah dalam pendengaran di Mahkamah Rayuan

Kami sebenarnya dapat peluang untuk temu bual peguam Ezra, Fahri Azzat pasal hal-hal yang ditimbulkan masa perbicaraan di Mahkamah Rayuan. 

Salah satu perkara utama yang dibangkitkan adalah, dakwaan penerbitan dan pengedaran buku yang dilakukan oleh ZI Publications Sdn Bhd sepatutnya dihadapkan kepada syarikat dan bukannya Ezra sebagai pengarah syarikat. Ini kerana ZI Publications Sdn Bhd adalah syarikat yang mempunyai personaliti undang-undang berasingan

Dan hujah personaliti undang-undang berasingan inilah yang dibawa ke Mahkamah Rayuan untuk kes Ezra Zaid. 

Mereka berhujah, sebagai seorang pengarah, Ezra tak buat sebarang penipuan atau penyalahgunaan nama syarikat untuk aktiviti haram. Hal ini juga memerlukan supaya tirai korporat diangkat dan untuk dia didakwa secara peribadi. Mereka menegaskan, dakwaan itu sepatutnya dibawa terhadap syarikat.

Imej dari Toppr.

Keduanya, mereka berhujah – Ezra tak sepatutnya dikenakan tindakan, walaupun dakwaan yang dikenakan terhadap syarikat itu juga tidak sah. Ini kerana, dakwaan itu adalah untuk kesalahan agama dan syarikat tak boleh dipertanggungjawabkan atas kesalahan agama.

Fahri Azzat, peguam Ezra menyatakan:

Jadinya, hujah kami adalah pendakwaan terhadap Ezra Zaid adalah salah kerana pertamanya, tindakan yang mengadukan JAIS adalah perbuatan syarikat ZI Publications, dan keduanya, jika tidak ada alasan untuk mengangkat tirai korporat, Ezra Zaid tidak boleh dan tidak patut secara peribadi bertanggungjawab atas perbuatan syarikat itu.

Sebahagian daripada hujahnya ialah entiti korporat tidak boleh didakwa di Mahkamah Syariah kerana mereka tidak mempunyai bidang kuasa ke atas entiti korporat disebabkan ia bukanlah seorang yang boleh menganut agama Islam dan tidak boleh memiliki ciri-ciri kaum, contohnya seorang Melayu.

Disebabkan pendakwaan di sini berdasarkan kesalahan agama di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, ia juga menimbulkan persoalan: Boleh ke sesebuah syarikat mempunyai agama dan didakwa atas kesalahan agama? Walaupun syarikat ada entiti undang-undang sendiri, tapi hampir mustahil untuk ia menganut apa-apa agama. Untuk kesalahan agama di bawah undang-undang tertentu, ia dah dijelaskan secara nyata di bawah Seksyen 1(2) bahawa Enakmen ini hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

Oleh kerana syarikat tak boleh menganut apa-apa agama atau ada ciri-ciri kaum seperti individu, Enakmen ini sepatutnya tak terpakai untuk entiti korporat. Ini bermakna, walaupun penerbitan dan pengedaran buku itu dilakukan oleh ZI Publications Sdn Bhd,  Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tak akan terpakai sebab syarikat tak boleh dianggap sebagai Muslim. Tak kisahlah kalau pengarah dan anggota syarikat tu menganut agama tertentu, sebabnya seperti mana yang kita diberitahu – syarikat ada entiti undang-undang sendiri dan berasingan daripada anggotanya. 

 

Tak boleh, syarikat tak ada agama

Imej dari Malay Mail.

Pada 25 September 2019, keputusan dah dibuat bahawa – Mahkamah Rayuan yang menyebelahi Ezra Zaid.

Mahkamah dah membatalkan keputusan Ketua Pendakwa Syarie Selangor yang menahan dan mendakwanya, serta memerintahkan ganti rugi ditaksir kerana tekanan jiwa yang dialami oleh Ezra berikutan tindakan JAIS itu kepadanya. Perkara ini menunjukkan yang mahkamah bersetuju dengan hujah-hujah yang dibawa oleh pasukan peguam Ezra, bahawa sebuah syarikat tak boleh mempunyai agama.

Pada 29 September 2020, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan JAIS, bermakna keputusan tersebut kekal. Dan pada 17 Disember, Ezra diberikan pembebasan penuh oleh Mahkamah Syariah. Tetapi, 180 naskhah buku ‘Allah, Kebebasan dan Cinta’ akan dilucuthakkan dan dimusnahkan.

Kes sebegini bukan jadi pada syarikat Ezra je. 

Sebabnya, kita juga boleh lihat Sister In Islam (SIS) yang berhadapan dengan situasi agak sama tentang fatwa terhadap SIS (yang didaftarkan sebagai syarikat). Mereka ada mencabar Jawatankuasa Fatwa Selangor berkenaan hal ni, kerana mereka didaftarkan sebagai syarikat, dan mendakwa fatwa Selangor tak terpakai kepada mereka. Bagaimanapun, dalam kes ini, hakim kata – disebabkan syarikat dan barisan pengarah SIS adalah Muslim dan aktiviti mereka juga berkaitan dengan undang-undang Islam, fatwa masih terpakai kepada mereka. 

Walaupun kes ini ada persamaan, ia berbeza dengan kes Ezra sebab SIS secara terang terlibat dalam aktiviti Islamik. Bagaimanapun, SIS dalam perancangan nak buat rayuan tentang keputusan ni ke Mahkamah Rayuan (yang Ezra menang kes). Ezra membangkitkan isu dia didakwa secara salah di bawah kesalahan syariah, sedangkan syarikatnya yang menerbitkan dan mengedarkan buku yang diharamkan itu. Manakala untuk kes SIS, ia unik sebab mahkamah dah ambil kira agama pengarah SIS dan aktiviti syarikat berbanding dengan kes Ezra.

 

Tags:
jais
mahkamah syariah
ezra zaid
zi publications sdn bhd
allah
liberty and love
kebebasan dan cinta
irshad manji
mahkamah sivil
enakmen jenayah syariah selangor
rampasan buku

196

Shares

A+

A-