Corporate
Syarikat Sdn Bhd wujud hari ni, sebab seorang tukang kasut disaman pada tahun 1893
over 5 years ago Azar Ishak[Click here for English version]
Bila korang bangun pagi, produk apa yang korang selalu gunakan? Apa yang pasti, ada di antara produk tu yang diperbuat atau diimport oleh syarikat Malaysia yang ada perkataan “Sendirian Berhad” (Sdn Bhd). Mesti korang pernah tertanya-tanya:
Apa makna Sdn Bhd ni?
“Sendirian Berhad” bermaksud syarikat tu milik persendirian (Sendirian), dan mempunyai apa yang dikenali sebagai “liabiliti terhad” (Berhad). Perkara ni datang dari kenyataan bahawa mana-mana syarikat dengan “Berhad” dianggap sebagai “orang” oleh undang-undang.
Eh kejap. Macam mana pula syarikat boleh jadi orang?
Dalam undang-undang syarikat, perbadanan (corporation) adalah apa yang kita panggil sebagai entiti undang-undang yang berasingan (separate legal entity). Pada asasnya, syarikat dianggap sebagai “orang” dalam undang-undang dan ia ada hak dan liabiliti tersendiri.
Sebaliknya, “liabiliti terhad” adalah konsep yang menjadikan pemegang saham syarikat “Berhad” tak bertanggungjawab terhadap hutang dan obligasi syarikat. Liabiliti maksima diorang adalah terhad kepada berapa banyak duit yang diorang bayar untuk beli saham diorang dalam syarikat – dan inilah dia di mana ‘Berhad” tu berasal.
Kalau korang rasa nak tahu lebih banyak lagi tentang hal ni, maklumat terperincinya ada dalam artikel kitorang sebelum ni:
[BACA LAGI - If a Malaysian company that owes you money goes bankrupt, can you sue the boss to get it?]
Entiti undang-undang berasingan pula adalah peratura lama yang masih digunakan dalam undang-undang syarikat kita sampai sekarang ni. Seperti mana yang dinyatakan dalam Seksyen 20, Akta Syarikat 2016:
Tapi ada cerita di sebalik macam mana peraturan sebegini datang. Walaupun kita ada peraturan, tapi peraturan taklah selalunya difahami oleh semua orang, bahkan oleh hakim-hakim sendiri. Dan hal inilah yang sampai membuatkan berlakunya pertikaian pada tahun 1893 – dalam kes Aron Salomon v Aron Salomon and Company, Limited.
Aron Solomon, si tukang kasut
Aron Solomon adalah seorang rakyat UK, yang berdagang kulit dan pembuatan kasut untuk jualan. Dia ni jenis yang ada perniagaan keluarga, dan perniagaannya dah lalui turun naik. Tapi, bukan mudah nak sara isteri, dengan 5 orang anak.
Walaupun macam tu, Aron Salomon dapat uruskan perniagaannya tu sampai berjaya dan bolehlah dia tampung keluarganya dan buat modal perniagaan. Lepas tu, dia ambil keputusan nak bentuk syarikat dengan liabiliti terhad oleh saham bersama keluarganya pada akhir Julai 1892. Akta Syarikat 1862 masa tu, perlukan sekurang-kurangnya 7 orang untuk memiliki sebuah syarikat bersama, jadi dia ada cukup ahli keluarga untuk buat macam tu. Lepas semua kerja urusan rasmi dah selesai, maka lahirlah – “Aron Salomon and Company, Limited”
Tapi, beberapa urus niaga lepas tu dah menimbulkan kekeliruan. Ringkasnya, Aron Salomon dah jual perniagaannya kepada “Aron Solomon and Company, Limited” – yang mana boleh dilakukan kerana konsep entiti undang-undang berasingan yang kita dah bincang di awal tadi. Mesti korang keliru kan? Nak lebih faham, siapa miliki siapa, cuba tengok di sini:
Ada dua “orang” – Solomon dan “Aron Salomon and Company, Limited” (kitorang akan panggilnya sebagai “Syarikat” je lepas ni)
Salomon + saham keluarganya sendiri dalam Syarikat
Salomon juga ada perniagaan barangan kulit dan kasut
Salomon jual perniagaan kulit dan kasutnya kepada Syarikat
En. Salomon (orangnya, bukan syarikat) dapat saham istimewa dari Syarikat yang disebut sebagai "debentures" sebagai balasan untuk perniagaan kulit dan kasutnya. Debentures ni istimewa sebab sesiapa yang memilikinya akan dapat keutamaan terlebih dulu dari semua pemegang saham dan pemiutang untuk dapat duit diorang balik kalau Syarikat tu bankrap. (Ini penting untuk apa yang akan jadi seterusnya)
Tapi sayangnya, tak ada yang kekal selamanya
Menggunakan debentures sebagai cagaran, Aron Salomon dapatkan pinjaman dari seorang lelaki bernama Edmund Broderip, dengan kadar bunga 8 peratus. Tapi disangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Sebabnya, berlaku pula kemelesatan dalam jualan kasut, sampai buatkan Salomon gagal bayar hutang kepada Broderip.
Jadinya, pada September 1893, hanya setahun lebih Syarikat lepas disatukan, “Aron Salomon and Company, Limited” dah dilikuidasikan (liquidated) untuk bayar balik hutang-hutangnya. Kalau korang tak biasa dengar perkataan dikuidasikan ni, ia sebenarnya bermaksud kesemua barangan milik syarikat dijual untuk membayar hutangnya, dan lepas tu syarikat ini tak akan wujud lagi.
Masalahnya bermula di sini. Seorang pelikuidasi (liquidator) dah dilantik oleh pemiutang untuk mengendalikan hutang dan memastikan pemiutang dapat balik duit diorang. Bagaimanapun, banyak jumlah hutang yang masih belum terbayar. Ingat lagi dengan “debentures” yang Salomon ada? Salomon lepas tu tebus debentures-nya (yang bagi keutamaan kepadanya) dan bayar balik hutang kepada Broderip, dengan selesaikan pinjaman tu. Akhirnya, lepas tu cuma ada baki £1055, sedangkan pemiutang lain masih kena dibayar balik dengan jumlah keseluruhan £7733.
Tak puas hati dengan keadaan tu dan nak balik duit diorang, pemiutang yang masih tak dibayar dapatkan pelikuidasi tadi untuk saman Salomon atas nama Syarikat. Diorang mendakwa debentures tu dikeluarkan untuk menipu pemiutang, sedangkan duit yang pergi ke Broderip dan Salomon sepatutnya dibayar kepada pemiutang yang masih belum dibayar.
Dari sinilah, benda tak baik jadi kepada Salomon bermula.
Tuntutan tu dah dirayu… sebanyak 2 kali
Untuk kali pertama, kes ni dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Hakim masa tu setuju dengan pelikuidasi dan kata yang Salomon cuma buat Syarikat supaya dia boleh jalankan perniagaannya dan dapatkan semua keuntungan tanpa ambil risiko. Diorang percaya yang Salomon dapat debentures tu melalui penipuan – bila mana pelikuidasi menuduh Salomon jual perniagaan jualan kulit dan kasutnya tu pada harga yang sangat tinggi. Jadi, Salomon lepas tu dah diperintahkan untuk bayar pemiutang dengan duitnya sendiri.
Salomon rasa tak puas hati dengan tuduhan tu dan buat rayuan kes. Tapi ia cuma sia-sia.
Mahkamah Rayuan pun fikir yang Salomon dah menyalahgunakan keistimewaanya memiliki liabiliti syarikat terhad. Diorang kata yang dia menyalahgunakan nama ahli keluarganya untuk memenuhi keperluan 7 orang pemegang saham, jadi dia bolehlah buat syarikat di bawah kawalannya, sementara dia bersembunyi dari bayar hutang kepada pemiutang. Mahkamah Rayuan kemudiannya juga memerintahkan Salomon supaya bayar hutang Syarikat.
Tapi ada satu lagi rayuan yang dia boleh buat, iaitu ke mahkamah tertinggi UK (Supreme Court) yang dahulunya dikenali sebagai House of Lords, sebelum keputusan akhir diputuskan dan Salomon dah mestilah dapat masalah besar kalau kena bayar hutang Syarikat yang banyak kepada pemiutang.
Dia bertuah, bila didapati yang Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dah melihat undang-undang secara salah.
Salomon dapat keadilannya pada tahun 1896
Banyak betul kita dah bincang pasal kes ni, tapi hakikatnya, apa yang jadi adalah bila mana hakim-hakim dalam Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan tak memahami undang-undang dengan betul, dan diorang juga datang dengan kesimpulan yang salah.
Kalau korang ingat dari awal, Mahkamah Rayuan dah buat kesimpulan yang Salomon hanya menggunakan ahli keluarganya sebagai boneka untuk memenuhi keperluan 7 pemegang saham, dan ada tuduhan mengatakan nilai perniagaan kulit dan kasutnya yang tinggi perlu disiasat.
Mahkamah Agung dapati bukti menunjukkan yang keluarga Salomon tahu apa sebenarnya yang berlaku dan setuju nama diorang digunakan. Apa yang lebih penting, Akta Syarikat 1862 pada masa tu tak anggap aturan macam ni melanggar undang-undang. Pasal harga tinggi untuk perniagaan kulit dan kasut, harga tu sebenarnya tak penting, sebab selagi Syarikat tidak dibohongi dan bersedia membayar harga, maka tidak ada penipuan.
Dari situ, Mahkamah Agung memutuskan yang “Aron Salomon and Company, Limited” memang “orang” berasingan, dan ia sendiri bertanggungjawab untuk hutangnya, bukannya Salomon.
Ia mungkin kedengaran adil dan baik untuk Salomon, tapi macam mana dengan pemiutang yang terpaksa terima – diorang menanggung kerugian wang yang banyak? Pada ketika ni, mungkin korang akan bertanya…
Kenapa pemilik syarikat dibenarkan untuk menghadkan liabiliti diorang?
Bila orang buka syarikat, diorang selalunya akan laburkan modal untuk jalankan syarikat tu. Jumlah modal tu pula tak dapat ditentukan sangat, tapi kebanyakannya jumlah duit tu bukan semua orang boleh keluarkan macam tu je. Di sinilah di mana syarikat dengan liabiliti terhad datang.
Ada yang kata – Sdn Bhd ni macam polisi insurans. Contohnya, korang perlukan RM200,000 untuk bentuk satu syarikat dengan kawan korang. Korang berdua boleh kumpulkkan duit bersama-sama untuk tu. Dan kalau ada masalah nanti, korang cuma akan hilang duit yang korang peruntukkan untuk syarikat (jumlah duit yang korang sanggup risikokan), tak lebih dari tu.
Kalau korang dipaksa keluarkan seluruh modal sendiri untuk tanggung kerugian, korang mungkin akan habiskan segala simpanan korang dan jadi bankrap. Lebih penting lagi, kalau timbul masalah serius, korang dan kawan korang (rakan niaga) mungkin kena bayar hutang gunakan wang simpanan dan mungkin juga terpaksa jual rumah dan kereta. Kalau macam itulah risikonya nak buka syarikat, maka tak akan ramailah yang akan buka syarikat. Dengan hanya ada beberapa buah syarikat, dah pastilah akan bagi kesan ekonomi dan peluang pekerjaan secara keseluruhannya.
Untuk selesaikan masalah ni, penggubal undang-undang buat keputusan untuk bagi jalan kepada korang, dengan pastikan kalau perniagaan pertama korang gagal, korang tak payah bayar hutang yang banyak tu dari poket sendiri.
Jadi itulah sebabnya syarikat juga dikenali sebagai “orang”. Ia adalah cara untuk mengendalikan perniagaan korang, sambil memastikan kalau ada benda tak jadi seperti yang dirancangkan, simpanan dan harta peribadi korang taklah jadi taruhan. Inilah sebab utama kenapa sesetengah orang lebih suka tubuhkan syarikat Sdn Bhd, dan bukannya pemilik tunggal atau perkongsian.
[BACA LAGI - Which Malaysian business entity should you set up for your business?]