Asklegal
Home banner 2314faf0 24a3 42a3 b8e5 97b843820651

Civil

Lelaki ni menyemak peruntukan syariah 'seks luar tabii' S'gor. Kenapa mahkamah benarkan?

almost 4 years ago Azar Ishak

44

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Pada November 2018, 11 orang lelaki dah ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana cuba melakukan hubungan ‘seks luar tabii’ (dalam kes ni antara lelaki dan lelaki) di Bangi. Mereka ni dah didakwa di Mahkamah Syariah Selangor di bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. Setahun lepas tu pada November 2019, lima orang daripada mereka dah disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara, denda dan sebat. Bagaimanapun, keputusan tu kemudiannya dirayu dan sekarang ni mereka tengah tunggu keputusan dari Mahkamah Syariah. 

Akan tetapi, masa tu ada seorang aktivis LGBT, Numan Afifi yang memberikan sokongan kepada mereka ni yang juga mempertimbangkan untuk buat semakan perlembagaan terhadap undang-undang Syariah yang digunakan terhadap mereka. Dengan kata lain, mereka nak lihat sama ada undang-undang tu boleh dibuat tak di bawah Perlembagaan Persekutuan. Namun masa tu, tak jelas macam mana undang-undang ni akan disemak, sampailah enam bulan lepas tu, kita tahu jawapannya. 

 

Petisyen mencabar kuasa kerajaan Selangor

Imej dari Giphy

Seorang daripada 11 orang yang didakwa di Mahkamah Syariah tu dah buat petisyen kepada Mahkamah Persekutuan. Dalam petisyennya tu, dia dah cabar kesahihan undang-undang yang digunakan terhadapnya di bawah Perlembagaan Persekutuan. Pada dasarnya, dia kata yang Mahkamah Syariah Selangor tak ada hak perlembagaan untuk buat undang-undang tu sejak awal lagi. 

Apa yang mengejutkan, Mahkamah Persekutuan kemudianya membenarkan petisyen tu. Ini bermakna, Mahkamah Persekutuan percaya mereka ada kes yang sah dan membenarkan hujah-hujah mereka didengar. 

Tapi persoalannya sekarang, kenapa lelaki berkenaan dibenarkan buat macam tu? Kami sebenarnya ada dapat salinan dokumen mahkamah untuk kes ni dan kami akan cuba jelaskan tentang keputusan yang hakim dah buat. 

(MAKLUMAT: Perlu diingat bahawa kes ini tidak mencabar Islam, atau undang-undang Syariah yang mengatur umat Islam di Malaysia. Sebaliknya, ini merupakan cabaran pada kuasa kerajaan negeri Selangor untuk mewujudkan undang-undang ini di bawah Perlembagaan Persekutuan.)

 

Anda boleh cabar undang-undang di Malaysia

Imej dari Giphy.

Pertama sekali, mari kita tengok pada undang-undang Syariah yang dicabar dalam kes ni: Seksyen 28, Kesalahan Jenayah Syariah. Di bawah seksyen ni, melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang dianggap sebagai satu jenayah. Jika disabitkan bersalah, seseorang tu boleh dihukum denda sehingga RM5,000, penjara maksimum enam tahun, disebat tak lebih enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman tersebut.

Tapi, lelaki tu tak mencabar undang-undang Syariah tu sendiri. Sebaliknya, dia mencabar hak Selangor untuk buat undang-undang tu. Kalau anda masih tak berapa jelas, kita sebenarnya ada hak untuk cabar kesahihan undang-undang tertentu di Malaysia. Hal ni ada dinyatakan di bawah Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan

Tapi dalam masa sama, kita tak boleh cabar apa je undang-undang yang kita nak. Sebabnya, di bawah Perkara 4(4), kita hanya boleh melakukan hal itu jika undang-undang berkenaan digubal oleh parlimen atau kerajaan negeri, dan mereka sama ada – tak mempunyai kuasa atau ia tak berada di bawah skop mereka. Jika salah satu dari perkara ni terpakai, barulah ia boleh dibawa ke Mahkamah Persekutuan. Namun begitu, ia masih kena dapatkan kebenaran daripada hakim mahkamah – atau dengan kata lain, mereka memberikan laluan untuk anda melakukannya. 

Bila hakim Mahkamah Persekutuan buat kebenaran tu, ada dua sebab kenapa ia dilakukan:

  • Pertama, bahawa itu bukan proses mahkamah yang sembrono atau disalahgunakan, yang bermaksud kes ini benar-benar serius dan anda tak membuang masa mahkamah.
  • Kedua, kes itu adalah mengenai kerajaan negeri yang membuat undang-undang yang berada di bawah skop kerajaan persekutuan.

 

Hanya boleh ada satu undang-undang

Imej dari Giphy

Untuk faham kenapa cabaran ni dibenarkan, pertama sekali kita kena tahu yang kerajaan persekutuan dan negeri ada kuasa untuk buat undang-undang. Kami pernah terangkannya dalam artikel sebelum ni. 

[BACA LAGI: Azmin says businesses can sue state government for not following CMCO. But is this true? ]

Pada asasnya, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan ada senarai yang nyatakan bidang apa yang setiap kerajaan boleh buat undang-undang

  • Senarai I, tentang bidang yang Kerajaan Persekutuan boleh buat undang-undang.
  • Senarai II dan IIA, tentang bidang yang Kerajaan Negeri boleh buat undang-undang.
  • Senarai III, tentang bidang kedua-kedua kerajaan boleh buat undang-undang.

Kalau kita tengok pada Senarai II, kita akan nampak yang kerajaan Selangor boleh buat undang-undang tentang: 

pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.” 

Ini maknanya, mereka boleh buat undang-undang mengenai kesalahan agama orang Islam, tapi hanya kalau Kerajaan Persekutuan belum buat undang-undang mengenainya. Bagaimanapun, sebenarnya kerajaan Persekutuan memang dah ada undang-undang berkait dengan Seksyen 28. Undang-undang tentang seks luar tabii ni ada dinyatakan di bawah Seksyen 377 dan 377A, Kanun Keseksaan

Inilah apa yang lelaki tu cuba hujahkan, iaitu kerajaan Selangor dah bertindak di luar skopnya apabila membuat undang-undang yang dah dibuat oleh Kerajaan Persekutuan

 

Nampak sama, tapi undang-undang yang berbeza

Imej dari Viral Media Johor.

Seperti kes mahkamah yang lain, kerajaan Selangor lepas tu membantah cabaran yang dihadapkan kepada mereka. Mereka juga ada hantar hujah-hujah awal kepada hakim tentang petisyen tersebut. Hakim menjawabnya dan memasukkan komentarnya dalam penghakiman. 

Hujah 1

Peguam kerajaan Selangor berhujah yang Seksyen 28 undang-undang negeri tak sama dengan apa yang dinyatakan dalam Seksyen 377A, Kanun Keseksaan. Kedua-dua undang-undang ni menyatakan hukuman yang berbeza. Oleh itu, permohonan tu disifatkan sebagai semberono dan bermakna kes itu tak ada asas serta harus ditolak.

Dia juga menambah yang orang Islam ditadbir oleh dua undang-undang iaitu undang-undang yang digubal oleh Kerajaan Persekutuan dan undang-undang dari kerajaan negeri yang merangkumi isu-isu agama. Tapi, dia faham di bawah Seksyen 59 Akta Tafsiran, seseorang tu tak boleh didakwa dua kali untuk jenayah yang sama, jika jenayah itu di bawah dua undang-undang bertulis. Jadi secara teknikalnya, seseorang yang melakukan jenayah di bawah undang-undang persekutuan atau undang-undang negeri, boleh didakwa di salah satu mahkamah. 

(Catatan: Ini boleh dimaknakan bahawa tak ada masalah tentang undang-undang mana yang dikenakan untuk kesalahan yang sama. Selagi anda hanya didakwa sekali. Ulasan hakim di bawah akan menjelaskan perkara ini)

Ulasan hakim: Perbezaan antara undang-undang negeri dan undang-undang persekutuan bukanlah isu konklusif, kerana persoalan utamanya adalah adakah kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang tersebut.

Begitu juga, hakim memberikan pandangan yang sama mengenai hujah seterusnya. Dia menafsirkan peguam Selangor sebagai berkata, tak mengapa seseorang tu didakwa mengikut Seksyen 28, selagi dia tak didakwa mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan. Tapi, hujah itu tak merangkumi sama ada kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang tersebut.

Hujah 2 

Peguam Selangor berhujah yang kerajaan negeri ada hak untuk buat undang-undang Islam. Seksyen 28 merangkumi hal berkaitan seks luar tabii dan ia dianggap bertentangan dengan ajaran Islam. 

Ulasan hakim: Dia bersetuju yang umat Islam di Malaysia tertakluk kepada dua undang-undang yang berbeza. Tapi, undang-undang yang dibuat oleh negeri-negeri mesti terlebih dulu berperlembagaan – yang bermaksud undang-undang negeri tak boleh bertentangan dengan undang-undang persekutuan.

 

Secara ringkasnya, kes ni nak lihat peruntukan tu sah atau tak

Imej dari Peguam Syarie

Kami sebenarnya cuba nak terangkan kes ni semudah yang boleh, tapi kami faham yang ia masih lagi sukar difahami.

Tapi secara umumnya, apa yang jadi dalam kes ni adalah seorang lelaki dah didakwa atas kesalahan seks luar tabii di Mahkamah Syariah Selangor. Dia kemudiannya pergi ke Mahkamah Persekutuan dan kata yang undang-undang kerajaan Selangor tu tak berperlembagaan. Atau dengan kata mudahnya, kerajaan Selangor tak ada hak untuk buat undang-undang tu

Peguam kerajaan Selangor pula kemudiannya kemukakan beberapa hujah kepada mahkamah tentang sebab kenapa mereka ada hak untuk buat undang-undang tu. Tapi pada pandangan hakim, hujah-hujah tu tak menjawab sama ada kerajaan negeri – ada hak untuk buat undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan. 

Hakim juga berpandangan yang kes ni dah cukup baik untuk dibawa ke Mahkamah Persekutuan – mahkamah tertinggi Malaysia. Itulah secara ringkasnya. 

Perlu diberikan perhatian juga yang ini bukanlah penghakiman ke atas kes tersebut. Sebaliknya, ini adalah penghakiman sama ada kes itu dibenarkan untuk berlaku sebenarnya. Oleh itu, kita masih perlu tunggu dan tengok hasilnya nanti.

Tapi, kalau lelaki tu menang dalam kesnya, itu juga tak bermakna yang undang-undang Syariah tak akan terpakai terus di Malaysia. Sebabnya, ia hanya menjelaskan bidang mana undang-undang Syariah boleh digunakan.

Tags:
kanun keseksaan
perlembagaan persekutuan
seks luar tabii
mahkamah syariah selangor
enakmen jenayah syariah
seksyen 28
seksyen377a
cabar peruntukan syariah

44

Shares

A+

A-