Civil
Boleh ke penduduk Selangor saman pemilik kilang yang sebabkan gangguan bekalan air?
about 4 years ago Azar Ishak[Click here for English version]
Pada tahun ni, boleh dikatakan dah beberapa kali penduduk Selangor mengalami gangguan bekalan air. Antaranya punca utamanya, bila berlaku pencemaran sumber bekalan air yang sampai memakan masa berhari-hari untuk dipulihkan. Bila disiasat, ia rupanya berlaku akibat pembuangan sisa kilang, dan kes yang paling teruk terjadi awal September ini. Kes tersebut membabitkan sebuah kilang di Rawang. Malah, itu bukan kali pertama kilang tu buat kesalahan, sebab pencemaran yang jadi masa PKP Mac hari tu pun angkara kilang tu juga rupa-rupanya. Kilang Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd tu kemudiannya didenda RM60,000.
Siasatan juga membawa kepada penangkapan empat orang adik beradik yang juga adalah pemilik kilang. Bagaimanapun, masih ada pihak yang rasa tak puas hati dan nak ambil tindakan lebih lagi terhadap mereka ni.
Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) juga nampaknya dah menawarkan bantuan kepada penduduk Selangor memfailkan saman terhadap mereka ni. Tapi, ia turut menimbulkan persoalan kepada kita semua sama ada – boleh atau tidak kita saman mereka kerana menyebabkan gangguan belakan air?
Secara teknikalnya, tidak.
Kenapa kita tak boleh saman pemilik kilang?
Ini kerana, dalam kes ni – pihak yang bertanggungjawab menyebabkan gangguan bekalan air ni adalah kilang dan ia dianggap sebagai entiti dengan sendirinya. Manakala, pemilik pula dianggap sebagai ‘pengarah’ syarikat dan bila kita buat sebuah syarikat sendirian berhad, ia akan menjadi entiti yang berasingan dengan pemiliknya.
[BACA LAGI: Syarikat Sdn Bhd wujud hari ni, sebab seorang tukang kasut disaman pada tahun 1893]
Ia juga agak sama untuk kes jenayah. Melainkan jika ada peruntukan khusus yang melarang kita dari menyingkap tabir perbadanan syarikat (lift the corporate veil) – di mana ia bermaksud pengarah itu sendiri boleh didakwa. Peruntukan khusus ini berlaku untuk kes ini dan kerana itulah para pengarah ni didakwa di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. Di bawah Seksyen 165 Akta, ada dinyatakan yang pengarah boleh didakwa bersama atau berasingan dengan syarikat, untuk sebarang kesalahan yang dilakukan oleh syarikat.
Tapi, kalau kita tak boleh saman pengarah – kita masih boleh saman syarikat. Sebabnya, di bawah peruntukan undang-undang, syarikat secara teknikalnya adalah ‘orang’ yang bermaksud boleh disaman.
Secara umumnya, jika tindakan seseorang itu menyebabkan kemudaratan kepada diri kita, seperti pencemaran bekalan air dalam kes ni – mereka masih boleh disaman. Ia boleh terjadi, walaupun jika pengarah syarikat dah pun didakwa atas tuduhan jenayah.
Menurut peguam yang kami tanya, Tanusha Sharma:
"Walaupun (para pengarah kilang) telah dituduh secara jenayah atas tindakan mereka, (syarikat) juga memenuhi syarat tuntutan kerana kecuaian." - Tanusha Sharma, peguam
Secara ringkasnya: ya, kita boleh saman syarikat, tapi bukannya pemilik. Namun, bila kita saman seseorang, orang itu mestilah dah melakukan kesalahan (tort) yang memberi kesan terhadap diri kita. Dalam kes pencemaran air ni, pemilik kilang berkemungkinan besar akan disaman kerana kecuaian. Bagaimanapun, masih ada 4 perkara yang perlu dibuktikan:
- mereka mempunyai tanggungjawab yang perlu dijaga
- tanggungjawab itu telah dilanggar
- ada penyebab (kejadian itu disebabkan oleh mereka)
- kerosakan tidak terlalu terpencil (bermaksud kerosakan itu dapat diramalkan)
Jadinya, berdasarkan 4 kriterian ni, ia memungkinkan boleh adanya tindakan saman. Ini kerana, syarikat ada tanggungjawab untuk tak mencemarkan sungai, dan secara jelas kilang tu dah melanggar syarat tersebut. Disebabkan kita boleh tahu yang hal itu dilakukan oleh mereka, dan tentang kesannya (bekalan air diberhentikan untuk tujuan pembersihan) yang secara langsung akibat dari tindakan mereka. Makanya, tort kecuaian boleh dikenakan terhadap mereka.
Ia lebih mudah untuk saman secara berkumpulan
Secara asasnya, bila kita nak saman seseorang, ia kerana mereka dah buat sesuatu yang memudaratkan diri kita. Tapi, dalam kes yang melibatkan mudarat ramai orang, cara terbaiknya saman tu dilakukan secara bersama. Inilah apa yang dipanggil sebagai tindakan tuntutan kelas (class action suit).
Walaupun kita boleh je saman mereka secara berseorangan, ada sebab lain yang membuatkan lebih baik untuk kita saman secara beramai. Antaranya adalah tentang kos kewangan.
“"(yuran guaman) pasti akan lebih murah jika anda saman sebagai tindakan tuntutan kelas, kerana anda membagikan kos undang-undang di antara kumpulan besar." – Tanusha
Selain itu, ia juga…
“Untuk kes seperti ini, yang melibatkan kerosakan yang ditimbulkan kepada kumpulan besar, tindakan kelas adalah cara yang lebih sesuai. Kerana bukan hanya satu individu yang terjejas, tetapi hampir di seluruh Selangor.
Oleh itu, masuk akal untuk menuntut sebagai tindakan kelas, kerana kebanyakan mereka akan ada keluhan yang sama mengenai masalah pokok yang sama, dan mencari jalan keluar yang sama.
Kesan kumpulan besar yang membuat tuntutan juga boleh menjadi faktor kekuatan tuntutan tersebut. " - Tanusha
Maka secara ringkasnya, tindakan saman dari kumpulan yang besar lebih baik, sebab semuanya membuat tuntutan atas perkara yang sama. Bahkan, semakin ramai yang membuat tuntutan tu, maka semakin lebih kuat ia dilihat di mahkamah nanti.
Tuntutan mahkamah ini boleh mencecah hingga beberapa juta
Sebelum ni, di media sosial ada yang mempertikaikan denda RM60,000 yang dikenakan terhadap kilang, sedangkan mereka ada aset mencecah hampir RM60 juta. Kalau ada yang rasa macam tu juga, kita kena tahu yang mereka ni boleh disaman sampai beberapa juta sebenarnya.
Cuba kita tengok kluster Sivagangga – pemilik kedai yang jadi punca kluster tu dah disaman sebanyak RM1.5 juta oleh Persatuan Pengguna Kedah (CAKE).
"Tindakan undang-undang kluster Sivagangga melibatkan saman tindakan kelas lebih dari 100 penduduk dan pemilik perniagaan. Oleh itu, apabila terdapat sekumpulan besar dan anda mengambil kira kerugian kewangan yang dialami oleh mereka kerana dikuarantin, ia akan mencapai angka yang tinggi. " - Tanusha
CAKE juga nampaknya merancang nak mulakan kes sivil terhadap kilang tu tak lama lagi, dan kita buat masa ni perlu tunggu dulu apa keputusannya. Berdasarkan jumlah penduduk yang terjejas akibat terputus bekalan air yang dianggarkan mencecah 1.2 juta orang, kita mengharapkan nilai saman yang besar bagi menampung kos guaman yang tinggi.