Asklegal
Home banner 15285747 8590 4afe 9391 f23a234ee81c

Criminal

Apa itu prima facie dan macam mana perbicaraan jenayah berjalan di Malaysia?

about 5 years ago Azar Ishak

77

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Semua daripada kita mesti tahu secara amnya macam mana perbicaraan jenayah berjalan. Kita tahu yang pihak tertuduh akan ditanya di mahkamah sama ada dia mengaku bersalah atau tak. Kalau dia mengaku tak bersalah, maka perbicaraan pun bermula. Ini jugalah yang kita selalu nampak di media. Walaupun begitu, kalau korang ikuti perkembangan semasa pasal jurujual wanita yang dibebaskan dari tuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian 8 orang remaja baru-baru ni. Korang mungkin tertanya-tanya dan rasa keliru tentang macam mana perbicaraan ni berfungsi, kerana terma yang digunakan oleh mahkamah adalah:

“Majistret Siti Hajar Ali membebaskan... tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.” – Dipetik dari Berita Harian, 28 Oktober 2019. 

Jadi muncul juga persoalan. Kenapa tertuduh kena “dipanggil” untuk membela diri sedangkan dia memang dah ada dalam mahkamah? Bukan ke membela diri tu memang kita kena buat bila didakwa dengan apa-apa jenayah?

Tambahan lagi, apa dia kes prima facie ni? Bukan ke pihak pendakwa cuma kena buktikan kes terhadap tertuduh?

Untuk menjawab persoalan ni semua, jom kita ambil lihat satu per satu dulu – bila mana korang mengaku tak bersalah dan minta dibicarakan.

 

Perbicaraan dah berjalan… tapi tak seperti mana yang kita fikirkan

Imej dari Metro.

Tak ada keraguan lagi yang korang akan pilih untuk mengaku tak bersalah dan ambil peluang untuk mulakan perbicaraan. Tapi perbicaraan ni bukan bermula terus macam tu je, pihak pendakwa dan pembela pun taklah terus berdebat mempertahankan hujah masing-masing. Sebenarnya, ia lebih kepada sivil walaupun ia jenayah dan setiap perbicaraan jenayah akan ikut langkah yang dah ditetapkan. 

Bila korang menegaskan diri korang tak bersalah dan minta dibicarakan, inilah masanya kes pendakwaan bermula. Ia kemudianya diikuti dengan kes pembelaan jika pendakwa berjaya meyakinkan hakim bahawa adanya prima facie, bahawa korang bersalah. Selepas itu, kedua-dua kes pendakwaan dan pembelaan akan beralih pula ke penghakiman akhir di mana hakim akan memutuskan sama ada korang bersalah atau tak (dan hukuman yang disertakan, jika ada). Kami akan terangkan setiap peringkat perbicaraan mengikut turutannya. Dan perkara pertama adalah; apa dia kes pendakwaan ni? 

 

Ia di mana pihak pendakwaan kemukakan semua bukti mereka terhadap anda 

Imej dari Giphy.

Kes pendakwaan adalah apabila pendakwa raya mengambil tempatnya, bercakap dan mengemukakan kes pendakwaan terhadap korang sebagai tertuduh. Tugas mereka masa ni adalah untuk pastikan yang mereka ada semua bukti yang diperlukan untuk membuktikan setiap unsur kesalahan yang korang didakwa dengannya, bagi meyakinkan hakim bahawa adanya kes prima facie

Untuk buatkan korang lebih faham lagi, katakanlah yang korang dah didakwa di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh. Faktor kesalahan korang mudah je iaitu menyebabkan kematian orang lain dengan niat untuk menyebabkan kematian atau bahaya yang serius. Apa yang pihak pendakwa raya kena buat adalah, mereka kena buktikan yang seseorang tu mati dan koranglah yang menyebabkan kematiannya dengan niat untuk membunuhnya, atau paling kurang pun dengan niat untuk mendatangkan bahaya yang serius. Sebagai contoh:

Ali didakwa membunuh.

Pihak pendakwa mengemukakan kes mereka dan menunjukkan bukti seperti berikut:

Ali didapati bertengkar dengan si mati beberapa jam sebelum kejadian

Rakaman CCTV menunjukkan Ali meninggalkan kedai si mati dengan cara mencurigakan pada masa kematiannya

Hakim dapati wujudnya prima facie bersalah dan minta Ali untuk membela diri

Korang mesti tertanya-tanya, apa dia prima facie ni kan? Sebenarnya, prima facie bermaksud pada pandangan pertama (on its first appearance) dalam bahasa Latin. Dalam amalan undang-undang, apa yang membuktikan kes prima facie adalah apabila pihak pendakwa berjaya mengemukakan bukti bagi membuktikan wujudnya kesalahan itu, yang jika korang gagal menjelaskan sebabnya, ia akan menyebabkan korang didapati bersalah. Makanya, di sinilah kes pembelaan bermula. 

 

Kes pembelaan hanya akan bermula, kalau korang perlu membela diri

Imej dari Giphy.

Dalam perbicaraan jenayah, korang hanya dapat peluang untuk bercakap – sekiranya hakim buat keputusan yang pihak pendakwa berjaya buktikan kes prima facie terhadap korang. Kalau pendakwa gagal membuktikannya bahawa sejak awal lagi korang melakukan kesalahan itu, makanya hakim tak akan membenarkan korang masuk membela diri. Sebabnya, kalau gagal membuktikan prima facie, hakim mesti kena membebaskan korang. Dan inilah yang jadi dalam kes basikal lajak yang diceritakan awal tadi. 

Bagaimanapun, kalau hakim berpuas hati dengan pihak pendakwa dalam mewujudkan kes prima facie terhadap korang, maka korang akan diarahkan untuk membela diri. Ini jugalah yang berlaku dalam kes penuntut UPNM sebelum ini. Di akhir kes pendakwaan dalam kes pembunuhan itu, hakim mendapati bahawa, pihak pendakwa telah berjaya membuktikan tuduhan pembunuhan terhadap kesemua 18 orang tertuduh. Sebab itulah hakim arahkan mereka supaya membela diri dan dalam perbicaraan seterusnya, pasukan pembela 18 orang pelajar tu pula akan bentangkan hujah mereka. 

Dalam kes pembelaan, selalunya pihak pembela akan ketengahkan ruang-ruang kelemahan dalam kes pendakwaan, untuk mewujudkan keraguan munasabah. Keraguan munasabah ni penting dalam pembelaan, sebab di akhir nanti, untuk mensabitkan korang dengan jenayah, hakim mesti yakin, di luar keraguan munasabah, bahawa koranglah orang yang melakukan jenayah itu. Melihat kepada contoh kes Ali tadi, apa yang pembela mungkin akan buat adalah mencabar dakwaan bahawa Ali bertengkar dengan si mati dan dia meninggalkan kedai pada masa pembunuhan terjadi. Ini kerana, semua itu masih belum boleh membuktikan Ali sebagai orang yang membunuh si mati. 

Kes pembelaan akan ditutup – apabila hakim bersedia untuk memutuskan keputusan sama ada korang bersalah atau tidak. Kalau korang berjaya timbulkan keraguan menasabah, maka korang akan dibebaskan. Tapi, kalau korang gagal membuktikan keraguan munasabah, makanya…

 

Hukuman akan dijatuhkan

Imej dari Giphy.

Kalau pembelaan kes tak menimbulkan keraguan munasabah dalam fikiran hakim, ini bermakna kes prima facie pendakwaan berjaya dan korang gagal menjelaskan kenapa pihak pendakwaan ada bukti mengaitkan korang dengan setiap unsur jenayah. Ini adalah bahagian di mana hakim akan putuskan hukuman korang, seperti yang ditetapkan dalam prinsip hukuman, yang kami tak ceritakan dalam artikel ni.

Jadi itulah dia. Harapnya dengan artikel ni, korang fahamlah macam mana perbicaraan jenayah berjalan dan kenapa adanya arahan-arahan berbeza daripada hakim dalam pelbagai perbicaraan. Tapi apa yang pasti, hanya ada satu penghakiman akhir iaitu penghakiman sama ada korang bersalah atau tak dengan kesalahan jenayah yang disabitkan. Dan kalau korang nak tahu macam mana pula prosedur dari masa korang ditahan sehingga korang dihukum, kliklah sini

 

Tags:
kanun keseksaan
prima facie
perbicaraan jenayah
kes pendakwaan
kes pembelaan
prosedur mahkamah
basikal lajak
kes penunggang basikal johor

77

Shares

A+

A-