Asklegal
Home banner 15fd9ed8 0075 422e 821d 302160beeb01

Constitution,General

Pada 1947, Tanah Melayu hampir ada Perlembagaan yang berbeza dengan sekarang

over 5 years ago Azar Ishak

125

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Walaupun tak semua dari kita tahu Perlembagaan Persekutuan dengan terperinci, tapi sebagai rakyat Malaysia kita tahu tentang kepentingannya. Ini kerana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi di negara ni. Walaupun dah lebih 60 tahun Perlembagaan ni wujud, ia tetap kekal releven sampai hari ni, hinggakan Parlimen sendiri tak boleh luluskan undang-undang yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, kecuali untuk beberapa pengecualian.

[BACA LAGI: Where does Malaysia get its laws from?]

Pada hari ni, Perlembagaan Persekutuan adalah satu-satunya dokumen yang dirujuk untuk menjadi asas segala undang-undang dan hak-hak sebagai rakyat Malaysia. Tapi, korang tahu tak yang…

Kita hampir ada Perlembagaan yang cukup berbeza dengan sekarang?

Jangan terkejut sangat. 

Tapi, sebelum kita tengok perbezaan antara Perlembagaan tu dengan Perlembagaan Persekutuan yang ada sekarang, kita kena faham dulu latar belakang politik dan sosial lepas Penjajahan Jepun, dan apabila British kembali mentadbir Tanah Melayu.

 

Bila mana British masih mentadbir

Antara ahli PKMM, kelihatan Ahmad Boestamam (duduk kiri sekali).
Imej dari 10tahun.blogspot

"Keburukan orang British selama dia menjajah Tanah Melayu, dia mengaut harta benda dalam Tanah Melayu ini. Tanah Melayu masa itu penuh kaya dengan hasil.” – Zainuddin Andika, ahli PKMM.

Lepas tamatnya Perang Dunia Ke-2 pada 1945, kesan dari perang itu menyebabkan kebangkitan semangat inginkan kebebasan, dan kebencian rakyat terhadap British mula membuak. Propaganda pro-kemerdekaan mula menjadi bacaan masyarakat dan semangat tu semakin bertambah bila revolusi kemerdekaan Indonesia berjaya.

Dalam kerancakkan mengejar kemerdekaan, sebuah parti politik ditubuhkan iaitu – Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Tak lama lepas tu, satu lagi parti dibentuk yang dikenali sebagai Malayan Democratic Union (MDU) di Singapura (sebahagian dari Tanah Melayu masa tu). 

Dalam usaha British nak mengaut sumber Tanah Melayu untuk membiayai peperangan dan memulihkan negara tu lepas perang, British menjalankan dasar pecah dan perintah, bagi mengelak sebarang pemberontakan rakyat. Dengan sebahagian besar Eropah hancur akibat peperangan, British betul-betul nak pegang Tanah Melayu dan antara penyelesaian yang dicadangkan pada 1946 adalah untuk membentuk Malayan Union.

Seperti mana kita tahu, Malayan Union ni ditentang hebat oleh orang Melayu, sebab ia akan menghapuskan kuasa Raja-Raja Melayu, isu kerakyatan dan meneruskan pentadbiran British di Tanah Melayu. Hal ni membawa kepada protes besar-besaran dan pembentukan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR), atau lebih dikenali sebagai United Malays National Organisation (UMNO).

Gambar yang kita mesti pernah nampak dalam buku teks sejarah.
Imej dari Wikipedia.

Pada mulanya, PKMM berkerjasama dengan UMNO untuk menentang Malayan Union, tapi kemudiannya PKMM dan sekutunya mula bergerak secara berasingan dari UMNO. Ini kerana PKMM mahukan kemerdekaan penuh dan mereka menerima sokongan kuat daripada masyarakat tani dan golongan pekerja. 

Jadinya, British kena pilih dengan pihak mana mereka nak bekerjasama. Sebab, British tak nak konflik yang jadi dalam gerakan kemerdekaan Indonesia terjadi pula di Tanah Melayu. Oleh kerana sikap UMNO yang lebih mesra dengan British berbanding PKMM yang agak radikal, akhirnya British memilih UMNO untuk membincangkan tentang pemansuhan Malayan Union. 

Rundingan antara British dan UMNO akhirnya membawa kepada cadangan pembentukan Perlembagaan untuk Persekutuan Tanah Melayu menggantikan Malayan Union. Cadangan ini kemudiannya jadi Perlembagaan Persekutuan 1948, yang seterusnya digubal balik oleh Suruhanjaya Reid sampailah jadi Perlembagaan Persekutuan 1957 yang kita ada sampai ke hari ini. 

 

PKMM tak senang dengan Perlembagaan UMNO/British, jadi mereka buat yang lain

Imej dari 10 Tahun Sebelum Merdeka​​​​​. 

Walaupun kejayaan UMNO menamatkan Malayan Union disambut baik oleh sesetengah pihak, tapi masih ada yang tak rasa macam tu. 

“Sudah tentu kami menganjurkan satu penentangan... Ini satu lagi percubaan untuk mengembalikan gabenor penjajah, tetapi di bawah nama yang lain.” – Lim Kean Chye, pengasas bersama Malayan Democratic Union. 

Tak mahu adanya lagi Malayan Union 2.0, kumpulan ni bentuk satu barisan bersatu – merangkumi PKMM, MDU dan beberapa lagi kumpulan lain, yang diketuai oleh Tun Tan Cheng Lock (yang kemudiannya bentuk MCA). Dengan ni lahirlah Majlis Tindakan Bersama Seluruh Tanah Melayu atau All Malayan Council of Joint Action (AMCJA)satu pakatan politik dianggotai semua kaum, yang pertama di Malaysia

AMCJA lepas tu datang dengan cadangan perlembagaan mereka sendiri yang dikenali sebagai – Perlembagaan Rakyat Tanah Melayu (Perlembagaan Rakyat). Perlembagaan ini melindungi hak-hak rakyat seperti – pilihan raya, kebebasan bersuara dan berpersatuan, pentadbiran sendiri dan perpaduan kaum. AMCJA seterusnya buat keputusan untuk lancarkan ‘hartal’ (mogok/protes) pada 20 Oktober 1947, dan ia dapat sokongan besar-besaran dari rakyat. 

Imej dari Sejarah2u

British pun mula rasa kurang selesa dengan tindakan AMCJA ni, jadi mereka luluskan Ordinan Pertubuhan dan gunakan Pendaftar Pertubuhan untuk mengharamkan dan melumpuhkan ahli-ahli AMCJA. Dan tindakan tu menjadi tanda berakhirnya AMCJA dan Perlembagaan Rakyat. Makanya, UMNO dan sekutunya terus memperjuangkan kemerdekaan pada tahun 1950-an dan akhirnya pada 1957, kita pun diisytiharkan merdeka. 

Tapi mesti ada di antara korang yang nak tahu pasal apa yang AMCJA ni perjuangkan kan? Kami tak dapat la tulis panjang lebar dekat sini, tapi korang boleh tonton dokumentari – “10 Tahun Sebelum Merdekakarya Fahmi Reza. Dalam dokumentari tu ada cerita pasal AMCJA dan Perlembagaan Rakyat. 

Dan soalan yang timbul adalah…

 

Apa bezanya antara cadangan AMCJA dengan Perlembagaan Persekutuan?

Cadangan Perlembagaan Rakyat. Imej dari SlideShare.

Walaupun kami buat perbandingan antara cadangan AMCJA dan Perlembagan Persekutuan, perbandingan ni bukan nak kata mana yang lebih baik. Ini kerana, cadangan Perlembagaan Rakyat Tanah Melayu (Perlembagaan Rakyat) mewakili senario ideologi yang tak pernah direalisasikan. Manakala, Perlembagaan Persekutuan adalah hasil rundingan dan kompromi antara mereka yang terlibat dengan British (termasuk juga pindaan-pindaan yang dibuat selepas itu). 

Cukuplah nak kata yang kami lihat hal ni dari segi sejarah, sebab kita sendiri tak tahu apa versi Perlembagaan Rakyat yang akan diterima pakai (atau apa yang akan jadi) kalau ia diterima dulu. 

SINGAPURA

Perlembagaan Persekutuan

Dah tentu kita tahu apa yang jadi pada Singapura dalam Perlembagaan Persekutuan. Asalnya, tak ada Singapura atau Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan Persekutuan. Tapi, Akta Malaysia 1963 dah buat perubahan penting dalam Perlembagan Persekutuan, bila mana Singapura, Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia. Tapi bila Singapura disingkirkan, Perlembagaan diubah sekali lagi, dengan Akta 59/1966 yang memansuhkan Singapura sebagai negeri dalam Perlembagaan (lihat Artikel 1 Perlembagaan Persekutuan). 

Perlembagaan Rakyat

Seksyen 1 dalam Perlembagaan Rakyat menyatakan Singapura sebagai sebahagian dari Persekutuan Tanah Melayu, dengan AMCJA berhujah tak ada sebab untuk mengecualikan Singapura dan dari segi sejarah, Singapura sangat dekat dengan Tanah Melayu. 

TERMA MELAYU

Perlembagaan Persekutuan

Artikel 160(2) Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan terma “Melayu” sebagai seseorang yang beragama Islam, berbahasa Melayu secara lazim dan menurut adat Melayu. Ia nampak mudah difahami dalam konteks moden hari ini. 

Perlembagaan Rakyat

Perlembagaan Rakyat menggunakan istilah Melayu untuk semua warganegaranya. AMCJA dibentuk dengan percampuran kaum dan agama, dan tak mentakrifkan terma ‘Melayu’ seperti mana hari ini. Seksyen 2 dari Perlembagaan Rakyat mengatakan setiap warganegara Tanah Melayu dipanggil sebagai ‘Melayu’. Perlembagaan Rakyat juga ada postscript yang kata terma ‘Melayu’ sebagai warganegara tak ada sebarang implikasi agama. 

Imej dari 10 Tahun Sebelum Merdeka
KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU

Perlembagan Persekutuan

Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan menyatakan tentang ‘kedudukan istimewa’ orang Melayu. Ia menyediakan tindakan afirmatif untuk orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, seperti yang dinyatakan: “Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak”. 

Ia juga digunakan dalam memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971 selepas berlakunya peristiwa hitam 13 Mei 1969. Hal ini sebenarnya agak kompleks sikit dan korang mungkin boleh klik sini untuk baca. 

Perlembagaan Rakyat

Walaupun tak ada kedudukan istimewa seperti dalam Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan Rakyat melindungi agama Islam dan adat istiadat Melayu seperti mana yang termaktub dalam Seksyen 29. Ia menyatakan, hanya terdapat majlis dan persatuan Melayu dan Islam sahaja yang akan ditubuhkan untuk menjaga serta mencadangkan sebarang perkara berkaitan hal ehwal orang Melayu/Islam kepada Parlimen. 

Lebih menarik, Perlembagaan Rakyat juga menyatakan tentang pembentukan “Majlis Kaum” yang berperanan mencegah diskriminasi dan menggalakkan perpaduan kaum. Selain itu, majlis itu juga akan menganalisis setiap Rang Undang-Undang yang diluluskan di Parlimen bagi memastikan ia adil untuk semua kaum. Majlis ini juga dipisahkan dari Parlimen untuk mengelakkannya dari berat sebelah, dan ahli-ahlinya terdiri daripada semua kumpulan etnik utama termasuk Eropah, Arab, Yahudi dan Orang Asli. 

HAK DAN KEBEBASAN RAKYAT

Perlembagaan Persekutuan

Artikel 5 – 13 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak-hak berikut:

  • Hak untuk hidup, bebas, pendidikan, harta dan kesamarataan,
  • Tiada perhambaan atau undang-undang retrospektif,
  • Kebebasan berpersatuan, bersuara, berhimpun dan beragama.

Bagaimanapun, kebebasan ni datang dengan beberapa pengecualian. Sebagai contoh, Akta Perhimpunan Aman menetapkan beberapa syarat supaya sesuatu perhimpunan itu sah di sisi undang-undang. Ada juga Akta Hasutan 1948 yang boleh digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara. Selain tu, Perlembagaan juga memasukkan peruntukan yang boleh menyekat kebebasan peribadi dalam situasi tertentu, seperti Artikel 149 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan Parlimen untuk melanggar kebebasan asas yang dijanjikan dalam Perlembagaan semasa menghadapi krisis nasional. Contohnya adalah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dah dimansuhkan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas).

Perlembagaan Rakyat

Andai kata Perlembagaan Rakyat kekal dan tak diubah dari cadangan asal, skop kebebasan asasi adalah lebih luas. Seksyen 6 – 18 Perlembagaan Rakyat menjamin hak peluang yang sama, kesaksamaan di sisi undang-undang, kesaksamaan jantina, kebebasan bersuara, penerbitan, berhimpun, agama dan pergerakan. Serta jaminan perbicaraan yang adil, hak kepada harta, gaji minimum, penjagaan di usia tua, hak untuk beriadah, untuk mendapat pendidikan, bercuti untuk semua pekerja, hak untuk membantah dan hak petisyen kepada Majlis Kaum untuk mendapatkan bantuan.

 Dalam Perlembagaan Rakyat, semua kebebasan asasi ini diberi tanpa syarat.

Tulisan Ahmad Boestamam. Imej dari arie-widodo.blogspot
KUASA PERSEKUTUAN

Perlembagaan Persekutuan

Perlembagaan Persekutuan menetapkan garis panduan untuk kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Parlimen ditugaskan untuk menggubal undang-undang berkaitan dengan ‘persekutuan’ (bajet, pelancongan dan sebagainya), manakala Dewan Undangan Negeri pula menggubal undang-undang ‘negeri’ (tanah, cuti negeri dan sebagainya). Kedua-dua dewan ini ada pemimpinnya, iaitu PM bagi persekutuan dan MB bagi negeri. Mereka juga ada barisan kabinet masing-masing. Terdapat juga isu 'bersama' (utiliti, penjagaan kesihatan, dan sebagainya) yang diputuskan oleh kedua-dua dewan (persekutuan dan negeri). Tapi, Perkara 75 menyatakan jika terdapat percanggahan pendapat, keputusan persekutuan mengatasi negeri.

Perlembagaan Rakyat 

Dalam Perlembagaan Rakyat, kerajaan Persekutuan diberikan lebih kuasa, jika dibandingkan dengan Perlembagaan Persekutuan. Parlimen dalam versi ni akan ada seorang Ahli Parlimen untuk setiap 45,000 warganegara. Tapi kita kena ingat, tahun 1947 tu Tanah Melayu cuma ada 5 juta penduduk saja, berbanding dengan 31 juta penduduk sekarang. Kalau diikutkan versi ni, hari ni kita akan ada lebih 600 orang Ahli Parlimen di Malaysia  (dibandingkan dengan 222 kerusi sekarang). 

Perlembagaan ini tak sebut langsung tentang dewan undangan negeri, jadi mungkin ia mengikut sistem satu parlimen seperti yang ada di Britain, dan tak ada kerajaan negeri. Parlimen akan memilih Perdana Menteri dan ahli kabinetnya, yang dipanggil sebagai Majlis Persekutuan. 

 

Sama ada AMCJA atau UMNO, apa yang penting adalah…

Illustrasi penunjuk perasaan bersama bendera PKMM.
Imej dari Fahmi Reza

Kita akhirnya berjaya kecapi kemerdekaan.

Apa yang kita kena tahu dan ingat baik-baik adalah, walaupun kedua-dua pihak berbeza pandangan – masing-masing mahu membebaskan negara ini dari penjajah, dan mencari halatuju yang terbaik untuk rakyat. Dan kedua-dua pihak bermula di tempat yang sama, dengan merangka undang-undang asasi untuk negara ini

Dan kami tak bergurau bila kami kata yang undang-undang tu sendiri dah meresap masuk dalam semua aspek kehidupan kita.

Sekali lagi, apa yang ditulis ni bukanlah nak kata idea mana yang lebih baik atau tak baik. Tapi ambillah ia sebagai coretan menarik sejarah Malaysia yang tak selalu diperbincangkan. Zaman akan terus berubah, tapi sejarah tak akan berubah dan akan kekal sebagai pedoman dan tauladan

 

Tags:
umno
perlembagaan rakyat
pkmm
amcja
suruhanjaya reid
merdeka
perlembagaan persekutuan
tanah melayu
malayan union
malaya

125

Shares

A+

A-