Asklegal
Home banner e8cfb88e 6e2c 432c acbd 63992081b71e

Constitution,Family

Ini sebab kerajaan Malaysia tidak boleh mengubah undang-undang perkahwinan bawah umur

over 5 years ago Clarence Kuna

29

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


This article was translated from English and you can read the English version here

 

Isu perkahwinan bawah umur sedang hangat dibicarakan oleh rakyat Malaysia sejak ianya menjadi perhatian umum apabila laporan mengenai seorang warga Malaysia yang berkahwin dengan seorang kanak-kanak warga Thai berumur 11 tahun di Selatan Thailand tersebar luas. Ini disusuli pula dengan berita mengenai perkahwinan yang melibatkan seorang kanak-kanak berumur 15 tahun di Kelantan.

Golongan ‘netizen’ pula menunjukkan rasa tidak puas hati apabila TPM Wan  Azizah mengatakan bahawa kerajaan persekutuan tidak memiliki sebarang kuasa untuk campur tangan dalam hal perkahwinan bawah umur, di mana kenyataannya dipetik seperti mana di bawah:

"Mereka telah berkahwin dengan izin Mahkamah Syariah, jadi kita perlu mematuhinya kerana ia mengikut peraturan negeri," TPM Wan Azizah, dipetik dan diterjemah dari The Malay Mail, 18 September 2018

Mungkin anda kini berasa berang dan merasakan bahawa semua ini tidak masuk akal kerana maklumlah, mereka kan kerajaan, mereka boleh buat perubahan, mereka boleh menggubal undang-undang. Sabar sejenak ya, kerana banyak lagi yang perlu kita bicarakan mengenai hal ini.

Sebelum itu, harus kita tekankan di sini bahawa kedua-dua kes kahwin bawah umur ini adalah berlainan kerana salah satunya melibatkan kanak-kanak warga Malaysia yang berkahwin di Kelantan dengan izin hakim Mahkamah Syariah manakala kes yang satu lagi melibatkan kanak-kanak warga Thai yang berkahwin di Thailand.

Maka artikel ini akan memberi tumpuan kepada kes perkahwinan bawah umur yang berlaku di Kelantan kerana ianya tertakluk di bawah undang-undang Malaysia.

Soalan pertama di sini adalah.....

 

Siapa yang membuat keputusan berkenaan perkahwinan bawah umur?

Gambar dari The Malay Mail

Kita pernah menulis artikel yang menjawab soalan – adakah perkahwinan bawah umur sah di sisi undang-undang dan anda boleh bacanya di sini. Menurut Akta Umur Majoriti 1971, seorang kanak-kanak didefinisikan sebagai individu yang berumur kurang dari 18 tahun.

Oleh itu, dengan simpulnya, perkahwinan bawah umur di Malaysia adalah sah namun begitu kanak-kanak ini bukan semestinya semuda seperti yang anda tengah fikirkan. Ia harus juga dijelaskan di sini bahawa perkahwinan bukan Muslim adalah di bawah perundangan undang-undang sivil manakala perkahwinan Muslim adalah di bawah undang-undang Syariah.

Bukan Muslim – 16 tahun dan ke atas (dengan kebenaran)

Untuk perkahwinan bukan Muslim, ianya tertakluk di bawah undang-undang sivil iaitu Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

Undang-undang ini menyarankan bahawa mana-mana perkahwinan di antara dan dengan individu berumur kurang dari 18 tahun adalah tidak sah. Namun, wanita yang berumur di antara 16 dan 18 tahun boleh berkahwin jika Ketua Menteri memberi kebenaran.

Secara ringkasnya, ia bermaksud bahawa wanita berumur di antara 16 dan 18 tahun boleh berkahwin dengan kebenaran Ketua Menteri. Ini bermakna umur minimum untuk perkahwinan bukan Muslim adalah 16 tahun.

Muslim – akil baligh dan ke atas (dengan kebenaran)

Umat Muslim pula adalah tertakluk di bawah undang-undang Syariah negeri. Ini bermakna mereka tertakluk kepada undang-undang Syariah yang berlainan, bergantung kepada negeri di mana mereka menginap, manakala warga bukan Muslim pula tertakluk kepada satu undang-undang yang sama di seluruh Malaysia.

Sebagai contoh, undang-undang Syariah untuk Wilayah Persekutuan terkandung dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, manakala Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 adalah untuk negeri Pulau Pinang, Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam 1985 adalah untuk negeri Terengganu dan seterusnya untuk semua negeri-negeri lain.

Namun begitu, setiap negeri mempunyai had umur yang sama untuk berkahwin:

  • Lelaki boleh berkahwin jika mereka berumur 18 tahun dan ke atas

  • Wanita boleh berkahwin jika mereka berumur 16 tahun dan ke atas

Perkahwinan dengan and antara umat Muslim yang dibawah umur-umur yang tertera di atas adalah sah sekiranya individu tersebut mempunyai tanda-tanda fizikal akil baligh dan perkahwinan tersebut dibenarkan oleh hakim Mahkamah Syariah. 

Secara ringkasnya, ia bermaksud bahwa lelaki di bawah umur 18 tahun dan wanita di bawah umur 16 tahun boleh berkahwin dengan kebenaran hakim Mahkamah Syariah. Ini bermakna tiada umur minimum untuk perkahwinan bagi umat Muslim.

Kenapa kerajaan tidak boleh menukar undang-undang?

Menurut pandangan umum, jika undang-undang digubal oleh kerajaan, maka mereka boleh menukarnya seperti mana pertukaran dibuat dari GST kepada tiada GST kepada SST.

Jadi mengapa TPM Wan Azizah mengatakan bahawa kerajaan tidak boleh campur tangan?

 

Perlembagaan Persekutuan menjadi halangan

Persidangan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu di London, 1956. Gambar dari what-when-how.com

Ini tidak bermaksud bahawa Perlembagaan Persekutuan membenarkan perkahwinan bawah umur.

Sebelum kita berbincang dengan lebih mendalam, harus kita faham bahawa kita mungkin menganggap bahawa kerajaan merupakan satu entiti sulung, namun secara teknikalnya kerajaan Malaysia terbahagi kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri masing-masing.

Kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri boleh menggubal undang-undang. Kerajaan Persekutuan menggubal undang-undang untuk seluruh Malaysia dan semua negeri secara amnya mematuhi undang-undang ini. Jika Kerajaan Negeri  menggubal undang-undang yang bercanggah  dengan undang-undang Persekutuan, maka undang-undang Negeri adalah tidak sah.

Akan tetapi ada sesetengah perkara di mana Kerajaan Negeri diberi kuasa untuk menggubal undang-undang berkaitan perkara tersebut, dan ini tidak boleh dikawal oleh Kerajaan Persekutuan. Sebagai contoh, Kerajaan Negeri Perak mungkin boleh mengharamkan Upin dan Ipin tetapi Kerajaan Negeri Selangor mungkin boleh membenarkannya; dan tiada undang-undang Persekutuan wujud untuk ini (setahu kita la).

Satu lagi contoh yang lebih praktikal adalah dengan cara Kerajaan Negeri Selangor memberi subsidi air kepada Selangor tetapi inisiatif ini tidak dilakukan di negeri-negeri lain.

Untuk memahami bagian undang-undang ini, mari kita lihat Bahagian VI Perlembagaan Persekutuan yang berbincang tentang pembahagian kuasa undang-undang dan seterusnya kita akan beri tumpuan kepada Artikel 74:

“Hal Perkara undang-undang persekutuan dan Negeri

74. (1) Tanpa menjejaskan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepadanya oleh mana-mana Perkara lain, Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Persekutuan atau Senarai Bersama (iaitu Senarai Pertama atau Ketiga yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan).

(2) Tanpa menjejaskan apa-apa kuasa untuk membuat undang undang yang diberikan kepadanya oleh mana-mana Perkara lain, Badan Perundangan sesuatu Negeri boleh membuat undang undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri (iaitu Senarai Kedua yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan) atau Senarai Bersama.”

Artikel 74 mengatakan bahawa Parlimen (yang di bawah Kerajaan Persekutuan) boleh menggubal undang-undang untuk semua perkara yang tersenarai di bawah Senarai Pertama dan Kelima Jadual Sembilan manakala Kerajaan Negeri boleh menggubal undang-undang yang tersenarai di bawah Senarai Kedua Jadual Sembilan. Jadi mari kita lihat pula Jadual Sembilan.

 

Sesetengah perkara adalah untuk keputusan Kerajaan Negeri sahaja

Senarai di bawah Jadual Sembilan adalah panjang lebar untuk kita bincangkan di sini jadi rumusannya (berserta dengan contoh gambar rajah) adalah:

  • Kerajaan Persekutuan – menggubal undang-undang berkenaan pertahanan negara, kewarganegaraan, pelancongan dan sebagainya. Umumnya, semua perkara utama yang memberi kesan kepada seluruh warga Malaysia.

  • Kerajaan Negeri – menggubal undang-undang berkenaan hak milik tanah, hal ehwal Islam seperti perkahwinan, zakat dan sebagainya. Umumnya, semua perkara yang berlainan, bergantung kepada negeri.

Bagaimana ia berfungsi. Gambar dari commons.wikimedia.org

Kepada semua pembaca yang peka, anda mungkin perasan bahawa hal ehwal Islam yang berkaitan dengan perkahwinan terletak di bawah kuasa Negeri dan ini bermakna setiap negeri diberi kuasa untuk menggubal undang-undang yang mentadbir perkahwinan umat Muslim. ASKLEGAL bertemu dengan Fahri Azzat, seorang peguam Syariah yang  mengesahkannya:

“Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Kerajaan Persekutuan memiliki bidang kuasa khusus untuk menggubal undang-undang untuk sesetengah perkara, begitu juga dengan Kerajaan Negeri. Ada juga perkara di mana kedua-dua kerajaan boleh mengawalnya. Walau bagaimanapun, bila ianya berkaitan dengan perkara yang berhubung dengan hal ehwal Islam – keluarga, undang-undang peribadi dan sebagainya – ianya merupakan hak Kerajaan Negeri dan bukannya Kerajaan Persekutuan, untuk menggubal undang-undangnya.” – Fahri Azzat, peguam Syariah, melalui temu ramah dengan ASKLEGAL (penekanan diberikan)

Apabila dipendekkan ceritanya mengenai pengagihan kuasa perundangan dan semua yang berkaitan – Parlimen (Kerajaan Persekutuan) tidak boleh menggubal undang-undang yang di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri kerana Perlembagaan memberi peruntukan tersebut dan Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang paling tinggi di Malaysia.

Dengan itu, undang-undang Islam terletak di bawah kuasa Negeri, di mana jika Parlimen menggubal undang-undang yang tidak membenarkan perkahwinan bawah umur, ini mungkin akan bercanggah dengan Perlembagaan dan mengakibatkan konflik. Fahri menjelaskannya seperti di bawah:

“Parlimen tidak boleh menggubal undang-undang yang di bawah kuasa khusus Negeri.  Ini hanya boleh dilakukan oleh Kerajaan Negeri.

Kerajaan Persekutuan boleh menggubal undang-undang yang tidak membenarkan perkahwinan bawah umur tetapi ini mungkin akan bercanggah dengan perlembagaan. Mereka hanya boleh menggubal undang-undang sedemikian untuk kawasan-kawasan Wilayah Persekutuan – iaitu Putrajaya, KL dan Labuan. Maka dengan itu undang-undang boleh digubal dan perkahwinan bawah umur boleh diharamkan di kawasan-kawasan Wilayah Persekutuan.”

Sebab itulah kenyataan TPM Wan Azizah yang menyebut bahawa rakyat harus mengikut undang-undang dan peraturan Negeri adalah benar; isu perkahwinan bawah umur ini mempunyai banyak pertimbangan yang bertindih di antara satu sama lain.

Adakah ianya kesudahan bagi isu ini? Tidak sama sekali, kerana.....

 

Beberapa Kerajaan Negeri sedang mengkaji semula undang-undang mereka

Sultan Selangor telah mengumumkan bahawa baginda menyokong usul untuk meningkatkan had usia perkahwinan untuk umat Muslim kepada 18 tahun. Ini adalah penting kerana Sultan merupakan ketua agama Islam di negeri jajahan mereka dan sokongan mereka akan memastikan bahawa perbincangan mengenai usul ini akan diteruskan dan seterusnya berpotensi untuk mengubah undang-undang di negeri tersebut.

Selain dari Selangor, Kerajaan Negeri Serawak juga ingin mengkaji semula undang-undang mereka untuk mengelakkan perkahwinan bawah umur. Sebaliknya, Kerajaan Negeri Sabah pula mencadangkan penurunan umur perkahwinan kepada 14 tahun untuk mengutamakan pandangan Islam terhadap perkahwinan bawah umur.

Kerajaan Persekutuan sedang berusaha dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Menteri Besar setiap negeri untuk memberi cadangan dan mendapatkan sokongan dalam meningkatkan usia perkahwinan untuk umat Muslim.

Satu perkara baik yang bangkit di tengah-tengah kontroversi isu perkahwinan bawah umur yang dilaporkan baru-baru ini adalah ianya memaksa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk mengkaji semula dan mengambil kira pendapat umum mengenai perkara ini. Pengalaman lalu telah mengajar kita bahawa undang-undang berubah mengikut peredaran zaman dan pendapat semasa. Contoh terbaik adalah dengan pengharaman penggunaan straw plastik yang akan dilaksanakan hasil dari sentimen awam.

Walau bagaimanapun, seperti yang dinyatakan oleh TPM Wan Azizah, dan seperti yang kita sudah sedia maklum, isu ini bukannya satu isu yang mempunyai penyelesaian mudah.

Tags:
perkahwinan bawah umur
tpm wan azizah
perlembagaan negara
undang-undang syariah
Abb3569d 1a37 409d ae68 577ef094832e
Clarence Kuna

clarencekuna@gmail.com


29

Shares

A+

A-