Criminal,General
Bolehkah PDRM menjalankan pemeriksaan tubuh ke atas anda tanpa waran?
over 6 years ago Clarence KunaCuba bayangkan senario berikut – anda memandu bersama kawan-kawan anda, mencari kelibat McNuggets di tengah malam buta. Tiba-tiba, kelihatan lampu biru berkelip di hadapan anda. Rupa-rupanya ada sekatan jalan polis dan anda mulalah memperlahankan kenderaan anda. Anda (dengan muka selamba) berharap yang abang polis akan melambai anda untuk meneruskan perjalanan tetapi sebaliknya dia mengisyaratkan anda berhenti di tepi jalan. Apa lagi, dengan rasa terperanjat bercampur gelisah anda menurut isyaratnya dan mula menurunkan cermin sisi kereta.
Polis kemudiannya mengarah anda dan kawan-kawan anda turun dari kenderaan. Kepala otak anda mula bercelaru dan anda dengan rasa teragak-agak bertanya kenapa. Pihak polis menjawab yang mereka ingin melakukan pemeriksaan tubuh ke atas anda dan kawan-kawan anda.
Di sini timbulnya 4 soalan yang lazim ditanya berkenaan pemeriksaan tubuh:
- Bolehkan pihak PDM berbuat demikian?
- Teman wanita anda ada bersama-sama anda di dalam kereta, bolehkah pegawai polis lelaki menjalankan pemeriksaan tubuh ke atasnya?
- Bolehkan pihak PDRM menjalankan pemeriksaan tubuh di tempat di mana anda ditahan.
- Adakan waran diperlukan?
Kita lihat satu perkara penting dahulu....
Pihak PDRM memang boleh menjalankan pemeriksaan tubuh
Di bawah Seksyen 20 Kanun Tatacara Jenayah (Tiada versi BM rasmi), pihak polis boleh melakukan pemeriksaan tubuh apabila anda ditahan. Anda mungkin terfikir – bagaimana pemeriksaan dilakukan di sekatan jalan raya walaupun anda tidak ditahan?
Sebenarnya, jika dilihat secara teknikal, sebaik sahaja pegawai polis memegang ataupun mengurung anda, tahanan telah dibuat oleh mereka. Anda boleh membaca prosedur membuat tahanan di sini tetapi ini boleh juga diterangkan melalui contoh di bawah:
Ali diisyaratkan untuk berhenti di tepi jalan semasa sekatan jalan raya polis
Ali diarah untuk keluar dari kenderaan dan polis melakukan pemeriksaan tubuh ke atasnya
Dalam masa itu, Ali berada di bawah tahanan polis dan tidak boleh melarikan diri
Selain itu, jika anda berada di lingkungan kawasan yang sedang digeledah di bawah waran geledah polis, mereka boleh melakukan pemeriksaan tubuh ke atas anda jika mereka mengesyaki anda menyembunyikan barang yang mereka cari. Ini terlingkung di bawah seksyen 17 yang membolehkan pihak polis menahan anda sehingga siasatan mereka selesai.
Mungkin konsep ini sukar difahami kerana ia bergantung kepada banyak unsur teknikal dan siasatan dan penahanan berlaku pada masa yang sama, tetapi rumusannya, pihak PDRM boleh menjalankan pemeriksaan tubuh. Seksyen 17 dan 20 hanya menyatakan bahawa polis boleh menjalankan pemeriksaan tubuh, namun tatacara pengendalian pemeriksaan tubuh digariskan di bawah Jadual Keempat Kanun Tatacara Jenayah.
Walaupun PDRM tidak memerlukan waran untuk menjalankan pemeriksaan tubuh ke atas anda, pemeriksaan yang lebih dari pemeriksaan pakaian luaran (pat down search) harus mendapat kebenaran dari pegawai polis berpangkat tinggi. Ini akan diterangkan dengan lebih lanjut di bawah.
Selain dari proses penahanan yang perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum pemeriksaan boleh dibuat, Jadual Keempat juga menggariskan beberapa panduan tambahan....
Pemeriksaan harus dilakukan berasaskan matlamat tertentu
Bahagian 1 Jadual Keempat menerangkan bahawa pemeriksaan badan hanya boleh dilakukan jika ia tertakluk di bawah mana-mana matlamat yang berikut:
- Untuk mendapatkan bukti kesalahan yang mengakibatkan penahanan anda
- Untuk merampas barangan larangan ataupun barangan yang berkaitan dengan sebab anda ditahan
- Untuk memantau/membuktikan/mengelakkan pelupusan bukti berkaitan
Selain dari matlamat di atas, Bahagian 2 Jadual Keempat juga menggariskan tingkah laku am pegawai semasa menjalankan pemeriksaan tubuh. Ada 9 tingkah laku am yang harus dipatuhi (anda boleh rujuk tingkah laku ini dengan sendiri) tetapi rumusannya pegawai polis harus melakukannya dengan cara profesional dan menitikberatkan maruah anda, terutamanya kesensitifan agama, budaya dan ciri-ciri fizikal, psikologi, kesihatan dan mental.
Seksyen 19(2) KPJ juga menggariskan bahawa jika seorang wanita terlibat, pemeriksaan tubuh mesti dilakukan oleh pegawai polis wanita dengan menitikberatkan kesopanan.
Walaupun kesemua yang diterangkan di atas nampak normal, harus kita ingat bahawa...
Ada 4 jenis pemeriksaan tubuh yang boleh dilakukan oleh pihak polis
Ini boleh dilihat dari segi pemeriksaan kategori biasa, sederhana, pakar dan tahap gaban kerana keperincian pemeriksaan yang terlibat di setiap tahap. Mari kita lihat setiap tahap pemeriksaan dan peraturan tambahan yang terlibat dalam setiap pemeriksaan ini.
Ada beberapa tatacara am yang dikongsi oleh kesemua 4 jenis pemeriksaan. Salah satunya adalah selepas setiap pemeriksaan, pegawai polis mesti menyediakan senarai barang-barang yang diambil dari anda semasa pemeriksaan dibuat, dan anda harus menandatangani dan menerima satu salinan senarai tersebut.
Di samping itu, pemeriksaan ini boleh dilakukan jika anda disyaki menyembunyikan senjata/bukti/barang larangan semasa tahanan dibuat ataupun sebelum memasuki lokap/pusat tahanan.
Kita mungkin paling arif dengan pemeriksaan pakaian luaran (pat down search), di mana pegawai polis memeriksa badan anda yang dalam keadaan berpakaian dengan menepuk badan dari atas ke bawah. Ini tidak memerlukan apa-apa jenis kebenaran dan mana-mana pegawai boleh melakukan pemeriksaan ini.
Ada 12 tatacara yang harus dituruti oleh pegawai polis semasa melakukan pemeriksaan ini dan yang menariknya adalah:
- Pegawai polis tidak boleh menyentuh bahagian sulit anda tetapi boleh melarikan tangan mereka di atas punggung dan di bawah bahagian buah dada
- Pegawai polis harus bertanya jika anda mempunyai barang-barang yang boleh mencederakan pegawai itu sebelum pemeriksaan dimulakan
- Pegawai polis harus meminta anda mengeluarkan barang peribadi daripada poket dan meletakkannya di tempat yang boleh dilihat oleh pegawai berkenaan
Pemeriksaan tanpa pakaian melibatkan penanggalan sebahagian ataupun kesemua pakaian semasa pemeriksaan, namun anda tidak boleh bertelanjang bulat sepanjang pemeriksaan jenis ini. Pegawai polis mesti membenarkan anda mengenakan pakaian di bahagian atas badan sebelum memulakan pemeriksaan di bahagian bawah badan.
Pemeriksaan ini tidak boleh dilakukan tanpa kebenaran pegawai yang berpangkat lebih tinggi dari Inspektor. Dalam kes pemeriksaan tanpa pakaian oleh agensi penguatkuasaan yang lain pula, ini memerlukan kebenaran dari pegawai yang berpangkat Inspektor dan ke atas.
Ada 14 tatacara yang harus dituruti oleh pegawai polis semasa melakukan pemeriksaan ini dan yang menariknya adalah:
- Pemeriksaan mesti dilakukan di dalam bilik berasingan yang tidak mengandungi apa-apa jenis alat rakaman. Hanya anda dan dua anggota polis yang dibenarkan di dalam bilik ini
- Pakaian yang ditanggalkan mesti diperiksa secara menyeluruh di hadapan anda
- Jika anda seorang wanita, kebenaran harus diberi oleh anda jika pegawai polis ingin mengangkat dan menjarakkan buah dada anda untuk pemeriksaan dari semua bahagian. Jika tubuh anda bersaiz besar, kebenaran harus diberi oleh anda jika pegawai polis ingin mengangkat lipatan kulit anda untuk pemeriksaan
- Sentuhan yang minimal harus diberi terhadap bahagian sulit badan anda.
Pemeriksaan dalaman pula melibatkan bahagian dalaman badan (selain dari mulut, hidung dan telinga). Lebih tepat lagi, ia melibatkan bahagian...em...dubur dan rongga faraj (vaginal cavities). Untuk pemeriksaan ini, peraturan yang sama seperti tidak boleh bertelanjang bulat dan kebenaran dari pegawai berpangkat sekurang-kurangnya Penolong Penguasa Polis (ASP) diperlukan.
Aspek yang penting di sini adalah kaedah batuk dan mencangkung, di mana pegawai polis akan mengarahkan anda menanggalkan pakaian di bahagian bawah tubuh anda dan mencangkung di atas cermin, dan batuk dengan mendalam tidak lebih dari 10 kali. Ini bertujuan untuk mengesan apa-apa barangan yang disembunyikan di dalam lubang dubur/rongga faraj dan kaedah mencangkung dan batuk ini akan mengeluarkan barangan ini.
Jika ada barangan asing terkeluar semasa kaedah ini digunakan, pegawai polis tidak boleh dengan apa cara lain sekalipun mengeluarkan objek ini sepenuhnya. Pendek kata, mereka tidak boleh menarik keluar objek ini.
Dan jika pegawai polis berasa bahawa anda tidak boleh mencangkung atas sebab kesihatan atau jika anda mengandung, anda tidak perlu mencangkung. Selain dari garis panduan tambahan ini, garis panduan yang tertera untuk pemeriksaan tanpa pakaian harus dituruti di sini.
Pemeriksaan dalaman merupakan pemeriksaan untuk mengesan objek yang tersembunyi di dalam badan. Bezanya dengan pemeriksaan sulit adalah sebarang barang yang dijumpai boleh diambil terus dari badan anda.
Ini hanya boleh dilakukan dengan kebenaran dari Ketua Polis Daerah (OCPD) ataupun pegawai yang bersamaan pangkat jika pemeriksaan dilakukan oleh agensi penguatkuasaan yang lain dan pemeriksaan ini hanya boleh dilakukan di hospital oleh seorang Pegawai Perubatan atau Pegawai Perubatan Kerajaan. Seorang pegawai polis yang sama jantina dengan anda akan turut bersama dalam pemeriksaan ini untuk tujuan mengambil sebarang objek yang ditemui di dalam badan anda.
Inilah 4 jenis pemeriksaan badan yang boleh dilakukan ke atas anda. Jika anda rasa sukar untuk mengingati kesemua tatacara dan garis panduan ini, satu perkara penting yang boleh membantu anda adalah....
Buku Merah, buku maha sakti!
Badan Peguam Malaysia telah mengeluarkan satu buku panduan dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang mudah difahami untuk membantu anda mempertahankan hak asas anda jika anda ditahan oleh polis. Anda boleh muat turun buku tersebut di sini. Selain itu jika anda perlukan bantuan guaman tetapi tidak mampu berbuat demikian, Malaysia menawarkan tiga jenis bantuan yang berlainan kepada anda. Sila baca mengenainya di sini.
Akhir kata, bertenang jika anda ditahan oleh pihak polis dan pertahankan hak anda dengan penuh sopan santun tetapi tegas.
clarencekuna@gmail.com