Asklegal
Home banner ce0d57f6 f815 4302 bf7d 3efb4702830b

Criminal,General

Kalau ditahan polis, betul ke kita ada hak untuk berdiam diri?

about 4 years ago Azar Ishak

211

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Cuba bayangkan senario ni: masa korang tengah makan dengan kawan-kawan, tiba-tiba sekumpulan lelaki berseragam (PDRM) datang dan kata yang korang sekarang ditahan. Korang pun rasa terpinga-pinga dan takut nak kata apa-apa, jadinya korang pun ikutlah diorang ke balai polis. Di sana, korang dibawa ke satu bilik dan disoal siasat pasal kes rompakan yang jadi di kawasan perumahan berdekatan. Korang tahu yang korang tak bersalah, tapi disebabkan korang rasa takut, korang tak tahu nak cakap apa. 

Tapi secara tiba-tiba, korang teringat dengan kata-kata yang selalu korang dengar masa tengok drama-drama jenayah atau polis. Macam inilah lebih kurang kata-kata tu: “Anda ada hak untuk berdiam diri. Segala yang anda kata boleh digunakan terhadap anda di mahkamah (You have the right to remain silent. Anything you say can and will be used against you in a court of law)”Tapi itu selalunya kita dengar dalam drama-drama Hollywood dan korang pula di Malaysia. Sama ke hak korang untuk berdiam tu di Malaysia atau sebaliknya?

 

Kalau anda ditahan, anda sentiasa ada hak asas

Buku Merah yang senaraikan hak-hak korang kalau ditahan. Imej dari The Malaysian Bar.

Pertama dan mula-mula sekali, apa yang penting untuk korang tahu adalah korang sebenarnya ada banyak hak kalau korang ditahan di Malaysia. Tak bermakna disebabkan korang ditahan, korang akan terus masuk lokap dan tak boleh buat apa-apa lagi. Sebabnya dari awal sampai akhir, korang masih lagi manusia dan korang tetap dianggap tak bersalah selagi tak dibuktikan bersalah. Jadinya, sebagai orang yang ditahan, undang-undang dah menetapkan hak-hak tertentu kepada korang. Antaranya adalah:

  • hak untuk bertanya kenapa korang ditahan
  • dua panggilan telefon selepas korang ditahan (melainkan polis percaya yang panggilan tu boleh merosakkan siasatan, contohnya: korang mungkin merancang untuk lepas diri)
  • hak untuk mendapatkan peguam untuk bawa kes korang

Korang boleh tahu banyak lagi hak-hak yang ada dengan baca Buku Merah yang disusun oleh Badan Peguam Malaysia.

[BACA LAGI: What are your rights if you get arrested by the PDRM?]

Di bawah hak-hak ni, dah dinyatakan yang korang ada hak untuk berdiam diri. Hak ni pada asasnya bermaksud korang tak ada kewajiban untuk menjawab soalan-soalan yang ditanya oleh polis masa disoal siasat. Ini adalah hak yang sah, jadi kalau korang dipaksa menjawab, korang boleh kata yang korang cuma menggunakan hak yang korang ada. 

Untuk rujukan, kita mungkin boleh tengok kes Omar bin Daud v Public Prosecutor, di mana tertuduh (Omar) dah ditangkap dalam satu operasi serbuan dadah. Masa dalam perbicaraan, Pendakwa Raya (orang nak bawa kes) tanya Omar kenapa dia tak cakap apa-apa masa dia diberitahu sebab mengapa dia ditahan. Hakim yang memutuskan kes berkenaan tak membenarkan soalan tu, dan kata yang Omar pada dasarnya menjalankan haknya. Beliau berkata:

"Saya tidak membenarkan soalan itu kerana, pada pandangan saya, dalam memilih untuk berdiam diri, tertuduh hanya menggunakan hak yang sah dan oleh itu tiada kesimpulan tentang rasa bersalah boleh diambil terhadapnya." – Hakim Edgar Joseph Jr

Tapi, kenapa korang ada hak untuk berdiam? Secara semula jadinya kalau korang dituduh dengan sesuatu yang korang tak buat, korang mesti nak kata sesuatu untuk pertahan diri. Apa yang menariknya adalah, inilah sebab kenapa kita perlukan hak untuk berdiam diri.

 

Hak itu wujud supaya anda tak mengaku bersalah terhadap jenayah yang anda tak buat

Imej dari The New York Times.

Mungkin kita boleh faham jugalah kalau korang ditangkap, disoal siasat dan tak kata apa-apa. Tapi, macam mana kalau korang dah dibawa ke mahkamah dan korang masih tak nak jawab apa-apa soalan? Patut ke korang gunakan hak untuk berdiam diri masa tu? Jawapan untuk ni sebenarnya bergantung kepada soalan yang ditanya

Kalau kita tengok Seksyen 112(2), Kanun Tatacara Jenayah, di sana ada diberikan gambaran tentang rasionalnya di sebalik hak ini (tiada terjemahan rasmi, diterjemahkan oleh Asklegal).

Orang itu hendaklah terikat untuk menjawab semua soalan yang berhubungan dengan kes yang diletakkan kepadanya oleh pegawai itu:
Dengan syarat bahawa orang itu boleh enggan menjawab apa-apa soalan jawapan yang mana akan mempunyai kecenderungan untuk mendedahkannya kepada pertuduhan atau penalti jenayah atau pelucuthakan.

Jadi, pada asasnya hal ni bermaksud: korang patut menjawab soalan-soalan yang ditanya oleh pegawai polis, MELAINKAN jawapan tu boleh membuka ruang menampakkan korang bersalah atau memaksa korang menerima tuduhan yang dihadapkan kepada korang. Contoh mudahnya macam soalan begini: Kenapa anda membakar pejabat anda? Soalan terus macam ni minta korang jelaskan kenapa korang buat jenayah tu – sedangkan korang tak mengaku apa-apa lagi. Jadinya, ia mendedahkan korang dengan pertuduhan jenayah, maka korang tak diwajibkan menjawabnya

Hak untuk berdiam diri juga sebenarnya berkaitan dengan hak peguam. Bila korang dapatkan peguam, peguam akan nasihatkan korang tentang apa yang korang patut dan tak patut cakap, jadinya korang tak lah dapat masalah nanti. Macam yang selalu kita dengar dalam drama polis la – You have the right to an attorney. If you cannot afford an attorney, one will be provided for you”.

Apa yang dapat difahami dari sini adalah: hak untuk berdiam diri ni diberikan kepada korang untuk melindungi diri dari disalahertikan sehingga korang dapat bercakap dengan peguam yang akan mengendalikan kes korang.

 

Tapi masih ada masanya yang anda kena bercakap

Cakap...cakap!. Imej dari ezgif.com

Kita tahu yang undang-undang Malaysia membenarkan korang untuk berdiam diri ketika korang ditahan ataupun masa dalam mahkamah. Korang boleh nampak peruntukan ni dalam Seksyen 112(2) Kanun Tatacara Jenayah dan juga dalam undang-undang lain seperti Seksyen 37A Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 75 Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960. Tapi dalam keadaan tertentu hak ni bukan secara mutlak

Sebabnya, ada juga undang-undang tertentu yang secara jelas tak memberikan korang hak berdiam diri seperti Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Kalau korang ditahan di bawah akta-akta yang disebutkan ni – korang kena jawab sebarang soalan yang ditanya oleh pegawai polis atau hakim, walaupun ia boleh menjuruskan korang disabitkan bersalah. 

Perkara lain yang perlu dipertimbangkan lagi adalah korang mungkin dapat rugi juga kalau pilih untuk berdiam diri sepanjang penahanan dan perbicaraan. Walaupun korang tak boleh secara automatik dianggap bersalah sebab memilih untuk berdiam diri, tapi kalau korang tak mempertahankan diri, ada kebarangkalian yang lebih tinggi untuk korang disabitkan kesalahan, sebab korang tak sangkal sebarang pertuduhan.

Kesemua Pendakwa Raya kena membuktikan kes terhadap korang dengan tiadanya keraguan munasabah (maknanya tak ada keraguan, 100% betul). Kalau dia boleh buat macam tu dan korang pula tak kata apa-apa untuk membela diri, besar kemungkinan yang korang akan disabitkan kesalahan. Jadinya, ingatlah selalu yang hak untuk berdiam diri tu sebenarnya untuk nak memastikan korang tak cakap benda yang salah kepada pihak berkuasa, sebab apa yang korang cakap tu mungkin boleh digunakan semula ke atas pertuduhan korang. Tapi bila perlu pada masanya, bercakaplah untuk mempertahankan diri korang.

 

Tags:
kanun tatacara jenayah
hak ketika ditahan
hak berdiam diri
ditahan polis
akta dadah berbahaya
bukti mahkamah

211

Shares

A+

A-