Asklegal
Home banner 99cfe8c2 cec9 40e8 b079 4e9fbd7a7efc

Contract,Property

Dengan 3 syarat ni, kerajaan Malaysia boleh ambil tanah dan hartanah anda secara sah

almost 4 years ago Azar Ishak

54

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Perhatian: Undang-undang berbeza terpakai untuk Malaysia Timur kerana ia tertakluk kepada Ordinan Pengambilan Tanah di Sabah dan Bahagian 4, Kanun Tanah Sarawak (bab 81) 1958 di Sarawak. 

 

Kalau korang tinggal di satu kampung atau bandar untuk jangka masa yang lama, korang mesti akan perasan dengan perubahan yang berlaku di kawasan korang tu. Kawasan perumahan korang yang dulunya tempat korang membesar, mungkin sekarang ni dah digantikan dengan projek MRT atau sebagainya.

Tapi apa yang akan terjadi kepada mereka masih tinggal di kawasan tu, bila projek pembangunan baru dijalankan? Selalunya, pembangunan macam ni kena ada permit tertentu daripada pihak kerajaan, sebelum bangunan atau sesuatu struktur baru dibina di atas tanah berkenaan.

Tapi, macam mana pula kalau korang dah beli rumah di satu kawasan dan sekarang ni korang diminta untuk mengosongkan kawasan tu untuk memberi laluan kepada pembangunan baru? Jadinya, apa yang kami akan bincangkan kali ni adalah: Boleh ke kerajaan ambil tanah korang, sedangkan korang masih tinggal di situ?

 

Mereka boleh ambil tanah anda… JIKA untuk tujuan awam

Imej dari Harian Metro.

Sebenarnya, hanya dalam keadaan tertentu je kerajaan dibolehkan secara sah mengambil tanah korang… walaupun pada asalnya ia milik korang. Berdasarkan Akta Pengambilan Tanah 1960, dah dinyatakan yang kerajaan dibenarkan untuk mengambil alih tanah seseorang untuk tujuan awam (akan diterangkan nanti) dan jika ia memberikan manfaat kepada masyarakat. Seksyen 3, Akta Pengambilan Tanah menyatakan (tiada terjemahan rasmi, diterjemahkan oleh Asklegal):

(1) Pihak Berkuasa Negeri boleh memperoleh tanah yang diperlukan – 
(a) untuk tujuan awam;
(b) oleh mana-mana orang atau perbadanan... yang menurut pendapat Pihak Berkuasa Negeri bermanfaat untuk pembangunan ekonomi Malaysia... atau,
(c) untuk tujuan perlombongan atau untuk kediaman, pertanian, komersial, perindustrian atau rekreasi atau gabungan apa pun…

Dengan kata lain, tanah korang tu boleh diambil jika ia diperlukan untuk pembangunan di bandar atau kawasan korang tu. Jadinya, kalau laluan projek MRT termasuk ke kawasan rumah korang, ada kemungkinan yang syarikat kereta api ataupun kerajaan negeri akan datang dan ketuk pintu rumah korang.

Sebenarnya perkara macam ni dah banyak kali berlaku, contohnya seperti projek laluan MRT Sungai Buloh – Kajang. Untuk projek ni, MRT Corp dah dapatkan hampir 600 lot tanah persendirian melalui Akta Pengambilan Tanah. Walaupun ada protes dari sebahagian pemilik tanah, rancangan tu tetap diteruskan dan dapat kelulusan daripada kerajaan. Semasa perbincangan dengan pemilik tanah, pengarah projek ada kata yang pengambilan tanah tu memang tidak dapat dielakkan –  kerana ia adalah sebahagian daripada rancangan pembaharuan bandar kerajaan.

Tapi dalam masa sama, korang mesti ada terfikir macam mana perkara ni boleh jadi sah, sedangkan hak pemilikan tanah dijamin di bawah Perkara 13, Perlembagaan Persekutuan. Sebenarnya, keadaan berbeza dalam hal macam ni, sebabnya hak Perlembagaan korang masih lagi tertakluk kepada pemerintah dan ia termasuklah mengambil tanah korang – dengan syarat korang mendapat ganti rugi (kita akan bincang lebih terperinci nanti). 

Walaupun kita dengar macam mudah, ambil tanah ni tak la semudah yang disangka. Ini kerana, kerajaan negeri hanya akan buat macam tu selepas betul-betul mempertimbangkannya. Malah, dalam masa sama – korang juga masih ada peluang untuk menghalangnya daripada berlaku

[BACA LAGI: Can the Malaysian government take your property if you die without a will?]

 

Anda boleh halang kerajaan buat macam tu dengan syarat tertentu 

Imej dari Giphy.

Jadinya di sini, kalau kerajaan perlukan tanah korang untuk bina pejabat pos yang akan dimanfaat oleh masyarakat sekeliling – mereka boleh gunakan undang-undang yang tercatat dalam akta dan ada hak untuk buat macam tu. Tapi untuk halang pihak berkuasa dari buat macam tu, korang mesti buktikan dua perkara ni iaitu:

  1. Tanah tu tak akan digunakan untuk tujuan awam
  2. Kegunaan tanah tu tak dilakukan dengan niat yang baik

Tentang terma ‘tujuan awam’ pula, ia boleh didefinisikan dalam satu kes – S Kulasingam & Anor v Commissioner of Lands, Federal Territory & Ors, yang dinyatakan: 

"Ungkapan “tujuan awam” tidak dapat memberikan definisi yang tepat ... ia masih lebih baik untuk menggunakan pandangan akal yang sihat, iaitu untuk melihat apakah tujuan tersebut untuk kepentingan awam masyarakat.

Maka pada dasarnya, ia bermaksud yang kalau tanah tu akan dimanfaatkan untuk masyarakat awam secara menyeluruh, korang mungkin tak ada pilihan, selain melepaskan tanah korang yang nak diambil tu. 

Tentang niat baik pula, ia secara mudahnya bermaksud niat pihak berkuasa, dan tanah korang tu tak akan digunakan untuk tujuan selain yang ada dalam Akta. 

Jadinya, kalau korang tinggal di hartanah yang kerajaan nak, tapi korang tak nak melepaskannya – korang kena buktikan adanya dua perkara yang disebut di atas tu. Tapi korang kena maklum juga yang perkara ni kena dibuat dalam tempoh 3 bulan dari hari korang terima Notis Borang E, yang menyatakan kerajaan berhasrat mengambil tanah korang. 

Dalam masa sama, tak semua benda percuma di dunia ni. Kerana itulah kalau kerajaan nak ambil tanah korang, mereka kena bayar korang. Tapi, boleh ke korang tetapkan harga? 

 

Kalau mereka ambil tanah anda, mereka kena bayar anda

Imej dari Giphy.

Jadinya, kalau korang gagal buktikan sebab kenapa kerajaan tak boleh ambil tanah korang, korang tak ada pilihan lain selain melepaskannya. Tapi dengan syarat korang akan diberikan ganti rugi. 

Seperti mana yang kami kata tentang Perkara 13, Perlembagaan Persekutuan tadi – ia sebenarnya menjadi penyelamat bila tanah korang diambil. Perlembagaan secara asasnya menyatakan – kerajaan harus memberikan korang jumlah wang yang berbaloi dan cukup sebagai pertukaran tanah yang diambil

Tapi harga tanah tu akan ditentukan oleh Pentadbir Tanah melalui siasatan yang dilakukan terhadap tanah korang. Lepas je siasatan tu tamat dan nilainya dikira –laporan penilaian akan disediakan.

Pentadbir Tanah nanti akan berikan ‘penghargaan pampasan’ untuk tanah korang tu. Tapi, kalau korang keberatan dengan jumlah ganti rugi tu, korang boleh isi Borang N dalam tempoh masa 6 minggu. Mahkamah nanti akan terlibat untuk menyelesaikan isu ni. 

Untuk kes melibatkan hartanah dan kerajaan pula, cara terbaiknya adalah korang dapatkan nasihat undang-undang sebelum isi apa-apa borang atau notis. Ini kerana, setiap kes macam ni bersifat subjektif dan kemungkinannya memerlukan bantuan tambahan – sebabnya hartanah boleh berbeza dari segi hak milik, nilai pasaran dan jenis. Jadi, cara terbaiknya adalah berhubung dulu dengan peguam untuk dibantu apa yang patut!

Tags:
perlembagaan persekutuan
ambil tanah
pengambilan tanah
akta pengambitan tanah
projek pembangunan
hak milik tanah
kerajaan ambil tanah

54

Shares

A+

A-