General,Property
Korang boleh kena tindakan undang-undang, kalau menyanyi di balkoni rumah
over 4 years ago Azar Ishak[Click here for English version]
Nampaknya dah lebih dua minggu kita duduk diam-diam dalam rumah disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Mungkin ada yang selesa dengan keadaan ni dan rasa tak ada apa-apa pun kalau sepanjang masa duduk di rumah. Tapi ada juga yang dah mula rasa gelisah dan buat macam-macam untuk hilangkan kebosanan di rumah.
Ada pelbagai cara kreatif kita nampak orang nak hilangkan bosan ni, antaranya macam main game, memasak, tengok movie, kemas rumah dan tak kurang juga ada yang berkaraoke dekat balkoni apartmen masing-masing. Bukan di Malaysia je, sebelum ni dah tersebar video tular di Itali bila mereka menyanyi dekat balkoni masing-masing masa dijalankan perintah berkurung. Boleh tengok di sini kalau tak tengok lagi.
Walaupun benda ni nampak macam seronok dan memeriahkan suasana, mesti korang tak nak nyanyian korang terhenti sebab polis ketuk pintu rumah kan? Dan sebab itulah munculnya persoalan sama ada boleh ke kita menyanyi di balkoni masa PKP?
Sesi karaoke korang tu boleh jadi kacau ganggu kepada jiran-jiran
Kadang-kadang, walaupun kita tak perasan – tapi ada yang kita buat tu boleh menyakitkan hati jiran. Hal tu termasuklah seperti buat bising, masak masakan yang berbau kuat ataupun biarkan haiwan peliharaan buat kacau di halaman rumah jiran.
Kalau benda-benda ni jarang-jarang berlaku, kemungkinan besar jiran taklah kisah sangat. Tapi, kalau gangguan tu selalu berlaku sampaikan mengganggu kehidupan harian jiran, korang mungkin dah lakukan kesalahan tort yang dikenali sebagai kacau ganggu persendirian (private nuisance).
[BACA LAGI: What is a Tort?]
Kacau ganggu ni adalah terma undang-undang bila mana korang mengganggu hak jiran untuk menikmati hartanah mereka dan ia mungkin menyebabkan bahaya. Ada dua jenis kacau ganggu iaitu kacau ganggu persendirian dan kacau ganggu awam. Tapi untuk artikel kali ni, kami cuma bagi fokus pada kacau ganggu persendirian, yang boleh berlaku sekiranya seseorang tu melakukan sesuatu yang mengganggu kita dari menikmati hartanah kita sendiri – atau senang kata: kacau ‘orang nak hidup selesa’.
Untuk menang dalam kes kacau ganggu ni, jiran korang tu mesti kena buktikan sesi berkaraoke korang dekat balkoni tu (dalam situasi ni) sebagai tak munasabah dan menganggu jiran lain menikmati kehidupan mereka.
Walaupun macam tu, menyanyi dekat balkoni sebenarnya bukanlah kesalahan jenayah. Sebaliknya, ia dah dilakukan dalam keadaan dan masa tertentu yang mana membuatkan jiran korang marah dan buat laporan terhadap korang.
Tapi, ia juga bergantung dari balkoni macam mana yang korang menyanyi tu…
Kalau duduk di kondo, undang-undangnya lain
Disebabkan banyak sesi karaoke ni berlaku di apartmen dan kondominium, jadinya kami akan fokus kepada hartanah strata dalam artikel ni. Kalau korang tinggal di hartanah strata seperti apartmen/flat/kondominium/komuniti bersekuriti – korang tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015. Dalam beberapa kes tertentu, korang juga terikat dengan kontrak sewaan/ kontrak perumahan - sama ada yang terdapat dalam Surat Ikatan Perjanjian Bersama atau Perjanjian Jualan dan Pembelian yang menjelaskan 'peraturan rumah' yang kena dipatuhi.
Untuk kebanyakan hartanah strata, selalunya akan ada badan pengurusan – yang mana penduduk boleh bangkitkan sesuatu isu dan buat aduan. Badan pengurusan ni pula ada kuasa menguatkuasakan undang-undang kecil untuk melarang penduduk daripada membuat sebarang gangguan.
[READ MORE: 4 sebab anda boleh disaman oleh pengurusan kondominium]
Jadinya, kalau jiran korang tak suka korang menyanyi dan buat aduan kepada badan pengurusan, mereka boleh ambil tindakan terhadap korang seperti denda – dan bukannya bawa peguam atau masuk mahkamah.
Tapi untuk jiran korang tu berjaya dengan tuduhan kacau ganggu terhadap korang tu, dia kena buktikan beberapa elemen dalam kesnya seperti:
- Ada gangguan terhadapanya untuk menikmati hartanahnya
- Gangguan tu bersifat tak munasabah
- Gangguan tu menyebabkan kerosakan terhadapnya (mungkin sampai buatkan telinganya berdarah)
Kalau jiran korang tu boleh buktikan tiga elemen ni berlaku disebabkan korang menyanyi dekat balkoni, mereka mungkin boleh saman korang untuk duit. Tapi ada satu lagi perkara penting yang undang-undang kata tentang kacau ganggu. Gangguan itu mestilah berlaku akibat tindakan yang berterusan dan bukannya berlaku hanya sekali.
Sekarang ni, macam mana pula kalau keadaan berubah – bila korang pula jiran yang jadi mangsa tu.
Tak salah juga kalau ada kejiranan yang meriah (kadang-kadang la)
Pada akhirnya, bukan undang-undang saja yang ada, tapi juga rasa timbang rasa sebagai masyarakat yang hidup berjiran. Sebabnya, dalam keadaan tertentu – kadang-kadang ada juga situasi saling faham memahami. Lebih-lebih lagi dalam keadaan tak dijangka ni, yang memerlukan kita semua untuk tinggal di rumah dalam tempoh yang lama.
Jadinya, sebelum korang buat aduan terhadap jiran yang berkaraoke tu, mungkin lebih baik korang berbincang baik-baik dulu dengan mereka. Tapi, kalau dengan cara tu pun masih tak buatkan mereka insaf, korang boleh je buat aduan kepada badan pengurusan atau pihak berkuasa tempatan (cth: Majlis Bandaraya/Majlis Perbandaran) masing-masing.
Kalau dah takde jalan diplomatik lagi, memang tak dapat dinafikan perlunya ada tindakan tegas. Tapi korang kenalah ada cukup bukti yang untruk mengatakan apa berlaku tu sebagai kacau ganggu. Akhirnya, mahkamah akan memutuskan sama ada jiran korang tu betul-betul melakukan kacau ganggu atau tak, berdasarkan fakta dan keadaan.