Asklegal
Home banner 85e283da d84f 4a26 b308 51f55714d9c5

Criminal,Intellectual Property

Sebab-sebab kenapa kita tak boleh gunakan JATA NEGARA sesuka hati

over 4 years ago Azar Ishak

43

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Seperti mana yang kita semua dah dengar, baru-baru ni kecoh tentang penerbit buku yang disiasat kerana mengubah suai Jata Negara Malaysia di buku mereka. Buku bertajuk “Rebirth”, terbitan Gerak Budaya itu kemudiannya diharamkan dan 313 naskhah dah dirampas dari sejumlah 1,000 buah buku yang telah dicetak.

Tindakan ni diambil kerana buku berkenaan dianggap dah menghina Jata Negara. Sebenarnya, gambar di atas kulit buku itu adalah karya lukisan artis tempatan Shia Yih Yiing, dan lukisan tu juga pernah dipamerkan di galeri tempatan pada 2014. Tapi masa tu, tak ada apa-apa aduan yang dibuat. 

Apa yang pasti, sekarang ni tumpuan masyarakat mula terarah pada Jata Negara. Dan persoalan pun timbul, kenapa mengubahsuai Jata Negara boleh dianggap jenayah dan sebagai menghina? Lebih dari tu, kita juga nak tahu apa yang undang-undang kata dengan perkara ni. Dan jawapannya mungkin lebih dari mengatakan Jata Negara itu sebagai simbol semata-mata. 

 

Ia bermula dari medan perang Eropah 

Imej dari ABC Education.

Sama seperti undang-undang kita, penggunaan Jata Negara juga sebenarnya diambil dari British. Walaupun di Malaysia sekarang ni melihat lambang tu sebagai Jata Negara secara keseluruhannya… ia sebenarnya bukanlah macam tu. Ini kerana, pada asalnya ia hanya dikenali sebagai heraldry (ilmu lambang) yang hanya merujuk kepada reka bentuk perisai. Tapi keseluruhan lambang yang lengkap dengan adanya harimau dan motto pula dikenali sebagai pencapaian heraldik. 

Walaupun korang tak tahu apa namanya yang betul, korang mungkin pernah nampak lambang macam ni dalam filem atau rancangan TV seperti Game of Thrones. Secara amnya, ia merupakan lambang untuk seseorang sama ada raja, bangsawan atau kesateria. Untuk sesebuah negara menggunakannya, ia dianggap sebagai simbol negara. Menurut Hakim Sutton yang mengkaji tentang heraldry. 

“Jata berfungsi sama seperti logo dan tanda dagang (trademark).  Ia menunjukkan yang benda itu milik seseorang, atau berasal dari negara tertentu. Kita boleh tahu kerana jata itu memberikan rujukan visual yang jelas dan dapat dikenali  secara mudah.” – Hakim Sutton, katanya melalui temubual WhatsApp. 

Namanya pula datang dari penggunaannya di medan perang Eropah. Pada awal abad pertengahan, para kesateria selalunya akan memakai baju besi dari atas sampailah ke bawah. Disebabkan hal itu, agak susah nak membezakan mereka ni rakan atau lawan, masa di medan perang. Jadinya, untuk selesaikan masalah ni, mereka pun pakai lambang tertentu untuk memudahkan mereka dikenal pasti. Dan masa inilah munculnya jata. Reka bentuknya pula khas dan mereka tak boleh ada rekaan sama dengan orang lain

Imej dari Berkshire History

Malah, disebabkan sebilangan besar orang pada masa itu buta huruf, maka dengan adanya simbol visual ni, tidak perlulah susah-susah nak mengajar rakyat untuk membaca. 

"Seseorang mungkin tak dapat membaca tetapi semua orang dapat mengenali lambang. Sebilangan besar negara mempunyai jata atau emblem. Perbezaan antara emblem dan jata adalah yang pertama tidak mengikuti peraturan heraldry. Kesamaannya ialah kedua-duanya melambangkan identiti sebuah negara. " - Hakim

Walaupun tujuannya untuk mengenal pasti sebuah negara, tak semua orang dibenarkan untuk menggunakan lambang tersebut.

 

Jata adalah milik raja

Jata Negara pada tahun 1948. Imej dari Orang Perak

Bendera dan jata sebenarnya hampir serupa, sebab kedua-duanya digunakan untuk mewakili dan mempamerkan identiti negara kita. Malah, jata juga boleh digunakan sama seperti bendera. Pada zaman abad pertengahan, sesiapa yang ada jata akan meletakkan lambang itu di panji yang kemudiannya disesuaikan dalam reka bentuk bendera. Sebab itulah ada beberapa negara yang menggunakan jata dalam bendera mereka.

Majoriti negara pula akan ada dua-dua iaitu bendera dan jata, tapi bukanlah kemestian. Bagaimanapun, untuk negara beraja – selalunya negara tu akan ada kedua-duanya. Contohnya macam United Kingdom yang ada Jata Negara Diraja dan bendera, Union Jack. Sama seperti Malaysia yang ada Jata Negara dan Jalur Gemilang. 

Akan tetapi, hanya seorang je yang dibenarkan mempamerkan jata-jata tertentu sebagai pemiliknya. Dan di negara kita, pemilik Jata Negara adalah raja kita

"Dalam raja berperlembagaan seperti Malaysia dan United Kingdom, kerajaan menjalankan kuasa atas nama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja, makanya itulah mengapa kerajaan sering menunjukkan identitinya di bawah Kedaulatan. Kita orang biasa tidak berhak menggunakannya atau mempamerkannya di panji jata.” – Hakim. 

Jadinya, selain raja – hanya kerajaan kita saja yang dibenarkan menggunakan Jata Negara. Untuk orang lain, korang kena dapatkan kebenaran bertulis daripada kerajaan. Di Malaysia, menggunakan Jata Negara tanpa kebenaran boleh dianggap sebagai satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Akta Lambang dan Nama 1963

Walaupun begitu, rakyat masih dibenarkan untuk menggunakan bendera, kerana ia bertujuan untuk menunjukkan solidariti terhadap negara. Ia juga tak akan dikenakan undang-undang yang sama dengan Jata Negara. Akan tetapi, masih ada undang-undang yang korang kena patuhi ketika menggunakan bendera. 

[BACA LAGI: These 2 Malaysian laws have been protecting our National Flag and Anthem for 54 years]

 

Kenapa penting untuk melindunginya? 

Imej dari NAS

Bila seseorang selain raja dan kerajaan yang menggunakan Jata Negara, adakah ia sebenarnya lebih kepada isu tanda dagang (trademark) ataupun kesalahan menghina raja?

“Agak kedua-duanya sebenarnya. Pada zaman moden ini, negara lebih melihatnya sebagai isu harta intelek. Contohnya, di United Kingdom jatanya dilindungi di bawah Trade Marks Act 1994, sementara di Australia dilindungi di bawah Competition and Consumer Act 2010, Trade Marks Act 1995 atau Criminal Code Act 1995." – Hakim. 

Sebenarnya, ada sebab kenapa ia diletakkan di bawah terma harta intelek. Menggunakan, atau lebih tepatnya menyalahgunakan lambang negara, berkemungkinan boleh memberi keuntungan yang tak adil kepada perniagaan, sebab ia seolah-olah menunjukkan yang raja atau kerajaan menyokong produk perniagaan mereka.

Selain dapat kelebihan persaingan, ia juga boleh digunakan oleh scammer untuk menipu masyarakat. Sebagai contoh, masyarakat mungkin akan terfikir yang mereka berkomunikasi dengan organisasi kerajaan, disebabkan organisasi tu menggunakan lambang negara. 

Menariknya, dalam undang-undang awam antarabangsa, negara-negara kena melindungi Jata Negara mereka dari digunakan oleh negara-negara lain. Semua negara yang menandatangani Konvensyen Paris bagi Perlindungan Hak Perindustrian 1883, diwajibkan untuk melindungi Jata Negara mereka dan sebarang tiruannya. Ini kerana, menggunakan jata negara lain membawa maksud yang lebih dalam dari hanya inspirasi seni semata-mata. 

Pada abad pertengahan, bila seseorang menggunakan jata yang telah digunakan oleh yang lain, ia (dan sehingga kini di Scotland) dianggap sebagai satu kesalahan. Ini kerana, tindakan tu dianggap sebagai satu rampasan – mencabar hak milik jata dan juga keabsahan mereka dalam garis keturunan

Masa tu, kalau benda macam ni berlaku, ia boleh buat orang berperang jugalah. Antara tahun 1559 hingga 1561, Mary, Ratu Scotland yang ada buat tuntutan takhta England, secara terbuka mempamerkan jata England, yang sekaligus bukan je menuntut England, tapi Mahkota Inggeris tu sendiri. Seorang sejarawan Inggeris, Thiry pernah mengatakan yang tindakan itu membawa England dan Perancis ke ambang peperangan. Jadi, fahamlah kita yang menggunakan jata orang lain bukanlah isu kecil sebenarnya. 

 

Boleh ke kita buat versi Jata Negara yang diilhamkan secara artistik?

Di bawah undang-undang Malaysia, kita tak boleh menggunakan Jata Negara tanpa kebenaran kerajaan atau sebarang “peniruan berwarna”. Tapi terma peniruan berwarna ni, ia bukan je pasal warna yang berlainan. Terma ini sebenarnya merujuk kepada ujian tanda dagang (trademark) yang digunakan dalam pertikaian harta intelek. Kalau dalam konteks artikel ni, ia akan melihat sama ada reka bentuk pada kulit buku tu menyerupai Jata Negara Malaysia, atau ia mungkin menimbulkan kekeliruan atau juga memperdayakan.

Ini bukan undang-undang heraldik, iaitu  undang-undang yang mengatur reka bentuk dan penggunaannya. Di bawah undang-undang heraldik, selagi ada perubahan warna atau elemen dalam reka bentuk, korang bebas menggunakannya. Dalam konteks harta intelektual moden, ia bermaksud peniruan logo tersebut, tetapi dengan perubahan kecil yang boleh menyebabkan kekeliruan atau menipu masyarakat umum.

Salah satu contohnya ialah Royal Arms of UK, dan versi yang digayakan oleh kerajaan UK. Serupa juga dengan Malaysia iaitu Jata Negara dan versi hitam putihnya yang kita boleh nampak pada kulit buku latihan. Menggunakan versi apa pun tanpa izin dapat membuat korang bermasalah dengan undang-undang.

Jata asli UK dan versi yang digayakan oleh kerajaan. lmej dari 
Her Majesty The Queen of UK
Jata Negara dan versi hitam putihnya. Imej dari Malaysian government.

Bagaimanapun, , Lawyers for Liberty ada mendakwa yang kulit buku Rebirth tu tak menyerupai Jata Negara. Menurut mereka, undang-undang hanya menyatakan yang kita tidak boleh menggunakannya tanpa kebenaran bertulis dari kementerian. Mereka juga menambahkan bahawa tak ada larangan terhadap persembahan seni yang diilhamkan dari Jata Negara, dan tak ada yang akan silap sangka rekaan tu sebagai Jata Negara yang sebenarnya.

Tapi, sama ada menghina atau memberi inspirasi, kita kenalah tunggu dan lihat apa kes yang dinyatakan.

Tags:
gerak budaya
jata negara
akta lambang dan nama
konvensyen paris

43

Shares

A+

A-