Civil,Constitution,Family
Kanak-kanak dengan nama "Bin Abdullah" mungkin tak perlu gunakannya lagi selepas ni
over 4 years ago Azar Ishak[Click here for English version]
[Baca bahagian 1: Apa sebab seseorang tu di-'Bin Abdullah' dan kenapa ada yang lawan isu ni?]
Mungkin ada di antara korang pernah baca artikel kami sebelum ni yang menemuramah Rahman dan Aisyah. Ringkasnya, Rahman dan Aisyah ada anak bernama Adam yang dilahirkan 3 bulan selepas mereka berdua berkahwin. Pada masa dia dilahirkan, nama Adam didaftarkan sebagai Adam bin Rahman dengan nota tertulis di bahagian bawah sijil kelahiran: “Permohonan s. 13”. Tapi masa tu, mereka tak ambil tahu sangat tentang nota tu.
Sampailah 12 tahun kemudian, apabila mereka dapat tahu maksud sebenar nota berkenaan. Bila Adam masuk umur 12 tahun, mereka pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebab nak buat kad pengenalan (IC) untuk Adam. Tapi kemudiannya, JPN tak benarkan nama Adam didaftarkan sebagai Adam bin Rahman, sebaliknya JPN kata yang anak mereka tu kena di-binkan kepada Abdullah atau lebih tepat – Adam bin Abdullah. Rahman lepas tu buat keputusan membatalkan permohonan IC anaknya, sebab mereka berdua tak tahu macam mana nak terangkan hal tu kepada Adam nanti.
Sebab kenapa Adam kena berbinkan Abdullah adalah kerana dua fatwa di Malaysia tentang penamaan dan pewarisan kanak-kanak Muslim yang berstatus tak sah taraf. Di bawah fatwa-fatwa itu, kanak-kanak tak sah taraf kena menggunakan “bin Abdullah” sebagai nama keluarga, kalau anak tersebut dilahirkan kurang 6 bulan dari tarikh ibu-bapanya bernikah.
Sebenarnya, kami bincang isu ni balik disebabkan ada keluarga lain yang berdepan dilema sama. Tapi kali ni, mereka buat keputusan untuk saman JPN.
Satu keluarga di Johor yang mencabar JPN
Sama seperti situasi Rahman dan Aisyah, satu keluarga di Johor ni pun berdepan masalah sama apabila anak mereka tak dibenarkan menggunakan nama bapanya. Permohonan tu adalah untuk membenarkan anak mereka (dikenali di media sebagai NAW) bagi menggunakan nama bapanya (dikenali di media sebagai MEMK).
Si bapa, MEMK kemudiannya bertindak menyaman JPN.
Mahkamah Tinggi seterusnya membuat keputusan berpihak kepada JPN. Tapi lepas tu, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memutuskan bahawa undang-undang jelas mengatakan; nama keluarga anak yang tak sah taraf boleh di-bin/binti kepada sama ada nama ibunya (jika dia memberikan maklumat secara sukarela) atau bapanya (jika dia mendaftarkan dirinya sebagai bapa di bawah Seksyen 13 dan meminta anak itu menggunakan nama keluarganya). Jadinya di sini, Mahkamah Rayuan pada dasarnya memutuskan bahawa Seksyen 13A boleh digunakan dalam kes MEMK untuk membolehkan NAW membawa namanya.
JPN kemudian membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan dan keputusannya diumumkan beberapa bulan yang lalu.
Sebelum kita tengok lebih jauh lagi, korang mesti tertanya-tanya apa yang ada pada Seksyen 13 yang menjadi rujukan tu? Untuk lebih faham tentang isu ni, kita kena tahu dulu yang Seksyen 13 dan 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (APKK 1957), fatwa pada tahun 1981 dan 2003 semuanya mainkan peranan penting. Perkara ni juga ada diterangkan dalam artikel kami tentang keluarga Rahman sebelum ni. Tapi, ni dia ringkasannya:
Seksyen 13 APKK 1957 – anak tak sah taraf , tidak ada nama orang yang akan didaftarkan sebagai bapanya melainkan ada permintaan bersama oleh ibu kanak-kanak itu dan orang yang mengaku dirinya sebagai bapa kepada kanak-kanak itu
Seksyen 13A(2) APKK 1957 – nama keluarga anak tak sah taraf itu hendaklah nama keluarga ibunya (jika dia secara sukarela memberikan maklumat) atau nama keluarga orang yang mengaku dirinya menjadi bapa kanak-kanak itu mengikut peruntukan Seksyen 13.
Fatwa 1981 – anak tak sah taraf mesti ber-bin/binti Abdullah
Fatwa 2003 – anak tak sah taraf adalah anak yang dilahirkan dalam tempoh kurang 6 bulan selepas ibu-bapanya bernikah. Kanak-kanak ni tak boleh ber-bin/binti nama mana-mana orang yang mendakwa dirinya bapa kepada kanak-kanak berkenaan.
Jadinya, kita fahamlah isu sebenar tentang kes ni. Oleh itu, jom kita tengok pendekatan yang diambil oleh majoriti di Mahkamah Persekutuan.
Keputusan Mahkamah Persekutuan pun berbelah bagi
Empat daripada tujuh orang hakim yang mendengar dan membuat keputusan tentang rayuan tu bersetuju dengan satu keputuan (yang menjadi keputusan akhir, kerana mendapat majoriti). Manakala, tiga lagi tak bersetuju.
Pada asasnya, majoriti hakim Mahkamah Persekutuan, empat berbanding tiga membuat keputusan yang NAW tak sepatutnya diberikan nama keluarga “bin Abdullah”. JPN seterusnya diperintah untuk membuang perkataan “bin Abdullah” dari sijil kelahiran NAW.
Tapi ada plot twist dari keputusan ni.
Walaupun NAW tak boleh ada “bin Abdullah” di sijil kelahirannya, dia masih tak boleh gunakan nama bapanya MEMK.
Korang jangan rasa pelik dulu, sebab Mahkamah Persekutuan ada sebab kenapa buat keputusan tu. Ini kerana…
Orang Melayu sebenarnya tak ada nama keluarga
Majoriti hakim bersetuju bahawa nota “Permohonan s. 13” yang tercatat dalam sijil kelahiran adalah untuk anak tak sah taraf. Akan tetapi, dalam Seksyen 13A APKK 1957, ada dinyatakan bahawa nama keluarga anak tak sah taraf boleh menjadi ibunya atau seseorang yang mengaku dirinya adalah bapa kepada kanak-kanak terbabit. Bagaimanapun, MEMK tak boleh ambil undang-undang ni untuk digunakan sebagai nama keluarga NAW, sebab… orang Melayu sebenarnya tak ada nama keluarga.
Ini kerana, majoriti percaya yang perkataan “bin” atau ‘binti” hanya membawa maksud “anak lelaki kepada atau anak perempuan kepada”. Mereka kemudian membuat perbezaan antara nama peribadi dan nama keluarga. Seksyen 13A, APKK 1957 hanya menyatakan tentang permohonan nama keluarga dan ia tak boleh digunakan bagi membolehkan NAW menggunakan nama MEMK disebabkan nama MEMK adalah nama peribadi.
Ini apa yang majoriti kata:
"... menurut saya, nama keluarga merujuk kepada keluarga, keturunan dan nama yang diwarisi, berbeza dengan nama peribadi. Dalam kes ini, MEMK jelas bukan nama keluarga atau nama keturunan atau nama warisan yang biasa dikongsi oleh misalnya, isteri dan semua anggota keluarga. Sebaliknya, ia hanyalah nama peribadinya... Sukar untuk menghargai bagaimana nama peribadi ayah juga boleh menjadi nama keluarga pada masa yang sama ”- Datuk Rohana Yusof, Presiden Mahkamah Rayuan
Manakala, tiga hakim yang tak bersetuju mengambil pandangan yang berbeza tentang macam mana nama keluarga harus ditafsirkan. Mereka berpendapat – mengecualikan patronyms (di mana nama bapa menjadi sebahagian daripada nama anak-anak mereka) dari definisi nama keluarga di bawah APKK, membuatkan Seksyen 13A APKK tak akan terpakai untuk sebilangan besar rakyat Malaysia. Inilah yang mereka katakan mengenai Seksyen 13A:
“... Seksyen ini memungkinkan untuk pengakuan secara formal atas ayah, untuk tujuan rekod dalam daftar kelahiran ... Oleh itu, objektifnya, aplikasi pendekatan bertujuan untuk pembinaan berkanun akan menghasilkan istilah 'nama keluarga' dalam Seksyen 13A harus ditafsirkan sebagai merujuk kepada nama patronimik dan juga makna Kamus Oxford Inggeris...
ia tidak dapat disimpulkan bahawa memandangkan perkataan yang digunakan dalam bahagian tersebut, iaitu 'nama keluarga', keseluruhan bahagian iaitu 13A menjadi tidak dapat digunakan untuk segmen penduduk tertentu. Hal ini terutama berlaku, memandangkan kesimpulan seperti itu menyebabkan ketidakmampuan seluruh bahagian untuk sebagian besar penduduk Malaysia, sehubungan dengan suatu Akta yang mempunyai aplikasi, sebagaimana diumumkan oleh Parlimen, kepada semua warganegaranya” – Datuk Nallini Pathmanathan, Hakim Mahkamah Persekutuan.
Pada asasnya, perbezaan pandangan yang diambil oleh majoriti dan minoriti di Mahkamah Persekutuan menunjukkan bagaimana mereka memilih untuk menafsirkan undang-undang. Majoritinya mengambil pendekatan literal (dengan makna perkataan), manakala yang minoriti pula mengambil pendekatan bertujuan (iaitu mentafsirkan perkataan dengan cara memungkinkan tujuan undang-undang dipenuhi).
Tapi, kita juga diberitahu tadi tentang beberapa fatwa yang menjadi punca isu ni berlaku. Maka soalan seterusnya kepada Mahkamah Persekutuan adalah: Patut ke JPN menggunakan undang-undang syariah dalam menentukan nama akhir kanak-kanak?
Jawapannya… Ya, boleh
Jawapannya nampak mudah je: disebebabkan mereka orang Islam, maka dah sah-sahlah mereka kena ikut apa yang ditetapkan oleh undang-undang syariah. Bagaimanapun, dalam artikel kami sebelum ni tentang Rahman dan Aisyah, kami ada terangkan macam mana undang-undang syariah dan undang-undang persekutuan yang tak sepadan antara satu sama lain.
Secara ringkasnya, fatwa pada tahun 1981 dan 2003 ada menetapkan macam mana untuk menamakan kanak-kanak yang berdepan konflik dengan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (APKK). Dua fatwa ini hanya membenarkan anak tak sah taraf di-bin/binti dengan nama “bin Abdullah”, sedangkan APKK membenarkan penggunaan sama ada nama keluarga ibu atau bapa.
Tapi, memandangkan undang-undang ni berdepan dengan konkflik, mana satu yang mereka kena ikut? Undang-undang syariah atau undang-undang persekutuan? Jadinya, ini adalah kedudukan yang diambil oleh majoriti di Mahkamah Persekutuan:
"Oleh itu, dengan ketetapan perlembagaan, umat Islam di negara ini dikenakan undang-undang umum yang digubal oleh Parlimen dan juga undang-undang Islam yang digubal oleh Badan Perundangan Negeri." - Datuk Rohana Yusof, Presiden Mahkamah Rayuan
Maka pada asasnya, majoriti hakim membuat keputusan yang mereka kena ikut kedua-dua undang-udang iaitu persekutuan dan syariah.
Bagaimanapun, hakim-hakim yang tak bersetuju mendapati Perlembagaan Persekutuan secara khusus menjadikan pendaftaran kelahiran dan kematian sebagai perkara yang harus diatur oleh undang-undang Persekutuan saja. Dengan kata lain, undang-undang Islam Negeri tidak terpakai dalam isu membabitkan pendaftaran kelahiran dan kematian.
“...APKK 1957 adalah, untuk semua maksud dan tujuan, undang-undang persekutuan yang menguruskan perkara yang termasuk dalam Daftar Persekutuan iaitu, pendaftaran kelahiran dan kematian ... .undang-undang Islam tidak memiliki aplikasi dalam hal pendaftaran kematian dan kelahiran. " - Datuk Nallini Pathmanathan, Hakim Mahkamah Persekutuan
Pada masa ni, korang mungkin bertanya-tanya, kalau undang-undang Islam negeri yang terpakai, kenapa NAW tak diberikan “bin Abdullah”?
Setiap negeri ada undang-undang syariah masing-masing
Dalam kes MEMK, JPN merujuk kepada fatwa 1981 dengan memberikan “bin Abdullah” kepada NAW. Bagaimanapun, fatwa pada tahun 1981 ni dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, dan ia tak diwartakan (diberi status undang-undang) di Johor.
“Pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan atau fatwa menjadi undang-undang di Negeri Johor akan mengikat secara sah hanya sekiranya diwartakan dalam Warta Negeri di bawah Seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 (Enakmen No. 16 Tahun 2003). Enakmen itu mensyaratkan bahawa fatwa menjadi undang-undang dan hanya memiliki penguatkuasaan hukum setelah diwartakan dan ketentuan mengenai prosedur membuat fatwa dinyatakan dalam Seksyen 48. " - Datuk Rohana Yusof, Presiden Mahkamah Rayuan
Setiap negeri di Malaysia diberikan kuasa untuk menggubal perundangan mengenai undang-undang Islam. Undang-undang Islam ini merangkumi perkara seperti pewarisan, perkahwinan, perceraian dan sah taraf. Tapi, tak semua negeri terima fatwa 1981. Untuk mejadikannya sebagai undang-undang di Johor, fatwa tu mesti diwartakan di bawah enakmen Johor (undang-undang negeri) yang releven dan dihebahkan.
Disebabkan Johor tak terima fatwa tentang menamakan anak tak sah taraf ni, JPN tak boleh gunakan fatwa 1981 dalam isu MEMK dan NAW. Kalau buat macam tu juga, JPN boleh dianggap bertindak di luar bidang kuasanya. Walaupun undang-undang Islam boleh dirujuk dalam mendaftarkan kelahiran kanak-kanak Muslim, ia mesti terlebih dulu menjadi undang-undang dalam negeri tersebut.
Minoriti juga dah bersetuju dengan kedudukan yang diambil iaitu tak ada asas untuk menetapkan NAW dengan “bin Abdullah”, walaupun dengan alasan yang sikit berbeza, yang kami tak ceritakan lebih lanjut dalam artikel ni.
Jadi apa yang kita boleh ambil dari isu ni?
Ringkasnya,sekarang ni undang-undang yang kita dapat fahami adalah seperti berikut:
- Orang Islam tak ada nama keluarga dan tak boleh merujuk pada Seksyen 13A, APKK 1957.
- Orang Islam akan tertakluk dalam undang-undang Islam setiap negeri untuk pendaftaran kelahiran.
- Kalau negeri masih belum mewartakan undang-undang yang menetapkan “bin Abdullah”, kanak-kanak terbabit tak boleh diberikan nama “bin Abdullah”.
Jadinya, sama ada kanak-kanak yang tak sah taraf akan diberi nama “bin Abdullah”, ia bergantung kepada undang-undang syariah di negeri berkenaan. Untuk kes MEMK dan NAW, JPN dah diperintahkan untuk membuang "bin Abdullah" dari nama NAW. NAW sekarang hanya ada nama yang diberikan, tanpa nama bapa atau nama keluarga lain.
Senang cerita, contohnya nama anak korang tu Muhammad Ali, dan JPN kata kena letak "bin Abdullah". Tapi lepas tu JPN kena buang "bin Abdullah" atas perintah mahkamah. Maka, nama anak korang tu cuma tinggal nama rasmi je iaitu “Muhammad Ali” tanpa nama bapa.