Asklegal
Home banner d06ed82e 87de 4423 ae51 d3ad36404bfe

Contract

Apa korang boleh buat kalau majlis kahwin dibatalkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan?

about 4 years ago Azar Ishak

66

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Ketika artikel ni ditulis, dah dua minggu lebih Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Malaysia. Tak dapat dinafikan juga ramai pihak yang terjejas akibat PKP ni, khususnya kepada para peniaga kecil, penjaja dan yang berkaitan. 

Selain tu, kepada yang dah merancang untuk mengadakan majlis pun terjejas sama – macam majlis perkahwinan yang terpaksa dibatalkan akibat PKP ni. Ini kerana, PKP dah melarang sebarang perhimpunan ramai, termasuklah untuk majlis perkahwinan, aktiviti keagamaan, majlis pengebumian dan sebagainya di sepanjang tempoh perintah ni. 

Tapi selalunya, persediaan untuk majlis-majlis besar macam perkahwinan ni ambil masa yang lama atau lebih kurang 6 bulan sebelum berlangsung. Antara persiapan tu termasuklah seperti tempahan tempat, tempahan persembahan, katering makanan dan sebagainya. Dan disebabkan majlis perkahwinan ni terpaksa dibatalkan sepanjang tempoh PKP, muncullah persoalan: boleh ke kita dapat bayaran balik (refund) atau tangguhkan tempahan yang dah dibuat tu?

 

Pertama sekali, baca kontrak korang tu!

Imej dari Giphy.

Boleh dikatakan, sain atau setuju dengan kontrak ni dah jadi rutin biasa kita semua. Tapi biasanya, kita tak ada masalah sangat dengan pihak yang satu lagi sebab antara mereka dengan kita memang mampu penuhi perjanjian yang ada.

Tapi disebabkan PKP yang melarang kita mengadakan majlis perkahwinan ni, kita terpaksa membatalkan kontrak yang dibuat dengan pihak lain tu. Walaupun begitu, perkara ni jadi bukan disebabkan salah kita atau pihak yang lagi satu tu. 

[BACA LAGI: In Malaysia you can get out of a contract if both sides made a mistake]

Jadinya dalam situasi ni, tak ada mana-mana pihak yang bersalah. Tapi disebabkan keadaan yang tak dijangka dah berlaku, ia menjadikan pihak-pihak yang terlibat tak dapat memenuhi kontrak dan ini membuatkan kontrak tu menjadi – kekecewaan kontrak atau frustration of contract.

Bagaimanapun, terdapat sesetengah kontrak yang ada klausa-klausa khas yang menyatakan sesuatu tugas tu tak dapat dilaksanakan kerana berlakunya sesuatu perkara yang tak dijangka. Dan perkara ni dikenali sebagai ‘Force Majeure’

 

Sesetengah kontrak lebih memahami dari yang lain

Imej dari imgflip.

Kalau kontrak korang ada yang disebut sebagai klausa ‘force majeure’, korang sebenarnya bertuah. Sebabnya, klausa tu bermaksud – kalau sesuatu yang tak dijangka berlaku, ia akan menghentikan semua pihak dari melakukan apa yang dah dipersetujui dalam kontrak, dan kontrak pula boleh dibatalkan. 

Tapi, klausa ni agak lebih membantu kepada para vendor atau penyedia perkhidmatan daripada pelanggan tu sendiri. Sebab itulah ia selalu ada dalam kontrak komersial kerana dah jadi perkara biasa yang pelanggan akan menyaman penjual/penyedia perkhidmatan dan bukan sebaliknya. 

Tapi oleh kerana kita berada dalam tempoh PKP yang disebabkan oleh pandemik COVID-19, kewajiban kontrak antara banyak pihak dah dibatalkan kerana PKP. Jadi dalam situasi macam ni, berguna juga korang periksa kontrak korang tu, untuk tengok sama ada atau tak klausa untuk keadaan tak dijangka macam ni

Klausa ‘force majeure’ ni kadang-kadang kita boleh nampak di bawah klausa penamatan perjanjian, di mana akan membantu untuk proses rundingan di masa akan datang. Klausa ni bertindak untuk mengecualikan apa-apa liabiliti jika pihak lain (vendor) yang membatalkan sebahagian daripada perjanjian untuk majlis atau kenduri korang.

Tapi, kalau kontrak korang tu tak ada klausa ‘force majeure’, masih ada cara lain untuk selesaikan situasi ni. 

 

Kontrak korang kewcewa macam korang juga

Imej dari Giphy.

Katakanlah korang dah baca kontrak dan tak nampak apa-apa klausa yang bercakap soal keadaan tak dijangka (atau ‘force majeure’). Maknanya sekarang, kontrak korang tu dah jadi kecewa (frustration of contract) yang membuatkannya tak sah lagi

Kontrak boleh jadi kecewa ni bila kewajipan di bawahnya menjadi sama ada mustahil atau tak sah untuk dipenuhi kerana beberapa keadaan yang tak dijangka atau tak dapat dielakkan. Seksyen 57(2), Akta Kontrak menyatakan:

Suatu kontrak untuk melakukan suatu perbuatan yang, selepas kontrak itu dibuat, menjadi mustahil, atau oleh sebab suatu kejadian yang pembuat janji itu tidak dapat mencegah, menjadi tidak sah, maka kontrak itu menjadi mustahil atau tidak sah.

Akta ni pada dasarnya mengatakan bahawa, walaupun kontrak yang sah dah dipersetujui, tapi kalau peristiwa berikutnya membuat pelaksanaan kontrak itu tidak mungkin atau tidak sah, kontrak itu dipanggil sebagai 'kecewa'.

[BACA LAGI: If a freak accident makes you break a contract, can you get sued under M'sian law?]

Pada asasnya ada 3 syarat yang ditetapkan dalam kes Guan Aik Moh (KL) Sdn Bhd & Anor v Selangor Properties Bhd untuk membuatkan sesuatu kontrak tu menjadi kecewa: 

Acara (keadaan yang tidak dijangka) tidak dinyatakan atau diramalkan dalam kontrak.
Acara (keadaan yang tidak dijangka) tidak diinduksi oleh mana-mana pihak.
Acara (keadaan yang tidak dijangka) adalah sama sekali berbeza daripada apa yang dinyatakan dalam kontrak.

Mungkin hal ni masuk akal jugalah kalau kita kaitkannya dengan situasi PKP sekarang. Kalau PKP bukan sesuatu yang korang atau pihak satu lagi jangka akan berlaku, dan PKP bukanlah mana-mana pihak yang menyebabkannya berlaku dan PKP lah yang melarang korang untuk buat himpunan ramai yang membuatkan korang terpaksa membatalkan kenduri kahwin. Makanya, korang dan pihak yang lagi satu tak dapat menjalankan apa yang ada dalam kontrak disebabkan ia mustahil di sepanjang tempoh PKP

Tapi, kalau mana-mana syarat yang disebutkan di atas tak ada, maka kontrak tu tidak boleh dikatakan kecewa. Jadi, persoalannya sekarang adalah, macam mana korang boleh mendapatkan bayaran balik atau meneruskan majlis korang tu di hari kemudian?

 

Berunding semula dengan pihak lagi satu

Jom bincang. Imej dari Tumblr.

Kalau korang buat keputusan untuk tangguhkan dulu segala persiapan kenduri korang tu sehingga pendemik ni tamat, korang boleh pilih untuk berunding semula tentang terma-terma dengan pihak satu lagi. Dalam masa sama, ia juga berikan peluang kepada pembekal perkhidmatan seperti pengurusan dewan atau katerer makanan untuk memulakan rundingan semula terlebih dulu.

Antara perkara yang mungkin boleh dibangkitkan semasa rundingan semula tu adalah tentang penamatan kontrak untuk tempoh masa atau memanjangkan masa untuk mempersiapkan acara kerana PKP.

Bagaimanapun, kalau korang mempertimbangkan untuk membatalkan majlis kerana PKP, korang boleh dapatkan duit korang semula yang dah dibayar – selagi perkara yang dinyatakan dalam kontrak itu belum dijalankan. Hal ni kemungkinan besarnya akan melibatkan tuntutan mahkamah, di mana mahkamah boleh memerintahkan pihak lagi satu untuk membuat bayaran balik bagi kontrak yang dah jadi kekecewan kontrak.

Jadi, kalau korang menghadapi masa yang sukar dan kena mengubah segala perancangan kerana PKP ni adalah lebih baik korang selesaikan isu ni di luar mahkamah je. Sebabnya, ini bukan salah korang atau pihak satu lagi tu, dan ia baik juga daripada terpaksa melalui proses mahkamah yang panjang. Tapi untuk yang terbaiknya, korang juga dinasihati untuk berbincang dengan peguam tentang hal ni sebab keadaan ini bersifat subjektif dan berbeza dari segi kes ke kes.

Tags:
kontrak
akta kontrak
perintah kawalan pergerakan
force majeure
batal kahwin
tangguh kahwin
bayaran balik
majlis kahwin
kekecewaan kontrak

66

Shares

A+

A-