Asklegal
Home banner 298a1fe1 fddd 44ad aff4 85cee30eb345

Criminal,General

Akta berita palsu dah dimansuhkan tahun 2019. Tapi kenapa masih ada yang ditangkap?

almost 5 years ago Azar Ishak

20

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Masa artikel ni ditulis, dah ada 22 kes koronavirus atau nama rasminya, COVID-19 disahkan di Malaysia. Tapi dalam masa sama, sementara ramai yang berjaga-jaga dan peka dengan berita semasa, banyak pula berita palsu yang disebarkan. Boleh dikatakan yang penularan berita palsu ni, terutamanya di media sosial lebih cepat berbanding dengan virus tu sendiri. 

Dan rasanya, korang semua dah baca atau dengar pasal penahanan beberapa orang individu kerana didakwa menyebarkan berita palsu. Lebih mengejutkan lagi, antara yang ditahan tu termasuklah seorang wartawan yang pernah menang anugerah. Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga dah keluarkan kenyataan tentang penangkapan beberapa individu ni dan jelaskan tentang kesalahan mencipta atau menyebarkan berita palsu. 

Tapi apa yang menimbulkan persoalan sekarang adalah, bukan ke kerajaan sebelum ni dah mansuhkan Akta Anti-Berita Tidak Benar pada tahun lepas (2019)? Kalau akta ni dah dimansuhkan, macam mana pula masih ada yang ditangkap sebab sebarkan berita palsu pasal koronavirus?

 

Masih ada undang-undang lain yang boleh digunakan

Imej dari Giphy.

Secara dasarnya, Akta Anti-Berita Tidak Benar ni adalah akta yang bertindak sebagai langkah pencegahan, untuk menghalang orang daripada menyebarkan maklumat yang salah kepada satu sama lain.

Tapi definisi berita palsu boleh jadi luas sangat. Di bawah akta, berita palsu ditakrifkan sebagai apa-apa maklumat yang mempunyai potensi untuk diterima (dibaca, didengar atau dilihat) oleh masyarakat awam. Dengan kata lain, secara literalnya – apa sahaja boleh dianggap sebagai sebagai berita palsu jika ia diterbitkan atau dipaparkan kepada awam. Bagaimanapun, Akta ni kemudiannya dianggap sebagai tak adil, sampai akhirnya ia dimansuhkan pada tahun lalu.

Walaupun begitu, selepas akta ni dimansuhkan – kita sebenarnya masih ada undang-undang yang boleh mencegah penularan berita palsu. Kalau kita merujuk penahanan seorang lelaki di Bangi baru-baru ni. Dia dah didakwa di bawah dua undang-undang berbeza kerana menerbitkan maklumat yang salah tentang koronavirus. Antara peruntukan yang digunakan adalah:

1. Seksyen 505(b), Kanun Keseksaaan
“Barang siapa membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita… Dengan niat hendak menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, atau kepada mana-mana golongan awam supaya oleh yang demikian itu seseorang mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap Negara atau terhadap ketenteraman...”

Akta ni pada dasarnya untuk mencegah sesiapa pun dari menyebarkan maklumat tak sahih yang boleh menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat. Sesiapa yang disabitkan dengan jenayah ni, boleh dipenjara sehingga 2 tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.  

Bagaimanapun, ada pengecualian dalam Kanun Keseksaan ni: Kalau korang betul-betul percaya dengan kenyataan yang diterbitkan atau apa yang disebarkan tu sebagai benar, dan korang tak ada niat nak sebarkan berita palsu – korang boleh gunakan hujah ni untuk elak disabitkan kesalahan. 

(1)  Seseorang yang— (a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar –
(ii) memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain…

Berbanding dengan peruntukan sebelumnya, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 lebih cenderung dalam hal berkaitan komunikasi, terutamanya menyasarkan penyebaran berita palsu melalui rangkaian internet/peranti elektronik. Sub-seksyen (3) dalam seksyen ni membawa kepada denda tak lebih RM50,000 atau penjara tak lebih 1 tahun atau kedua-duanya. Kalau orang yang sama ditangkap sekali lagi menyebarkan berita tak sahih, dia boleh didenda RM1,000.00 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Jadinya di sini, walaupun Akta Anti Berita Tidak Benar dah tak ada, masih ada undang-undang lain yang boleh digunakan untuk mendakwa penyebar berita palsu. Undang-undang ni akan digunakan oleh pihak berkuasa untuk mencegah orang ramai dari buat berita palsu yang seterusnya menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat. 

Tapi, muncul juga persoalan…

 

Macam mana nak tahu berita tu palsu atau tak?

Imej dari KKM Putrajaya.

Masalah berita palsu ni bukan jadi di Malaysia je, tapi boleh dikatakan di seluruh dunia sekarang ni. Dengan adanya berita palsu ni, ia boleh menimbulkan rasa takut, salah faham, ataupun sampai mengganggu keamanan negara. 

Jadinya, mungkin cara terbaik untuk mengelakkan berita palsu (atau dapat masalah dengan undang-undang) adalah persiapkan diri korang sendiri. Kami ada temu bual Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mustaffa Fazil dalam satu artikel kami sebelum ni, yang gariskan dua langkah mudah yang sesiapa pun boleh buat:

  1. Cuba berfikiran waras dan luangkan masa untuk mempertimbangkan niat korang dan kemungkinan akibatnya
  2. Semak fakta melalui Google atau laman seperti Sebenarnya.my

Dan dalam isu virus ni, sumber maklumat paling tepat mestilah dari Kementerian Kesihatan. Jadinya, korang boleh la semak maklumat di laman rasmi mereka atau melalui Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk tahu kesahihan khabar angin yang sampai. 

Maka kesimpulannya, walaupun Akta Anti Berita Tidak Benar dah tak ada, kita sebenarnya ada undang-undang yang masih digunapakai untuk mencegah menularan berita palsu. Ini jadi ingatan kepada kita semua – sebelum Post atau Share sesuatu tu, fikirkanlah dulu kesahihan dan akibatnya. 

[BACA LAGI: Is there freedom of speech in Malaysia if you can get arrested for Facebook posts?]

Tags:
kanun keseksaan
pdrm
akta komunikasi dan multimedia
berita palsu
akta anti berita tidak benar
koronavirus
covid-19

20

Shares

A+

A-