Asklegal
Home banner d962d30f acb0 4f29 9c80 8d44f5e4add2

Constitution,General

5 butiran berkenaan ICERD yang dipertikaikan oleh rakyat Malaysia

about 6 years ago Clarence Kuna

167

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Artikel asal dalam Bahasa Inggeris. Click here for English version]

 

Sejak kebelakangan ini, topik yang hangat diperbincangkan oleh seluruh lapisan masyarakat negara kita adalah ICERD International Convention on the Elimination of All Forms if Racial Discrimination (Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum). Ringkasnya, ICERD adalah konvensyen (atau persetujuan) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertujuan untuk memupuk kesetaraan kaum di segenap lapisan masyarakat antarabangsa, namun apa yang berlaku di sini adalah sebaliknya kerana kebanyakan ahli politik dan rakyat Malaysia berbahas sama ada Malaysia harus menandatanganinya atau tidak.

Komen-komen di artikel tempatan mungkin dapat memberi gambaran kepada anda tentang sokongan atau bantahan terhadap ICERD, tetapi rumusan yang terbaik berkenaan ini adalah mengenai status Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan status Islam sebagai agama rasmi Malaysia. Satu petisyen yang menentang ICERD di Change.org menggariskan beberapa kemungkinan yang didakwa akan berlaku jika Malaysia menandatanganinya:

Nota: Kita di sini tidak mengandaikan yang ini akan atau boleh berlaku ya. Petisyen penuh di sini.

Ini disusuli pula dengan laporan berita yang mengatakan bahawa Perdana Menteri Tun Mahathir memberi kenyataan bahawa perlaksanaan ICERD di Malaysia adalah mustahil, rancangan untuk mengadakan perhimpunan anti-ICERD di Kuala Lumpur pada 8hb Disember, dan berita-berita lain yang boleh mengelirukan pihak yang tidak arif akan usul ini. Jadii, kami akan cuba menerangkan topik ini dari asasnya, bermula dengan – apakah itu ICERD, dan apakah tujuan rasminya.

[BACAAN LANJUT: Bagaimana untuk menganjurkan perhimpunan yang sah di Malaysia]

TERKINI: Pada 23hb November, kerajaan mengumumkan bahawa ia tidak akan meratifikasikan ICERD.

 

1. Undang-undang diperkenalkan atau diubah

Seperti yang dibincangkan sebelum ini, ICERD merupakan perjanjian antarabangsa; ia menyediakan rangka kerja yang terdiri dari syarat yang harus dipatuhi negara yang telah menandatanganinya. Ini bermakna peruntukan (“undang-undang” dalam ICERD) hanya sah di Malaysia selepas kerajaan menandatangani dan meratifikasikannya – ‘ratifikasi’ bermaksud menjadikannya sah dan diiktiraf secara rasmi.

Selepas satu-satu negara menandatanganinya, mereka kemudian harus mengkaji semula undang-undang dan dasar yang sedia ada untuk memenuhi keperluan ICERD di mana seperti yang dicadangkan melalui namanya, bertujuan untuk menghapuskan diskriminasi kaum.

Artikel 2(1)(c) Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (tiada terjemahan asal, terjemahan oleh Asklegal)

Setiap negara ahli harus mengambil langkan berkesan untuk mengkaji semula dasar kerajaan, nasional dan tempatan, dan mengubah, membatalkan atau memansuhkan mana-mana undang-undang dan peraturan yang memberi kesan dalam membentuk atau mengekalkan diskriminasi kaum di mana sahaja ianya wujud;

Tanggungjawab utama negara-negara yang telah menandatanganinya (dirujuk sebagai State Party (Negara Ahli) dalam dokumen tersebut) boleh didapati di dalam Artikel 2 ICERD, di mana rumusannya adalah seperti di bawah:

  • Tidak menyokong atau mempertahankan diskriminasi mana-mana individu atau kumpulan 
  • Mengubah atau membatalkan undang-undang sedia ada yang mewujudkan atau menyokong diskriminasi kaum
  • Memupuk atau mencadangkan langkah-langkah yang membawa kepada penyatuan kaum
  • Mengambil langkah khas untuk membangunkan atau/dan melindungi kaum tertentu dengan tujuan memberi kesetaraan kepada mereka.

Sebagai contoh, selepas Australia meratifikasikan ICERD pada tahun 1975, Parlimen Australia meluluskan Akta Diskriminasi Kaum untuk menepati kewajipan baru ini.


2. Semua rakyat akan mendapat hak pendidikan yang setara (dan perkara-perkara lain)

Sebahagian daripada langkah menghentikan diskriminasi kaum adalah setiam orang diberi jaminan hak yang setara. Ini bermakna beberapa hak “asas” mesti diberi kepada semua rakyat dengan setara

Artikel 5 Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (dalam bahagian – tiada terjemahan asal, terjemahan oleh Asklegal):

Untuk mematuhi kewajipan asas seperti yang termaktub dalam Artikel 2 Konvensyen, Negara Ahli harus mengharamkan dan menghapuskan semua bentuk diskriminasi kaum dan menjamin hak yang sama kepada semua orang, tanpa mengira kaum, warna kulit, kewarganegaraan atau etnik asal, dengan kesetaraan di bawah undang-undang, terutamanya dalam menikmati hak-hak berikut…

Artikel 5 seterusnya menggariskan hak-hak berikut, termasuk

  • 5(d)(vii) – Hak untuk berfikir, bersuara hati dan agama
  • 5(d)(v) – Hak untuk memiliki hartanah dan semua yang berkaitan dengannya
  • 5(e)(v) – Hak untuk mendapatkan pendidikan dan latihan

Ini juga mungkin merupakan usul utama yang menjadi perbahasan hangat tentang keputusan Malaysia dalam isu ICERD.

 

3. Ungkapan kebencian (hate speech) akan disenaraikan sebagai satu jenayah

Ungkapan kebencian (hate speech) secara umumnya adalah ucapan atau kenyataan yang menyerang seseorang kerana mereka berbeza dari segi kaum, agama etnik atau faktor lain. Bagi ICERD, ungkapan kebencian terikat dalam konteks kaum.

Jadi selain dari menggalakkan negara ahli untuk menghapuskan undang-undang yang mendiskriminasikan kaum, negara ahli ICERD juga perlu membentuk atau mengamalkan undang-undang yang menyenaraikan pengarangan, penyampaian dan dukungan ungkapan kebencian sebagai satu jenayah.

Artikel 4(a) Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (tiada terjemahan asal, terjemahan oleh Asklegal)

Harus mengisytiharkan bahawa semua jenis idea berasaskan keagungan dan kebencian kaum, hasutan terhadap diskriminasi kaum dan semua jenis keganasan dan hasutan terhadap semua kumpulan kaum atau kumpulan perseorangan dari warna kulit atau etnik, atau bantuan yang diberi kepada semua jenis aktiviti yang berasaskan perkauman, termasuk dari segi kewangan, sebagai satu kesalahan di bawah undang-undang;

Ini juga termasuk mengatur dan menyertai kumpulan atau perhimpunan yang menggalakkan perkauman, di mana ianya dianggap sebagai melanggar undang-undang.

Namun sesetengah negara menghadapi masalah apabila berdepan dengan pilihan di antara kebebasan bersuara dan pengharaman ungkapan kebencian. Sebagai contoh, apabila mahkamah di Norway mendakwa seorang individu Neo-Nazi atas kesalahan ucapan berbaur perkauman terhadap masyarakat Yahudi atas sebab kebebasan bersuara – ianya diputuskan bahawa tindakan ini bertentangan dari peruntukan ICERD.

Tetapi persoalannya, siapakah yang memantau ICERD? Jawapannya.…

 

4. Satu badan bebas memastikan bahawa negara ahli mematuhi ICERD

Yang in boleh buat otak anda bengkak sedikit. Perlaksanaan ICERD dipantau oleh Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Kaum (Committee on the Elimination of Racial Discrimination) atau lebih dikenali sebagai....CERD.

Ya betul, ICERD dipantau oleh CERD #samatapitaksama.

Ringkasnya, CERD terdiri dari kumpulan pakar bebas yang memantau perlaksanaan dasar oleh negara ahli dan menyemak aduan yang dibuat oleh individu dan kumpulan terhadap negara mereka.

Artikel 8 Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (dalam bahagian – tiada terjemahan asal, terjemahan oleh Asklegal):

Satu Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Kaum (dirujuk sebagai Jawatankuasa) yang terdiri dari lapan belas pakar yang bermoral tinggi dan diiktiraf akan dibentuk melalui pengundian yang adil oleh Negara Ahli dari rakyat negara mereka.…

Negara ahli perlu memberi laporan kepada CERD setahun selepas menandatangani perjanjian, dan sekali setiap dua tahun atau jika diminta. Jika anda ada membaca pautan Akta Diskriminasi Kaum Australia di butiran 1 di atas, ia sebenanya merupakan laporan bagaimana pihak berkuasa Australia “akhirnya bersetuju untuk memberi kerjasama” dan mematuhi CERD terhadap kelewatan mereka memberi laporan dan beberapa kekurangan dalam perlaksanaan ICERD mereka; di mana ini termasuk beberapa perunduran dalam Akta Diskriminasi Kaum dan kekurangan lain dalam kesetaraan kaum. Baca di sini.

Jika sesetengah kumpulan atau individu merasakan bahawa hak mereka dilanggar atau tidak diutarakan dengan betul oleh kerajaan mereka (atau pihak berkuasa), mereka juga boleh membuat rayuan kepada CERD – tetapi ini hanya boleh dilakukan sekiranya mereka sudah ketandusan semua jalan penyelesaian yang lain. Jika kita mengimbas kembali butiran 3 di atas berkenaan kes ungkapan kebencian di Norway, masyarakat Yahudi yang terlibat hanya mengutarakan kes mereka kepada CERD setelah kes berkenaan dirujuk sehingga ke Mahkamah Tinggi Norway, di mana mahkamah tersebut tidak memihak kepada mereka.

Jadi apakah akibatnya jika CERD mendapati ada berlakunya pelanggaran?

Amnya, CERD akan mengeluarkan laporan menggariskan sebab mereka dan akan memberi cadangan untuk memperbaiki keadaan. Namun dalam sesetengah kes seperti kes pertelagahan di antara dua negara yang tidak dapat mencari jalan penyelesaian, maka Mahkamah Keadilan Antarabangsa (International Court of Justice) akan terlibat (Artikel 22) dan mereka akan mempertimbangkan laporan CERD dalam penentuan kes. Jika anda berminat, bacaan lanjut boleh didapati di sini.

Negara yang menandatangani perjanjian ICERD amnya akan diletakkan di bawah pantauan dan piawai yang lebih tinggi, di mana ia akan memberi kesan terhadap beberapa objektif antarabangsa seperti keahlian agensi PBB atau majlis/badan. Sebagai contoh, Amnesty International mencadangkan persetujuan Australia untuk memenuhi CERD berkait rapat dengan penyertaan negara tersebut ke dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR).

 

5. Negara ahli tidak perlu mematuhi ICERD 100%

Walaupun secara logiknya mana-mana negara yang menandatangani perjanjian ICERD dikehendaki mematuhi semua dasarnya, namun ianya tidak benar. Perjanjian ini membenarkan kelonggaran kepada negara ahli untuk menyatakan sebab yang mengelakkan mereka dari memenuhi semua dasar ICERD, dengan syarat sebab-sebab ini mematuhi objektif ICERD.

Kesemua sebab ini digariskan di bawah Koleksi Pakatan Bangsa-Bangsa Bersatu, seperti contoh:

  • Amerika Syarikat – Membenarkan “ungkapan kebencian” sebagai sebahagian hak Perlembagaan untuk bersuara (Freedom of Speech)
  • Emiriah Arab Bersatu – “Penglibatan Emiriah Arab Bersatu dalam Konvensyen ini tidak sama sekali melibatkan apa bentuk usaha untuk membentuk atau mengiktiraf hubungan dan pakatan dengan Israel” (ungkapan asal diterjemah dari Bahasa Inggeris)
  • Thailand – Tidak terikat untuk  menterjemahkan atau menggunakan dasar ICERD diluar peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Thailand.

Dalam konteks tempatan, Badan Guaman Malaysia menerangkan bahawa Artikel 1(4) memperuntukkan “langkah khas” untuk sesetengah kumpulan supaya mereka diberi bantuan tambahan atas sebab memberikan peluang yang setara kepada mereka. Namun begitu, ini harus dihentikan sekiranya objektif tersebut tercapai: 

Artikel 1(4) Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (tiada terjemahan asal, terjemahan oleh Asklegal):

Langkah khas harus diberi atas sebab memberi peluang setara kepada sesetengah golongan kaum atau kumpulan etnik atau individu yang memerlukan bantuan ini untuk memastikan bahawa kumpulan atau individu ini dapat menikmati atau melaksanakan hak asasi manusia yang setara dan kebebasan asas ini tidak akan dilihat sebagai diskriminasi kaum; dengan syarat langkah-langkah ini tidak akan, sebagai akibat, membawa kepada penyelenggaraan hak yang berlainan kepada kumpulan kaum yang lain dan langkah khas ini juga harus dimansuhkan selepas objektif tercapai.

Ini seterusnya disebut lagi dalam Artikel 2(2) (dalam bahagian – tiada terjemahan asal, terjemahan oleh Asklegal):

Negara Ahli akan, dalam keadaan yang membenarkannya, mengambil langkah khas, dari segi sosial, ekonomi, kebudayaan dan lain-lain bidang, untuk memastikan kemajuan dan bantuan yang cukup kepada kumpulan kaum dan individu yang berkaitan dengannya, dengan tujuan menjamin hak dan nikmat hak asasi manusia dan kebebasan asas yang setara...

Namun begitu, kita masih belum pasti sama ada ini akan memainkan peranan dalam kehendak pihak yang menentang ICERD kerana.…

 
Masih belum jelas jika Malaysia akan mengamalkan ICERD

Saspen camni yang takleh tahan nengok nih!

Sebenarnya ini bukan kali pertama ICERD menjadi tumpuan kerajaan, kerana kerajaan pimpinan BN sebelum ini pernah memberi pertimbangan terhadapnya, dua kali iaitu pada tahun 2011 dan 2015.

Dengan adanya hujah dari semua pihak, masih belum pasti lagi jika Malaysia akan meninggalkan senarai 14 negara yang belum lagi menandatangani pakatan ini.

TERKINI: Walaupun Kerajaan Malaysia telah pun mengumumkan bahawa ia tidak akan meratifikasikan, Perhimpunan Anti-ICERD masih lagi dijalankan

Jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang kesahihan Perhimpunan Anti-ICERD, bacalah artikel mengenai perhimpunan di sini.

 

Tags:
perlembagaan persekutuan
icerd
waythamoorthy
undang-undang antarabangsa
perjanjian
konvensyen antarabangsa penghapusan diskriminasi kaum
Abb3569d 1a37 409d ae68 577ef094832e
Clarence Kuna

clarencekuna@gmail.com


167

Shares

A+

A-