Asklegal
Home banner 61b8c9e6 662c 44c7 b588 224a3b5a7116

Criminal,General

Bolehkah anda membawa senjata untuk mempertahankan diri?

over 6 years ago Clarence Kuna

104

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Artikel asal dalam Bahasa Inggeris. Click here for English version]

 

Semenjak kecil lagi, kita dinasihatkan untuk menjaga diri kita: “jangan ikut orang yang kita tak kenal”, “jangan keluar bersendirian pada waktu malam”, “jangan masuk lorong gelap”... ada juga yang dinasihati menyimpan senjata dalam kereta – manalah tau kan?

Jangan mengada-ngada nak jadi macam dia.
Gambar dari azmykelanajaya

Tetapi apakah senjata yang kita boleh bawa untuk tujuan mempertahankan diri? Bukankan sesetengah senjata ini haram? Bergantung kepada jenis senjata, sama ada pisau, kayu ataupun pistol, anda mungkin boleh ditahan jika membawa senjata-senjata ini.

Jadi persoalannya adalah bagaimana untuk melindungi diri kita dari ancaman dan undang-undang?

 

Pertama, ada senarai senjata yang tidak dibenarkan sama sekali

Harap maklum bahawa pemilikan senjata api adalah salah di sisi undang-undang melainkan anda memiliki Lesen Membawa dan Mengguna di bawah Akta Senjata 1960. Rakan-rakan kami di CILISOS ada menulis artikel mengenai cara-cara mendapatkan lesen di sini.

 Kita ada undang-undang berkenaan senjata yang tidak dibenarkan di bawah Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. Selain dari namanya yang panjang, akta ini menyenaraikan senjata yang tidak boleh dibawa oleh orang awam, kerana ianya berbahaya. Senjata-senjata ini tersenarai di bawah Jadual 2, iaitu (secara ringkasnya):

  1.  ‘Flick knife’ – Pisau yang mengeluarkan bilah secara automatik melalui kuasa pusat putaran atau dengan menekan butang, spring dan sebagainya pada gagang pisau.
  2. ‘Gravity knife’ – Pisau yang mengeluarkan bilah dari gagang atau sarung melalui tekanan graviti.
  3. Alat sebatan/libasan (whip) –  Diperbuat daripada rantai basikal atau motosikal, atau seumpamanya.
  4. Semua jenis buku lima (knuckleduster).
  5. Semua jenis bilah yang boleh disembunyikan (concealed) atau alatan lain yang berupaya digunakan untuk menghiris atau menikam. 
  6. ‘Bearing scraper’ – Pisau dengan tiga mata yang tajam dan hujung yang runcing.
  7. Kapak kecil.
  8. Senjata yang dikaitkan dengan agama atau kepercayaan – Sebarang pedang, keris, parang atau pisau yang padanya tertulis atau terukir sebarang perkataan, ayat atau gambaran yang berkaitan dengan sesuatu agama atau kepercayaan.
  9. Sebarang jenis pedang atau parang yang kebiasaannya digunakan sebagai senjata dan bukan untuk tujuan pertanian, kegunaan rumah atau taman bercucuk tanam.
  10. Lembing dan mata lembing.
  11. Panah-silang (crossbow).
  12. Senjata elektrik – Patrolite, Stun Gun, Taser, Control Club atau peralatan seumpamanya, yang berkuasa bateri atau dari apa-apa juga sumber tenaga.
Ini macam nak pi perang jer?. Gambar dari theborneopost

Panjang cerita, senarai ini mengharamkan senjata yang tidak mempunyai kegunaan lain selain dari mencederakan orang. Hukuman jika disabit bersalah membawa senjata yang dilarang adalah di bawah Seksyen 7(1) iaitu penjara selama 5 hingga 10 tahun.

Jadi adakah senarai senjata yang boleh digunakan untuk mempertahankan diri?

 

Adalah salah membawa apa-apa yang boleh mencederakan orang sebagai senjata

Di sinilah garis sempadan di antara salah dan tidak salah agak kabur sedikit. Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 menyatakan bahawa adalah salah membawa senjata untuk kegunaan menyerang (offensive weapon) di khalayak ramai tanpa kebenaran di bawah undang-undang. Jika anda didapati bersalah maka anda boleh dipenjarakan dari 5 hingga 10 tahun dengan sebatan.

Tetapi apakah itu senjata untuk kegunaan menyerang? Seksyen 2 (tiada terjemahan Bahasa Malaysia) mengatakan bahawa:

“..segala peralatan yang boleh digunakan untuk menyerang seseorang, di mana ia boleh mengakibatkan kecederaan”
Yang ni pun tak boleh bawak. Gambar dari Alibaba

Ini bertentangan dengan sesetengah andaian di mana undang-undang menyatakan bahawa pisau di bawah 3 inci dibenarkan. Kenyataan undang-undang amat luas untuk mendakwa sesiapa yang membawa apa-apa barang yang mungkin boleh digunakan sebagai senjata, tetapi ianya kurang jelas dari segi apa yang salah dan tidak. Jika mahu, skin komputer pun boleh digunakan sebagai senjata, kan?

Tetapi jangan bimbang, kerana apa yang jelas di sini adalah...

 

Alasan untuk anda menggunakan “senjata” tersebut

Undang-undang menyatakan bahawa anda mesti membawa senjata yang boleh digunakan untuk tujuan menyerang dengan kebenaran (lawful authority) atau tujuan (lawful purpose) dibawah undang-undang. Misalnya, jika diperiksa semasa sekatan jalanraya, kita harus buktikan yang kita membawa kayu hoki kerana kita bermain hoki; ataupun membawa bokken (katana kayu) kerana kita mempraktikkan seni mempertahankan diri kendo. 

Apa yang boleh dikira ‘lawful’ atau dibenarkan di bawah undang-undang? Seksyen 6(3) menyatakan bahawa anggota tentera, polis, ataupun pegawai kerajaan yang memerlukan senjata boleh membawa senjata di bawah undang-undang. Senjata juga boleh digunakan sebagai pakaian untuk upacara rasmi.

Seperti yang digunakan oleh Agung. Gambar oleh thestar

Selain dari pengecualian di atas, anda harus mempunyai alasan yang munasabah untuk membawa senjata. Sebagai contoh jika pekerjaan anda melibatkan penggunaan peralatan yang berbahaya. Kalau anda membawa pisau tajam yang dibalut dalam bonet belakang kereta kerana anda seorang tukang masak, mungkin ianya dibenarkan tetapi bersedialah untuk beri penjelasan jika anda seorang akauntan yang menyembunyikan sebilah parang di bawah tempat duduk kereta.

 

Jadi… bolehkah anda membawa apa-apa untuk mempertahankan diri?

Membawa senjata untuk tujuan mempertahankan diri masih lagi salah di sisi undang-undang. Ini adalah kerana tiada pengecualian diberikan untuk alasan mempertahankan diri di bawah Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. Namun anda mungkin diberi pengecualian jika pekerjaan anda melibatkan risiko yang tinggi untuk diancam (seperti peguam), pekerjaan anda melibatkan anda banyak memandu dan bekerja di waktu malam, ataupun apa-apa keadaan yang meletakkan anda di bawah risiko tinggi.

Ada banyak cerita di forum Lowyat di mana ada yang dilepaskan oleh pihak polis setelah ditahan kerana memiliki senjata di dalam kereta selepas penjelasan diberikan tetapi lazimnya anda harus memastikan bahawa:

  1. Senjata yang dibawa bukannya di bawah Jadual 2 Akta.
  2. Anda mempunyai kebenaran di bawah undang-undang.
  3. Ianya bukan bertujuan untuk mencederakan sesiapa.
  4. Anda tidak berada di kawasan berkadar jenayah tinggi ataupun tempat yang disyaki ketika membawa senjata tersebut.

Mari kita lihat kes Kamarusham Bin Zakaria v Pendakwa Raya [2017], di mana Kamarusham dijumpai membawa sebilah pisau di bawah sebuah jambatan di Kelantan pada pukul 11 malam oleh pihak polis. Dia telah pun menjalani hukuman selama 9 bulan di penjara, tetapi ianya dinyatakan bahawa undang-undang bertujuan untuk mengelakkan penggunaan senjata untuk tujuan melakukan jenayah berat. Walaupun ia masih lagi salah untuk membawa senjata yang berbahaya, tetapi para hakim membebaskan Kamarusham kerana keadaan (circumstance) menunjukkan bahawa dia tidak bertujuan menggunakan pisau tersebut untuk kegiatan jenayah. Seperti mana yang dimaklumkan oleh hakim:

“Ini bukannya situasi di mana pedang katana dijumpai di bonet belakang kereta yang dibawa olehnya dengan penumpang lain, di mana jika dalam kes ini, ianya boleh diandaikan bahawa dia dan rakan-rakannya baru kembali dari bergaduh; ataupun parang yang penuh dengan kesan darah, atau pedang panjang yang dijumpai padanya ..... walaupun apa yang salah di sini adalah sebilah pisau kecil yang dijumpai di dalam kocek seluarnya yang bertujuan untuk mempertahankan diri sendiri.” – terjemahan dan penekanan diberi oleh ASKLEGAL

 

Anda boleh mempertahankan diri sendiri sekiranya ia sah di sisi undang-undang

Kesimpulannya, janganlah bawa apa-apa senjata yang berbahaya jika anda tidak boleh berbuat demikian. Mungkin sebilah parang sesuai digunakan di kebun rumah, tapi cubalah beri alasan yang munasabah jika anda ditangkap menyembunyikannya di bawah tempat duduk kereta.

[BACAAN LANJUT: Kadang kala, polis menahan orang yang melindungi diri dari perompak...kenapa?]

Polis berhak menahan dan mencari jika anda ditemui dalam situasi yang mencurigakan, jadi jika anda benar-benar perlu membawa sesuatu dengan tujuan mempertahankan diri, pastikan yang ianya sah di bawah sisi undang-undang. Dan jika anda mempunyai alasan yang munasabah untuk membawa sebilah parang, pastikan yang anda lakukannya di siang hari, bukannya pada malam-malam buta.

Tags:
akta bahan-bahan kakisan dan letupan dan senjata berbahaya 1958
pisau
senjata
pertahanan diri
haram
Abb3569d 1a37 409d ae68 577ef094832e
Clarence Kuna

clarencekuna@gmail.com


104

Shares

A+

A-