Criminal
Kadang kala, polis menahan orang yang melindungi diri dari perompak...kenapa?
almost 7 years ago adlykiddy[This article is also available in English]
Ada sesetengah orang berpendapat bahawa undang-undang mempertahankan diri (self defense) di Malaysia ni kelihatan seperti tak adil, malah ia mendatangkan kemarahan netizen apabila mangsa rompak ditahan kerana membunuh atau mencederakan perompak dengan teruk – contoh yang terbaru berlaku apabila seorang lelaki berumur 32 tahun dari Johor ditahan kerana membunuh seorang perompak yang memecah masuk rumahnya.
Menurut Kanun Keseksaan Seksyen 96 – 106, anda sebenarnya dibenarkan untuk mempertahankan diri – sehingga tahap membunuh jika situasi tersebut melibatkan rogol, culik, atau rompakan. Ini sudah pun termaktub didalam Kanun Keseksaan Seksyen 96 (Tiada terjemahan rasmi, diterjemahkan oleh ASKLEGAL):
Tapi kalau anda lihat pula di bahagian Seksyen 97 yang berkaitan dengan hak untuk mempertahankan diri dan harta peribadi, telah tertulis bahawa:
Senang cerita, Kanun Keseksaan Seksyen 96 dan 97 memberi anda hak untuk mempertahankan diri (dan orang lain) dan juga harta peribadi tetapi tertakluk dengan situasi dan larangan yang dibenarkan.
Secara jujurnya undang-undang mempertahankan diri Malaysia ni sebenarnya agak luas jadi untuk artikel ni kami akan fokus kepada isu kenapa membunuh perompak mungkin akan menyukarkan diri anda. Jadi sebelum kita mulakan, kami akan terangkan satu salah tanggapan yang mungkin mengelirukan sesiapa yang tidak biasa dengan prosedur polis...
Kalau ditahan ni tak bermaksud anda bersalah
Kadang-kadang tu bila kita lihat orang yang ditahan tu boleh menjadi topik perbualan untuk beberapa hari – dengan tangan digari dan kelibat polis yang mengiring orang yang ditahan ke kereta polis malah dengan stigma media dan masyarakat, orang yang digari ni sering dianggap sebagai penjenayah.
Sebenarnya, kalau ditahan (secara amnya) hanyalah langkah pertama dari tiga langkah sebelum orang yang ditahan itu secara rasminya dikira sebagai penjenayah ataupun bersalah. Tiga perkara tersebut adalah
- Siasatan – Pihak berkuasa memerlukan semua bukti dan kenyataan untuk memahami apa yang sebenarnya sudah berlaku. Seseorang boleh ditahan bagi membantu siasatan, dan suspek hanyalah suspek; bukannya terbukti bersalah.
- Dakwaan – Setelah terima bukti yang mencukupi, pihak pendakwa raya akan mengeluarkan tuduhan undang-undang terhadap suspek dan ketika ni suspek akan ditahan semula atau dipanggil naik ke mahkamah. Walaupun sebegitu, suspek masih lagi dikira sebagai tidak bersalah.
- Hukuman – Selepas sesi mahkamah berkahir, hakim akan menentukan sama ada suspek bersalah atau tak berdasarkan bukti dan perbahasan dalam mahkamah. Hanya selepas hakim menjatuhkan keputusan (verdict) bersalah; barulah suspek tersebut akan dikira bersalah dari segi undang-undang.
Sudah termaktub didalam undang-undang negara kita bahawa seseorang itu hanya boleh ditahan untuk jangka masa yang tertentu bersebabkan siasatan kes, dan boleh dibebaskan jika tidak mempunyai sebarang dakwaan terhadapnya. Anda boleh membaca lebih lanjut di artikel kami yang lain:
[Bacaan lanjut: Kalau anda ditahan, adakah anda secara automatik merupakan seorang penjenayah (English)]
[Bacaan lanjut: Macam mana jika hendak tahu jika saya secara rasminya ditahan oleh PDRM (English)]
Okay, mari kita ke topik sebenar artikel ini...
Anda hanya dibenarkan untuk menggunakan kekerasan yang berpatutan... tapi apa maksud “yang berpatutan?”
Seperti yang kami sebutkan tadi, sebenarnya ada had untuk anda melindungi diri anda di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 99. Kami akan fokuskan kepada dua topik dalam Seksyen 99 yang sering disalah anggap:
Kanun Keseksaan Seksyen 99 (Tiada terjemahan rasmi, diterjemahkan oleh ASKLEGAL) – Perbuatan yang tiada hak pertahan persendirian :
Senang cerita anda tidak boleh menggunakan alasan mempertahankan diri jika anda mempunyai masa atau peluang untuk mendapatkan perlindungan (seperti menghubungi polis atau lari kepada anggota polis yang berdekatan) atau menggunakan kuasa yang melampau untuk memastikan kesalamatan anda. Point no (3) tu mudah untuk difahami, isu yang selalu mengelirukan adalah Point no (4) – pemahaman apa itu ‘penggunaan kuasa yang berpatutan’ (Reasonable force).
Malah seorang peguam yang bertauliah pun sukar untuk menjelaskan tentang isu ‘penggunaan kuasa yang berpatutan’ ni seperti yang diperjelaskan oleh peguam Datuk Haaziq Pillay (yang kemudiannya telah dikecam netizen) sewaktu ditemubual oleh TV3.
“Sebagai contoh, seseorang memasuki rumah saya dengan tujuan merompak. Sekiranya perompak tersebut menggunakan pisau yang kecil dan saya pula mempunyai pistol maka ia tidak memadai. Menurut undang-undang kalau saya atau keluarga saya berada dalam ketakutan atau nyawa kami terancam baru boleh saya menembak perompak tersebut” – Datuk Haaziq Pillay, dalam temubual TV3 yang dipetik dari Says.com, diterjemahkan oleh ASKLEGAL
Kenapa serpihan undang-undang tersebut sukar untuk dijelaskan kerana setiap kes dinilai secara asing dan berpandukan situasi berkenaan. Perlu diingatkan bahawa serpihan undang-undang tersebut tak boleh diletakkan secara am kepada setiap kes. Sama ada pihak berkuasa mengambil keputusan untuk mendakwa anda atau tidak bergantung kepada fakta-fakta kes tersebut.
“Akhir sekali, mahkamah akan melihat setiap fakta dan situasi mengikut kes yang berlaku. Apa yang orang am sangkakan sebagai pertahanan diri mungkin mempunyai maksud yang berbeza dari mahkamah.” – Sreekant Pillai, Peguam Jenayah, dipetik dari The Sun melalui The Malaysian Bar. Diterjemahkan oleh ASKLEGAL.
Sekarang ni kita lihat pula macam mana setiap situasi dan kes membawa kepada keputusan mahkamah yang berbeza.
Jadinya kita kena bandingkan saiz senjata perompak ke?
Agak kelakar jugalah kalau ada perompak pecah masuk rumah dan anda terus membandingkan pisau siapa yang lebih besar sebelum mengambil tindakan. Contoh yang terbaik adalah kes Palmer (1971) AC814 di mana Palmer (seorang lelaki) telah kantoi ketika mencuri ganja dan dikejar oleh tiga pekerja tanaman. Palmer tu turut melepaskan tembakan dan membunuh salah seorang orang pekerja tersebut. Ketika sesi mahkamah, Hakim United Kingdom, Lord Morris berkata:
"If there has been an attack so that defence is reasonably necessary it will be recognised that a person defending himself cannot weigh to a nicety the exact measure of his necessary defensive action. If a Jury thought that in a moment of unexpected anguish a person attacked had only done what he honestly and instinctively thought was necessary that would be most potent evidence that only reasonable defensive action had been taken."
Yang ni agak teknikal sikit, jadi kita pun bagi petikan asal Lord Morris untuk rujukan sekalian. Di bawah pula terjemahan kita:
“Kalau terdapat serangan di mana tindakan untuk mempertahankan diri adalah wajar, maka akan dikenalpasti bahawa seseorang yang mempertahankan diri itu tidak boleh mengukur tahap kecederaan yang akan dilakukan olehnya. Kalau pihak juri berfikir bahawa dalam masa seketika seseorang yang tak terjangka diserang melakukan apa yang dia rasakan adalah munasabah, jujur, dan mengikut naluri; itulah bukti yang terkuat bahawa tindakan defensif yang berpatutan telah digunakan.
Maksudnya di sini adalah, undang-undang membenarkan anda (dan juga orang lain) untuk mengambil tindakan mempertahankan diri bersesuaian ketika tu. Sama ada pihak berkuasa bersetuju dengan tindakan anda atau tidak ianya bergantung kepada hasil siasatan – makanya ni telah menjawab persoalan kenapa ada sesetangah orang ditahan kerana membunuh perompak.
Secara dasarnya, undang-undang mempertahankan diri adalah untuk membela diri anda atau orang lain dari ditimpa kecelakaan, bukannya menjadi “Hero” yang tak terikat kepada undang-undang macam Batman. Kalau ada masa untuk menghubungi polis, ataupun anda bukanlah lagi berada dalam keadaan bahaya (contohnya perompak tersebut telah menyerah diri), ketika tu sebarang kecederaan yang terjadi kepada perompak tersebut dikira sebagai serangan dan bukannya pertahanan diri.
Untuk pengerangan lebih lanjut, kami akan gunakan tiga contoh di mana perompak mempunyai pisau dan anda mempunyai sepucuk pistol:
Perompak sedar yang dia tak mampu untuk kalahkan anda dan melarikan diri, tapi anda menembaknya kerana ingin menghalang perompak tersebut dari melarikan diri. Polis mungkin akan mengambil ni sebagai kes bunuh (dan mendakwa anda) kerana anda sudah pun selamat apabila perompak tersebut melarikan diri – perompak tersebut tidak lagi ancaman yang sah dan alasan mempertahankan diri mungkin tak laku di dalam mahkamah.
Anda keluarkan pistol dan memberi amaran kepada perompak tersebut bahawa pistol anda mempunyai peluru dan sedia digunakan, tapi perompak tetap berdegil dan terus menyerang anda. Anda melepaskan tembakan dan perompak tersebut mati. Pihak polis mungkin akan membuat siasatan dan membuka kes bunuh tapi, bergantung kepada fakta dan hasil siasatan, anda mungkin terlepas dari dakwaan. Kalau anda didakwa sekali pun, peguam anda boleh lawan dakwaan tersebut di mahkamah atas sebab mempertahankan diri – Anda melepaskan tembakan untuk mengelakkan diri anda dicedera atau dibunuh.
Perompak memegang pisau dan anda pula memegang pistol. Ketika anda berdua sedang bertentang mata, tiba-tiba anak anda yang berumur 3 tahun muncul. Perompak tersebut terus berlari ke arah anak, dan naluri anda sebagai ibubapa terus membuatkan anda menembak mati perompak tersebut. Seperti contoh no 2, anda mungkin terlepas dari disabit kesalahan membunuh tapi kalau kena pun peguam anda boleh melawan kes tersebut di mahkamah – iaitu bagi memastikan keselamatan anak anda.
Jadi apa yang anda perlu lakukan jikalau mengalahkan perompak/penjenayah?
Kalau suspek masih hidup dan bukan lagi ancaman maka anda seharusnya menghubungi pihak polis dan paling takye pun, ikat je perompak tersebut. Apa yang TIDAK dibenarkan adalah menikam atau memberi tumbukan/sepak yang lebih-lebih walaupun perompak tersebut sudah pun mengalah. Ini juga ada kaitan dengan Citizen’s Arrest atau tangkapan awam di mana undang-undang membenarkan anda untuk menahan penjenayah sementara menunggu pihak berkuasa sampai.
[Bacaan lanjut mengenai tangkapan awam: Adakah pukul dan tahan pencuri salah di sisi undang-undang?]
Kalau suspek tersebut mati, cepat-cepat hubungi polis dan jangan bersihkan diri anda atau tempat kejadian sementara pihak polis tiba. Jangan buat hal lebih dengan cubaan untuk menyorok atau mengalihkan mayat dan/atau senjata yang digunakan untuk jenayah tersebut sebab ini adalah kesalahan dari sisi undang-undang!
Ye, anda boleh mempertahankan diri anda dan yang tersayang tapi ni tak bermaksud anda boleh jadi Batman
Akhir sekali, undang-undang hendaklah dipatuhi tak kisahlah macam mana situasinya pun – kalau seseorang dibunuh maka siasatan diperlukan tak kisahlah si mati tersebut merupakan seorang perompak atau pun seorang Professor. Kalau undang-undang mempertahankan diri ni dilayan seperti undang-undang sekolah kantin maka dengan mudah saje untuk rakyat Malaysia saling membunuh. Bayangkanlah situasi di mana penulis Asklegal yang baru dimarah teruk oleh editor menjemputnya ke rumah dengan alasan belanja makan, membunuhnya, dan memberitahu polis bahawa editor tu cuba merompaknya. Tak masuk akal juga kalau abam polis kata “Oh begitu ke? Baiklah, selamat malam” dan tak menyiasat, kan?
Bagus juga untuk anda sentiasa meletakkan nombor kecemasan “999” di speed dial telefon bimbit anda, atau kalau anda tinggal di Selangor anda boleh muat turun aplikasi MyDistress di mana aplikasi tersebut akan menghantar lokasi GPS kecemasan kepada pihak polis. Anda boleh tekan pautan di bawah untuk muat turun:
- Android
- iOS