Consumer,Contract
5 perkara asas yang perlu anda tahu apabila menandatangani kontrak
over 6 years ago Clarence KunaSebelum masuk kerja, kita kena tandatangan kontrak pekerjaan. Beli kereta baru? Tandatangan dulu kontrak sewa beli. Kalau beli rumah pun, kena tandatangan perjanjian pinjaman perumahan. Sedar atau tidak, menandatangani kontrak itu semudah menandai kotak “Saya Setuju” ketika bersetuju dengan perjanjian atas talian (online). Ada kala, namanya berlainan seperti “kontrak”, “persetujuan” atau “perjanjian bersama”, tetapi di Malaysia ia semua dikawal di bawah Akta Kontrak 1950.
Tetapi untuk kontrak atas kertas, kita kadangkala diarah untuk membuat benda-benda yang tak masuk akal, seperti menandatangani setiap muka surat untuk setiap salinan kontrak yang sama. Buat sakit tangan je. Ingat pen murah ke?
Kita sentiasa buat benda-benda kecil yang kita tak faham ketika menandatangani kontrak, namun benda-benda kecil ini ternyata sangat penting untuk memastikan kesahihan kontrak tersebut. Sebagai permulaan, mari kita lihat salah satu asas bagaimana kontrak berfungsi.....
1. INGAT tandatangan! (dan catat tarikhnya)
Dahlah namanya “tandatangan kontrak” tapi percayakah anda ada kalangan yang terlupa menandatangani kontrak mereka? Namun begitu, walaupun anda terlupa untuk menandatangani kontrak, kontrak tersebut masih boleh berkuatkuasa.
[BACAAN LANJUT – Boleh tak saya saman seseorang yang berjanji untuk mengahwini saya (tetapi gagal)?]
Kalau anda nak tahu, kontrak sebenarnya tidak perlu ditandatangan untuk menjadikannya sah! Hanya dengan perbualan di kedai mamak, anda dah boleh memeterai kontrak yang sah di sisi undang-undang. Tanpa berbincang panjang mengenai istilah undang-undangnya: kontrak adalah satu set cadangan di mana dua individu boleh berunding sehingga bersetuju dengannya. Untuk membuat satu cadangan, kedua-dua pihak harus menawarkan sesuatu untuk satu sama lain:
Kita selalu memilih untuk menandatangani kontrak daripada membuat persetujuan lisan kerana persetujuan lisan tidak memberikan kita apa-apa jaminan, dan ianya sukar untuk membuktikan kata-kata seseorang tanpa merakamkannya dalam apa jua bentuk. Kaedah yang lebih mudah untuk membuktikan kewujudan kontrak ialah dengan kedua-dua pihak menulis dan menandatangan di atas kertas – ini adalah sesuatu yang sering kita lakukan sehingga kita tidak sedar kenapa kita berbuat demikian.
Kita juga sering mencatat tarikh bila kita menandatangani kontrak, selalunya di tepi atau bawah tandatangan kita. Tarikh merupakan butir penting dalam kontrak, terutamanya jika kontrak tersebut sensitif dari segi masa dan anda memerlukan tarikh yang tepat untuk permulaan kontrak.
Sebagai contoh, jika anda menyewa rumah dari seseorang, anda perlu mencatat tarikh di dalam kontrak. Kalau tak, siapa tahu bila anda mula menyewa rumah tersebut - 15hb Mei 2018 atau 15hb Mei 2015? Tiba-tiba pula anda boleh dituduh tidak membayar sewa bulanan selama tiga tahun sebab tiada bukti bila anda mula menyewa rumah. Mungkin ini tidak akan berlalu kepada anda, tapi bayangkan jika anda membuat pinjaman kewangan pada bulan Mac, tetapi jika anda gagal mencatat tarikh permulaan pinjaman tersebut, anda mungkin disalahsangka membuat pinjaman pada bulan Februari dan sudah terlewat sebulan untuk bayaran bulanan.
Jadi sila pastikan anda tandatangan dan catat tarikhnya dalam kontrak. Sesetengah kontrak ada menyatakan tarikh kuatkuasa di dalamnya, di mana ia bermakna itulah tarikh bermulanya kontrak tersebut, tetapi tiada ruginya kalao anda masih mencatat tarikh selepas menandatangan.
2.Jangan tandatangan sebarang draf kontrak
Kadang kala, anda mungkin memerlukan kontrak yang ditulis khas kerana kontrak “standard” yang sedia ada tidak dapat menunaikan keperluan anda. Dalam situasi ini, peguam anda atau peguam rakan niaga akan menulis draf kontrak, di mana ini akan dikaji dan disemak sebelum ditandatangani kedua-dua pihak.
Jika anda belum memuktamadkan kontrak, jagan sekali menurunkan tandatangan anda pada sebarang bentuk draf kontrak yang anda hantar atau terima. Jika anda berbuat demikian, anda mungkin akan menghadapi masalah jika ingin membuat pembetulan kontrak, kecuali jika anda sudah mencapai persetujuan dengan rakan niaga. Seksyen 4(2) Akta Kontrak 1950 menyatakan bahawa:
(a) - terhadap pencadang, bila komunikasi penerimaan itu telah dimasukkan ke dalam perjalanan pengiriman kepadanya, di mana ianya berada di luar kuasa penerima.
(b) - terhadap penerima, bila komunikasi penerimaan itu telah sampai kepada pengetahuan pencadang.
Ini bermakna bahawa:
Jika anda menandatangani sesuatu kontrak dan menghantarnya kepada rakan niaga, kontrak tersebut akan menjadi sah sejurus selepas pihak itu menandatanganinya.
Jika anda menerima sesuatu kontrak dan menandatanganinya, kontrak tersebut akan menjadi sah jika pihak yang satu lagi mendapat tahu bahawa anda sudah menandatanganinya.
Bergantung kepada cara anda berkomunikasi, anda mungkin tidak akan menghadapi apa-apa isu jika anda menandatangani draf kontrak kerana pihak satu lagi tidak akan menandatanganinya. Tetapi adalah lebih baik jika draf kontrak tidak ditandatangan langsung kerana katakanlah anda sepatutnya perlu membayar RM10,000 tetapi kesilapan berlaku di mana draf mengatakan anda perlu membayar RM100,000 dan kedua-dua pihak telah menandatangani draf kontrak tersebut, maka banyak masalah mungkin dihadapi.
Harus diingati bahawa anda masih lagi boleh membatalkan draf kontrak dengan membuat dan menandatangani kontrak baru – tetapi ianya bergantung kepada setakat mana pihak yang satu lagi boleh dipercayai, jadi adalah lebih baik anda pastikan anda tidak terperangkap dalam situasi ini.
3.Pastikan anda baca semua lampiran
Sudah tentu semua orang pernah menandatangani kontrak atas talian (online). Salah satu contohnya adalah terma dan syarat perkhidmatan Apple – kebanyakan dari kita sudah tentu tidak membacanya dan terus menekan “Saya Setuju” (“I Agree”). Mungkin sebab kontrak tu terlampau panjang, tetapi kebanyakannya sebab kita tak faham pun isi kandungannya!
[BACAAN LANJUT – Apa akan terjadi jika anda menandatangani kontrak tanpa membacanya di Malaysia?]
[BACAAN LANJUT – Bagaimana untuk menempuh cabaran membaca kontrak sepanjang 50 muka surat?]
Apabila anda menandatangani kontrak yang melibatkan penerimaan perkhidmatan, ia selalunya akan melibatkan “Dasar Privasi” (“Privacy Policy”) – di mana syarikat terbabit akan menggunakan data persendirian anda dan melindungi hak persendirian anda, ataupun menetapkan “Terma dan Syarat” (“Terms and Conditions”), lebih kurang seperti peraturan tambahan untuk kontrak anda.
Lampiran yang berserta terikat dengan kontrak anda, tidak kira sama ada anda membacanya atau tidak. Jadi adalah lebih baik jika anda faham akan semua kandungannya. Alasan “saya tak baca pun, jadi tiada kaitan dengan saya” tidak akan diterima di mahkamah kerana selagi kesemua dokumen ini diberi kepada anda, anda dianggap telah membacanya. Lampiran ini mungkin diserta berasing kepada anda oleh rakan niaga untuk rujukan, tetapi ia juga boleh diberi sebagai pautan (link), seperti mana yang dilakukan untuk kontrak atas talian (online) – jadi jangan terpedaya dengan kontrak yang nampak ringkas di internet.
Pastikan anda faham kesan dari segi undang-undang dan praktikal dalam kontrak anda dan jangan setakat bergantung dengan apa diterangkan oleh pengedar dokumen (bukannya sebab mereka nak tipu anda tetapi mungkin mereka salah, sebab mereka sendiri pun tak faham!). Simpan satu salinan lampiran yang disertakan sebagai rujukan. Jika ada sebarang perselisihan atau anda ada pertanyaan mengenai kontrak anda, anda tahu di mana anda boleh rujuk untuk mengetahui hak dan tanggungjawab anda dan rakan niaga.
4. Sentiasa minta satu salinan kontrak
Ada sebab praktikal mengapa anda perlu meminta salinan kontrak: anda perlu tahu apa yang telah anda tandatangani supaya anda ada rekod hak dan tanggungjawab anda dalam kontrak. Bagaimana anda melaksanakan tanggungjawab yang tidak diketahui? Tentu nampak mengarut jika anda terpaksa menghafal kesemua kandungan kontrak juga!
Jika anda tidak diberi satu salinan kontrak, maka anda perlu memintanya kerana dari segi undang-undang, rakan niaga anda tidak diwajibkan memberi salinan kepada anda. Mungkin anda mempercayai mereka, tetapi mintalah satu salinan sebagai langkah berjaga-jaga. Jika hanya satu pihak memiliki kontrak, ada potensi penipuan boleh berlaku.
Sebagai contoh, pihak yang tidak jujur mungkin boleh menukar terma kontrak tanpa memberitahu anda, ataupun merangka kontrak yang berbeza dan menampilkan muka surat di mana anda telah tandatangani pada kontrak baru tersebut. Jika perselisihan berlaku dan anda tidak memiliki salinan kontrak, anda tiada bukti untuk mengesahkan yang kontrak yang mana tulen.
Jika anda perlukan bukti apabila berlaku perselisihan mengenai kontrak, anda perlu memastikan bahawa kontrak anda adalah yang asli ataupun salinan yang disahkan. Jika kontrak anda adalah salinan “asli”, ini bermakna anda menerima salah satu dari dua salinan yang telah ditandatangani. Ini untuk menepati keperluan yang digariskan dalam Akta Keterangan 1950 (Seksyen 61-65), yang kita tidak dapat membincangkan secara terperinci di sini.
5.Tandatangan semua muka surat dalam kontrak
Agak leceh untuk kita meneliti setiap muka surat kontrak, tetapi ianya disyorkan oleh peguam atas beberapa sebab:
- Anda perlu pastikan yang anda menerima kesemua muka surat kontrak.
- Rakan niaga menerima pengiktirafan yang anda telah membaca dan memahami kontrak.
- Jika ada barisan atau muka tambahan yang ditambah tanpa kebenaran anda, ia tidak akan mengandungi tandatangan anda, dan anda boleh tunjukkan bahawa anda tidak bersetuju kepada istilah tersebut
Tandatangan dalam semua muka surat kontrak adalah amat penting terutamanya jika anda tidak menerima salinan kontrak – seperti dalam kes kontrak yang ditandatangani dengan pembekal khidmat (service provider) internet dan pelan internet telefon bimbit. Tetapi jangan bimbang, anda akan dapat perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang menjaga isu berkaitan kontrak yang tidak adil. Rumusannya, kontrak yang tidak adil adalah kontrak yang memberi tekanan, atau yang membebaskan pengedar dari tanggungjawab besar, dan apa sahaja yang terlalu menyusahkan anda.
Perlindungan ini wujud kerana kontrak perkhidmatan selalunya dalam bentuk standard dan anda tidak dapat berunding mengenainya. Ia kadang kala rumit dan anda perlu mendapatkan penjelasan dari jurujual (di mana maklumatnya mungkin kurang tepat), dan pembekal khidmat (service provider) mempunyai hak untuk menukar terma dan syarat bila-bila masa tanpa memberitahu anda. Contohnya dasar “no refund” yang kurang adil dan menetapkan terma yang mengarut – kebanyakannya adalah tidak sah di sisi undang-undang.
[BACAAN LANJUT – 5 cara anda (mungkin) boleh mendapat wang “refund”]
Sentiasa baca dan memahami kontrak anda
Apabila anda menandatangani kontrak, lebih baik untuk faham kontrak tu yang akan ditandatangani, dan senario dalam setiap kemungkinan. Mungkin anda terfikir untuk tidak membaca sesetengah bahagian dan terus bersetuju dengan perjanjian, tetapi kontrak menggariskan semua hak undang-undang dan tanggungjawab yang perlu anda tahu jika perselisihan berlaku.
Ambil masa untuk membaca dan memahami setiap bahagian kontrak – sesetengah kontrak mungkin mengandungi terma yang mengambil kesempatan terhadap anda, di mana anda boleh berbincang mengenainya dan mungkin juga tidak bersetuju untuk menandatangani bahagian tersebut sehingga ia digubal. Minta bantuan peguam jika perlu, terutamanya jika ia melibatkan kontrak penting seperti pembelian hartanah dan perniagaan.
clarencekuna@gmail.com