Civil,Constitution
Kerana telur penyu...dua keluarga ni saman kerajaan Sabah
about 5 years ago Azar Ishak[Click here for English version]
Kadang-kadang, undang-undang tu boleh nampak macam hebat, lebih-lebih lagi bila ia bagi fokus dalam melindungi alam sekitar. Tapi, kadang kala kita juga terlepas pandang pasal amplikasi undang-undang tu terhadap masyarakat. Dan itulah yang berlaku di Sipadan, sebuah pulau di perairan Sabah.
Pada tahun 2004, setiausaha kerajaan negeri dah keluarkan perintah kepada penduduk Sipadan untuk merobohkan semua struktur dan mengosongkan pulau itu. Tapi, ada dua keluarga asal yang tinggal di pulau tu, iaitu keluarga Abdul Rauf dan keluarga Haji Abdillah. Kedua-dua keluarga ni rasa tak puas hati dengan perintah tersebut.
Tujuh tahun sebelum tu, sesiapa saja di Sipadan dah dilarang dari kutip telur penyu. Dah la tak boleh ambil telur penyu, sekarang ni suruh mereka keluar pula. Mereka pun rasa benda ni betul-betul tak adil dan melanggar hak mereka di pulau tu sebagai penduduk pribumi (pada asasnya, penduduk asli pulau). Jadinya, mereka pun ambil keputusan untuk saman kerajaan Sabah, dengan menuntut Hak Adat Bumiputera (NCR) yang mereka ada selama bergenerasi di pulau tu.
Untuk faham lebih lagi pasal isu ni, mungkin lebih baik kita selak kembali sejarah...
Mereka dah diberikan kebenaran sebelum Sabah jadi ‘Sabah’ lagi
Menurut sejarahnya, Abdul Rauf dan Haji Abdillah ni adalah keturunan pegawai tinggi Kesultanan Sulu dulu. Pada tahun 1878, bila Sipadan diperintah oleh Kesultanan Sulu, antara komoditi yang paling menguntungkan di pulau tu adalah telur penyu. Sultan Sulu menguruskan hak mengutip telur penyu di pulau tu.
Dalam masa sama, nenek moyang Abdul Rauf dan Haji Abdillah pun diberikan hak mengutip telur penyu di pulau tu. Hak ni kemudiannya diwarisi, dan mereka dah buat aktiviti tu sampailah tahun 1997. Tapi, aktiviti tu terhenti bila kerajaan isytiharkan pulau tu sebagai kawasan dilindungi di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.
Disebabkan mereka dah kutip telur penyu sejak berabad lamanya, mereka pun buat keputusan untuk tuntut Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka ke mahkamah. Kesinambungan kehidupan keturunan mereka akan menjadi hujah utama dalam kes ni.
Tapi sebelum tu, korang mesti tertanya-tanya apa tu Hak Adat Bumiputera (NCR) kan? Sebenarnya, NCR ni melindungi tanah Bumiputera dengan membenarkan mereka menuntut tanah tertentu sebagai milik mereka. Di Sabah, Hak Adat Bumiputera diiktiraf dan termaktub dalam Seksyen 15, Ordinan Tanah Sabah. Undang-undang ni berfungsi dengan mengiktiraf hak mereka untuk tinggal di sesuatu tempat, berdasarkan bukti yang mereka dah tinggal di sana selama beberapa generasi.
Abdul Rauf dan Haji Abdillah kedua-duanya menuntut yang mereka ada NCR terhadap pulau tu, kerana mereka memenuhi syarat yang ditetapkan dalam Seksyen 15(d) dan (e) Ordinan Tanah Sabah iaitu kependudukan berterusan (tinggal di atas tanah) dan aktviti pertanian. (Tiada terjemahan rasmi, diterjemahkan oleh Asklegal).
Untuk kes ni, kedua-dua keluarga buat keputusan untuk guna sejarah mereka mengutip telur penyu sebagai hujah bagi membuktikan tuntutan NCR mereka terhadap pulau tersebut.
Mahkamah putuskan untuk gabungkan kedua-dua kes mereka dalam satu perbicaraan
Pada asalnya, kedua-dua keluarga ni buat tuntutan mahkamah secara berasingan, tapi mahkamah tertinggi lepas tu buat keputusan untuk adakan pendengaran kes bersama – sebab hujah kedua-dua keluarga agak sama je. Kami akan asingkan penghakiman akhir dari mahkamah tertinggi kepada tiga perkara:
- Tuntutan kedua-dua keluarga tentang mengutip telur penyu,
- Tuntutan Abdul Rauf,
- Tuntutan Abdillah
Kedua-dua keluarga menuntut yang mereka dah gunakan tanah tu untuk aktiviti pertanian, iaitu mengutip telur penyu. Bagaimanapun, tuntutan mereka ditolak mahkamah, sebab Ordinan Tanah Sabah tak iktiraf mengutip telur penyu tu sebagai aktiviti pertanian. Dalam Seksyen 15(d) Ordinan Tanah Sabah, sesuatu tanah tu hanya boleh jadi NCR kalau ia digunakan untuk perladangan dan penternakan. Jadinya, kutip telur penyu dekat pantai bukanlah perladangan atau penternakan haiwan.
Bagaimanapun, mereka hanya perlu penuhi salah satu dari kriteria NCR dalam Ordinan Tanah Sabah ni. Kedua-dua keluarga mendakwa mereka dah penuhi kriteria Seksyen 15(e) Ordinan Tanah Sabah, di mana NCR boleh diadakan jika berlaku kependudukan berterusan di tanah tersebut.
Tapi mahkamah tak setuju. Sebabnya, walaupun kedua-dua keluarga tu dah mengutip telur penyu sejak berabad, ia tak bermakna mereka menduduki pulau tersebut. Mahkamah memutuskan, tak ada bukti kukuh yang boleh menyokong tuntutan mereka tu. Mesti kena ada bukti yang lebih untuk menyokong tuntutan mereka itu.
Rumusan: Ditolak
Mahkamah kemudiannya lihat setiap bukti keluarga berkenaan secara berasingan, untuk pastikan sama ada mereka masih ada kes atau tak.
Abdul Rauf tak dapat bentangkan banyak bukti pasal keluarganya dah menduduki pulau tu secara berterusan selama tiga tahun, seperti mana yang dinyatakan dalam Seksyen 15(e) Ordinan Tanah Sabah.
Di sinilah tuntutan NCR Abdul Rauf gagal, sebab dia tak dapat buktikan yang dia tinggal di pulau tu selain dari dia duduk di situ sebagai pengutip telur penyu. Dia juga tak bina sebarang struktur tetap di atas pulau tu untuk sokong tuntutannya.
Rumusan: Ditolak
Haji Abdillah bernasib baik sebab dia dapat buktikan yang keluarganya dah mewarisi ‘rumah warisan’ dan kebun kelapa dari nenek moyangnya. Kewujudan ‘rumah warisan’ dan kebun kelapa tu dapat membantu meyakinkan mahkamah tentang pendudukan berterusan telah berlaku.
Haji Abdillah boleh buat tuntutan NCR sebelum pulau tu diisytiharkan sebagai Kawasan Dilindungi. Tapi, dia dah buat silap sebab tak daftar tanahnya tu dengan kerajaan negeri Sabah lebih awal. Jadinya, kerajaan negeri tak keluarkan apa-apa hak milik tanah yang kata tanah tu miliknya, dan hal ni dah buatkan tanah tu jadi milik negeri. Perkara ni ada di bawah Seksyen 84 Ordinan Tanah Sabah yang menyatakan, tanah yang tidak didaftarkan akan menjadi tanah negeri.
Status baru Pulau Sipadan sebagai kawasan dilindungi dah merumitkan lagi tuntutan Haji Abdullah. Ini kerana, Seksyen 9 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 menyatakan, Kerajaan Persekutuan kini mengawal semua aktiviti di pulau itu dan tak ada sesiapa pun dibenarkan berada di pulau itu tanpa kebenaran dari Kerajaan Persekutuan. Jadi, dia tak boleh tuntut pulau tu sekarang, sebab kerajaan negeri dah tak ada kuasa nak keluarkan hak milik kepadanya, sebab tanah tu milik Kerajaan Persekutuan.
Kita mungkin setuju yang hal ni nampak macam tak adil kepada keluarga-keluarga berkenaan yang kehilangan pendapatan dan tanah mereka. Jadinya, mahkamah buat keputusan yang keluarga ni perlu dapat pampasan.
Rumusan: Rumit – Haji Abdillah boleh dapatkan NCR terhadap pulau, tapi dia kehilangan tuntutan NCR itu.
Hanya satu keluarga yang dapat pampasan
Pada akhirnya, mahkamah putuskan yang kedua-dua keluarga ni tak patut dapat apa-apa pampasan bagi kehilangan pendapatan mereka sebagai pengutip telur penyu. Hal ni mungkin nampak macam tak adil, tapi mahkamah buat keputusan yang ia tak masuk akal untuk bagi pampasan, bila penjualan dan pengambilan telur penyu dibuat secara tak sah di bawah Seksyen 87(4) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.
Hanya keluarga Haji Abdillah yang diberikan pampasan kerana kehilangan tuntutan NCR terhadap pulau, sebab dia dapat membuktikan yang dia dah tinggal di pulau tu. Keluarga Abdul Rauf pula tak dapat buktikan kes mereka, jadinya mereka tak dapat apa-apa.
Akhirnya, kedua-dua keluarga ni keluar dari pulau dan dilarang dari ambil telur penyu. Walaupun dah tinggal di sana sejak berabad, mereka tidak dapat membuktikan sepenuhnya di mahkamah untuk memenuhi kriteria NCR. Haji Abdillah boleh buat tuntutan, tapi hilang secara teknikal sebab dia tak daftar tanahnya tu lebih awal. Apa yang menyedihkan, keluarga Abdul Rauf kena terima yang mereka tak dapat apa-apa pampasan.
Keputusan itu mungkin nampak keras, tapi dengan perubahan masa, undang-undang juga akan berubah. Perubahan yang dimaksudkan untuk faedah jangka panjang mungkin menyebabkan kerugian jangka pendek. Oleh kerana keperluan untuk melindungi Sipadan sebagai kawasan dilindungi, undang-undang mungkin menyebabkan sesetengah kumpulan kehilangan mata pencarian mereka, dan dalam hal ini, bahkan tanah mereka yang dah bergenerasi. Sama ada ini betul atau tak, terpulang kepada korang semua untuk menilainya.