Contract,Property
Rupa kondo nampak lain dari unit pameran. Boleh ke kita saman pemaju?
about 5 years ago Azar Ishak[Click here for English version]
Korang masih ingat lagi tak satu video viral pasal seorang uncle ni tak puas hati dengan kondominium yang dia baru beli di kawasan KLCC? Punyalah marah uncle tu sampaikan dia sembur rumah tu dengan cat dan pecahkan jubin rumah. Semuanya kerana kualiti unit kondo yang dia beli tu, jauh sangat dari apa yang dijanjikan.
Dan untuk kisah kali ni, masalah yang agak sama juga berlaku. Tapi, mereka taklah sembur cat atau pecahkan jubin, sebaliknya membawanya ke muka pengadilan.
Kalau korang pernah pergi ke ekspo hartanah, korang mesti akan nampak macam-macam benda yang dijanjikan, dan kalau tengok brosur yang diberi, semuanya nampak cantik dan eksklusif macam ni:
Disebabkan korang rasa kagum sangat, korang pun pergilah ke unit pameran dan tengok ciri-ciri rumah yang dijanjikan tu. Lepas tu, korang pun tandatangan Perjanjian Jual Beli (SPA), buat pinjaman dan lepas 4 tahun dapatlah korang duduk rumah idaman. Tapi lepas je 4 tahun, korang cuma dapat yang macam ni:
Sebenarnya, inilah pengalaman sebenar yang dihadapi oleh dua orang yang kitorang temu bual – Michael dan Angela. Micheal beritahu, pada mulanya dia suka dengan ‘taman tergantung’ yang ditunjukkan dalam brosur, dan lepas tu dia pun beli unit di tingkat yang sepatutnya taman tu ada. Dengan rasa sedih dia beritahu, walaupun ‘taman tergantung’ tu masih ada – tapi orang mula gunakannya jadi tempat sidai baju.
Sekarang ni, kalau korang berada di tempat Michael dan Angela – sama ada terlibat dalam membeli hartanah atau apa-apa dari Lazada sekalipun, korang mesti akan rasa tertipu sangat.
Hal ni juga timbulkan persoalan, boleh ke kita saman pemaju yang buat kondo tu?
Anda boleh saman, tapi ia sukar
Sebelum tu, kitorang nak beritahu dulu yang nama Michael dan Angela ni bukan nama sebenar. Tuntutan mahkamah tu juga masih lagi berjalan, dan mendedahkan sebarang butiran sebenar mungkin akan menjejaskan kes mereka; dan kerana itu jugalah pihak pemaju tak dinamakan.
Tapi menurut peguam Michael dan Angela, ada dua tuntutan yang mereka boleh buat terhadap pemaju kondo berkenaan, iaitu:
Bila Michael dan Angela beli unit individu, mereka dijanjikan dengan beberapa perkara, seperti – setiap unit kondo akan ada 4 tingkap dan lantai porselin. Ini dinyatakan dalam Perjanjian Jual Beli (SPA) antara pembeli dan pemaju.
[BACA LAGI: Have you ever bought a house in Malaysia and had no idea what you signed?]
Bagaimanapun, apa yang Michael dan Angela dapat taklah seperti mana yang dinyatakan dalam SPA. Unit kondo mereka cuma ada 3 tingkap, jubin porselin bukannya jubin homogeneous – dan lebih dari tu, mereka dijanjikan taman tergantung yang diinspirasikan dari Marina Bay. Tapi, akhirnya cuma dapat kawasan merokok yang pokok di situ ditanam dalam pasu.
Jadinya, Michael dan Angela pun saman pemaju sebab mereka dah melanggar kontrak perjanjian.
Dalam brosur pemaju, taman tergantung tu ditunjukkan sebagai sebahagian dari kemudahan kondo. Dan disebabkan apa yang ditunjukkan itu jugalah yang membuatkan Michael membeli unit kondo.
Di bawah Seksyen 18, Akta Kontrak, salah nyata (misrepresentation) pada dasarnya adalah apabila seseorang memberitahu korang kenyataan yang tak benar, dan kenyataan tu membuatkan korang memasuki kontrak. Memandangkan Michael kagum sangat dengan taman-taman tergantung yang diiklankan dalam brosur, dia pun beli satu unit di tingkat yang sama dengan taman tergantung.
Tapi bila kondo tu dah siap dibina, dan dia dapat tahu yang taman tergantung tak sama seperti mana yang dijanjikan – maka tindakan undang-undang diambil atas dakwaan salah nyata.
[BACA LAGI: What can you do if you get cheated shopping online in Malaysia?]
Seperti mana yang kami beritahu awal tadi, menyaman pemaju kerana melanggar SPA atau salah nyata sebenarnya bukan perkara mudah – lebih-lebih lagi kalau cuma dua orang je yang saman. Dan sebab itulah, Michael dan Angela buat keputusan untuk…
Mereka dan 152 orang lain ambil tindakan saman pemaju
Michael dan Angela pada mulanya kemukakan isu ni ke Badan Pengerusan Bersama (JMB) kondo. Tapi, lepas tu mereka sedar yang masalah pokoknya disebabkan oleh pemaju kondo. Bagaimanapun, menyaman pemaju bukanlah benda yang mudah.
Itulah bila mana Michael dan Angela buat keputusan untuk cari pemilik unit-unit lain yang kongsi masalah sama dengan mereka. Mereka kemudiannya ambil tindakan undang-undang yang dikenali sebagai “class action suit”. Dengan cara ni, mereka buat keputusan untuk saman pemaju secara bersama dengan jiran-jiran atas perkara yang tak sepatutnya mereka dapat.
Berdasarkan Perintah 15 Kaedah 12 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, “class action suit” ni adalah:
Class action suit ni pada asasnya berlaku bila sekumpulan orang menyaman individu/syarikat secara bersama atas perkara tertentu. Kelebihan cara ni adalah, kos tuntutan akan dibahagikan secara bersama dan itu akan membuatkannya lebih murah, tapi dalam masa sama – lebih berkesan dengan bilangan orang yang lebih ramai.
Bagaimanapun, menarik orang supaya menyaman syarikat pemaju besar ni bukanlah mudah. Ada masa tu, penduduk kondo sekitar 700 orang dan Michael terpaksa pergi dari rumah ke rumah untuk bagi risalah dan penerangan kepada mereka.
Nasib baiklah, usaha mereka membuahkan hasil, bila enam bulan kemudian, mereka berjaya yakinkan 152 orang jiran untuk sama-sama kemukakan saman tu, dan kumpul RM7,000 dari setiap pemilik kondo untuk tampung yuran guaman. Mereka memfailkan kes terhadap pemaju untuk buat tuntutan kewangan.
Pemaju kemudiannya cuba selesaikan pertikaian ni di luar mahkamah, bila mereka tawarkan RM6,000 kepada setiap penduduk untuk tarik balik saman. Hal ni pada mulanya nampak baik, tapi bila juruukur bangunan tentukan nilai semasa unit – tawaran itu dianggap sebagai menipu. Menurut Michael, harga pasaran kondo-nya di bawah RM400,000 selepas setahun, sedangkan dia membelinya dengan harga lebih RM500,000.
Jadinya di sini, nampaklah kita yang menyaman pemaju adalah satu cara menuntut keadilan kepada penduduk yang dah diperdaya.
Saman pemaju besar memang susah, tapi ia tak mustahil
Walaupun tak ambil tawaran dari pihak pemaju, kita masih lagi tak dapat pastikan sama ada penduduk akan menang melawan pemaju ni. Akan tetapi, tindakan mereka ni masih lagi menunjukkan yang orang biasa juga boleh bersama-sama ambil tindakan undang-undang terhadap pemaju besar, kalau mereka rasa mereka dah dikhianati.
Michael dan Angela beritahu kami, mereka buat ni bukan untuk diri mereka saja. Mereka berharap, pemilik rumah lain yang hadapi masalah sama juga supaya berani ke depan dan ambil tindakan terhadap pemaju, dengan cara yang betul. Proses menyaman pemaju mungkin nampak suah dan hampir mustahil – tapi class action suit nampaknya boleh membantu meringan beban pembeli rumah.
Buat masa sekarang, Michael, Angela dan 152 penduduk lain dah memfailkan kes terhadap pemaju. Perbicaraan pertikaian ini dijangka akan bermula pada Januari 2020 tahun hadapan.