General,Employment
Pramugari Malaysia ni dipecat sebab 'gemuk' DAN mahkamah setuju dengan syarikatnya
almost 5 years ago Azar Ishak[Click here for English version]
Penafian: Syarikat penerbangan itu tidak pernah merujuk kepada pramugari tersebut sebagai 'gemuk'. Tapi, dia hanya memiliki berat badan yang berlebihan untuk seorang krew kabin. Kami menggunakan perkataan ‘gemuk’ untuk ilustrasi yang lebih baik tentang isu berkenaan.
Tak kisahlah korang selalu atau tak kita naik kapal terbang, tapi apa yang pasti – kita semua tahu pasal pramugari/pramugara yang selalunya cantik-cantik dan segak-segak belaka. Selain dari memastikan para penumpang selesa dalam semasa penerbangan dan bantu mereka bila ada kecemasan, krew kabin ni juga sentiasa mengekalkan imej sepanjang masa mereka beruniform.
Tapi rasanya, tak pernah pula kita terfikir yang imej mereka tu penting sangat, sampai boleh membawa kepada pemecatan. Tapi itulah yang jadi kepada seorang pramugari/penyelia penerbangan di Malaysia ni, apabila dia tak dipecat sebab tak cantik atau apa-apa, tapi sebaliknya kerana berat badan dia lebih… 700 gram.
Syarikat penerbangan kata, tu memang dasar mereka
Jadinya di sini, apa yang syarikat penerbangan tu buat bukanlah sebarangan je, tapi sebenarnya ia sebahagian dari dasar syarikat. Sebabnya, manual penjagaan untuk krew kabin adalah mereka sepatutnya berada pada 'berat optimum'. Berat ni diukur menggunakan Indeks Jisim Badan (BMI), yang mana keadaan seseorang tu dinilai melalui nisbah berat dan tinggi mereka. Jadi untuk kes ni, ketinggian pramugari tu adalah 160cm dan kalau ikut ukuran BMI untuk ketinggiannya tu – berat badan yang dia kena ada tak lebih dari 61kg.
Mereka dah menimbangnya beberapa kali, dan berat terakhirnya pada April 2017 adalah 61.7kg, atau 700 gram lebih dari berat yang dibenarkan. Tak lama lepas tu, dia dah diberhentikan kerja dan alasan yang diberikan kerana dia tak mengekalkan imejnya seperti mana yang ditetapkan syarikat. Pada September tahun sama, dia dah bawa kesnya tu ke mahkamah dan mendakwa dirinya dah dipecat secara tak adil. Dakwaannya tu di bawah Seksyen 20(1), Akta Perhubungan Perusahaan 1967 yang menyatakan:
Jadi pada asasnya, disebabkan dia merasakan dirinya dah diberhentikan kerja secara tak wajar dan adil, dia boleh memfailkan aduan kepada Ketua Pengarah Mahkamah Perusahaan. Dari situ, kesnya akan dirujuk untuk pendengaran di Mahkamah Perusahaan. Seksyen dalam akta ini juga menyatakan – kalau kesnya tu berjaya, dia boleh dapatkan kerjanya balik.
Dalam hal ni, bagi kita semua ia mungkin nampak munasabah untuk dia bawa kesnya tu ke mahkamah. Sebabnya, memang jarang-jaranglah kita dengar orang kena pecat sebab lebih berat badan kan? Tapi…
Mahkamah putuskan – tindakan syarikat penerbangan tu betul
Korang mesti terfikir yang mahkamah akan buat keputusan memihak kepada pramugari tadi. Tapi rupa-rupanya, mahkamah buat keputusan memihak kepada syarikat penerbangan, dengan kata – dasar syarikat mesti dipatuhi. Bagi menjelaskan lagi keputusan tu, mahkamah memberikan beberapa sebab lagi kenapa keputusan itu dibuat:
- dasar syarikat itu tidak mendiskriminasi kerana ia terpakai kepada setiap orang, dan bukan hanya kepada penyelia penerbangan sahaja
- syarikat penerbangan itu dah memberikannya "ruang dan peluang yang mencukupi" untuk mencapai berat badan optimum, tapi dia gagal berbuat demikian (pada dasarnya, dia ada 18 bulan – sejak kali pertama menimbang berat sejak polisi itu dilaksanakan, sehingga masa dia dipecat – untuk menghilangkan 700 gram itu)
- dia dah terlepas beberapa jadual timbang berat sebelum ini
- dia dah bekerja dengan syarikat itu selama 25 tahun dan timbang berat ni dah selalu dilakukan dari masa ke semasa. Tapi dia tak pernah mengadu tentangnya, yang kelihatan seperti dia tak ada masalah dengan perkara itu
Peguam pramugari itu ada berhujah yang 700 gram tu tak akan beri kesan terhadap kualiti kerja seseorang. Bagaimanapun, hakim-hakim kata yang syarikat penerbangan memang dah nyatakan sejak notis 2015 yang penampilan krew kabin adalah faktor yang sangat penting untuk pengalaman penerbangan penumpang-penumpang mereka. Sekali lagi, hakim menyebutkan – disebabkan pramugari tadi tak ada masalah dengan aktiviti menimbang berat ni sejak dari dulu lagi, ia tak memperlihatkan dasar syarikat itu sebagai tak adil.
Maka akhirnya, pramugari tadi pun kalah dalam kesnya. Tapi bukan tu je…
Dia juga tak boleh dapat kerja lain
Selain dari hilang pekerjaan di syarikat penerbangan, pramugari tu juga tak ada peluang yang tinggi untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lain. Berdasarkan beberapa laporan berita, selepas dipecat dari syarikat penerbangan – dia dah diberikan peluang untuk menghadiri temuduga di syarikat lain. Tapi bila syarikat tu dapat tahu yang dia pernah kena pecat dan dianggap tak sesuai sebagai untuk tugas krew kabin, dia pun dinafikan jawatan baru.
Ramai yang baca berita tu bersuara dan bagi sokongan kepadanya, termasuklah dari organisasi-organisasi tertentu. Ada juga persatuan pramugari-pramugara yang dikenali sebagai Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM). Bercakap tentang tindakan syarikat penerbangan terhadap pramugari itu, NUFAM berkata – yang ia sebagai “tidak berperikemanusiaan”. Mereka juga kata – “Keadilan dan hak asasi manusia telah mati sekali lagi”. Di samping itu, Women’s Aid Organization juga mengatakan "kecewa" terhadap apa yang terjadi kepada pramugari tersebut.
Disebabkan kes ni pun baru je dilaporkan baru-baru ni, kami masih lagi tak tahu sama ada pramugari tu ada rancangan untuk ambil tindakan lanjut atas keputusan yang dibuat. Di bawah Seksyen 33B, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, keputusan Mahkamah Perusahaan adalah muktamad (berbanding dengan mahkamah lain). Tapi masih terdapat beberapa kes di mana korang boleh buat rayuan ke Mahkamah Tinggi untuk menyemak keputusan itu. Hal ni dah pasti bergantung kepada fakta-fakta setiap kes dan sama ada pramugari tu boleh membuat rayuan atas keputusan mahakamah (dikenali sebagai semakan kehakiman) akan terpulang kepada Mahkamah Tinggi sendiri.