Asklegal
Home banner b68b9949 6726 4899 ad37 9ebee1c7cfb1

Family

Adakah perkahwinan antara dewasa dan kanak-kanak dibenarkan di Malaysia?

over 5 years ago amsyar ahmed

5

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Artikel asal dalam Bahasa Inggeris. Click here for English version]

 

Baru-baru ini, isu perkahwinan kanak-kanak sudah menjadi bualan hangat selepas laporan mengenai perkahwinan antara seorang lelaki Malaysia yang berumur 41 tahun dengan seorang kanak-kanak perempuan Thai yang berumur 11 tahun telah dilangsungkan di Selatan Thailand. Isu tersebut turut mendapat perhatian para Menteri dan wakil rakyat, termasuklah YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail – yang juga merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat – yang menyatakan bahawa perkahwinan mereka adalah bertentangan dengan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam.

Walau bagaimanapun, insiden ini bukanlah satu perkara yang baharu dan satu-satunya yang berlaku di negara kita. Hakikatnya, Penang Institute, sebuah badan pemikir tempatan telah melaporkan sebanyak lebih kurang 9000 perkahwinan kanak-kanak telah dilangsungkan antara tahun 2010 hingga 2015, melibatkan 6,268 orang Islam dan 2,775 orang bukan Islam. Sebagai rujukan, seorang kanak-kanak didefinisikan dalam Akta Umur Dewasa 1971 sebagai seseorang yang belum mencapai umur 18 tahun.

Sebelum kita meneruskan perbincangan lanjut dalam rencana ini, di sini kami ingin menegaskan bahawa artikel ini adalah berkenaan status undang-undang mengenai perkahwinan bawah umur di Malaysia, bukannya sebuah ulasan tentang isu terbaharu atau perkahwinan kanak-kanak secara umumnya. Tetapi sebelum kita berbincang dengan lebih mendalam, pertamanya, satu isi penting yang perlu kita fahami ialah…

 

Orang-orang Islam dan bukan Islam mempunyai sistem undang-undang perkahwinan yang berbeza

Imej daripada Cilisos.my​​​​​

Bagi memudahkan pemahaman dalam konteks artikel ini, undang-undang perkahwinan bagi orang-orang Islam dan bukan Islam dapat dibahagikan kepada dua jenis seperti yang berikut:

  • Orang-orang Islam – Enakmen-enakmen Undang-undang Keluarga Islam – Undang-undang ditentukan oleh Negeri (berbeza bergantung pada negeri tersebut)
  • Orang-orang bukan Islam – Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 – Undang-undang ditentukan oleh Parlimen (pemakaiannya adalah selaras di seluruh negara)

Ringkasnya, hal ini bermaksud undang-undang perkahwinan bagi orang-orang bukan Islam adalah bersifat jelas dan mudah; mengikut Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, dan terpakai ke atas semua orang bukan Islam di mana-mana negeri seluruh Malaysia. Parlimen boleh meminda (mengubah) sesetengah perkara dalam undang-undang ini jika perlu dan, jika diluluskan, akan terpakai di seluruh negara. Perkara ini juga boleh dirujuk sebagai undang-undang Sivil.

Namun, hal ini tidak bersifat jelas dan mudah bagi undang-undang perkahwinan orang-orang Islam yakni Undang-undang Keluarga Islam diluluskan oleh Negeri. Anda boleh memahami hal ini dengan lebih lanjut dengan membaca hasil kajian ini, tetapi yang paling utama ialah, model asas bagi undang-undang yang akan mengawal selia perkahwinan orang-orang Islam telah dibangunkan pada tahun 1984 dalam bentuk Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984

Tetapi, Perlembagaan Persekutuan kita juga telah memberikan kuasa kepada setiap negeri untuk meminda dan menguatkuasakan sesetengah Seksyen dalam model asas ini seperti yang diperlukan. Pada hakikatnya, setiap Dewan Undangan Negeri akan mengubah suai sesetengah peruntukan undang-undang bagi memenuhi keperluan sosial dan/atau agama orang-orang Islam di negeri mereka. Di sini anda boleh mendapati perbezaan versi undang-undang tersebut, sebagai contoh:

Di sebalik prinsip perundangan yang dinyatakan di atas, adakah kedua-kedua undang-undang ini membenarkan kanak-kanak bawah umur untuk berkahwin? 

 

Kedua-dua undang-undang tersebut membenarkan kanak-kanak untuk berkahwin, tetapi dalam keadaan yang tertentu

Kita akan berbincang dengan lebih lanjut mengenai hal ini, tetapi sebagai perbandingan ringkas:

Orang-orang bukan Islam (Undang-undang Perkahwinan Sivil) 
  •  Lelaki yang berumur bawah 18 tahun tidak dibenarkan untuk berkahwin
  • Perempuan yang berumur bawah 18 tahun boleh berkahwin dengan kebenaran Menteri Besar/Ketua Menteri Negeri tersebut
  • Perempuan yang berumur bawah 16 tahun tidak dibenarkan untuk berkahwin 
Orang-orang Islam (Undang-undang Keluarga Islam) 
  • Lelaki yang berumur bawah 18 tahun tidak dibenarkan untuk berkahwin
  • Perempuan yang berumur bawah 16 tahun tidak dibenarkan untuk berkahwin
  • Seorang Hakim Mahkamah Syariah boleh membenarkan perkahwinan bagi mana-mana kanak-kanak di bawah umur ini

Seperti yang dinyatakan, bagi orang-orang bukan Islam, Akta Memperbaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 adalah terpakai di seluruh negara dan peruntukan yang mengawal selia perkahwinan bawah umur boleh didapati dalam Seksyen 10 Akta ini:

10. Mana-mana perkahwinan yang berupa sebagai diupacarakan di Malaysia adalah tidak sah jika pada tarikh perkahwinan itu salah satu daripada pihak-pihak berumur di bawah lapan belas tahun melainkan jika, bagi seseorang perempuan yang telah genap umur enam belas tahun, pengupacaraan perkahwinan itu telah dibenarkan oleh suatu lesen yang diberi oleh Ketua Menteri di bawah subseksyen 21(2).

Jika anda kurang jelas mengenai peruntukan ini, Seksyen 21(2) seperti yang dirujuk di atas menyatakan:

21. (2) Ketua Menteri boleh, menurut budi bicaranya, memberikan suatu lesen di bawah seksyen ini membenarkan pengupacaraan sesuatu perkahwinan walaupun pihak perempuan kepada perkahwinan itu berumur di bawah lapan belas tahun, tetapi dalam apa-apa hal pun tidak boleh memberikan lesen itu sebelum perempuan itu berumur genap enam belas tahun.

Apabila dibaca bersama, secara asasnya, Akta ini menyatakan bahawa jika seorang lelaki itu belum mencapai umur 18 tahun semasa perkahwinan dilangsungkan, perkahwinan tersebut tidak akan diiktiraf di sisi undang-undang. Had umur ini juga akan terpakai kepada para perempuan kecuali mereka telah mendapat kebenaran (dalam bentuk lesen yang dikeluarkan) oleh Menteri Besar/Ketua Menteri Negeri mereka. Walaubagaimanapun, kebenaran ini terhad kepada umur 16 tahun sahaja. Tambahan pula, undang-undang juga mewajibkan mereka untuk mendapatkan restu daripada ibu bapa mereka untuk berkahwin sekiranya mereka belum mencapai umur 21 tahun.

Bagi orang-orang Islam pula, Seksyen dalam Akta/Enakmen Undang-undang Keluarga Islam berkenaan umur minimum untuk perkahwinan kelihatan sama antara satu negeri dengan yang lain. Contohnya, Seksyen 8 dalam kedua-dua Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Kelantan) 2002 menyatakan perkara yang sama, yakni:

Umur minimum untuk perkahwinan
8. Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Dalam erti kata lain, pasangan lelaki mestilah berumur 18 tahun manakala pasangan perempuan mestilah berumur 16 tahun bagi memastikan perkahwinan mereka sah di sisi undang-undang, tetapi seorang Hakim Mahkamah Syariah boleh memberi kebenaran kepada mana-mana pasangan yang belum mencapai umur minimum tersebut untuk berkahwin.

 

Perkahwinan untuk menjaga kepentingan kanak-kanak tersebut?

Imej daripada Videoblocks

Satu perkara yang mungkin anda perasan ialah kedua-dua jenis undang-undang ini tidak menerangkan kriteria yang jelas bagi membolehkan kanak-kanak bawah umur berkahwin – undang-undang Sivil menggunakan istilah “menurut budi bicara” manakala Undang-undang Keluarga Islam pula menyatakan “dalam hal keadaan tertentu” – dan memberikan kuasa kepada Menteri Besar/Ketua Menteri atau Hakim Mahkamah Syariah untuk membuat keputusan mengenainya. Apabila hal tersebut masih boleh diperdebatkan atas ketakjelasannya, perkara ini membolehkan kedua-dua pembuat keputusan untuk mengambil kira sebab-sebab kebenaran perkahwinan tersebut dimohon; di samping mempertimbangkan situasi sosial dan budaya semasa sebelum membenarkan atau menolak permohonan pasangan berkenaan.

Namun, penting juga untuk dinyatakan di sini bahawa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang (bermesyuarat) pada tahun 2014 juga telah memberi jawapan kepada persoalan perkahwinan kanak-kanak bagi orang-orang Islam. Ia membuat kesimpulan bahawa perkara ini hanya boleh dibenarkan jika perkahwinan tersebut adalah untuk kepentingan terbaik buat kanak-kanak itu. Selain itu, mereka juga menyatakan bahawa pihak-pihak berkuasa mestilah mengehadkan syarat perkahwinan kanak-kanak dan memastikan setiap prosedurnya dipatuhi. 

Jika anda masih kurang jelas, Fatwa merupakan satu keputusan tentang sesuatu hukum agama (yang belum pernah diputuskan lagi) berdasarkan nas al-Quran, hadis, dan sumber hukum lain yang diputuskan oleh Mufti (pakar undang-undang Islam) dan ulamak lain mengenai isu-isu semasa. Definisi ini juga boleh ditemui dalam Seksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993:

34. (1) Mufti hendaklah, atas perintah Yang di-Pertuan Agong, dan bolehlah, atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang ditujukan kepada Mufti, membuat dan menyiarkan dalam Warta suatu fatwa atau pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubungan dengan Hukum Syarak.

Jadi, atas kepentingan ini, Fatwa yang dikeluarkan ini dilihat sebagai salah satu cara untuk menjawab persoalan perkahwinan kanak-kanak berasaskan perhatian kepada situasi sosial dan budaya pada tahun 2014. Dari sudut pandang undang-undang Sivil pula, beberapa undang-undang telah diperkenalkan yang boleh dianggap sebagai secara sedikit demi sedikit mengambil kira kepentingan kanak-kanak seperti Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 untuk melindungi kanak-kanak daripada serangan pemangsa seksual dan pemujukan halus untuk mendapatkan kepercayaan mereka sebelum melakukan mana-mana kesalahan seksual seperti yang dinyatakan dalam Akta ini.

Kesimpulannya, inilah kedudukan undang-undang mengenai isu ini yang berkuatkuasa pada masa kini sehingga ada perubahan  secara spesifik yang berkaitan dengan perkahwinan kanak-kanak (sama ada orang Islam atau bukan Islam) dilakukan.

Tags:
perkahwinan kanak-kanak
perkahwinan sivil
perkahwinan orang-orang islam
undang-undang keluarga islam
undang-undang keluarga sivil
10d23179 ddd4 4850 be0c ee0555dcfd90
amsyar ahmed

In Pursuit of Legal Communitization


5

Shares

A+

A-