Consumer,General
Ini apa yang pemandu Grab kena tahu bila buat pemeriksaan kereta di PUSPAKOM
over 5 years ago Azar Ishak[Click here for English version]
Masa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tahun lepas, antara janji kempen Pakatan Harapan (PH) adalah menegakkan hak pemandu e-hailing (macam Grab, myCar dan sebagainya), tapi dalam masa sama tak mengetepikan hak para pemandu teksi.
Cuba nak tunaikan janji dan buat keseimbangan, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ada buat pengumuman yang pemandu e-hailing dan teksi sekarang ni akan diletakkan dalam peraturan sama bermula pada 12 Julai 2019 ni. Ini bermakna, semua pemandu e-hailing dan teksi kena dapatkan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), buat pemeriksaan kesihatan dan hantar kereta diorang buat pemeriksaan berkala.
Bagaimanapun, tindakan ni dah mendatangkan pandangan berbagai, sama da ia baik ataupun tak. Tapi pada 14 April lepas, kitorang dah dijemput ke sidang media PUSPAKOM, dan CEO-nya Mohammed Shukor ada bagi penjelasan pasal prosedur pemeriksaan kereta. Dia juga kata hal ni dilakukan untuk pastikan kualiti perkhidmatan dan tolak dakwaan bahawa ia membebankan.
“Ini bukan untuk membebankan pemandu e-hailing, ini adalah kelebihan untuk semua” – kata CEO PUSPAKOM, Mohammed Shukor kepada ASKLEGAL.
Ada banyak maklumat berguna yang diberikan dan kitorang tak dapatlah nak beritahu semuanya kat sini. Tapi kalau korang nak tahu juga, korang boleh rujuk slide dari PUSPAKOM dekat website diorang. Dan jangan risau, kitorang ada rujuk beberapa page dari slide tu untuk dipersembahkan dalam artikel ni.
Berbalik pasal e-hailing, PUSPAKOM beritahu kitorang – terdapat sekitar 200,000 kenderaan e-hailing kat luar sana, dan…
Korang boleh buat pemeriksaan kereta pada mana-mana hari (Isnin sampai Ahad)
Sebelum kitorang beritahu korang yang PUSPAKOM ni mungkin akan dapat kemasukan kereta secara besar-besaran sebab nak buat pemeriksaan, kitorang nak beritahu dulu yang PUSPAKOM bukanlah sebuah agensi penguatkuasaan. Ia sebenarnya cuma satu badan yang menjalan pemeriksaan kenderaan. Dalam kata lain, tugas PUSPAKOM adalah memperakui kereta korang tu layak, dan kalau tak layak – pihak JPJ akan buat penguatkuasaan.
“PUSPAKOM adalah sebuah syarikat pemeriksaan kenderaan dan bukan merupakan penguatkuasa atau pembuat undang-undang. PUSPAKOM prihatin dengan kesesuaian kenderaan melalui pemeriksaan kenderaan yang selaras dengan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kepatuhannya terhadap standard dan peraturan berkaitan lain.” – Jabatan Komunikasi & Khidmat Pelanggan PUSPAKOM.
[BACA LAGI: IS YOUR CAR SAFE TO BE DRIVEN ON MSIAN ROADS? THIS RM50 PUSPAKOM CHECK WILL TELL YOU]
Sejak rakyat Malaysia diperkenalkan dengan aplikasi e-hailing yang membuatkan kita mudah pergi “ke sana ke mari”, industri e-hailing nampaknya terus berkembang. Pada tahun lepas sahaja, pihak berkuasa pengangkutan tempatan dah meluluskan permit kepada 11 syarikat e-hailing baru. Ini yang buatkan PUSPAKOM menjangkakan kira-kira 200,000 kenderaan e-hailing akan berada di jalan raya.
Dan memandangkan kerajaan akan menguatkuasakan peraturan-peraturan baru untuk e-hailing ni tak lama lagi (12 Julai ni, dah dekat dah pun!), korang fikir pemandu-pemandu e-hailing yang sibuk tu ada masa ke untuk ikut? Malah, pemeriksaan baru PUSPAKOM juga diperlukan oleh peraturan baru ni. Tapi PUSPAKOM beritahu kitorang – dari 1 April sampai 10 April, cuma 35 dari 200,000 pemandu yang buat pemeriksaan kenderaan diorang.
Dan kalau korang tertanya-tanya “macam mana PUSPAKOM akan uruskan semua 200,000 kenderaan ni?”, PUSPAKOM beritahu kitorang bahawa diorang ada kapasiti yang cukup untuk menguruskannya. Buat masa sekarang, PUSPAKOM ada lebih dari 50 pusat operasi di serata negara, dan untuk mengendalikan sejumlah besar kereta e-hailing, mereka dah buat perkara – perkara berikut:
- 18 pusat pemeriksaan dibuka 7 hari seminggu
- 10 pusat pemeriksaan dibuka 6 hari seminggu
- 19 pusat pemeriksaan dibuka 5 hari seminggu, tapi dengan 2 jam masa tambahan dari jadual biasa harian.
- Memperkenalkan pusat pemeriksaan bergerak
Kalau korang adalah salah seorang pemandu e-hailing yang nak ambil peluang dengan masa operasi baru PUSPAKOM ni, korang boleh klik kat sini untuk tahu pusat PUSPAKOM mana yang sesuai dengan masa dan memudahkan korang.
Jadi, selain kita tahu yang diorang ni ada sumber untuk mengendalikan semua kereta ni, diorang juga beritahu kitorang…
Proses pemeriksaan cuma ambil masa 60 minit je
Untuk orang Malaysia macam kita ni yang guna kereta untuk pergi balik kerja, kita cuma pergi PUSPAKOM kalau kita beli/jual kereta terpakai. Kalau korang pernah buat benda ni, proses tu dikenali sebagai pemeriksaan tukar milik.
Untuk pemandu e-hailing dan kereta diorang, proses pemeriksaannya lain sikit sebab korang tak tukar milik kenderaan dengan sesiapa. Tapi proses pemeriksaan yang dijalankan akan memastikan kereta iu sesuai untuk tujuan membawa penumpang secara komersial. Jadi ini bermakna, PUSPAKOM akan periksa sama ada brek kereta berfungsi dengan baik, ada cermin gelap yang melanggar peraturan tak dan sebagainya.
Ada juga sedikit pemeriksaan tambahan macam untuk meletakkan iklan pada kereta. Kitorang tak boleh nak lalui semua proses dan beritahu semuanya pada korang, tapi carta aliran pemeriksaannya korang boleh akses kat sini dan ada carta yang korang boleh tengok kat bawah.
Hanya kereta berusia lebih 3 tahun yang kena diperiksa
Pada sesiapa yang nak maklumat tambahan, TAK semua pemandu e-hailing dan kereta diorang kena lalui pemeriksaan PUSPAKOM, sebab kitorang diberitahu yang ia cuma untuk kereta berusia lebih 3 tahun. Terdapat beberapa jenis pemeriksaan kereta 'di atas 3 tahun' ni (dan ada yuran yang berbeza). Kalau korang nak gambaran ringkas pasalnya:
- Pemeriksaan awalan dengan yuran RM75
- Pemeriksaan semula kalau pemandu gagal pemeriksaan awalan. Yuran tambahan RM25
- Pemeriksaan berkala untuk memastikan kenderaan itu layak untuk perkhidmatan setiap tahun. Yurannya RM55
Tapi, kalau korang nak lebih lagi maklumat pasal jenis-jenis proses pemeriksaan, ia ada dalam page 12 slide kalau korang nak tengok.
Oh! satu lagi, mesti ada di antara korang yang terfikir proses ni akan ambil masa yang lama. Jangan risau, PUSPAKOM dah buat jaminan yang proses ni hanya akan ambil masa 60 minit, dan ini akan membawa kita ke point seterusnya…
Korang boleh guna aplikasi
Seperti mana yang kitorang beritahu di awal artikel, penekanan keperluan pemeriksaan baru ni – tak bermaksud nak bagi beban kepada pemandu e-hailing. PUSPAKOM juga yakin yang ia akan beri manfaat kepada semua pihak, sebab semua orang akan tahu yang kenderaan membawa diorang berada dalam keadaan baik. Kalau korang betul-betul fikir pasal benda ni, korang mesti tak mahu Grab yang bawa korang tu tiba-tiba berhenti tengah jalan kan?
Dan selain memperkenalkan waktu operasi baru di beberapa pusat PUSPAKOM, diorang juga ada aplikasi yang korang boleh gunakan untuk tetapkan temujanji. Aplikasi tu dipanggil sebagai MyPUSPAKOM. Dengan guna aplikasi ni, korang bolehlah elak dari beratur panjang sebelum kereta korang diperiksa.
Walaupun PUSPAKOM dah bersedia nak menguruskan 200,000 buah kereta, korang mesti tak nak buat pemeriksaan ni last minute, lebih-lebih lagi nak elakkan beratur dan tunggu lama.