General
Inilah garis panduan JPN untuk mengelakkan ibu bapa dari memberi nama pelik kepada anak...
over 5 years ago Azar Ishak[Click here for the English version]
Boleh tak korang bayangkan kalau nama korang – Durian atau Rambutan? Tapi itulah nama dua orang adik beradik dekat Kedah ni bila mak ayah diorang bagi nama buah durian dan rambutan dekat diorang. Walaupun nama diorang tu dieja berbeza – Durian dieja jadi Dhury Yan dan Rambutan dieja jadi Rambutt’an. Tapi ia tetap sama sangat dengan nama buah, dan itulah yang membuatkan netizen kaitkan dengan buah-buahan tempatan, sebab bunyinya yang agak sama.
Baru-baru ini juga seorang pemuda tular di Twitter setelah memuat naikkan gambar kad pengenalannya. Dalam gambar tersebut, boleh dilihat namanya bercampur Melayu-Jepun.
Secara undang-undangnya, bukanlah satu kesalahan menamakan seseorang tu dengan nama buah atau nama Jepun. Tapi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dah tetapkan garis panduan/peraturan yang menghalang nama-nama yang boleh menyinggung dan tak sesuai.
Seksyen 16, Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 ada menyebut:
Secara asasnya, Pendaftar ada kuasa dan upaya untuk tolak nama yang tak diingini dan nama tu tak akan diterima oleh pihak pendaftaran seperti mana dalam akta.
Jadi, kitorang buat keputusan untuk cari jenis-jenis nama yang JPN tak akan terima dan ini dia senarai kriteria nama-nama yang tak akan diterima di Malaysia.
1. Nama yang dilarang sama sekali
Teruk sangat ke nama-nama ni, sampaikan dilarang sama sekali digunakan kat Malaysia? Ini senarai sebab disebalik larangan tu:
- Nama yang boleh bawa makna menyinggung – Contohnya, nama Woti yang bawa maksud hubungan seks, ia adalah dilarang sama sekali digunakan.
- Nama yang ada singkatan perkataan – Kalau korang ada rancangan nak bagi nama anak korang dengan gabungan nama lain, tapi lepas tu korang sedar yang nama tu panjang sangat nak muat kat IC. Dan korang pun buat keputusan ‘pendekkan’ dengan huruf macam ABCD, maka JPN tak akan terima nama tu.
- Nama yang merujuk profesion tertentu – Walaupun ada mak ayah yang nak anaknya jadi Doktor atau Jurutera bila besar nanti, tak bolehlah bagi nama anak korang dengan gelaran DR atau IR. Ini semuanya dilarang.
- Gelaran yang dianugerahkan oleh kerajaan – Bagi nama anak korang dengan gelaran, Dato’ Sri atau Tan Sri yang hanya boleh dianugerahkan oleh kerajaan juga dilarang sama sekali.
Jadi, kalau korang pernah jumpa orang yang namanya Sial atau Bola Besar… mesti diorang rasa terbeban sangat, lebih-lebih lagi kalau diorang tu lelaki. Nama-nama yang bawa makna menyinggung juga boleh buatkan orang yang memanggil macam menghina. Manakala nama-nama dengan gelaran atau merujuk profesion tertentu pula boleh menimbulkan kekeliruan dan melanggar undang-undang.
2. Nama yang tak sesuai untuk seseorang
Pernah ke kita jumpa orang yang namanya Hitler dekat tempat kerja kita atau kat mana-mana majlis? Rasanya macam tak pernah. Ini lah mungkin antara maksud “tak sesuai” dalam memberi nama di Malaysia. Terdapat juga nama-nama lain yang dikelaskan sebagai tak sesuai di Malaysia macam:
- Nama haiwan – Monyet, Lipan, Babi dan Ular.
- Kejadian alam – Hujan, Batu, Angkasa dan Panas.
- Nama dari angka – 007 atau kosongkosongtujuh, K9.
Sebenarnya, terdapat peningkatan bilangan orang yang nak tukar nama asal diorang di Malaysia disebabkan nama tu tak sesuai dengan diorang. Nama-nama yang tak sesuai ni merujuk kepada nama-nama yang mungkin tak sesuai dengan jantina tertentu, atau boleh merujuk kepada haiwan, cuaca atau menamakan seseorang berdasarkan nombor/digit.
3. Nama-nama dari gelaran keturunan
Korang mesti pernah dengar nama orang yang bermula dengan Syed/Syarifah, Wan atau Nik dekat Malaysia. Jadinya, untuk gunakan gelaran ni dalam nama-nama diorang, diorang mesti dapatkan kebenaran dari pihak berkuasa dan kena buktikan yang diorang memang dari keturunan yang bawa gelaran tu. Barulah diorang boleh menggunakannya.
Ini antara cerita disebalik nama – nama seperti Syed/Syarifah. Dikatakan mereka ni berasal dari keturunan Nabi Muhammad SAW. Nama Megat pula berasal dari keturunan Megat Terawis, Bendahara pertama Perak. Manakala Wan adalah berasal dari singkatan ‘Pahlawan’ dan bermula dari bangsawan Perak.
Jadi, kalau korang tak ada kaitan dengan ‘Wan’, maka tak bolehlah korang guna nama keturunan yang berasal dari keturunan tu. Sama juga kalau korang perempuan yang ada gelaran dalam nama, anak korang tak boleh warisi nama tu walaupun diorang sebahagian dari keturunan sama.
4. Nama yang tak sesuai dengan bahasa lain
Disebabkan kebanyakan masyarakat Malaysia ni bilingual atau multi-lingual, kita kadang-kadang tu boleh faham perkataan-perkataan yang bawa maksud tak baik dalam bahasa tertentu. Benda macam ni boleh jadi kalau seseorang tu tak tahu konteks makna namanya dalam bahasa lain. Jadinya, ini tiga kategori bahasa utama di Malaysia yang antaranya dikelaskan sebagai nama tak sesuai:
- Bahasa Melayu – Zaniah (pelacur), Khinzir (babi), Ketiak dan Kemek.
- Bahasa Mandarin/Hokien – Ah Chaw (ular), Khiow Choo (bongkok) dan Chow Tow (kepala berbau).
- Bahasa Tamil – Kalavani (pencuri), Karrupasamy (dewa hitam) dan Motayyan (lelaki botak).
Jadinya, lebih baik korang tahu dulu makna nama yang korang pilih sebelum buat apa-apa keputusan, sebabnya ia mungkin kedengaran tak baik dalam bahasa lain.
5. Nama tak boleh lebih dari 80 aksara
JPN juga ada buat pengumuman tahun lepas yang diorang terhadkan nama – tak lebih 80 aksara supaya ia muat ditulis dalam IC. Kalau korang tertanya-tanya pasal rekod nama terpanjang di Malaysia, ia dipegang oleh seorang kanak-kanak perempuan yang bernama Princess Aura Nurr Emily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zendra Mohd Sufian. Nama ni ada 63 aksara dan 12 perkataan!
Jadi, dengan peraturan terbaru ni, aksara yang dihadkan termasuklah nama bapa dan perkataan “Bin/Binti” dalam IC. Sila ambil perhatian – jarak antara nama tu pun dikira sebagai aksara tau! Sebab di sebalik peraturan ni adalah untuk mengurangkan impak negatif kepada kanak-kanak, bila diorang nak isi borang atau isi nama pada kertas peperiksaan sekolah.
Tapi peraturan ni tak bermaksud nak menghukum seseorang sebab nama yang dah diberikan kepada diorang. Sesiapa yang ada nama melebihi 80 aksara akan diberi kad pengesahan yang akan mengesahkan nama diorang tu tak sesuai dengan MyKad.
Tapi jangan risau, nama korang tak akan buatkan korang kena saman
Jadi, ada nama yang panjang atau bawa makna yang tak baik bukanlah bermaksud seseorang tu buat salah di Malaysia. Asasnya, JPN bagi kebebasan penuh kepada ibu bapa untuk bagi nama kepada anak-anak diorang, selagi mana ia selaras dengan peraturan. Kalau kedua-dua ibu bapa setuju untuk namakan anak diorang dengan nama tertentu, tak ada peraturan tegas yang kata diorang tak boleh. Ia juga mengikut budi bicara pendaftar sama ada nama tu boleh diterima atau digunakan.
“Keputusan untuk pemberian nama kepada kanak-kanak adalah bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa atau pemaklum kelahiran itu. Nama yang diberikan oleh ibu bapa bergantung kepada individu itu dan adalah subjektif. Ibu bapa yang ingin menamakan anak mereka dengan nama yang tidak digalakkan dan pihak JPN akan menasihatkan mereka akan ketidaksesuaian nama yang dipilih terlebih dahulu.” – Kenyataan JPN dipetik dari Projekmm.
Bagaimanapun, kalau korang tak suka dengan nama korang atau nak tukar nama, ada prosedur dan langkah-langkah yang korang kena ambil untuk daftar balik nama korang di JPN. Dan korang kena bersumpah yang perubahan tu dibuat kerana kehendak korang sendiri. Kalau itulah kesnya, cara terbaik adalah berhubung dengan JPN atau layari laman web diorang untuk tahu prosedur tukar nama di Malaysia. Di mana, ada beberapa kategori yang disenaraikan berdasarkan umur seseorang.