Civil,Traffic
Kereta dilanggar oleh pemandu tak berinsurans? Agensi ini dapat membantu dengan PERCUMA
over 6 years ago Clarence Kuna[Artikel ini diterjemah dari Bahasa Inggeris. Click here for English version]
Cuba bayangkan – anda memandu dan sedang menghampiri lampu merah. Anda mengenakan brek dengan perlahan sehingga kereta anda berhenti. Namun apakan daya, kereta di belakang anda gagal untuk berhenti dan terus melanggar anda. Oleh sebab itu, kereta anda rosak teruk dan lebih-lebih lagi, anda mengalami kecederaan di bahagian leher dan tulang belakang.
Kebanyakan dari kita beranggapan yang kita boleh “menuntut insurans dari pemandu” atau dengan lebih tepat lagi, membuat tuntutan kecederaan peribadi pihak ketiga dengan syarikat insurans pemandu yang menyebabkan kemalangan. Dengan itu, anda pun mengupah peguam untuk membuat tuntutan kecederaan.
Tetapi bagaimana jika si pemandu yang mengakibatkan kemalangan tidak memiliki insurans atau tidak memiliki perlindungan insurans pihak ketiga?
Dalam kes sebegini, peguam mungkin akan menasihatkan anda untuk memfailkan saman terhadap pemandu tersebut. Ini bermaksud pemandu itu akan membayar kos ganti rugi dari poket sendiri ataupun terpaksa berdepan dengan perintah mahkamah jika gagal berbuat demikian. Namun, ini bergantung sama ada pemandu tersebut mampu membayar kos ini, dan tambahan pula proses ini akan mengambil masa yang panjang dan menelan perbelanjaan yang tinggi.
Dalam situasi sebegini, anda mungkin boleh meminta bantuan MIB.
MIB yang kita maksudkan adalah Motor Insurers’ Bureau, atau pun dalam Bahasa Malaysia, Biro Insurans Motor (BIM) – silalah ke akhir artikel ini untuk mendapatkan maklumat tentang bagaimana untuk menghubungi mereka jika anda memerlukan bantuan mereka dengan segera.
Sebelum itu, mari kita lihat apakah itu “insurans pihak ketiga”, jika anda masih tidak faham istilah itu.
Perihal insurans motor
Dalam konteks insurans kenderaan, ada tiga pihak yang terlibat:
- Pihak pertama – Pemegang polisi insurans (yakni pemilik kenderaan);
- Pihak kedua – Syarikat insurans motor; dan
- Pihak ketiga – pemandu yang terbabit dalam kemalangan, yang menuntut insurans dari pihak pertama.
Jika anda memiliki kenderaan, anda sudah sedia maklum yang anda perlu membeli polisi insurans motor sebelum memandu kerana jika tidak, anda boleh didakwa di bawah Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman maksimum 3 tahun penjara dan/atau denda sehingga RM1,000. Di sinilah istilah “insurans pihak pertama” dan “insurans pihak ketiga” banyak digunakan.
Ada dua jenis polisi insurans yang anda boleh beli, iaitu:
- Perlindungan menyeluruh/komprehensif (insurans pihak pertama) – Seperti yang jelas pada namanya, polisi ini menyediakan perlindungan yang menyeluruh kepada anda dan pemandu yang terbabit. Perlindungan menyeluruh yang asas merangkumi tuntutan kehilangan atau kerosakan kepada kenderaan anda, kematian atau kecederaan kepada pemandu yang terlibat dan juga kerosakan kenderaan pemandu terlibat.
- Perlindungan pihak ketiga (insurans pihak ketiga) – Polisi ini memberi perlindungan kepada pemandu lain yang terbabit melalui tuntutan kematian atau kecederaan, dan kerosakan kepada kenderaan mereka; tetapi tuntutan tidak boleh dibuat untuk kenderaan anda. Mungkin anda tertanya-tanya kenapa ada yang ingin mengambil polisi ini. Ini adalah kerana insurans pihak pertama tidak merangkumi kenderaan lama.
Untuk tujuan artikel ini kita akan menumpukan perhatian kepada dua jenis polisi ini. Jika anda ingin tahu lebih lanjut tentang polisi lain, anda boleh bacanya di sini.
Ada dua jenis tuntutan insurans motor
Mari kita tumpukan perhatian kita kepada cara untuk membuat tuntutan insurans pihak pertama dan pihak ketiga.
Tuntutan ini dibuat oleh dua pihak: anda dan syarikat insurans. Katakanlah anda terlanggar pokok, syarikat insurans akan menanggung kos membaik pulih kenderaan anda. Selain itu, polisi insurans jenis ini akan melindungi anda dalam situasi di mana anda terlibat dalam kemalangan dengan kenderaan lain di mana ianya bukan akibat kecuaian anda. Ini dikenali juga sebagai ‘own damage knock-for-knock’ dalam istilah insurans. Tuntutan ini amat mudah dibuat berbanding dengan tuntutan pihak ketiga seperti yang akan anda baca di bawah sebentar lagi.
Ianya mudah dan cepat untuk membuat tuntutan dengan syarikat insurans anda kerana semuanya diuruskan oleh mereka. Anda hanya perlu menghubungi agen insurans anda dan anda akan diberi alamat bengkel panel terdekat untuk baik pulih kenderaan anda.
Namun begitu, tuntutan pihak pertama lazimnya hanya memberi perlindungan untuk kenderaan pemegang polisi. Oleh itu, tuntutan ini tidak termasuk apa-apa kecederaan yang anda alami. Di sinilah anda perlu merujuk kepada tuntutan pihak ketiga.
Untuk tuntutan ini, anda membuat tuntutan dengan syarikat insurans pemandu yang melanggar kenderaan anda dan oleh sebab itu, pegawai insurans anda tidak boleh membantu anda dengan tuntutan ini. Untuk ini, anda perlu diwakili oleh peguam kerana kes tuntutan sebegini boleh menimbulkan persoalan siapa yang bersalah dalam kemalangan yang terjadi di mana ianya mungkin perlu diselesaikan di mahkamah. Tetapi jika dua pihak terbabit dalam kemalangan, syarikat insurans manakah yang akan menanggung kos kemalangan tersebut?
Ini bergantung pula kepada pihak mana yang bersalah. Untuk mengenal pasti pihak ini, kedua-dua pihak perlu melaporkan kemalangan di balai polis berhampiran (adalah baik untuk melaporkan kemalangan ini di balai polis cawangan trafik) untuk membuat keterangan dan pihak yang bersalah akan dikenal pasti melalui kedua-dua laporan ini. Maka adalah penting untuk membuat laporan polis sejurus selepas kemalangan berlaku.
Mari kita ambil contoh berikut – No Pah King dan Wai Bang Mi mengalami kecederaan akibat kemalangan dan kedua-duanya mempunyai perlindungan insurans komprehensif. No Pah King didapati bersalah kerana dia memandu keluar dengan tergesa-gesa dari kawasan larangan meletak kereta. Oleh itu, syarikat insurans No Pah King akan menanggung kos ganti rugi Wai Bang Mi, dan Wai Bang Mi pula akan membuat tuntutan dengan syarikat insurans No Pah King.
Tetapi jika pihak ketiga (pihak yang bersalah) tidak memiliki insurans, kesnya berlainan sekali dari di atas.
Walaupun pihak yang bersalah akan dikenakan denda maksimum RM1,000 atau/dan dipenjarakan maksimum 3 bulan, ini langsung tidak akan menanggung kos gantirugi anda.
Tetapi syukur dengan adanya MIB, anda boleh menuntut perlindungan kecederaan dengan mereka, walaupun pihak ketiga tidak memiliki insurans.
Anda tidak memerlukan peguam pun
MIB ditubuhkan hasil usaha kerjasama Kementerian Pengangkutan, syarikat-syarikat insurans Malaysia dan MIB sendiri.
Ianya bertujuan untuk membantu mangsa kemalangan yang tidak bernasib baik, di antaranya memberi bantuan kewangan kepada mangsa kemalangan yang tidak dapat membuat tuntutan dari pihak ketiga kerana mereka tidak memiliki polisi insurans. Dan walaupun ianya dikenali sebagai ‘Motor Insurers’ Bureau of West Malaysia’, mangsa dari Negeri di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang (Sabah dan Sarawak lah!) juga boleh membuat tuntutan dengan MIB.
Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang tuntutan ini di sini, tetapi di bawah adalah rumusan dari apa yang diperoleh di laman sesawang tersebut:
- Anda mesti membuat tuntutan dalam masa 3 tahun dari tarikh kemalangan
- Jika anda diwakili peguam yang ingin mengemukakan saman, peguam tersebut mesti memaklumkannya kepada MIB 30 hari sebelum mengemukakan saman.
- Perlindungan hanya diberi kepada kecederaan akibat dari kemalangan. Tiada perlindungan diberi untuk kerosakan kenderaan.
Harus diingat bahawa bayaran dibuat oleh MIB mengikut budi bicara mereka dan jumlah bayaran ditentukan oleh mereka sendiri. Maka anda mungkin tidak akan mendapat jumlah yang penuh seperti yang boleh dituntut dari polisi insurans pihak ketiga, tapi ini lebih baik dari tak dapat satu sen pun, kan?
Jika anda ingin membuat tuntutan secara terus dengan MIB, pastikan anda bersedia dengan dokumen-dokumen seperti surat yang menerangkan kemalangan yang berlaku, laporan polis anda dan pihak ketiga, laporan perubatan dan sebagainya, kerana dokumen-dokumen ini diperlukan semasa membuat tuntutan.
Bagaimana untuk membuat tuntutan dengan MIB?
Untuk membuat tuntutan dengan MIB, sila hubungi mereka di alamat pejabat iaitu Wisma Piam, No. 150-3, Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, 50782, Kuala Lumpur ataupun di talian telefon +60322747395.
Kemalangan merupakan satu pengalaman yang amat membebankan. Selain dari trauma dan tekanan, banyak perkara yang perlu kita buat selepas sesuatu kemalangan untuk membuat tuntutan peribadi. Oleh sebab itu, amat penting jika kita arif tentang hak dan khidmat sedia ada untuk membuat tuntutan berdasarkan situasi.
Dan berhati-hati di jalan raya ya.
clarencekuna@gmail.com