Asklegal
Home banner 2466c256 575c 4d45 9f4e 3ff7548a6058

Consumer,General

6 benda yang sebenarnya dilarang bawa keluar dari Malaysia!

about 5 years ago Azar Ishak

70

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Cuba korang bayangkan senario ni – korang seorang pelajar Malaysia yang nak sambung belajar di luar negara. Korang risau nanti rindu dengan Malaysia, jadinya korang pun isilah beg korang tu dengan makanan-makanan dan barang-barang Malaysia. Korang tak tahu yang ada barangan ni sebenarnya dilarang dari dieksport, dan pegawai kastam pun tahan korang masa di lapangan terbang.

Disebabkan adanya kemungkinan jadi senario macam ni, kitorang pun tengoklah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2012 dan di sana banyak barangan yang kitorang jumpa dan tak sangka yang ia sebenarnya dilarang dari dieksport keluar dari Malaysia. 

Tapi sebelum bincang lebih lanjut, kita kena tahu dulu tentang...

 

Siapa yang kawal import dan eksport di Malaysia ni? 

Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Imej dari Astro Awani.

Di Malaysia, kita ada beberapa badan yang bertanggungjawab untuk mengawal apa je yang keluar dari negara. Dan salah satu badan utama tu adalah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KASTAM) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Tugas utama diorang adalah mengawal import dan eksport di Malaysia dan ada kuasa untuk menyiasat, dan juga menahan sesiapa yang terlibat dalam jenayah penyeludupan masuk ke negara atau keluar dari negara. 

Terdapat 2 kategori kawalan barangan untuk eksport, iaitu:

  1. Barangan yang dilarang secara mutlak untuk dieksport ke semua negara, contohnya – telur penyu, rotan, senjata dan bahan berkaitanya, petroleum dan produk petroleum
  2. Barangan yang memerlukan lesen eksport dan tertakluk kepada kawalan kerajaan, contohnya ternakan dan produk ternakan, bijirin, mineral dan bahan toksik atau berbahaya.

Akta Kastam 1967 dan Akta Perdagangan Strategik 2010 memperuntukkan penalti kepada kesalahan kawalan eksport ni. Akta Kastam menyatakan:

“Hukuman penjara antara dua tahun dan penjara seumur hidup, bergantung kepada keseriusan dan jenis kesalahan... dan denda antara 10,000 ringgit dan 30 juta ringgit.” 

Dengan hukuman yang berat dan disebabkan tak nak kena penjara suatu hari nanti, jadinya kitorang akan senaraikan beberapa barangan larangan yang korang semua juga kena tahu.

Dan mungkin kita boleh mula dengan…

 

1. Rotan

Imej dari berubatt.blogspot

Kalau korang jenis yang nakal dan selalu buat masalah masa kecil dulu, korang tahulah apa dia benda ni. Sebenarnya, rotan secara mutlaknya dilarang dari dieksport keluar dari Semenanjung Malaysia

Disebabkan permintaan tinggi terhadap rotan dari banyak negara termasuk Eropah, dari bahan mentah sehingga menjadi produk siap, seperti perabot, kraftangan dan sebagainya. Makanya, kerajaan memperkenalkan larangan ni bagi merangsang industri berasaskan rotan di Malaysia dan bagi meningkatkan penjualan produk rotan siap untuk dieksport dari negara ini. Dengan cara ni, ia menghalang penuaian yang tidak terkawal, dan mewujudkan pasaran untuk produk tempatan.

Jadinya, ni tak bermakna yang perabot atau bakul berasaskan rotan tak boleh dieksport – tapi ia lebih kepada bahan mentah yang dianggap sebagai kesalahan untuk dieskport. 

 

2. Kerang

Imej dari darahatiku.blogspot

Mungkin sebab inilah harga Char Koey Teow dan Nasi Lemak Kerang asyik naik je setiap tahun. Tapi, kalau korang nak tahu sebab kenapa harga kerang ni mahal, ia sebenarnya kerana spesis ni semakin terancam. Berdasarkan kajian dari Institut Kajian Perikanan, 3 negeri pembiakan kerang utama dah terkesan dengan pencemaran, yang mengakibatkan kejatuhan tuaian yang ketara selama bertahun-tahun.

Disebabkan hal itu, had eksport dah diperketatkan dan permit diperlukan untuk melakukannya. Berdasarkan Seksyen 40, Akta Perikanan 1985:

(5) Suatu permohonan bagi permit untuk mengimport dan mengeksport apa-apa ikan hidup hendaklah dibuat mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011

Oleh itu, permit diperlukan untuk membawa kerang keluar dari Malaysia. Korang boleh buat permohonan permit tu dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia

 

3. Orkid

Imej dari Giphy.

Kalau korang ada girlfriend yang duduk di luar negara dan korang nak bagi bunga kepadanya, korang kena periksa dulu bunga jenis apa yang dilarang dari dieksport. Ada banyak tumbuhan yang dilarang untuk dieksport dari Malaysia, dan salah satunya adalah orkid. 

Larangannya ada di bawah Akta Kastam yang dibaca serentak dengan Seksyen 2(1), Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.

Akta ini juga membawa kepada kesan yang lebih besar di bawah Seksyen 10 kerana kesalahan mengeksport spesis orkid yang dinyatakan dalam jadual:

“Mana-mana orang yang mengimport atau mengeksport mana-mana spesies terjadual tanpa permit melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan – 
(a) …didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit bagi setiap haiwan, tumbuhan, atau bahagian yang mudah dikenali atau terbitan haiwan atau tumbuhan, spesies terjadual itu... atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya;”

Kalau korang tertanya-tanya “Kenapa orkid?”, ia dah semestinya disebabkan ada spesisnya yang dah berada dalam kategori terancam. Disebabkan hal itu, orkid tertakluk kepada hukuman berat, jika sesiapa didapati bersalah menyeludup tanaman ini keluar dari Malaysia.

 

4. Ayam

Imej dari Giphy.

Mungkin ada yang akan tanya, “Ni maknanya burger ayam pun tak boleh bawa keluar dari Malaysia ke?”. Sebenarnya, taklah macam tu dan larangan ni hanya merujuk pada ayam secara keseluruhannya atau bangkainya. Bukan saja Akta Kastam 1967 yang nyatakan hal ni, tapi juga dalam Seksyen 14(1), Akta Binatang 1953 yang menyatakan (tiada terjemahan rasmi, diterjemah oleh Asklegal):

“Tiada seorang pun boleh mengeksport apa-apa haiwan atau bangkai apa-apa haiwan kecuali mengikut lesen bagi pihak yang dikeluarkan di bawah Akta ini dan mengikut syarat-syarat lesen itu dan apa-apa syarat sebagaimana yang ditetapkan.” 

Akta ini juga membawa hukuman di bawah Seksyen 14(3), di mana denda sebanyak RM500 atau penjara hingga 6 bulan atau kedua-duanya jika didapati bersalah. Dan tentu saja, ia juga bergantung pada sama ada negara yang korang nak pergi tu ada larangan tersendiri tentang perkara ni.

 

5. Pakaian dan peralatan ketenteraan

Imej dari Borneo Post.

Pakaian dan barangan ketenteraan, seperti – bahan nuklear, laser, navigasi, sensor dan peralatan avionik, memerlukan lesen/permit yang berkaitan untuk dieksport dari Malaysia.

Akta Perdagangan Strategik 2010 merangkumi hal ini serta digubal untuk mengekang eksport dan penghantaran barangan ketenteraan strategik. Ia juga melindungi negara, kerana barangan berkaitan ketenteraan ni sangat sulit. Jadinya, untuk sebab keselamatan negara, korang tak boleh eksport alatan dan pakaian ketenteraan… walaupun ke negara jiran. 

Korang kena ada permit khas untuk eksport barangan ketenteraan, tapi proses permohonannya bergantung kepada sama ada korang adalah badan/orang yang relevan dan diiktiraf oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. 

 

6. Gula dan beras

Kuih yang menggunakan tepung beras dan gula. Imej dari Trip Advisor

Mungkin ada di antara kita yang terfikir nak bawa bahan mentah macam beras bila pergi luar negara, sebab rasa beras tu lebih sedap dari yang ada di negara luar. Tapi apa yang korang kena tahu, barangan ni sebenarnya dilarang dieksport keluar dari Malaysia. 

Bagaimanapun, sebagai mana ada dalam peraturan Kastam Malaysia, ia taklah dilarang sama sekali untuk eksport gula dan beras dari Malaysia. Korang boleh dapatkan permit untuk eksport gula dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna. Pautannya ada di sini

Untuk beras pula, Malaysia adalah negara ke-14 pengimport terbesar beras dunia. Disebabkan kekurangan beras tempatan di sini, sekatan eksport dah diperketatkan.

Korang mungkin boleh sorok-sorok bawa putu piring masuk kapal terbang, tapi dah semestinya korang akan diberhentikan oleh pegawai kastam di negara yang korang pergi, bergantung kepada sekatan diorang. Bagaimanapun, kalau korang bawa pek gula dan tepung beras untuk buat putu piring dari awal, agak sukar sebenarnya untuk korang dapat lepas dari pemeriksaan kastam Malaysia tanpa ia dirampas.

 

Kalau tak nak kena denda, baik anda periksa betul-betul barang yang dibawa

Imej dari Giphy.

Itulah apa yang kitorang dapat dekat Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2012. Kalau korang nak tahu lebih dan nak elakkan dari didenda dan kena penalti, pergilah periksa di laman Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Akta yang ada. Manakala, kalau korang nak eksport barangan ni atau hantarnya ke suatu tempat dengan jumlah yang besar, mungkin cara terbaiknya adalah dapatkan permit dari pihak berkuasa sebelum lakukannya. Kalau tak buat yang sepatutnya, berkemungkinan besar barang korang tu akan dirampas. Atau lebih buruk, korang mungkin akan dicaj atau dikenakan cukai sebagai penalti.

Apa yang pasti, kalau korang eksport barangan ni secara komersial, kesnya dah tentu akan berbeza. 

 

Tags:
jabatan kastam diraja malaysia
barang yang dilarang bawa keluar dari malaysia
akta kastam
kementerian perdagangan antarabangsa dan industri
akta perdagangan strategik 2010
akta perdagangan antarabangsa mengenai spesies terancam 2008
perintah kastam (larangan mengenai eksport) 2012

70

Shares

A+

A-