Asklegal
Home banner 3b1ba627 3ade 436c 8486 7c3542a5ca79

Industrial,Employment

Kerana mengeluh syarikat pilih kasih di media sosial, lelaki ni telah dipecat

over 4 years ago Azar Ishak

199

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Dalam lumrah bekerja ni, kita mesti pernah mengeluh dengan tempat kerja kita. Dan hal tu kadang-kadang akan diluahkan dalam WhatsApp, ataupun masa melepak dengan kawan-kawan di kedai mamak. Malah, ada juga yang luahkan perasaan tu di media sosial macam Facebook dan Instagram. 

Mungkin kita fikir apa yang kita buat tu tak akan mendatangkan sebarang masalah, sebab tu cuma cara kita nak melepaskan geram semata-mata. Tapi sebenarnya, kami dapat tahu yang komen pasif-agresif di media sosial ni bukan setakat boleh buatkan korang dalam masalah, malah ada yang sampai boleh buatkan korang dipecat. Macam kes yang jadi kepada seorang lelaki ni, apabila…

 

Dia dakwa syarikat amalkan pilih kasih 

Dalam kes ni, seorang pekerja dah dipecat selepas dia mengadu di Facebook pasal rakan sekerjanya, yang dia dakwa dapat layanan istimewa dari syarikat

Kata-kata penuh bermakna. Imej dari Nurhadi Aldo

Perkara ni jadi dalam kes Kamal Rafidi Mohd Zakaria lwn Alam Flora Sdn Bhd [2019] 2 LNS 2219. Si pekerja, Kamal dah diberhentikan kerja sebab buat kenyataan fitnah terhadap rakan sekerja di Facebook. Bagaimanapun, komennya tu juga secara tak langsung dah mencemarkan nama baik syarikat bila mendakwa mereka pilih kasih dengan rakan sekerjanya dan sebab itulah dia berdepan dengan masalah. 

Sebenarnya, dia buat komen tu menggunakan profil Facebook dengan nama samaran “Ken Zak”. Dalam hantaran Facebook-nya tu, Kamal ada muat naik gambar Anugerah Khas Kepimpinan dari SWCorp untuk daerah Rompin dengan caption

“Buat hal msh dimuliakan...kerana di payung oleh exco…”

Walaupun nama pada sijil tu dah dipadam, tak susah sangat orang nak kenal pasti siapa yang dia rujuk tu – sebabnya cuma sorang je yang dapat anugerah untuk daerah Rompin pada tahun tu

Syarikat tempat dia bekerja, Alam Flora kemudiannya mulakan siasatan terhadap hantaran Facebook tersebut lepas dapat aduan daripada penerima sijil tu tadi. Mereka dapati orang yang buat hantaran tu tak lain dan tak bukan adalah Kamal. Jadinya, mereka pun buat siasatan dalaman dan panel siatan kemudiannya mendakwa Kamal dengan tiga kesalahan salah laku. 

  1. merosakkan reputasi syarikat
  2. mempamerkan tingkah laku tidak bermoral
  3. menyebarkan khabar angin dengan niat jahat.

Ketiga-tiga salah laku ni dianggap serius kerana dah melanggar standard prosedur (SOP) syarikat yang ditetapkan. Kamal didapati bersalah dengan ketiga-tiga salah laku ni, dan kemudiannya dipecat. Namun, dia tak bersetuju dengan keputusan tu dan bawa majikannya ke mahkamah dengan mendakwa dia dah dipecat secara tak adil. 

Jadi, persoalannya sekarang – dia cuma buat hantaran di Facebook. Kenapa dia kena dipecat? Rupa-rupanya…

 

Tak susah nak faham maksud yang tersirat

Dalam hal ni, mahkamah perlu memutuskan sama ada hantaran Facebook-nya tu fitnah atau tak. Dalam pembelaannya, Kamal berhujah yang komennya tu dibuat dengan adil, dan ia bukanlah fitnah. Dia juga kata yang dia tak cakap apa-apa yang boleh merendahkan reputasi syarikat, dan tak ada kata-kata mudarat atau ancaman yang dia buat dalam hantaran tu. 

Bagaimanapun, untuk menentukan sama ada kenyataan tu fitnah atau tak, ia tak dibuat berdasarkan pemahaman ayat yang literal semata-mata. Sebaliknya, ia dibuat dengan melihat apa yang munasabah difikirkan oleh orang tentang kenyataan berkenaan. 

Kata-kata sedalam kerak bumi. Imej dari Jalaluddin Jalak

Perkara ni ada ditegaskan dalam kes Tun Datuk Patinggi Haji Abdul-Rahman Ya’kub v Bre Sdn Bhd [1996] 1 MLJ 393. Di mana hakim ada menyatakan:

“... ia tidak terbatas pada erti literal ketat pada kata-kata, tetapi meluas ke rujukan atau implikasi yang mana orang boleh menganggapnya secara wajar.” 

Jadinya, kenyataan tu bukan secara literal dengan kata: “Dia tu orang jahat”. Tapi, ia cukup untuk menyiratkan maksud "Dia tu orang jahat."

Disebabkan inilah hakim buat keputusan yang hantaran tu sebagai fitnah, sebab ia menunjukkan maksud bahawa: 

  1. Penerima anugerah tu tak sepatutnya terima anugerah tersebut dan dia seorang yang tak bertangungjawab dan tak berdisiplin
  2. Pihak pengurusan syarikat (exco) pilih kasih dan melindungi penerima anugerah meskipun segala perbuatan salahnya
  3. Sijil yang diberikan oleh SWCorp tu kurang kredibiliti
  4. SWCorp memberikan anugerah sijil kepada seseorang yang dipersoalkan integritinya, disebabkan dia dilindungi exco

Jadinya di sini, ia bukan apa yang korang kata secara literal – tapi tentang apa yang orang fikirkan terhadap maksud korang tu.

 

Tapi, bukan ke kita ada kebebasan bersuara?

Imej dari JohorKini

Inilah sebenarnya salah satu point dalam kes ni - di mana kita ada hak kebebasan bersuara. Ia pada asasnya benar sama sekali yang setiap rakyat Malaysia ada hak kebebasan bersuara dan ia dinyatakan secara jelas dalam Artikel 10, Perlembagaan Persekutuan:

(a) tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara;

Dalam hal ni, mahkamah bersetuju yang setiap rakyat Malaysia ada hak tersebut. Bagaimanapun, mereka ada kata yang kebebasan bersuara bukanlah hak mutlak. Dengan kata lain, kita tak boleh menyalahgunakan hak tu untuk memfitnah mana-mana orang atau kumpulan. Mahkamah kemudiannya memetik alasan mereka dari kes – Jeyaretnam Joshua Benjamin lwn Lee Kuan Yew & Anor [1992] 2 SLR 310:

Kebebasan bersuara bukanlah lesen untuk memfitnah orang. Ia dikenakan sekatan undang-undang. Hak mutlak atau tanpa had untuk kebebasan bersuara akan mengakibatkan orang secara sembrono memfitnah orang lain tanpa hukuman, dan pelaksanaan hak tersebut akan membuat orang awam lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan. Setiap orang memiliki hak untuk reputasi dan hak itu harus dilindungi oleh undang-undang.

Makanya, memang benar kita ada hak kebebasan bersuara. Tetapi, ia tak bermakna yang kita boleh kata apa je yang kita nak kepada sesiapa pun. Kalau kita buat macam tu, ia membuka ruang untuk memfitnah orang lain. Di mana, ia dah pasti tak adil – sebab kita juga ada hak untuk memastikan reputasi kita tak dicalarkan atas dakwaan yang tak berasas. Dan lebih penting lagi, hak reputasi kita tu turut dilindungi oleh undang-undang. 

Seperti mana yang kita dapat lihat, apa yang kita tulis di media sosial pun boleh membuat kita dipecat, hanya kerana ia bukan tentang apa yang korang kata, tapi apa yang dimaksudkan dengan kata-kata tu. Oleh itu, kalau korang rasa syarikat korang dah berlaku tak adil terhadap korang, cara terbaiknya adalah membawanya kepada pihak atasan atau ke pihak sumber manusia. 

Tags:
perlembagaan persekutuan
mahkamah perusahaan
alam flora
swcorp
kebebasan bersuara
hina syarikat
fitnah

199

Shares

A+

A-