Contract,General
Ini kisah macam mana Genting lawan Fox dan Disney untuk bina taman tema mereka
over 5 years ago Azar Ishak[Click here for English version]
Bila Genting tutup taman tema popular mereka pada September 2013, ia disambut dengan gembira. Bukan sebab kita benci dengan Genting, tapi sebab kita teruja dengan taman tema yang akan menggantikannya nanti. Ia adalah taman tema antarabangsa 20th Century Fox pertama di dunia!
Pada mulanya, ia dijangka akan dibuka kepada orang ramai lepas tiga tahun, iaitu pada 2016. Tapi, kalau korang pernah pergi ke Genting sejak beberapa tahun kebelakangan ni, korang mesti perasan yang pembukaan taman tema ni dah ditangguhkan sejak 2016 lagi. Dan pada tahun ni, taman tema tu masih juga dalam pembinaan.
Apa puncanya taman tema ni lambat sangat nak siap?
Isu mata wang dan Fox rasa menyesal
Bila 20th Century Fox dan Genting Malaysia buat perjanjian pada tahun 2013, semuanya macam terus-terang je. Mengikut perjanjian ini, Genting akan dapat hak guna tajuk-tajuk blockbuster Fox untuk permainan dan tarikan mereka. Fox pula akan dibayar yuran lesen tahunan dan royalti. Ini bermakna, kita nanti boleh nampak permainan yang dibina berdasarkan ‘Ice Age’, ‘Planet of the Apes’ dan ‘Life of Pi’.
Tapi masalah lewat ni bermula bila adanya isu kewangan. Pada 2016, nilai Ringgit Malaysia (RM) terlalu lemah untuk rancangan ni diteruskan, jadi pembukaan taman tema terpaksa ditunda ke 2017. Pelaburan Genting pada asalnya sebanyak US$300 juta, tapi disebabkan nilai RM yang lemah, Genting kena tambah US$61 juta pada pelaburan asal.
Kemudiannya, Fox pula rasa menyesal lepas buat rundingan dengan Genting. Sebabnya, mereka sedar yang mereka boleh minta lebih lagi dari yang sebelumnya. Fox menyesal dengan dua perkara: pertama, perjanjian itu tidak termasuk bahagian penjualan tiket; dan kedua, mereka rasa perjanjian tu di bawah harga pasaran.
Malah, mereka juga ada terfikir nak batalkan perjanjian dengan Genting tu. CEO Fox, James Murdoch ada kata yang dia nak melabur dalam taman tema kepunyaan Fox sendiri, dari bagi lesen IP kepada Genting. Tapi, Fox tak boleh batalkan perjanjian tu, sebab dalam Memorandum Perjanjian mereka, satu-satunya cara Fox boleh membatalkan perjanjian adalah kalau Genting terlepas tarikh akhir (deadline).
Jadi, untuk paksa rundingan semula dibuat, Fox buat taktik-taktik untuk melewatkan projek tu. Mereka buat macam tu pada Genting, supaya Genting terlepas tarikh akhir, dan mereka bolehlah tengok balik Memorandum Perjanjian.
Bagaimanapun, Genting kata kelewatan tu bukan salah mereka. Genting kata mereka dah ‘kerja bersungguh-sungguh untuk buka taman tema tu secepat mungkin’, tapi Fox sedaya upaya nak projek tu ditangguhkan. Antara yang Genting dakwa Fox buat adalah:
- Fox kata Genting menggantikan salah satu vendor pilihannya kepada salah satu vendor Fox yang kurang memenuhi syarat
- Fox minta Genting tukar tema permainan 'Independence Day' kepada 'Percy Jackson'. Bila dah siap dibina, Fox minta Genting tukar balik ke ‘Independence Day’.
- Fox sentiasa buat komen yang samar tanpa memberi arahan yang tepat
Semua permintaan Fox ni memakan masa Genting dan kesannya, pembukaan taman tema ditangguhkan. Tapi hal ni jadi lebih rumit lagi bila…
Disney beli Fox, dan tak mahu taman tema dekat dengan kasino
Masa semua hal ni jadi, Walt Disney tengah dalam proses nak ambil alih Fox. Bila Disney masuk, objektif mereka tak lagi nak buat rundingan kontrak semula, tapi nak tamatkan dan tarik diri dari perjanjian perlesenan sepenuhnya.
Seperti mana yang kita semua tahu, Disney sentiasa konsisten dengan strategi jenama ‘mesra keluarga’ dan mereka juga melobi menentang pembukaan kasino berhampiran dengan taman tema Disney. Jadi, pembukaan taman Fox yang bersebelah dengan kasino Genting dah bertentangan dengan jenama mereka. Dan kalau taman tema ni siap, ia juga akan bersaing dengan taman tema Disney yang dah sedia ada di Asia.
Fox lepas tu keluarkan notis, yang kata Genting dah terlepas tarikh akhir, dengan harapan dapat tamatkan kontrak. Genting rasa hal ni ‘konsisten dengan niat Disney nak tamatkan perjanjian’.
Bagaimanapun, Genting dapati Disney dan Fox tak ada alasan yang kukuh untuk tarik diri dari perjanjian tu, dan dah melabur RM3.1 bilion dalam taman tema Fox. Jadi pada November 2018, Genting memfailkan saman RM4.2 bilion terhadap Disney dan Fox kerana melanggar dan mengganggu kontrak. Mereka bercadang nak kuatkuasakan semua hak mereka di bawah perjanjian, dan menuntut kos pelaburan taman tema tersebut.
Tuntutan mahkamah Genting terhadap Fox dan Disney
Untuk nak ringkaskan isu ini, kami ketengahkan hujah-hujah antara Genting vs Fox & Disney.
Hujah Genting: Berdasarkan Memorandum Perjanjian, Genting boleh menamatkan kontrak atas apa-apa sebab, kalau mereka bayar yuran penamatan. Tapi, Fox hanya boleh tamatkan perjanjian atas keadaan tertentu, terumatanya kalau terlepas tarikh akhir.
Hujah Fox: Genting dah terlepas tarikh akhir, terutamanya kegagalan mereka untuk buat ‘soft open’ taman pada Jun 2018. Ini memberi mereka hak untuk menamatkan kontrak.
Genting lawan balik dengan kata: Tarikh akhir ‘soft open’ tu mustahil dicapai, sebab mereka kena bukanya dalam masa 30 hari dari notis. Ini mustahil, kerana kelewatan tu disebabkan oleh Fox sendiri, dan berbulan diperlukan untuk pemeriksaan keselamatan sebelum mereka boleh buat ‘soft open’. Genting juga nafikan yang Fox ada alasan untuk menamatkan perjanjian, dan Fox juga bertanggungjawab serta harus berkongsi apa-apa ganti rugi akibat penamatan.
Tambah Genting, tindakan saman tu diambil sebab Fox dah melanggar kontrak dan melanggar perjanjian yang tersirat niat baik dan adil. Dengan kata lain, Fox dan Disney memang berniat nak melewatkan projek, dengan harapan mereka boleh buat rundingan semula atau batalkan perjanjian dengan Genting.
Fox pula: Walt Disney dan 20th Century Fox menegaskan yang tuntutan mahkamah tu sepenuhnya tanpa merit dan menolak tuntutan berkenaan. Mereka mendakwa Genting yang salah, kerana mereka telah gagal untuk memenuhi tarikh akhir dan piawaian kualiti yang disepakati dalam perjanjian itu dari masa ke semasa.
Lepas tu, Fox dan Disney memfailkan tuntutan balas terhadap Genting kerana melanggar kontrak. Jadi sekarang ni, mereka dah bertembung antara satu sama lain. Boleh ke keadaan kembali baik?
Ya. Genting dan Disney selesaikan masalah di luar mahkamah
Walaupun banyak masalah yang jadi, Genting tak mahu taman tema tu dibazirkan macam tu je. Lebih-lebih bila RM1 bilion dah dilaburkan. Menang atau kalah, mereka rancang nak teruskan je taman tema tu tanpa ada jenama, dan bukanya bila dah siap nanti. Kami tak tahulah macam mana benda ni akan jadi, sebabnya permainan-permainan tu berdasarkan IP Fox. Selepas berbolak-balik antara Genting dan Disney, ada satu tempoh senyap antara keduanya. Sebab, kedua-dua pihak cuba selesaikan isu ni di luar mahkamah.
Berdasarkan kenyataan pada 25 Julai 2019, Genting Malaysia ada buat pengumuman yang mereka dah selesaikan semua pertikaian antara mereka di luar mahkamah. Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk tolak semua tuntutan dan tuntutan balas undang-undang mereka yang belum selesai.
Sebahagian dari penyelesaian itu, kedua-dua pihak dah berdamai dan masuk ke perjanjian baru. Di bawah perjanjian baru ini, Genting dibenar menggunakan harta intelek Fox dan bukan Fox. Genting juga setuju dapatkan nama baru untuk taman tema, dan bukannya 20thCentury Fox World lagi.
Jadinya, semua pihak dapat apa yang mereka nak. Genting dapat taman tema dan Disney dapat lindungi strategi jenama mesra keluarganya. Dan kita pula, akhirnya dapat bersuka ria di taman tema tu nanti. Lebih teruja lagi, taman tema Genting ni dijangka akan dilancarkan pada tahun 2020!