Asklegal
Home banner cb629b22 7130 4266 8289 9bdaeb9ede5e

Criminal,General

Ganggu meter TNB? Anda boleh didenda sampai RM1 juta

about 5 years ago Azar Ishak

129

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Korang mesti ada kawan yang beritahu dia dapat jimat bil elektrik sampai ratusan ringgit, sebab pasang alat tertentu pada meter TNB mereka. Ada jugalah dia nasihatkan korang supaya buat benda sama untuk jimatkan bil elektrik. Kalau tak nak pasang apa-apa alat sekalipun, ada juga yang ubah suai meter supaya bacaan tu rendah. 

Mungkin korang ada terfikir – apa salahnya nak berjimat kan? Tapi, apa yang korang fikir tu sebenarnya salah dan mungkin akan buatkan korang dapat masalah lebih besar kemudiannya. Ini kerana…

 

Anda boleh dianggap mencuri elektrik, kalau mengganggu meter TNB 

Imej dari The Star.

Korang mungkin terfikir yang mencuri ni cuma boleh jadi kalau korang secara haram sambung kabel untuk curi elektrik. Tapi rupa-rupanya, mengganggu meter TNB juga boleh dianggap sebagai mencuri. Sebabnya, dengan gangguan tu – ia akan menyebabkan meter menunjukkan penggunaan elektrik lebih rendah dari jumlah sebenar yang sepatutnya. Jadi, ia boleh dianggap sebagai mencuri elektrik. 

Tapi tak la korang akan terus kena tangkap lepas ganggu meter. Sebabnya, kalau TNB syak meter korang tunjukkan bacaan yang tak teratur, mereka akan siasat dulu kenapa hal tu jadi. Kalau mereka dapati yang korang dah ganggu meter tu, mereka akan buat laporan polis terhadap korang dan tukar meter yang diganggu tu dengan meter baru (yang korang kena bayarnya) supaya ia tunjukkan bacaan yang tepat. Mereka juga akan mula kira balik SEMUA caj terdahulu yang korang dah tipu dan keluarkan notis atau saman untuk jumlah caj yang belum dibayar.

 

Tapi sebenarnya, bagaimana anda boleh dianggap bersalah kerana ganggu meter

Jangan cuba aksi ni. Imej dari Giphy.
Kecederaan atau kerosakan akibat gangguan 

Di sinilah datangnya Akta Bekalan Elektrik 1990 (ESA 1990), yang memperuntukkan beberapa seksyen melibatkan aktiviti mengganggu meter. Sekyen 37(1), akta ini menyatakan: 

Mana-mana orang yang mengganggu atau melaraskan apa-apa pepasangan atau bahagiannya atau mengilang atau mengimport atau menjual apa-apa kelengkapan sehingga menyebabkan atau mungkin menyebabkan bahaya kepada nyawa atau anggota badan manusia atau kerosakan pada mana-mana kelengkapan atau harta lain adalah melakukan suatu kesalahan dan bagi setiap kesalahan sedemikian, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi satu juta ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya.

Ini bermakna, kalau korang mengganggu meter elektrik korang dan ia ada kemungkinan akan menyebabkan bahaya dan kerosakan kepada harta benda atau orang, korang boleh didenda sehingga RM1,000,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya. Kalau korang menjual sebarang alat yang boleh mengganggu meter, korang juga boleh dikira bersalah di bawah seksyen ini. 

Selain dari dihukum kerana mencuri elektrik, mengganggu meter juga sebenarnya boleh membawa bahaya. Ini kerana, kalau korang menggangu meter, fius mungkin tidak berfungsi dengan baik dan boleh menyebabkan kebakaran. Makanya, korang di sini bukan saja membahayakan diri sendiri, tapi juga orang lain. 

Selain itu, kalau korang secara cuai menyebabkan kecederaan/kerosakan kepada orang lain atau harta benda kerana disebabkan gangguan pada meter, korang boleh didakwa di bawah Seksyen 37(2) akta sama. Di mana, korang boleh didenda sehingga RM100,000, penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya. 

 

Tidak jujur menggunakan elektrik dan merosakkan meter

Seksyen 37(3) menyatakan mana-mana orang:

  • dengan curang mengambil, mengguna habis atau menggunakan elektrik atau
  • mengubah pinda meter atau menghalang meter dari merekodkan bacaan tepat

boleh didenda sehingga RM1,000, dipenjara sehingga setahun, atau kedua-duanya. Kalau korang lakukan kesalahan ni untuk kali kedua, korang boleh didenda sehingga RM5,000 dan tak lebih RM100,000, penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya. Tapi, hukuman ni cuma untuk pengguna domestik yang selalunya adalah pemilik rumah

Untuk kes pengguna bukan domestik pula, mereka boleh didenda tak kurang RM20,000 dan tak lebih dari RM1,000,000, penjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya. Tapi untuk kesalahan kali kedua pula, mereka boleh didenda tak kurang RM100,000 dan tak lebih RM5,000,000, penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya. Pengguna bukan domestik ini selalunya adalah pemilik lot kedai dan pejabat

Selain itu, merosakkan atau mengalihkan meter juga boleh membuatkan korang didakwa di bawah Seksyen 37(14), iaitu boleh menyebabkan korang didenda sehingga RM50,000, penjara sehingga 2 tahun atau kedua-duanya. 

 

Membantu orang lain untuk mengganggu

Walaupun korang tak ganggu meter elektrik korang, Seksyen 37B, ESA 1990 ada peruntukan untuk mereka yang membantu orang lain melakukan kesalahan di bawah akta ini. Maknanya, korang boleh dikira bersalah juga. Dan ia membawa hukuman sama seperti orang yang mengganggu meter, tapi hukuman penjaranya separuh dari peruntukan maksimum. Jadi, korang tahulahlah kan kesannya kalau tolong kawan buat benda ni.

 

Tapi macam mana kalau syarikat atau penyewa rumah anda yang mengganggu meter?

Imej dari Giphy.

Seksyen 37A dalam ESA 1990 merangkumi kesalahan yang dilakukan oleh badan korporat termasuklah syarikat. Kalau sesuatu syarikat tu didapati mengganggu meter, seksyen ini menyatakan – mana-mana orang ketika itu yang bertindak sebagai pengarah, CEO, COO, pengurus, setiausaha atau pegawai serupa yang lain didakwa bersama dalam prosiding yang sama dengan syarikat itu. Kalau syarikat didapati bersalah, mereka hendaklah dianggap melakukan kesalahan itu melainkan jika mereka membuktikan kesalahan itu dilakukan tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka, dan mereka telah mengambil semua langkah yang munasabah untuk mengelakkan kesalahan itu dari berlaku.

Bagaimanapun, kalau korang tuan rumah yang sewakan rumah korang kepada penyewa, TNB ada bagi nasihat supaya pemilik buat perubahan penyewaan dengan tukar nama pada akaun bil sedia ada. Ini dibuat untuk elakkan pemilik berdepan dengan bil-bil tak berbayar kalau penyewa dah menggangu meter.

 

Apa yang TNB boleh buat?

Imej dari Giphy.

Mereka sebenarnya boleh potong bekalan elektrik korang kalau mereka syak korang dah ganggu meter, seperti mana yang diperuntukkan dalam Seksyen 38(1), ESA 1990. 

Selain dari berdepan dengan dakwaan jenayah, TNB juga boleh failkan saman sivil terhadap korang seperti dalam Seksyen 38(3) dengan syarat mereka kena sediakan satu pernyataan bertulis di bawah Seksyen 38(4) yang mengandungi butiran berikut:

  • amaun kerugian hasil atau perbelanjaan yang ditanggung oleh TNB
  • cara pengiraan kerugian hasil dan butiran perbelanjaan; dan
  • orang yang bertanggungan bagi pembayarannya

Kalau mereka tak failkan tuntutan di mahkamah untuk menuntut kerugian, mereka hanya boleh tuntut kerugian berjumlah sehingga 6 bulan dari tarikh kesalahan dikesan. Disebabkan hal ini, ia memaksa mereka memfailkan saman sivil terhadap korang supaya mereka taklah hilang tuntutan kerugian maksimum yang ditanggung. 

Undang-undang melibatkan gangguan meter ni sebenarnya cukup tegas kerana bersebab. Walaupun ia bertujuan untuk menghukum mereka yang mencuri elektrik, ia juga bertujuan untuk menghalang sesiapa daripada membahayakan orang lain, dan menghalang kemalangan daripada berlaku, hanya kerana ada orang yang cuba menganggu meter mereka.

 

Tags:
tnb
curi elektrik
ganggu meter elektrik
ubah suai meter elektrik
akta bekalan elektrik 1990
ambil elektrik secara haram

129

Shares

A+

A-