Criminal,Family
5 pengalaman masa kita membesar... yang boleh jadi penderaan kanak-kanak
over 5 years ago Azar IshakBerdasarkan statistik dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM), 14 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan berlaku setiap hari di Malaysia. Kalau korang rasa angka ni cukup besar, ia masih tak cukup lagi, sebabnya angka ni cuma untuk kes-kes yang dilaporkan dan kita semua percaya masih ada banyak kes yang tak dilaporkan.
Secara umumnya, ada tiga undang-undang utama yang melindungi kanak-kanak dari penderaan iaitu – Kanun Keseksaan, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Akta Kanak-Kanak 2001. Tapi masalahnya di sini, bila muncul je perkataan “Penderaan Kanak-Kanak”, ramai yang terbayangkan benda tu sebagai keganasan fizikal yang serius atau penderaan seksual.
Tapi korang jangan terkejut kalau dapat tahu yang Akta Kanak-Kanak 2001 juga merangkumi beberapa hukuman dan praktik yang kita alami masa kecil dulu. Maknanya, apa yang mak ayah kita buat dulu… mungkin boleh dikategorikan sebagai penderaan kanak-kanak.
Tapi sebelum korang nak salahkan mak ayah korang dengan tuduhan buat penderaan sebab diorang rotan korang dulu, undang-undang juga sebenarnya ambil kira faktor lain macam tahap keterukan dan kekerapan (berapa kali ia berlaku). Jadinya, jom kita tengok apa yang Akta Kanak-Kanak ni lindungi sebenarnya…
1. Pukul dan rotan anak (kena rotan… senang cerita)
Kalau korang membesar kat Malaysia, peluang korang kena kena rotan dengan mak ayah dan cikgu tu dah jadi satu kewajiban. Dalam kebanyakan keluarga Asia, hukuman macam ni dilihat lebih efektif untuk didik anak-anak pasal disiplin. Tapi sebenarnya, jenis hukuman macam ni boleh dianggap sebagai penderaan kanak-kanak mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001. Seksyen 17(2)(a) Akta Kanak-Kanak juga menjelaskan apa tu penderaan fizikal:
Jadinya, kalau korang pukul anak korang dengan rotan atau hanger (atau apa-apa je) dan kesannya meninggalkan lebam, tanda dan parut ke atas badan, ini bermakna anak korang tadi dah didera berdasarkan Akta Kanak-Kanak. Kalau korang didakwa dan didapati bersalah, korang boleh didenda sampai RM50,000 dan/atau dipenjara 20 tahun.
Contohnya macam kes – seorang ibu dipenjara 30 tahun dan didenda RM100,000 sebab selalu pukul anak perempuannya yang berumur 12 tahun dan anak lelakinya berumur 10 tahun dengan tangan dan objek-objek lain.
2. Tinggalkan anak sorang-sorang kat rumah dan dalam kereta
Mesti ada masa yang korang rasa agak payah sikit nak bawa anak-anak korang ikut sekali ke mana je korang pergi. Jadinya, kadang-kadang tu ada masa korang terfikir nak tinggalkan diorang sorang – sorang dekat rumah atau dalam kereta bila korang kena buat sesuatu yang penting dan cepat.
Sebenarnya, undang-undang tak tetapkan umur minima yang membolehkan seseorang kanak-kanak tu ditinggalkan sendirian di rumah. Tapi, kalau korang tinggalkan anak sendirian dalam keadaan yang membahayakan dan tanpa sebab munasabah, korang boleh dapat masalah berdasarkan Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak. Sebabnya, seksyen ni ada peruntukan tentang “membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan”.
Kalau didapati bersalah, korang boleh didenda sebanyak RM5,000 dan/atau dipenjara tak lebih 2 tahun. Ada satu insiden yang berlaku pada Oktober 2018, bila seorang wanita ni didakwa di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak lepas dia tinggalkan anak saudaranya yang berusia 6 tahun sendirian di rumah selama dua jam tanpa pengawasan munasabah.
3. Mengabaikan anak korang
Pertamanya, ini bukan ulangan point yang tadi.
Nak jelaskan sikit pasal perbezaan antara kedua-dua point ni, point yang kedua tadi menjelaskan pasal kanak-kanak yang tak diawasi dalam tempoh masa yang tak lama, tapi yang ni pula adalah pasal kanak-kanak yang diabaikan (fizikal atau emosi) untuk jangka masa yang lama.
Sebagai contoh, ada ibu bapa yang hidupnya cuma nak cari duit je untuk bagi kehidupan yang selesa kepada anak-anak diorang. Tapi dalam masa sama, terleka daripada luangkan masa dan bagi perhatian kepada anak-anak. Perkara macam ni boleh dianggap sebagai mengabaikan kanak-kanak. Maknanya di sini, pengabaian tu bukan hanya bermaksud tak bagi makan, tempat berteduh atau pakaian je – tapi juga termasuk tak bagi anak-anak sokongan emosi yang secukupnya.
Kalau benda ini menyebabkan kanak-kanak tu mengalami masalah mental atau tingkah laku, macam anxiety atau kemurungan, ia boleh dikira sebagai penderaan kanak-kanak di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-kanak:
Kalau korang didapati bersalah, korang boleh didenda sehingga RM20,000, dan/atau dipenjara 20 tahun.
4. Mengancam dan memalukan anak-anak korang
Memang jadi perkara biasa untuk korang marah atau menjerit kepada anak-anak. Dah pasti yang marah tu taklah menyalahi undang-undang. Bagaimanapun, kalau korang terlebih sangat, sampai memalukan atau mengancam diorang, sampai buatkan diorang alami masalah mental atau emosi yang serius itu boleh jadi kesalahan. Sebabnya, Akta Kanak-Kanak ada peruntukan untuk kesalahan penderaan emosi kanak-kanak.
Walaupun akta ni tak secara khusus menyatakan bahawa penderaan lisan adalah sejenis penderaan kanak-kanak, tapi ia melarang seseorang tu daripada menyebabkan kanak-kanak mengalami gangguan emosi. Seksyen 17(2)(b):
Setakat ni, tak ada kes macam ni dilaporkan di Malaysia (yang kitorang boleh cari) di mana ibu bapa dikenakan tindakan kerana penderaan lisan terhadap anak-anak. Tapi ada kes yang mana seorang bapa dah melakukan penderaan emosi kepada anak perempuannya dengan ugut untuk tamatkan hubungan bapa-anak atau halau dia keluar dari rumah, kalau anaknya tu tak ikut peraturannya.
Bila anak perempuannya tu (sekarang dewasa) buat terapi sebab kemurungan dan keyakinan diri yang rendah, apa yang dikesan adalah masalah tu berpunca daripada penderaan emosi oleh ayahnya dulu.
5. Tak laporkan kes penderaan kanak-kanak
Mungkin korang pernah hadapi situasi dekat pasar raya bila nampak ada ibu bapa yang pukul anak diorang, dan korang sendiri rasa macam keterlaluan dan di luar tatacara disiplin. Tapi, macam juga orang lain, korang cuma tengok je apa yang jadi, dan lepas tu…. tinggalkan je.
Ada beberapa sebab kenapa korang buat macam tu, antaranya mungkin korang tak nak terlibat atau korang tak tahu yang ianya tu penderaan kanak-kanak (sekarang korang takde alasan lagi, sebab dah baca artikel ni).
Sama ada korang patut buat laporan atau tak, itu bergantung kepada apa peranan korang dan jenis penderaan macam mana yang terlibat. Tapi di bawah Akta Kanak-Kanak, melaporkan kes yang disyaki melibatkan penderaan fizikal atau emosi adalah diwajibkan kalau korang adalah:
- Doktor
- Ahli keluarga
- Pengasuh kanak-kanak
Kegagalan dari berbuat demikian boleh membuatkan korang didenda sehingga RM5,000 atau penjara tak lebih dari 2 tahun. Akan tetapi, kalau korang bukan dari yang di atas, tak ada kewajipan undang-undang untuk korang buat laporan.
Bagaimanapun, korang dikehendaki buat laporan kalau ia melibatkan penderaan seksual, termasuk pengantunan kanak-kanak (child grooming) tak kiralah apa hubungan korang dengan mangsa. Sekalipun korang cuma orang awam yang berjalan kaki dan nampak perkara tu jadi, korang boleh didenda sehingga RM5,000 sebab tak melaporkannya.
Jadi, macam mana nak buat laporan?
Apa kita anggap sebagai ibu bapa yang baik, biasanya mempengaruhi bagaimana kita membesar, dan peluangnya cukup tinggi untuk kita mengalami sendiri sekurang-kurangnya satu dari empat point yang disenaraikan ni. Walaupun undang-undang dah jelas bagitahu yang memukul secara fizikal tu menyalahi undang-undang, tapi kenyataannya masih ramai ibu bapa yang pukul anak-anak diorang sebagai cara nak "mendisiplinkan" atau "tunjuk rasa sayang”.
Tapi perbezaan utama antara cara disiplinkan anak yang betul dan penderaan adalah tahap kesannya dan berapa kerap ia berlaku. Lebih mudah faham perbezaan tu dapat kita nampak antara kawan-kawan di sekolah, terdapat yang ada tanda rotan biasa dan ada juga yang lebam sampai warna ungu.
Secara asasnya, masyarakat sepatutnya laporkan apa je kes penderaan kanak-kanak walaupun takde kewajiban undang-undang untuk melakukannya. Ini antara cara korang boleh buat aduan kalau tahu atau ternampak kes penderaan kanak-kanak.
- Melalui Talian Nur – 15999
- Melalui hospital – Bawa kanak-kanak tu ke hospital berdekatan dan laporkannya di Jabatan Kecemasan/Jabatan Pesakit Luar kalau korang syak berlakunya kes penderaan.
- Melalui polis – Buat laporan polis terhadap suspek, atau hubungi 999