Asklegal
Home banner 11272cfd 8c3f 4c4e be7b 34d16afeb3fd

Criminal

Malaysia nak jadikan dadah bukan lagi jenayah. Maknanya, ia dibenarkan ke?

over 4 years ago Azar Ishak

30

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Korang mungkin ada terbaca berita baru-baru ni bila Malaysia dikatakan nak ke arah tak menjenayahkan (dekriminalisasi) pemilikan dadah untuk kegunaan peribadi. Hal ni diumumkan sendiri oleh Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, yang mengatakan:

“Malaysia akan memulakan dasar pembawa perubahan (game-changer) yang penting untuk mendekriminalisasi penagih dadah dan ketagihan.

"Ini tidak sepatutnya disalahtafsirkan untuk melegalisasikan (membenarkan) dadah, dan saya sekali lagi menegaskan bahawa dekriminalisasi TIDAK bermakna kita melegalisasikan dadah.” – Dr Dzulkefly Ahmad, dipetik dari The Star Online, 27 Jun 2019, diterjemahkan oleh ASKLEGAL.

Pada korang yang rasa macam keliru sikit tentang isu ni, sebenarnya dekriminalisasi atau tidak menjenayahkan ni bermakna kerajaan akan memansuhkan hukuman jenayah, tapi dalam masa sama ia tak bermaksud yang dadah akan dibenarkan di sisi undang-undang. Kalau korang baca berita yang kitorang rujuk tadi, korang akan dapat maklumat yang lebih terperinci lagi dan sebab-sebab kenapa kerajaan ambil langkah tu. Tak la macam gambar kat atas tu, bila korang selamba je hisap ganja atau lalok kat KLCC

Tapi dalam masa sama, korang mesti terfikir yang langkah ni macam tak masuk akal je, sebab kalau ia bukan lagi jenayah, bukan ke tu maknanya yang ia akan… jadi sah di sisi undang-undang?

 

Korang tak akan masuk penjara, tapi korang masih boleh dihukum 

Imej dari imgflip.com

Untuk lebih faham pasal isu ni, kitorang tanya peguam Fahri Azzat untuk jelaskan perbezaan antara dekriminalisasi dan legalisasi, serta macam mana kerajaan akan ubah undang-undang ni.

Sebenarnya, ada dua kategori kesalahan yang korang boleh lakukan. Pertamanya adalah salah laku awam (sivil), macam memandu laju di jalan raya atau melanggar kontrak. Kesalahan macam ni selalunya akan membuatkan korang didenda atau kena bagi pampasan kepada pihak satu lagi. Keduanya pula adalah salah laku jenayah yang jauh lebih serius dan boleh menyebabkan hukuman keseksaan, macam penjara, sebat atau hukuman mati. 

Berdasarkan dari penjelasan ni, kita boleh nampak perbezaan antara dekriminalisasi dengan legalisasi.

  • Legalisasi – Ia bukan kesalahan sivil atau jenayah. Korang tak boleh dihukum kerananya, sebab korang tak langgar apa-apa undang-undang.
  • Dekriminalisasi – Ia bukan lagi kesalahan jenayah, tapi ia masih kesalahan sivil. Korang masih melanggar undang-undang dan masih boleh dihukum, cumanya korang tak akan berdepan dengan hukuman keseksaan, macam penjara, sebat atau mati. 

Jadi, dalam konteks pemilikan dadah, Fahri menerangkan seperti berikut:

“Dekriminalisasi bermakna kesalahan memiliki dadah tidak akan dihukum dengan hukuman keseksaan seperti penjara dan sebat. Ini tidak bermakna yang ia bukan kesalahan – ia adalah kesalahan sivil yang bertentangan dengan kesalahan jenayah.

Kesalahan sivil biasanya dihukum dengan denda dan mungkin rampasan barang itu. Ia seperti didakwa atas kesalahan lalu lintas, berbanding kesalahan ‘pengedaran dadah’ (trafficking)  atau ‘pemilikan dadah’ (possession) sekarang.

Legalisasi adalah apabila dadah kini sah digunakan. Maksudnya, tidak ada sebarang kesalahan – sama ada sivil atau jenayah.” – Fahri Azzat, katanya kepada ASKLEGAL. 

Untuk nak nampak gambaran yang lebih jelas lagi, undang-undang semasa (di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya) menghukum pemilikan dadah dengan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 5 tahun. 

Sebaliknya, dekriminalisasi untuk kesalahan sama, korang mungkin akan didenda dengan jumlah tertentu dan dadah korang akan dirampas (bukannya dipenjarakan). Bagaimanapun, kena ambil maklum yang sekarang ni masih tak ada butiran khusus pasal hukuman tu lagi – dan kita cuma akan tahu bila kerajaan buat pengumuman perubahan tu nanti.

Tapi, sebelum korang buat keputusan nak tambah simpanan ganja atau buat parti dengan undang-undang baru ni, ada satu perkara yang korang patut tahu…

 

Korang masih boleh dipenjara (atau lebih buruk) sebab mengedar dadah

Bulbasaur dan ‘asapnya’

Kalau korang perasan, Menteri Kesihatan sebenarnya bagi kenyataan yang spesifik. Daripada cakap ‘tidak menjenayahkan pemilikan dadah’, dia juga ada kata yang kerajaan akan tidak menjenayahkan pemilikan dadah untuk kegunaan peribadi (self administration).

Ini kerana, sebenarnya ada tiga ‘kategori’ kesalahan dadah:

  • Kegunaan peribadi (Self administration)
  • Pemilikan dadah (Possession)
  • Pengedaran dadah (Trafficking)

Jadinya, ini bermakna – hanya dadah untuk kegunaan peribadi yang akan tidak dijenayahkan (kitorang akan cakap pasal pemilikan dadah dalam bahagian seterusnya), tapi mengedar dadah masih lagi kesalahan jenayah yang boleh membawa hukuman mati.

Soalan seterusnya adalah, macam mana polis boleh tahu, apa yang korang nak buat dengan dadah tu? Lagipun, kalau polis nak dakwa korang dengan kesalahan mengedar dadah lepas jumpa 4kg ganja bersama korang, korang boleh je beritahu yang ganja tu untuk stok sepanjang minggu kan?

Jawapannya, ia bergantung kepada berat dadah bersama korang tu, dan apa yang dipanggil sebagai anggapan (presumption).

Korang mesti perasan dengan laporan berita rampasan dadah, selalunya jumlah dirampas tu sampai ke berat miligram. Hal ni sebenarnya tak la pelik sangat, sebab itulah cara diorang menentukan apa yang korang tengah fikir (niat) guna dadah tu untuk apa. Inilah dia ‘anggapan’. Sebabnya, Seksyen 37, Akta Dadah Berbahaya ada menggariskan senarai syarat dan berat dadah yang boleh menjadi janayah pengedaran dadah. Kalau korang dah buat seperti mana yang disenaraikan, pihak berkuasa boleh anggap yang korang ada niat nak jual dadah.

Sebagai contoh, Seksyen 37(da) meletakkan aras berat pemilikan ganja (kanabis) pada kadar 200 gram. Jadinya, disebabkan berat ganja korang 4kg dan lebih tinggi dari yang ditetapkan, pihak berkuasa boleh menganggap yang korang berniat mengedar ganja dan dakwa korang dengan kesalahan jenayah walaupun korang betul-betul memang takde niat nak jual.

Kalau nak tahu lebih terperinci lagi pasal macam mana anggapan tu berlaku, boleh baca artikel kitorang di link bawah ni.

[BACA LAGI: 5 Things you need to know about Malaysia’s drug laws]

Jadinya, dah jelas yang mengedar dadah memang dilarang sama sekali… tapi macam mana pula dengan dadah untuk kegunaan peribadi dan pemilikan dadah?

 

Kitorang… sebenarnya belum tahu tahu macam mana kerajaan akan ubah undang-undang ni nanti

Sekali lagi diingatkan, sampailah perubahan undang-undang ni diluluskan, tak ada cara kita nak tahu apa yang akan diubah atau hukuman macam mana yang akan diperkenalkan. Malah, kita juga tak pasti sama ada semua dadah akan tidak dijenayahkan atau yang tertentu je.

Bagaimanapun, kalau korang rasa nak tahu macam mana diorang akan ubah undang-undang ni nanti, kitorang ada tawarkan beberapa andaian ilmiah dengan bantuan Fahri.

Andaian #1: Kegunaan peribadi dan pemilikan dadah disatukan bersama dan tidak dijenayahkan

Simple je, kegunaan peribadi boleh didefinisikan sebagai pemilikan dadah untuk kegunaan sendiri, manakala pemilikan dadah didefinisikan sebagai berada dalam keadaan memiliki dadah. Seperti mana yang korang nampak, ada perbezaan yang nipis sangat antara keduanya, jadi ada kemungkinan yang bahagian dalam Akta Dadah Berbahaya untuk kedua-duanya akan diubah atau dimansuhkan (dikeluarkan).

"Kedua-dua kepemilikan dan kegunaan peribadi berjalan seiring. Ia nampak macam tak betul untuk tidak menjenayahkan yang satu tetapi tidak yang lain. Itulah sebabnya saya perlu melihat Seksyen 6 dan 15 Akta Dadah Berbahaya bersama-sama.

Bagi kedua-dua peruntukan ini, kerajaan boleh mengehadkannya (menetapkan jumlah maksimum dadah atau mengurangkan hukuman) atau memansuhkannya.” – Fahri Azzat.

Andaian #2: Keluarkan beberapa dadah dari klasifikasi 'dadah berbahaya'

Jadual pertama dalam Akta Dadah Berbahaya pada dasarnya menyenaraikan bahan-bahan yang penggubal undang-undang dah klasifikasikannya sebagai berbahaya. Oleh itu, ini bermakna kalau kerajaan buat keputusan untuk tak menjenayahkan kegunaan peribadi untuk beberapa bahan, diorang boleh keluarkannya dari Jadual. 

Menggunakan ganja sebagai contoh:

"Sekiranya mereka mahu dekriminalisasi (tidak menjenayahkannya), itu bermakna yang mereka mengiktiraf ganja bukan dadah yang berbahaya. Jadi bagi saya, ia tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada akta itu. [Jadi mereka boleh] meminda Jadual Pertama, mungkin Bahagian I dan II, untuk memansuhkan ganja."

Fahri lepas tu bergurau dengan kata – mungkin bahan-bahan ni masih boleh dikawal dengan menyenaraikannya di bawah undang-undang baru: 

“Mungkin mereka perlu datang dengan Akta lain lepas keluarkan ganja dari Akta Dadah Berbaya dan memasukkannya dalam Akta Dadah Tidak Berbahaya 2019. Haha.”

Tapi sekali lagi kitorang ingatkan yang ni cuma nak bagi korang gambaran je macam mana proses tak menjenayahkan tu akan jadi nanti. Bila tiba masanya nanti, mungkin cara, prosedur dan hukumannya berbeza sama sekali seperti yang disebut di atas.

 

Jangan pergi jalan-jalan bawa dadah!

Selagi mana Parlimen belum luluskan undang-undang baru atau pinda Akta Dadah Berbahaya sedia ada, undang-undang lama masih lagi berkuatkuasa.

Ini maknanya, kalau korang kena tangkap dengan apa-apa dadah berbahaya, korang akan didakwa dengan kesalahan jenayah di bawah Akta dan mungkin akan dipenjara. Atau mungkin…. lebih teruk dari tu. 

Tags:
akta dadah berbahaya 1952
ganja
menteri kesihatan
dadah
dekriminalisasi
undang-undang dadah

30

Shares

A+

A-