Asklegal
Home banner 02d1f20a 4fb3 463b af15 402a70709bb7

General,Property

Kes yang buatkan pintu berpalang sah di sisi undang-undang

almost 5 years ago Azar Ishak

24

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Sejak kebelakangan ini, kejadian pecah masuk dan kecurian dah mencatatkan peningkatan dari tahun ke tahun. Mungkin disebabkan hal ini, permintaan terhadap hartanah dalam komuniti berpagar (GACOS) semakin meningkat. Kalau sesuatu kawasan perumahan tak ada fasiliti seperti itu, selalunya para penduduk akan bentuk skim keselamatan sendiri. Ini termasuklah memagar kawasan, meletakkan pintu berpalang (boom gate) dan upah pengawal keselamatan di pintu masuk utama. 

Tindakan macam ni nampaknya berikan kesan yang efektif, di mana kejiranan yang mempunyai pintu berpalang mencatatkan penurunan kadar jenayah ketara dalam tempoh dua tahun. Tapi, walaupun pintu berpalang ni struktur biasa di kawasan perumahan, ada komuniti ni terkejut bila dapat tahu yang peraturan pasal pintu berpalang ni rupa-rupanya masih samar. 

 

Kejiranan yang alami situasi itu adalah…

Imej dari The Star.

Hal ni dialami oleh beberapa kejiranan di sekitar Petaling Jaya. Pada Ogos 2013, Persatuan Penduduk (RA) ada dapat arahan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang minta mereka robohkan pondok pengawal dan pintu berpalang di kawasan masing-masing. Rupa-rupanya, daripada 181 RA, hanya 18 yang buat permohonan untuk bina pondok pengawal. Manakala, yang lain tu semuanya tak dapat kebenaran dari MBPJ atau dengan kata lain – tak sah. Tapi, demi nak jaga keselamatan masing-masing, RA tetap biarkan pintu berpalang berfungsi.

MBPJ sebenarnya cuba berkompromi dengan RA bukan strata pasal isu ni, dengan minta mereka buka pintu berpalang tu pada hari siang supaya jalan awam boleh diakses. Ini kerana, di bawah Seksyen 46(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, sesiapapun tak dibenarkan meletakkan halangan, tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa. Dan di bawah akta sama, pihak polis boleh secara fizikal mengalihkan halangan itu. 

[BACA LAGI: Strata title vs individual title - how does it affect Malaysian landowners?]

Seperti mana yang kita boleh nampak, kedudukan undang-undang pintu berpalang ni agak payah sikit. Walaupun mereka dapat kebenaran untuk menggunakannya, mereka terpaksa bukanya masa siang. Malah, ada juga pintu berpalang yang dirobohkan pihak berkuasa. 

Pada Oktober 2013, penduduk tiga kawasan di PJ dah dikejutkan dengan kedatangan pihak MBPJ, yang datang untuk merobohkan pintu berpalang dan halangan di kawasan mereka. Disebabkan hal ini, penduduk lepas tu dalam keadaan berhati-hati masa nak buat sebarang langkah keselamatan, seperti mana yang ditetapkan oleh MBPJ. Seperti yang dikatakan oleh seorang Presiden Persatuan Penduduk:

"Persatuan Penduduk (RA) sentiasa bimbang tentang akibat undang-undang memasang pintu berpalang untuk tujuan keselamatan di banyak tempat,” kata Presiden Persatuan Penduduk Taman Seputeh, Dr Balaeswaran Poobalasingam. Dipetik dari Rakyat Post

Tapi sejak Au Kean Hoe failkan tuntutan mahkamah supaya dirobohkan pintu berpalang di kawasan perumahannya, mahkamah dah buat keputusan yang tak lagi samar. 

 

Ini kenapa pintu berpalang boleh jadi sah di sisi undang-undang

Imej dari imgflip.com

Kisahnya begini, bila Au Kean Hoe berpindah ke D' Villa Equestrian, di sana memang dah ada dua pintu berpalang dan pondok pengawal yang beroperasi. Para penduduk pun dah setuju sebulat suara – sesiapa yang tak bayar yuran bulanan keselamatan dan penyelenggaraan kena buka pintu berpalang tu sendiri tanpa dibantu oleh pengawal keselamatan yang bertugas. Lepas dengar pasal tu, Au okay je dan bayar seperti mana yang dikatakan.

Dia juga dipilih sebagai sebahagian dari Persatuan Penduduk (RA) dan dalam masa sama jadi bendahari. Semuanya berjalan lancar, sampailah dia terpengaruh dengan komuniti dan akhirnya dia berhenti dari bayar yuran keselamatan sebab anggap pintu berpalang sebagai kacau ganggu dan halangan di sisi undang-undang. Tapi, hal ni dah buatkan dia jadi ganjil sebab dia seorang je yang tak bayar yuran keselamatan dan penyelenggaraan. Jadinya, dia kena buat semuanya sendiri (macam buka pintu berpalang) bila nak masuk kawasan perumahan.

Dia kena buat benda tu setiap hari, termasuk bila saudara-maranya datang, dan ini dah buatkan dia rasa sakit hati. Satu hari, dia buat keputusan untuk lalu je pintu berpalang tu sampai ia bengkok. Jadi, dia bolehlah masuk tanpa susah-susah keluar dari kereta dan buka pintu berpalang.

Dia lepas tu tak boleh sabar lagi, dan saman Persatuan Penduduk supaya pondok pengawal dan pintu berpalang tu dirobohkan. Persatuan Penduduk lepas tu lawan balik dengan dakwa Au berhutang ganti rugi sebab pintu berpalang bengkok, yuran keselamatan tertunggak dan minta dia berhenti dari ganggu RA dan pengawal keselamatan bila lalu depan pondok pengawal. 

 

Seorang yang kalah, semua RA untung

Imej dari Giphy.

Keputusannya, Mahkamah Tinggi tolak tuntutan Au, dengan membenarkan tuntutan RA menuntut ganti rugi kerosakan pintu berpalang dan memerintahkannya supaya tak ganggu ahli RA dan pengawal keselamatan. Au tak puas hati dengan keputusan ni, dan buat rayuan di Mahkamah Rayuan. Tapi tak jalan juga, sebab Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi. Au masih rasa tak puas hati. Dia pun bawa kes ni ke Mahkamah Persekutuan. 

Persoalan undang-undang yang dibawanya adalah pondok pengawal dan pintu berpalang dianggap sebagai halangan di bawah Seksyen 46(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Bagaimanapun, lima panel hakim memutuskan pintu berpalang di kawasan perumahan tak dianggap sebagai halangan di sisi undang-undang kerana dia sendiri tak pernah dinafikan akses sama sekali. Tentang aduan Au yang kata dia tak selesa sebab terpaksa angkat pintu berpalang tu sendiri. Ia hanya dianggap sebagai aduan tentang kesulitan dan bukannya halangan. 

Saman Au terhadap Persatuan Penduduk (RA) D’ Villa Equestrian pun akhirnya ditolak sama sekali oleh Mahkamah Persekutuan dan nampaknya Au tak dapat capai matlamatnya. Bagaimanapun, kes ni dah menetapkan peraturan tentang pagar berpalang yang sekarang ni sah dan selaras dengan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, dan Akta Kerajaan Tempatan 1976. Masih ada keperluan untuk berunding dengan MBPJ pasal peraturan-peraturan sedia ada, tapi apa yang pasti dah diputuskan bahawa: pintu berpalang kini sah di sisi undang-undang. 

 

Tags:
mbpj
pintu berpalang
pondok pengawal
au kean hoe
akta jalan parit dan bangunan
saman persatuan penduduk
boom gate

24

Shares

A+

A-