Civil,Consumer
Boleh ke perniagaan saman kita sebab bagi review tak baik tentang mereka?
about 4 years ago Azar Ishak[Click here for English version]
Cuba bayangkan keadaan ni: Korang pergi makan malam dengan kawan-kawan dekat satu restoran baru buka ni. Makanan yang sampai tu pula nampak sedap dan menarik. Tapi, bila makanan tu masuk je dalam mulut, rasa nak marah pun ada sebab rasanya tak sedap langsung. Korang pun panggilah pelayan dan kata ada sesuatu yang tak kena dengan makanan tu. Malangnya, aduan korang tu tak diendahkan langsung.
Jadinya, antara keputusan terbaik yang korang boleh buat adalah tinggalkan je restoran dan cari restoran lain. Tapi sekali lagi korang dikejutkan dengan restoran tu. Bila nampak bil – rasa nak pitam pun ada sebab bukan main mahal harganya. Dengan rasa seperti ditipu, kecewa dan marah – korang pun tulislah ulasan (review) yang paling jujur tentang pengalaman korang tu. Namun pada keesokan paginya, pemilik restoran dah hubungi korang melalui Facebook dan kata yang dia akan saman korang sebab bagi ulasan buruk pasal perniagaannya. Hal ini lah yang membangkitkan persoalan sama ada – boleh ke dia saman kita sebab bagi ulasan pasal perniagaannya?
Ulasan buruk boleh saja… asalkan kita tak memfitnah sesiapa
Dalam isu ni, setiap pemilik perniagaan mesti tak nak dapat ulasan buruk yang boleh mencalarkan reputasi mereka. Tapi, sebagai pengguna, kita masih ada hak untuk bagi pandangan jujur tentang sesuatu perniagaan tu. Bagaimanapun, mungkin ada di antara kita yang dengar pasal kes seseorang kena saman sebab bagi ulasan negatif terhadap sesuatu perniagaan. Salah satunya adalah tentang kes yang melibatkan bekas pekerja restoran yang buat ulasan tertentu terhadap bekas tempat dia bekerja.
Dalam ulasan tu, dia ada kata yang restoran tu sangat tak bersih dan mereka kenakan caj yang sangat tinggi kepada pelanggan. Namun, restoran tu tampil menafikan segala tuduhan dan bertindak menyaman bekas bekerja mereka tu. Akhirnya, pihak restoran menang dan bekas pekerja tu kena bayar pampasan atas ulasannya tu. Tapi, kenapa perkara macam ni boleh berlaku?
Sebenarnya, restoran tu saman dia atas dakwaan memfitnah, yang secara asasnya akan memusnahkan reputasi pihak lain. Bila dengar benda ni, ia seolah-olah mengatakan yang setiap perniagaan boleh je saman kita, kalau kita bagi gambaran buruk tentang mereka – macam bagi rating satu bintang. Tapi hakikatnya, ia taklah semudah yang disangka. Untuk tahu lebih lanjut tentang hal ni, kita kena tengok dulu undang-undang tentang fitnah.
Dari segi undang-undang, ada dua jenis fitnah yang kita kena tahu iaitu sivil dan jenayah. Dalam artikel ni, kita akan tengok pada jenis sivil sebab lebih releven dengan topik yang kita perbincangkan. Ia pula kemudiannya dibahagikan pula kepada dua iaitu libel dan slander. Libel adalah adalah apa yang kata terhadap orang lain melalui teks macam blog atau surat khabar. Manakala, slander adalah apa yang kita kata secara lisan. Jadinya, untuk artikel ni – kita akan tengok pada libel sebab memang itulah yang kebiasaannya kita nampak di atas talian sekarang ni.
Oleh itu, jika seseorang menyaman kita atas tuduhan memfitnah – pertama sekali mereka kena buktikan yang kita ada tulis atau kata sesuatu yang telah merosakkan reputasi mereka. Bagaimanapun, dakwaan mereka tu tak akan berjaya sekiranya:
- apa yang kita kata tu benar – jika kita membuktikan kenyataan kita tu, ia tak boleh dianggap sebagai fitnah
- ia adalah komen yang adil – jika kita tak ada kepentingan umum tentangnya dan ia hanya sekadar peringatan kepada orang lain
- kita tak ada niat untuk memfitnah mereka – kita tak bermaksud untuk memusnahkan imej mereka, tapi hanya sekadar memberikan pandangan jujur. Akan tetapi, jika kenyataan kita tu dibuktikan salah, kita boleh menariknya balik dengan buat permohonan maaf secara terbuka. Undang-undang membenarkan kita menarik balik apa yang kita cakap, sebelum disaman kerana memfitnah.
Ia membantu jika disertakan dengan bukti
Jadinya di sini, kita dah tahu tiga sebab kenapa seseorang tu tak boleh saman kita atas dakwaan memfitnah. Berbalik kepada senario di mana pemilik pernigaan mengugut kita dengan saman: kalau kita nak menguatkan dakwaan kita tu, kita kenalah bawa bukti kukuh untuk lawan balik. Maknanya, kalau kita kata yang tempat dia tu kotor atau caj terlalu mahal – kita kenalah ada bukti kukuh macam gambar atau resit dalam ulasan kita tu. Dengan cara ni, pemilik tu tak bolehlah kata yang kita cuba merosakkan imej perniagaannya.
Ia juga membantu kalau bukan kita je yang bagi ulasan buruk tentang perniagaan tu. Ia akan membuatkan lebih sukar untuk mereka kata kita memfitnah, kalau dalam masa sama – orang lain pun pernah alami apa yang kita alami. Perkara-perkara ni dengan kata lain membuatkan dakwaan kita tu lebih berasas dan benar. Namun, perlu diingatkan yang ia taklah secara automatik akan membuatkan kita menang kes. Sebabnya, ia masih bergantung kepada kekuatan bukti yang kita ada.
Selain memberikan bukti, kita juga kena pastikan yang dakwaan kita tu tak ditokok tambah dari yang sepatutnya. Maknanya, kalau restoran tu kotor dan kita nampak banyak pinggan tak berbasuh – kita tak bolehlah buat kesimpulan yang restoran tu banyak tikus. Menambahkan sesuatu maklumat yang tak benar hanya akan membuatkan kita disaman kerana memfitnah.
Kita boleh pergi ke saluran lain untuk dapatkan bantuan
Ulasan pada asasnya sangat baik untuk menolong pihak lain mengetahui dengan lebih lanjut tentang produk dan perkhidmatan sesuatu perniagaan. Tapi, kalau kita rasa tak puas hati dengan sesuatu perniagaan tu dan nak bersuara tentangnya, sebenarnya ada je badan yang kita boleh sampaikan aduan tu. Malah, ada di antaranya yang akan siasat dakwaan kita tu, untuk tengok sama ada betul atau tak seperti yang didakwa.
Contohnya seperti Tribunal Pengguna yang akan mendenagr apa sahaja dakwaan berkaitan produk dan perkhidmatan sama ada tentang – kualiti rendah, tak selamat dan sebagainya. Kita boleh sampaikan aduan tu di portal atas talian mereka. Ataupun, kalau lah kita ada datang ke sebuah restoran yang tak bersih, kita boleh je buat aduan kepada Majlis Perbandaran atau ke Kementerian Kesihatan Malaysia, yang ada bahagian khas berkenaan keselamatan dan kualiti makanan.
Tapi, kalau kita masih mahu buat ulasan atas talian, boleh je sebenarnya – asalkan ulasan tu jujur dan ada bukti bagi mengukuhkannya.