Asklegal
Home banner fc607902 6930 4a4b b2fe 79be726545ab

General,Employment

Boleh ke majikan pecat pekerja yang masih dalam tempoh percubaan?

about 5 years ago Azar Ishak

108

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Bila anda mula bekerja di syarikat baru, biasanya anda akan lalui tempoh percubaan. Selalunya, tempoh ni di antara 3 hingga 12 bulan. Dalam tempoh percubaan ini, majikan anda boleh tengok sama ada anda sesuai atau tak. Dalam masa sama, anda boleh putuskan sama ada anda ingin terus bekerja dengan syarikat anda atau tak. Mungkin sebahagian daripada kita terfikir yang pekerjaan kita tu dijamin masa tempoh percubaan. Paling buruk pun, syarikat mungkin buat keputusan untuk tak ambil anda bekerja tetap lepas tempoh percubaan tamat.

Tapi persoalannya: macam mana kalau anda dipecat sebelum tempoh percubaan anda tamat? Lebih teruk lagi, syarikat tak bagi apa-apa alasan tentang pemecatan tu dan anda sendiri pula yakin yang anda tak buat apa-apa kesalahan. Apa yang anda boleh buat kalau berdepan dengan keadaan macam ni?

Sebelum kami jawab soalan tu, jom kita fahamkan dulu apa itu “tempoh percubaan”.

 

Tempoh percubaan adalah untuk syarikat tentukan sama ada anda sesuai dengan mereka

Imej dari imgflip.com

Sebenarnya tak ada undang-undang yang mentakrifkan apa itu pekerja percubaan, tapi secara umumnya – mereka ini adalah pekerja baru yang bekerja untuk tempoh tertentu, supaya syarikat dapat kenal pasti sama ada mereka ini sesuai atau tak untuk jadi pekerja tetap

Panjang tempoh percubaan ni bergantung sepenuhnya dengan kontrak pekerjaan. Tapi biasanya, tempoh tu dalam jangka masa 3 bulan ke 12 bulan. Ini contoh terma percubaan dalam kontrak kerja:

"Anda akan menjalani tempoh percubaan selama enam (6) bulan, dan pengesahan status tetap anda sebagai pekerja selepas tempoh yang disebutkan adalah bergantung kepada perkhidmatan yang memuaskan dari pekerjaan yang telah diberikan kepada anda"

Jadi, berdasarkan contoh di atas, anda akan jalani tempoh percubaan selama 6 bulan, yang mana dengan kata lain, anda dah pasti ada kerja dalam tempoh 6 bulan tu. Menurut Pusat Sumber Manusia Kebangsaan, selepas tempoh 6 bulan tamat, syarikat boleh sama ada:

  • Mengesahkan anda, bermakna melantik anda sebagai pekerja tetap
  • Melanjutkan tempoh percubaan anda, sebab mereka masih lagi perlukan masa untuk menilai sama ada anda sesuai atau tak untuk jadi pekerja tetap
  • Tamatkan perkhidmatan anda, sebab mereka tak rasa yang anda sesuai untuk syarikat

Jadinya sekarang, kita kembali pada soalan asal tadi: Boleh ke syarikat pecat anda sebelum tempoh percubaan tamat?

 

Pekerja percubaan tak boleh dipecat tanpa alasan munasabah

Imej dari imgflip.com

Bila bercakap soal pemecatan atau penamatan perkhidmatan, pekerja percubaan dan pekerja tetap ada hak yang sama. Dalam kes Mak Teck Mun v Ginova Marketing Sdn Bhd, seorang lelaki bernama Mak dah diambil bekerja oleh Ginova Sdn Bhd sebagai pekerja percubaan. Malangnya, dia dah dipecat sebelum tempoh percubaannya tamat. Dia kemudiannya ambil tindakan terhadap syarikat itu di mahkamah. Di akhir kes berkenaan, Mak diputuskan menang dan mahkamah menganugerahkannya pampasan untuk gaji yang sepatutnya dia dapat kalau dia tak dipecat. Menurut mahkamah, sebab kenapa Mak menang adalah:

"... pelantikan dalam tempoh percubaan selama enam bulan tidak memberi majikan hak untuk menamatkan perkhidmatan seseorang pekerja sebelum tempoh enam bulan tamat kecuali atas alasan salah laku atau alasan lain yang mencukupi, yang dalam hal itu juga perkhidmatan pekerja tetap boleh ditamatkan. Selepas tamat tempoh enam bulan, majikan boleh sama ada mengesahkan atau menamatkan perkhidmatannya, kerana perkhidmatannya didapati tidak memuaskan."

Dalam terma mudah, Mak di sini ada hak yang sama dengan pekerja tetap lain dalam syarikat dan dia tak boleh dipecat sebelum tempoh 6 bulan tamat, tanpa sebab munasabah. Tambahan lagi, mahkamah juga ada kata yang syarikat hanya boleh pecat Mak, sekiranya mereka rasa Mak tak sesuai jadi pekerja tetap SELEPAS tempoh percubaannya.  

Jadi dari kes di atas, kita dapat tahu yang syarikat mesti beri alasan munasabah kalau mereka nak pecat anda sebelum tempoh percubaan tamat. Tapi alasan macam mana yang dianggap diterima di mahkamah? Sebenarnya tak ada senarai lengkap tentang alasan tu, tapi secara umumnya ada 3 keadaan:

  1. Pekerja percubaan telah melakukan salah laku seperti gangguan seksual atau selalu datang lewat
  2. Prestasi kerja pekerja percubaan sangat rendah, dan ini bermakna dia tak melakukan tugasnya dengan baik
  3. Pekerja percubaan diberhentikan, kerana syarikat tidak mampu lagi menampung kos

Jadi kalau alasan memecat anda tak ada kaitan dengan keadaan-keadaan seperti di atas, ini bermakna pemecatan itu adalah salah. Dalam kata lain, syarikat telah memecat anda secara tak sah. 

[BACA LAGI: My boss fired me for no reason, what can I do now?]

 

Anda boleh ambil tindakan terhadap syarikat yang memecat anda secara salah

Imej dari Fire Prevention Centre.

Negara ni ada undang-undang, dan anda tak boleh kena pecat macam tu je. Ini kerana, undang-undang Malaysia melindungi hak-hak pekerja dengan beri mereka peluang untuk ambil tindakan terhadap syarikat. Menurut Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan, mana-mana pekerja di Malaysia (sama ada di Semenanjung atau Sabah dan Sarawak) boleh mengadu kepada Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan jika berdepan dengan keadaan dipecat secara salah.

Aduan itu boleh dibuat di Jabatan Sumber Manusia terdekat, dan sebaik sahaja aduan dihantar kepada Ketua Pengarah, dia akan meyerahkannya kepada Menteri Sumber Manusia yang kemudiannya boleh merujuk perkara itu kepada Mahkamah Perusahaan.

Di Mahkamah Perusahaan, anda akan diminta untuk buktikan yang anda dipecat secara salah oleh syarikat. Anda boleh buatnya secara sendirian atau diwakili peguam atau ahli kesatuan sekerja (jika ada). 

 

Tags:
pekerjaan
mahkamah perusahaan
dipecat dalam tempoh percubaan
pekerja percubaan
dipecat secara salah
jabatan sumber manusia
kontrak percubaan
akta perhubungan perusahaan

108

Shares

A+

A-