Asklegal
Home banner 1bab90f3 6c43 4d33 a776 1cb160137857

General

Macam mana 'body shaming' boleh buatkan anda dipenjara sampai setahun?

about 5 years ago Azar Ishak

25

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Sekarang ni, boleh kata semua orang ada akaun media sosial, dan dari platform ini jugalah kita boleh berborak, sebarkan maklumat, luahkan perasaan, membawang dan sebagainya. Tapi, masalah juga timbul bila ada sesetengah pihak yang gunakan platform ni untuk memalukan orang lain, mengejek, menyebar fitnah, gangguan seksual, trollbody shaming dan sebagainya. Dengan kata lain, tindakan tak bermoral sebegini dinamakan sebagai BULI SIBER.

Kalau korang ikuti perkembangan, mesti korang ada terbaca atau tonton satu rancangan TV baru-baru ni yang membincangkan isu buli siber. Rancangan tu menjemput tiga orang tetamu yang pernah jadi mangsa body shaming. Apa yang mengejutkan, Azfar iaitu salah seorang dari tetamu di situ mendedahkan – dia sendiri pernah jadi mangsa buli siber oleh seorang lagi tetamu dalam rancangan sama. Keadaan agak tegang jugalah bila dia cakap macam tu, sebelum dikawal semula oleh pengacara.

Dari apa yang kita dapat tahu ni, nampaklah kita yang siapa saja boleh menjadi mangsa buli siber atau secara tak sedar menjadi pembuli siber. Hal ini jugalah yang berlaku kepada seorang remaja perempuan 16 tahun pada Mei lalu, yang dipercayai membunuh diri, selepas rakan-rakan media sosialnya mengundi supaya mendiang membunuh diri. 

[BACA LAGI: Encouraging someone to commit suicide is a crime in Malaysia....even by Instagram poll]

Lebih mengejutkan, laporan Compritech pada tahun lepas (2018) meletakkan Malaysia di kedudukan ke-6 dalam kalangan 28 buah negara yang berdepan dengan buli siber. Kedudukan itu dah buatkan Malaysia di tempat ke-2 paling buruk di Asia, lebih baik berbanding India, tapi lebih buruk dari Arab Saudi, China, Korea Selatan dan Jepun.

Imej dari Compritech.

Dan bila bercakap soal buli siber ni, sebenarnya Malaysia tak ada undang-undang khusus tentangnya dan keadaan ini juga agak menyukarkan untuk kita mentakrifkan apa itu buli siber di sisi undang-undang. Bagaimanapun, itu tak bermakna yang pembuli siber ni boleh terlepas macam tu je, sebab masih ada peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap mereka yang terlibat. Tapi, sebelum kita bincang lebih lanjut, kita kena tahu dulu yang...

 

Si pembuli siber boleh jadi adalah rakan baik kita sendiri 

Di Malaysia 53% pembuli siber adalah rakan sekelas sendiri. Imej dari Ipsos.

Apa yang membuatkan buli siber ni lain dengan buli fizikal adalah – mangsa buli selalunya tak tahu siapa yang membuli mereka itu. Sebabnya, pembuli selalunya bersembunyi di sebalik nama pengguna (username) dan kerana itu juga mereka berani nak menghina atau mengejek orang lain. Akan tetapi, kajian juga dapati yang buli siber lebih cenderung berlaku dalam kalangan rakan-rakan berbanding orang yang tak dikenali. Maknanya, ‘rakan’ tu boleh jadi – rakan baik, rakan sekelas, rakan sekuliah ataupun rakan sepejabat

Disebabkan penggunaan media sosial secara majoritinya dikuasai oleh orang muda, maka tak hairanlah bila mereka berada dalam golongan yang paling  terdedah dengan buli siber. Contohnya, satu kajian pada 2017 mendedahkan 66% daripada 712 orang pelajar di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang ditinjau pernah menjadi mangsa buli siber

Dalam tinjauan lain oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pula dapati – 28 peratus atau tiga daripada 10 orang anak muda di Malaysia menjadi mangsa keganasan dalam talian, dengan 43 peratus daripadanya diterima melalui aplikasi pesanan peribadi di Facebook dan Instagram. Manakala, dari 5,000 orang yang ditinjau – 9 peratus (atau 457 orang) mengaku pernah menggunakan platform digital untuk mengganggu atau membuli orang lain.

Antara bentuk tindakan yang boleh dianggap sebagai buli siber adalah:

  1. Mesej yang mengganggu dan mengancam (seperti mengejek, menghina dan memeras ugut)
  2. Memanjangkan/menyebarkan e-mel, foto atau video kepada orang lain
  3. Menanam kebencian terhadap orang lain meng­gunakan maklumat yang tak benar dan menghantarnya dalam talian
  4. Sexting (tindakan menghantar gambar, mesej atau video berunsurkan seksual)
  5. Memulaukan individu tertentu daripada sesuatu kumpulan internet dengan sengaja
  6. Troll sama ada dalam bentuk imej, ayat, video atau sebagainya yang mengandungi unsur menghina, memperlekeh atau mengejek seseorang. 

Akibatnya, mangsa buli siber akan menghadapi gangguan emosi, rasa rendah diri dan berisiko menghadapi masalah mental yang serius seperti kemurungan dan keinginan membunuh diri. Seperti mana yang dikatakan di awal tadi, Malaysia tak ada undang-undang khusus untuk buli siber. Jadi, apa undang-undang sedia ada yang boleh digunakan untuk menangani masalah ni?

 

Ada undang-undang yang boleh buatkan pembuli siber dipenjara

Hans Isaac & Neelofa pun sokong kempen Kempen Anti Buli Siber. Imej dari mStar.

Disebabkan buli siber ni berkait rapat dengan isu komunikasi dan multimedia, maka antara akta terawal yang akan kita tengok mestilah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Apa yang menarik, Seksyen 233(1) dalam akta ini ada sebut pasal kesalahan penyalahgunaan internet yang menyatakan:

Seseorang yang –  
(a) dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar –
(i) membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan
(ii) memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain; atau
(b) memulakan suatu komunikasi dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi… dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu mana-mana orang…
melakukan suatu kesalahan.

Jika disabit kesalahan di bawah seksyen ini, pesalah boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama iaitu boleh didenda tak lebih RM50,000 atau dipenjara tak lebih setahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Kalau seseorang pembuli siber itu memfitnah pula, dia juga boleh didakwa di bawah Seksyen 499, Kanun Keseksaan kerana memfitnah orang lain (tiada terjemahan rasmi, diterjemahkan oleh Asklegal):

Barang siapa, dengan kata-kata yang diucapkan atau dimaksudkan untuk dibaca atau dengan tanda-tanda, atau oleh representasi yang terlihat, membuat atau menerbitkan apa-apa perihal mengenai seseorang, yang bermaksud untuk membahayakan, atau mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa imput tersebut akan merosakkan reputasi dan juga boleh dikenakan denda orang itu, dikatakan, kecuali dalam kes yang kemudiannya dikecualikan, memfitnah orang itu

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Disebabkan nilai denda tak dinyatakan, maka secara teorinya nilai itu adalah tak terhad dan bergantung kepada mahkamah. 

Selain tu, pembuli siber juga boleh didakwa di bawah Seksyen 503, akta sama kerana mengugut:

Barang siapa mengugut hendak mendatangkan kepada seseorang apa-apa bencana kepada tubuh, nama baik atau harta orang itu, atau kepada tubuh atau nama baik seseorang yang orang itu ada kepentingan, dengan niat hendak menyebabkan orang itu melakukan apa-apa perbuatan yang dia tidak terpaksa di sisi undang-undang melakukan... adalah melakukan kesalahan secara jenayah.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipanjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Bagaimanapun, pada akhir tahun 2018 lalu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia ada mencadangkan supaya Kanun Keseksaan dipinda bagi menangani kes buli siber. Tetapi dalam masa sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melihat sama ada undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk menangani masalah buli siber. Jika tidak, pihak kementerian mungkin akan meminda undang-undang seperti mana yang dicadangkan sebelumnya. 

 

Lindungi diri anda dari buli siber

Imej dari NST.

Jika korang adalah mangsa buli siber atau korang tahu sesiapa yang menghadapinya, ambillah langkah-langkah keselamatan untuk menanganinya. Antara langkah yang korang boleh buat adalah seperti:

  1. Simpan bukti – ia boleh dalam bentuk teks mesej, e-mel, tangkapan skrin (screenshot) dan alamat IP mengikut tarikh dan masa.
  2. Suarakan masalah  – kongsikan masalah ini kepada orang yang dipercayai dan dapat menolong korang menanganinya.
  3. Sekat – sekat akaun pembuli, walaupun selepasa mereka membuat akaun baru.
  4. Bertukar ke privite – kawal siapa yang dapat melihat post, gambar, dan sebagainya di akuan media sosial korang.
  5. Jangan bertindak balas kepada pembuli – abaikan si pembuli lebih, baik dari menimbulkan masalah lain dengannya.

Selain itu, korang juga boleh kemukakan aduan kepada SKMM melalui aduan.skmm.gov.my jika berhadapan dengan pembuli siber. Akhirnya, walaupun Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan bersuara, itu tak bermakna yang kita boleh berkata sesuka hati sehingga menyakiti dan membuli orang lain. Maka, gunalah media sosial dengan tertib dan jadilah pengguna yang bijak. Korang mampu mengubahnya…

 

Tags:
kanun keseksaan
akta komunikasi dan multimedia 1998
buli siber
troll
jenis buli siber
pembuli siber
media sosial

25

Shares

A+

A-