Constitution,General
Macam mana 'kumpulan agama' ni saman JAIS dan menang?!
over 5 years ago Azar Ishak[Click here for English version]
Di Malaysia ni, majoriti umat Islamnya berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) atau dikenali juga sebagai Sunni. Secara asasnya, ASWJ adalah golongan yang berpegang kepada al-Quran, sunnah Nabi Muhammad SAW, para sahabat baginda dan pandangan majoriti ulama. Kedudukan ASWJ ni cukup penting di Malaysia, sebab dari segi perundangan dan fatwa semuanya berlandaskan pegangan ni.
Sebab itulah, apa-apa je ajaran yang tak selaras dengan ASWJ selalunya akan difatwakan sebagai menyeleweng dan sesiapa yang mengamalkannya boleh didakwa di bawah kesalahan ‘Doktrin Palsu’ dan ‘Menghina Pihak Berkuasa Agama’ kerana melanggar fatwa yang dah ditetapkan. Tapi tak semua pihak setuju dengan perkara ni dan hal ini jugalah dah membuatkan satu kumpulan ni bertindak menyaman pihak berkuasa agama.
Pada tahun 2014, sekumpulan pengikut Ahmadiyah dah memohon semakan undang-undang terhadap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Mahkamah Tinggi. Tapi sebelum kita bercerita lebih lanjut lagi, rasanya lebih baik untuk kita kenal dulu apa dia Ahmadiyah ni…
Ajaran ni sampai ke Malaysia sejak lebih 110 tahun dulu
Berdasarkan kajian sejarah, ajaran Ahmadiyah ni sebenarnya berasal dari India dan ia diasaskan oleh seorang tokoh bernama – Mirza Ghulam Ahmad yang dilahirkan pada tahun 1835 di Qadian, India. Disebabkan dia lahir di Qadian, maka ajaran ni juga dikenali sebagai Qadiani. Fahaman ni dikatakan bermula bila Mirza terkenal sebagai seorang pendebat Islam yang hebat dan banyak berdebat dengan mubaligh-mubaligh Hindu dan Kristian.
Dalam masa sama, dia juga mula ada ramai pengikut dan jadi seorang tokoh agama. Pada tahun 1891, Mirza dah isytiharkan dirinya sebagai al-Masih dan tak lama lepas tu sebagai Nabi pada tahun 1901. Pengakuan Mirza ni cukup bertentangan dengan akidah majoriti umat Islam – yang percaya Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi terakhir.
Seperti yang dijangka, tindakan Mirza ni dapat kecaman hebat daripada ulama-ulama Islam India, sampai jadinya peristiwa mubahalah (perakuan sumpah) antara Mirza dan ulama hadis – Maulana Sanaullah Amritsari pada 1907. Setahun lepas peristiwa tu, Mirza dah diserang penyakit taun dan akhirnya meninggal dunia di Lahore (sekarang di Pakistan) pada 26 Mei 1908.
Tapi kematian Mirza tak menguburkan ajarannya tu, sebab dianggarkan Ahmadiyah masa tu dah ada lebih 200,000 orang pengikut! Disebabkan pengikutnya yang ramai tu, tak mustahillah ajaran ni berjaya tersebar di seluruh dunia, termasuklah ke Tanah Melayu/Malaysia. Dikatakan, Ahmadiyah sampai ke Tanah Melayu pada tahun 1906 melalui Sher Muhammad Khairuddin, seorang anggota polis dari India yang bertugas di Selangor.
Selain tu, ada juga yang kata ajaran ni bertambah berkembang lagi bila Ahmadiyah bergerak secara aktif dalam gerakan dikenali sebagai The Muslim Mission yang berpusat di United Kingdom (UK). Gerakan ni kemudiannya terbitkan majalah Islamic Review yang penerbitannya turut sampai ke Tanah Melayu. Antara tokoh yang langgan majalah ni termasuklah Zainal Abidin Ahmad atau Pendeta Zaaba. Tapi sehingga ke hari ni tak dapat dipastikan sama ada Zaaba sedar atau tak yang majalah tu sebenarnya majalah rasmi Ahmadiyah.
Akhirnya, muncullah kumpulan yang mengamalkan fahaman ni di beberapa tempat seperti di Jeram, Klang dan Kampung Nakhoda di Batu Caves. Maka bermulalah pertapakan Ahmadiyah di Tanah Melayu/Malaysia. Tapi, kemunculan fahaman ni taklah mudah diterima, sebab…
Ahmadiyah kemudiannya difatwakan sebagai ‘keluar dari Islam’
Pada tahun 1953, pengikut-pengikut Ahmadiyah di Jeram, dah dibicarakan di Istana Kuala Lumpur di hadapan DYMM Sultan Selangor bersama dengan beberapa orang ulama dan JAIS. Hasilnya, JAIS dah menghukum pengikut Ahmadiyah sebagai kafir dan dah keluar dari Islam (murtad). Diorang juga diminta untuk bertaubat dengan mengucap dua kalimat syahadat.
Disebabkan hal tu juga, lepas merdeka, Menteri Besar Selangor dah sediakan dua plot tanah di Selangor sebagai tanah perkuburan khas untuk pengikut-pengikut Ahmadiyah. Konflik antara Ahmadiyah dan ASWJ juga dah membuatkan Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman masuk campur.
Sekitar tahun 1963, Tunku dah sediakan beberapa lot tanah untuk komuniti Ahmadiyah di Kampung Nakhoda, Batu Caves. Di situlah, kemudiannya komuniti Ahmadiyah dirikan bangunan dan sebagainya.
Dalam masa sama, pada tahun 1975 – Majlis Fatwa Kebangsaan dah buat keputusan yang Ahmadiyah adalah ajaran yang diharamkan. Lepas tu, Jawatankuasa Undang-undang Fatwa Negeri Selangor pun buat keputusan yang sama iaitu Ahmadiyah terkeluar dari ajaran Islam pada 1998, dengan menyatakan:
Pada tahun 2000, pindaan dah dibuat dalam fatwa Selangor, iaitu:
- Perkahwinan pengikut Ahmadiyah boleh dibubarkan dengan pengesahan Mahkamah Syariah mengikut Seksyen 46, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984;
- Pengikut Ahmadiyah tak boleh jadi wali dalam akad nikah anak perempuannya;
- Pengikut Ahmadiyah tak boleh mewarisi harta peninggalan kerabat-kerabat Muslimnya; dan
- Pengikut Ahmadiyah tak berhak untuk mendapatkan apa-apa keistimewaan yang diperuntukkan kepada orang Melayu.
Dari tahun 1975 sampai 2013, boleh dikatakan majoriti fatwa di negeri-negeri seluruh Malaysia dah memfatwakan Ahmadiyah sebagai ajaran yang terkeluar dari Islam. Hinggalah pada tahun 2014, apabila…
JAIS serbu pengikut Ahmadiyah dan… diorang cabar JAIS di Mahkamah
Kes ni bermula pada hari Jumaat, 11 April 2014, bila pegawai-pegawai penguatkuasa JAIS dah bertindak menyerbu sebuah premis yang digunakan oleh pengikut-pengikut Ahmadiyah di Jalan Batu Caves. Premis tu digunakan oleh diorang sebagai tempat tunaikan solat. Serbuan tu dibuat kerana diorang didakwa tak ada kebenaran bertulis untuk gunakan premis tu bagi perkara-perkara yang hanya boleh dilakukan di/oleh masjid (berdasarkan Seksyen 97, Enakmen Pentadbiran Islam Selangor).
Kesannya, 39 orang di premis tu dah ditahan. Diorang kemudiannya diberikan ‘Surat Perjanjian dan Jaminan’ yang menghendaki diorang datang ke Mahkamah Syariah untuk dibicarakan. Jadinya, pengikut-pengikut Ahmadiyah ni pun rasa tak puas hati dan buat permohonan semakan kehakiman untuk mencabar JAIS di Mahkamah Tinggi. Kes ni juga dikenali sebagai – Maqsood Ahmad & Ors v Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama & Ors.
Dalam perbicaraan tu, Mahkamah dah menyemak kembali beberapa hal berkaitan dengan Ahmadiyah termasuklah
- Tindakan JAIS menghukum pengikut Ahmadiah sebagai bukan Islam pada tahun 1953
- Fatwa Selangor yang diwartakan pada 1998; dan
- Pindaan fatwa tu pada tahun 2000
Selain tu, Mahkamah juga merujuk satu kes di Kedah yang jadi pada tahun 1983 – Abdul Rahim bin Haji Bahaudin v Chief Kadi, Kedah.
Dalam kes tu, Rahim dah mohon semakan mahkamah tentang kuasa Kadi untuk mengambil tindakan terhadapnya iaitu seorang pengikut Ahmadiyah. Mahkamah lepas tu buat keputusan yang Kadi Kedah tak ada kuasa terhadap Rahim disebabkan keputusan Majlis Agama Negeri Kedah yang dah mewartakan fatwa bahawa Ahmadiyah bukan Islam pada 1981. Ini kerana, Rahim dianggap sebagai bukan Islam dan dia tak boleh didakwa di Mahkamah Syariah.
Hal ini jugalah berlaku dalam kes di Selangor. Pada 6 Julai 2018, Mahkamah Tinggi Shah Alam dah membuat keputusan yang Ahmadiyah tak tertakluk di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri (JAIS) kerana ajaran tu dah lama difatwa sebagai bukan Islam. Selain tu, keputusan tu juga dibuat atas beberapa faktor seperti:
- Fatwa Selangor menyatakan pengikut Ahmadiyah sebagai bukan Islam, maka dengan itu, pihak Ahmadiyah tak perlu dapatkan kebenaran MAIS untuk gunakan premis berkenaan sebagai tempat ibadat. Kerana definisi masjid berdasarkan Enakmen Pentadbiran Islam Selangor adalah tempat solat untuk orang Islam.
- Kewujudan komuniti Ahmadiyah di Selangor dah diketahui sejak sebelum merdeka lagi, dan diorang pun dah diberikan tanah khas. Papan tanda ‘Qadiani bukan Islam’ juga terpampang di depan Baitussalam (pusat Ahmadiyah di Kampung Nakhoda).
- Tiada bukti yang tindakan diorang menyewa premis tu untuk beribadat dah mengganggu ketenteraman awam.
Tambahan lagi, Seksyen 74, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 menyatakan:
Jadinya, jelas yang Ahmadiyah tak boleh didakwa di Mahkamah Syariah, sebab diorang dah pun difatwakan keluar dari Islam. Maka, Ahmadiyah sekarang dianggap sebagai kumpulan agama dan ada kebebasan untuk amalkan kepercayaan mereka tu selaras dengan Perkara 11, Perlembagaan Persekutuan:
Bagaimanapun, penyebarannya masih lagi boleh disekat, selaras dengan Perkara 11(4), Perlembagaan Persekutuan:
Tapi, dalam keadaan tertentu masih ada yang boleh didakwa
Walaupun Ahmadiyah sekarang ni boleh mengamalkan kepercayaan diorang secara bebas, tapi tu tak bermakna fahaman-fahaman lain pun boleh buat benda yang sama. Ini kerana, Ahmadiyah dah difatwakan sebagai terkeluar dari Islam dan berbeza dengan ajaran-ajaran lain yang difatwakan sebagai menyeleweng dari ASWJ seperti Syiah, Al-Arqam, Ayah Pin dan sebagainya.
Jadinya, diorang ini masih boleh didakwa di bawah undang-undang syariah di negeri masing-masing. Malah, sehingga Januari tahun lepas, kerajaan Malaysia dah mengesan 17 ajaran baru yang didakwa menyeleweng dari ASWJ.
Oleh itu, bagi korang yang nak tahu lebih pasal fatwa-fatwa yang dah dikeluarkan, korang boleh semak di sini. Kepada yang ada rasa ragu-ragu atau ada kemusykilan pasal isu agama pula, korang boleh je buat pertanyaan atau rujukan di Jabatan Agama/Jabatan Mufti di negeri masing-masing atau melalui portal JAKIM. Lebih-lebih lagi sekarang ni semuanya berada di hujung jari je.