Asklegal
Home banner 51025f46 fced 48a3 a865 990057bffa94

General,Employment

Ada ke undang-undang yang lindungi anda kalau majikan paksa berhenti kerja?

about 4 years ago Azar Ishak

27

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Macam inilah, korang seorang pekerja yang baik. Datang kerja tepat pada waktu, penuhi sasaran syarikat dan senang cerita tak ada sebablah nak pecat korang. Tapi pada suatu hari, korang ada krisis pula dengan bos. Krisis tu bukan biasa-biasa, sampaikan bos korang tu cari jalan nak singkirkan korang dari syarikat.

Tapi bos korang ni bijak, dia tahu yang dia tak boleh pecat korang macam tu je, jadinya dia gunakan taktik supaya korang rasa terbeban dengan kerja, sampaikan ke satu tahap korang dah tak boleh tahan dan terpaksa pilih untuk letak jawatan. Mungkin dia tahan gaji korang, atau tukar skop kerja yang korang tak suka. Korang nampak rancangan dia ni, tapi apa boleh buat? Korang cuma pekerja biasa dan dia tu bos.

Tapi betul ke tanggapan korang tu? Ada tak sesuatu yang korang boleh guna untuk cabar tindakan bos korang tu? Sebenarnya ada, dan ia lebih tinggi dari jawatan bos korang, iaitu…

 

Ia dipanggil sebagai Pemecatan Konstruktif

GIF dari GIPHY

Dalam maksud mudah, pemecatan konstruktif terjadi bila mana korang terpaksa meletakkan jawatan kerana majikan korang dah melanggar terma penting kontrak pekerjaan korang. Pemecatan konstruktif adalah konsep common law (diambil dari keputusan mahkamah), dan ia terpakai di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sawarak.

Bercakap soal hak pekerja, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kerja 1955 adalah akta yang biasanya dirujuk oleh pekerja kalau nak saman majikan. Tapi, kedua-dua akta ni tak nyatakan secara khusus dalam memberi definisi pemecatan konstruktif. Bagaimanapun, tuntutan terhadap pemecatan konstruktif boleh dibuat berdasarkan Seksyen 20(1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967, yang menyatakan – tiada pekerja yang boleh ditamatkan perkhidmatan tanpa sebab dan alasan (tiada terjemahan rasmi, diterjemahkan oleh Asklegal):

“Jika seorang pekerja, tanpa mengira sama ada dia adalah anggota kesatuan pekerja atau sebaliknya, menganggap bahawa dia telah diberhentikan tanpa sebab atau alasan oleh majikannya, dia boleh membuat representasi secara bertulis kepada Ketua Pengarah supaya dikembalikan semula bekas pekerjaannya; representasi itu boleh difailkan di pejabat Ketua Pengarah terdekat dengan tempat pekerjaan yang mana pekerja itu diberhentikan kerja.”

Faktor-faktor tertentu yang diambil kira dalam pemecatan konstruktif sebenarnya agak luas untuk djelaskan, jadi di sini ada beberapa kes yang boleh bagi gambaran lebih baik tentangnya:

  • Majikan dah memindahkan pekerja ke jawatan yang lebih rendah tanggungjawabnya dan tidak sesuai dengan peranan dan status pekerjaan asal pekerja (secara asasnya bukan pekerjaan yang dia diupah untuk melakukannya) – Watertec (Malaysia) Sdn Bhd v Lee Yoke Peng [2003] 1 ILR 866
  • Majikan tak mahu bayar gaji pekerja tepat pada masanya (selepas tempoh yang dinyatakan dalam kontrak pekerjaan) – Lee Cheong Company Sdn Bhd v Lim Suw Koong [2003] 2 ILR 135 
  • Tuduhan palsu yang kata pekerja dah buat salah laku – Citec International Sdn Bhd v Selvaraja N Gandhi [2003] 2 ILR 691 

Tapi apa yang pasti, ni tak bermaksud yang korang boleh terus saman bos korang atas alasan pemecatan konstruktif, sebab dia suruh korang buat kerja susah atau tak nak bagi gaji korang naik, lepas korang minta.

Kunci untuk membezakan apa tu pemecatan konstruktif atau tak, bergantung kepada sama ada 2 faktor utama ni terbukti.

 

Ada 2 perkara yang korang perlu buktikan, sebelum saman 

Imej dari Quickmeme

Mahkamah Malaysia secara umumnya mengiktiraf dua elemen utama yang diperlukan oleh pekerja untuk saman majikan kerana pemecatan konstruktif. 

Jadinya, adakah majikan dah buat pelanggaran kontrak pekerjaan korang?

  1. Adakah amalan majikan korang melanggar kontrak tu dikira serius? – Contohnya seperti gangguan seksual, gagal membayar gaji dan menurunkan skop kerja korang. Secara amnya, ia dah cukup memenuhi elemen pertama ni.
  2. Adakah korang meninggalkan kerja sebaik sahaja selepas majikan melakukan tindakan yang tak boleh diterima? – Keperluan ni akan dipenuhi kalau korang meletakkan jawatan serta merta kerana korang dah tak tahan dengan tingkah laku majikan. Tapi, kalau korang buat keputusan untuk “tetap di sana” walaupun majikan dah berkelakuan tak wajar, maka tuntutan korang untuk pemecatan konstruktif mungkin akan gagal. 

Tapi sebelum kita teruskan, kitorang dalam artikel ni banyak gunakan perkataan “majikan” dan “bos”. Bagaimanapun, dalam konteks undang-undang, korang akan menyaman pihak yang korang masukkan dalam kontrak… nama yang ada dalam kontrak. 

Sebagai contoh, Imaginary Syarikat Sdn Bhd ambil korang bekerja sebagai pembantu peribadi En. Ahmad. Korang sebenarnya nanti akan saman Imaginary Company Sdn Bhd, walaupun En. Ahmad yang buat hidup korang macam dalam neraka. Ini kerana, Imaginary Company Sdn Bhd dianggap sebagai entiti sah (macam orang) di bawah undang-undang yang korang tandatangan dalam kontrak pekerjaan korang tu. Dan tindak tanduk pengurus akan dikaitkan dengan syarikat.

Samalah kalau En Ahmad upah korang dengan duitnya sendiri, maka dialah orang yang korang akan saman.

 

Jadi… macam mana nak mulakan saman (dan apa yang korang boleh tuntut)?

Imej dari Fire Prevention Centre

Andaikanlah yang 2 elemen di atas tu dah dapat/telah dibuktikan, inilah jangkaan prosesnya nanti:

  • Pertama, korang kena – sama ada pergi ke Jabatan Hubungan Perusahaan atau tulis surat kepada Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan (lebih maklumat di sini) dalam masa 60 hari selepas korang meninggalkan syarikat atau dipecat.
  • Seterusnya, Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan akan cuba dapatkan korang dan majikan korang untuk mencapai persetujuan bersama (perdamaian).
  • Kalau hal ni tak jalan, Ketua Pengarah Hubungan Perusahaan akan merujuk kes itu kepada Menteri Sumber Manusia, yang kemudiannya boleh merujuknya ke Mahkamah Perusahaan. Di sinilah korang dan majikan kena menegakkan hujah masing-masing dan keputusan akan diberikan.

Pilihan pampasan yang selalunya diminta adalah pengembalian semula pekerjaan atau pampasan kewangan. Tapi, disebabkan hubungan antara pekerja dan majikan memang dah tak baik, agak tak mungkin yang pekerja tu akan kembali bekerja semula. Jadinya, pilihan yang lebih popular adalah pampasan kewangan untuk kes-kes macam ni. 

Untuk kesimpulannya, setiap pekerja dan majikan mestilah kena ada hubungan yang baik untuk buatkan suasana kerja lebih harmoni. Sementara korang ada hak tertentu sebagai pekerja, tak semua cabaran atau kena marah dengan bos tu boleh dianggap sebagai cubaan nak singkirkan korang. Ia boleh je jadi disebabkan faktor masa dan keadaan sekeliling. Makanya, mungkin lebih baik kalau kita semua tengok dalam perspektif yang lebih luas, dan tengok jugalah kontrak pekerjaan korang tu. Semua pertimbangan dan keputusan korang boleh dirujuk darinya. 

Tags:
akta kerja 1955
dipecat
pemecatan konstruktif
kontrak pekerjaan
akta hubungan perusahaan 1967
saman majikan
dipecat secara tak adil

27

Shares

A+

A-