Consumer,General,Banking
Apa akan terjadi dengan wang anda jika bank di Malaysia dirompak atau jatuh muflis?
over 6 years ago Clarence Kuna[Artikel asal dalam Bahasa Inggeris. Click here for English version]
Tembak menembak!
Orang menjerit sana sini!
Juruwang bergegas mengisi wang ke dalam beg! Pergh...ini dah macam cerita Polis Evo 2 (eh kejap!). Apa-apa pun, kalau kita dah banyak tengok filem aksi, kita mungkin dah arif bagaimana rompakan bank berlaku. Di Malaysia lazimnya perompak guna parang, bukan pistol, tapi kesudahannya tetap sama. Lagipun tengok sahaja baru-baru ini, apabila seorang lelaki melangkah masuk ke dalam bank dan, dengan bersahaja, mengambil keluar RM600,000 selepas mendakwa yang dia seorang juruteknik. Tak perlu keganasan. Lagi ‘cool’ kalau boleh buat macam Ocean’s 11.
Jikalau bank dirompak, mereka takkan ‘tutup kedai’. Yang lebih menakutkan adalah jika bank jatuh muflis. Dan walaupun kebarangkalian ini berlaku amat rendah, ia pernah berlaku di negara lain dan juga di Malaysia.
Apabila sesebuah bank menunjukkan tanda-tanda ia dalam kesusahan dan orang awam mendapat berita mengenainya, maka ‘bank run’ akan berlaku. Bank run merupakan situasi di mana kesemua orang yang mendepositkan wang mereka di bank tersebut cuba untuk mengeluarkan wang beramai-ramai sehingga bank tersebut tidak dapat menampung permintaan mereka. Ini pernah berlaku di Malaysia pada tahun 1999 di mana pelanggan MBf Finance cuba mengeluarkan wang berjumlah RM17 billion dan Bank Negara terpaksa membantu bank tersebut.
Artikel ini tidak bertujuan mengajar anda cara-cara merompak bank dan melepaskan diri tanpa dikesan (kalau penulis artikel ni tahu macam mana, dah lama dia buat lepas tu beli bot mewah dan lari pergi Bahamas daripada buang masa duduk kat pejabat tulis artikel demi artikel), tetapi artikel ini akan cuba menjawab persoalan yang tidak terlintas di fikiran kita semasa menonton filem aksi merompak bank – adakah pelanggan yang telah mendepositkan wang mereka ke dalam bank yang dirompak atau muflis mendapat pampasan?
Kalau anda semakin bimbang, jangan risau kerana kita di Malaysia ada Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (“PIDM”). Mereka ini memang hebat kerana...
PIDM akan memberikan anda wang jika apa-apa yang tidak diingini terjadi kepada bank anda.
PIDM berfungsi di bawah Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2011 (“PIDM 2011” – tiada versi BM rasmi) dan bertindak dalam memastikan kestabilan kewangan dengan menginsuranskan wang deposit anda. Ini bermakna jika wang anda hilang kerana bank anda dirompak atau jatuh muflis, PIDM akan membayar balik duit yang telah anda depositkan ke dalam bank tersebut.
Namun ada beberapa perkara yang harus anda faham berkenaan skim insurans PIDM ini. Yang pertama adalah anda tidak perlu berbuat apa-apa untuk mendapatkan insurans ini. Berlainan dengan skim insurans kereta, rumah, kesihatan dan lain-lain, PIDM menjamin wang deposit anda secara automatik sejurus selepas anda memasukkan wang tersebut ke dalam bank ahli PIDM.
Jadi apa maksud bank ahli ini? Seksyen 36 PIDM 2011 mengatakan bahawa bank ahli adalah bank yang dilesenkan di bawah salah satu dari empat Akta di bawah:
- Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989
- Akta Bank Islam 1983
- Akta Perkhidmatan Kewangan 2013
- Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013
Rata-ratanya, semua bank yang beroperasi di Malaysia adalah bank ahli. Ini termasuk bank luar negara yang beroperasi sebagai anak syarikat di Malaysia (kalau bank anda adalah bank luar negara yang mempunyai cawangan di Malaysia, maka mereka berkemungkinan adalah bank ahli). Jika anda tertanya-tanya jika bank ini boleh melucutkan keahlian mereka, maka jawapannya adalah tidak. Bank yang telah diberi lesen di bawah salah satu dari empat Akta di atas telah pun menjadi ahli sejurus selepas mereka diberi lesen.
Seksyen 36 PIDM 2011 (sebahagian; tiada versi BM rasmi):
Jadi anda tidak perlu bimbang tentang senario di mana bank anda cuba melucutkan keahlian PIDM mereka secara senyap dan kemudiannya anda tertipu kerana tidak mendapat pampasan PIDM apabila mereka jatuh muflis.
Muncul pula persoalan penting yang anda semua pastinya tertunggu-tunggu jawapannya...
Berapa nilai pampasan saya?
Jawapan: Satu perempat juta ringgit! Ya, anda boleh diberi pampasan sehingga RM250,000. Nampaknya semua pembaca dah mula terbeliak memberi tumpuan, tetapi tunggu ya, kita kena lihat aspek teknikalnya.
Perkara pertama yang perlu anda tahu adalah wang deposit dijamin sehingga RM250,000 bagi setiap pelanggan bagi setiap bank ahli. Ini termasuk wang deposit dan faedah yang anda mungkin peroleh. Contohnya, jika jumlah deposit anda adalah RM250,000 dan faedah terkumpul pula adalah RM30,000, jumlah maksimum yang boleh anda terima sebagai pampasan PIDM adalah RM250,000, bukannya RM280,000.
Namun jangan risau jika akaun anda berasingan dalam bentuk akaun biasa dan akaun perbankan Islam, kerana jumlah had pampasan adalah berbeza. Ini bermakna jika anda memasukkan RM250,000 ke dalam akaun biasa dan RM250,000 ke dalam akaun perbankan Islam, anda akan diberi perlindungan insurans sebanyak RM500,000. Ini terkandung di dalam seksyen 42(1) PIDM 2011:
Selain itu, jika anda jenis yang menyimpan wang di beberapa bank, senyumlah sedikit kerana had pampasan adalah berasingan bagi setiap bank. Ini bermakna jika anda menyimpan RM 250,000 di Bank A, RM150,000 di Bank B dan RM150,000 di Bank C, maka anda akan dijamin oleh insurans deposit PIDM dan akan dibayar pampasan sejumlah RM550,000 jika ketiga-tiga bank anda dirompak atau jatuh muflis sekali gus.
Tetapi, deposit berasingan di cawangan berlainan untuk bank yang sama akan dikira bersama dan jumlah maksimum yang boleh anda tuntut dalam kes ini adalah RM250,000 (kalau ada hati nak tipu sistem, jangan ya).
Jika anda seorang jutawan dan memiliki ratusan ribu di dalam bank dan ingin membeli insurans tambahan untuk deposit anda, sayangnya anda tidak boleh berbuat demikian. Dalam kes ini, jika bank anda jatuh muflis, anda boleh cuba menuntut wang dari pihak yang akan membubarkan aset bank (Liquidator - pihak yang dilantik untuk mengagihkan aset syarikat yang jatuh muflis kepada si pemiutang).
Jika anda memiliki akaun bersama dengan ahli keluarga atau ada membuka akaun lain seperti akaun perniagaan di bank yang sama, PIDM memberi perlindungan yang berasingan kepada akaun-akaun tersebut. Ringkasnya, akaun deposit yang dilindungi secara berasingan adalah:
- Akaun bersama (Joint Account) – Akaun bersama mendapat perlindungan insurans deposit secara berasingan asalkan rekod bank ahli menyenaraikan nama pemegang-pemegang akaun.
- Akaun amanah (Trust Account) – Benefisiari kepada sesuatu amanah mendapat perlindungan insurans sehingga RM250,000 daripada akaun amanah tersebut JIKA pemegang amanah (“trustee”) menyenaraikan kepentingan mereka dengan amaun yang dihutang kepada mereka dalam rekod bank. Amaun ini adalah berasingan daripada insuran yang melindungi deposit individu mereka.
- Akaun perniagaan milikan tunggal, perkongsian, praktik profesional dan akaun syarikat.
Contoh ini menjelaskan perlindungan insurans deposit secara berasingan bagi pendeposit yang memegang beberapa akaun dalam sesebuah bank ahli:
Jika anda keliru dengan contoh di atas, inilah penjelasannya. Contoh di atas menunjukkan bahawa Ahmad ada lima akaun berasingan di dalam satu bank. Jenis akaun merangkumi akaun simpanan persendirian, dua akaun bersama, satu akaun perkongsian dan satu akaun perniagaan. Oleh kerana PIDM membenarkan tuntutan berasingan untuk jenis-jenis akaun di atas dan Ahmad memiliki lima akaun berbeza, maka dia akan diberi perlindungan sebanyak RM250,000 untuk setiap akaun.
Adakah ini bererti anda dilindungi dari semua aspek?
Tidak semestinya. PIDM 2011 menyatakan bahawa produk yang dilindungi di bawah skim insurans deposit dan produk yang tidak dilindungi olehnya. Ini dinyatakan di bawah seksyen 41 PIDM 2011 (agak panjang juga ya, jadi boleh skip untuk penjelasan yang lebih mudah):
dahulu, kiriman wang atau surat cara lain yang
seumpamanya…
seumpamanya...
yang ditentukan oleh Perbadanan, tetapi tidak termasuk...
deposit pembawa yang lain;
- Akaun simpanan dan semasa
- Deposit tetap
- Deposit mata wang asing
- Produk berstruktur konvensional yang prinsipalnya dijamin
- Akaun deposit Islam
- Draf bank
- Cek
- Arahan atau instrumen pembayaran lain yang dibuat terhadap akaun deposit.
- Produk berstruktur konvensional yang prinsipalnya tidak dijamin
- Deposit yang tidak boleh dibayar di Malaysia
- Deposit pasaran wang antara bank
- Instrumen deposit boleh niaga (NIDs)
- Deposit pembawa lain
- Perjanjian pembelian semula
- Produk pelaburan
- Unit amanah
- Akaun berkaitan emas
Juga adalah lebih baik jika anda bertanya bank anda jika jenis deposit dilindungi oleh mereka. Menurut PIDM, bank ahli mesti memberitahu anda jika deposit anda layak mendapat insurans sebelum anda berurusan dengan mereka. Bank juga harus memiliki senarai lengkap produk yang layak mendapat insurans deposit dan ianya mesti dipaparkan di premis mereka. Sebagai contoh, lihat senarai yang dipaparkan di laman Maybank di sini.
Bank di Malaysia memang selamat tetapi....
… tak salah juga kalau anda ingin mengambil langkah-langkah berwaspada. Langkah yang paling mudah adalah melalui pempelbagaian (diversification); sama ada dengan bank, jenis produk yang anda pilih, ataupun jenis pelaburan. Pempelbagaian akan melindungi pelaburan dan kewangan anda jika sesuatu yang tidak diingini berlaku, jadi anda tidak perlu risau jika salah satu daripadanya mengalami kemerosotan.
Anda harus ingat bahawa anda tidak perlu membuat tuntutan jika bank anda jatuh muflis di Malaysia kerana pihak PIDM akan membuat pengumuman mengenai cara-cara membuat tuntutan. Anda boleh melawat laman PIDM di sini atau menelefon mereka melalui talian 1-800-88-1266 untuk mendapatkan keterangan lanjut.
Selamat maju jaya dan mulai sekarang jika anda sibuk berbincang dengan rakan-rakan anda mengenai siri rompakan bank yang terbaru di Malaysia, anda bolehlah berlagak sedikit dengan pengetahuan kewangan yang anda peroleh dari kami di sini.
clarencekuna@gmail.com