Asklegal
Home banner e05500c0 c78d 48f4 8d17 619203b11165

Constitution,Criminal,General

Malaysia tidak mempraktikkan sistem juri sejak tahun 1995 gara-gara seorang ... bomoh?

over 6 years ago Clarence Kuna

157

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Artikel asal ditulis dalam Bahasa Inggeris. Click here for English version.]

 

Pastinya kita telah menyaksikan banyak adegan mahkamah yang hebat di filem-filem Hollywood seperti To Kill A Mockingbird, The Wire, Arrested Development, Philadelphia dan Primal Fear. Dan pastinya anda ingat akan 12 panel juri di mahkamah yang terdiri dari orang awam, di mana pihak pembela akan bertungkus lumus meyakinkan mereka yang si tertuduh tidak bersalah, dan selepas diselingi oleh latar belakang musik yang penuh dramatik (dan kadangkala melampau), salah seorang juri tersebut akan mengumumkan yang si tertuduh itu bersalah. Ataupun tidak.

Mungkin anda tertanya-tanya jika kita mengamalkan sistem juri ini di mahkamah Malaysia (tanpa musik ya), dan jawapannya ialah mahkamah Malaysia tidak menggunakan sistem juri. Sebaliknya, semua keputusan mahkamah dilakukan oleh hakim kes. Dan, apa yang lebih menarik lagi di sini adalah kita PERNAH menggunakan sistem juri sebelum ia dimansuhkan pada sekitar tahun 90an.

Dahulu penuh diduduki para juri, sekarang tidak lagi. Gambar oleh abcnews

Harus kita ingat yang sistem juri tidak digunakan untuk tujuan dramatik. Sistem  juri digunakan sebagai satu tanda yang sistem demokrasi juga dipraktikkan di mahkamah dengan membenarkan orang awam melibatkan diri dalam sistem perundangan jenayah supaya si tertuduh dapat dihakimi oleh orang awam yang setaraf dengannya. Samalah seperti rakan karib anda menilai anda.

Jadi, kenapa sistem juri tidak lagi digunakan di Malaysia? Ini sebenarnya ada kaitan dengan satu kes sensasi, melibatkan seorang bomoh dan ahli politik....

 

Kes bunuh Mona Fandey yang sensasi satu ketika dahulu

Mona Fandey denga gaya rambut Elvisnya. Gambar oleh benhurplugup

Sebelum sistem juri dihentikan, terdapat banyak perbincangan tentang pemansuhan sistem tersebut. Kes bunuh yang kita akan bincangkan merupakan kes terakhir dimana sistem juri digunakkan…..dan kes ini merupakan faktor utama sistem juri dihentikan. 

Maznah Ismail, atau lebih dikenali sebagai Mona Fandey, pernah berhajat untuk menjadi penyanyi ternama, tetapi hajatnya tidak begitu tercapai. Namun , dia masih berpeluang untuk menerbitkan satu album yang ditaja sendiri yang berjudul Diana. Selain itu, dia juga merupakan seorang penari balet air di zaman mudanya. Kalau nak tahu, balet air ini lebih kurang sama dengan sukan renang berirama.

Ingat balet air macam ni ke? Gambar dari Gfycat

Mona Fandey kemudian meninggalkan dunia hiburan untuk menjadi seorang bomoh. Tentunya anda semua sedar kerjaya ini juga dikenali sebagai dukun ataupun pawang. Biasanya, bomoh terkait dengan perubatan tradisional, dan ilmu sihir. Di antara pelanggan-pelanggan Mona, terdapat ahli politik dan golongan masyarakat atasan. Mona Fandey juga pernah mendakwa yang suatu ketika dahulu, dia pernah membekalkan tangkal atau azimat kepada beberapa ahli politik dari salah sebuah parti politik yang dikenali umum.

Mazlan Idris, seorang ahli politik yang bercita-cita tinggi….merupakan ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Pahang. Beliau telah berjumpa dengan Mona Fandey, kerana beliau ingin menggunakan bantuan ghaib untuk meningkatkan kerjaya politiknya. Lantas, Mona bersama-sama dengan suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman dan pembantunya Juraimi Hussin, berjaya memujuk Mazlan untuk mengambil bahagian dalam satu upacara “menunggu wang jatuh dari langit”.

Tak rock lah kalau takde karpet. Gambar dari The Star

Mona Fandey mengarah Mazlan Idris baring diatas lantai dengan matanya tertutup sambil menunggu wang jatuh dari langit. Tetapi yang jatuh bukannya wang, tetapi sebilah kapak. Mazlan Idris kemudiannya dipancung dan badannya dikerat dan sebahagian dari kulitnya disiat. Mayatnya ditemui dipotong kepada 18 bahagian dan ditanam berhampiran rumah Mona Fandey. Sehari selepas pembunuhan itu, Mona Fandey keluar membeli-belah di Kuala Lumpur, dan kemudiannya membeli sebuah Mercedes-Benz serta menampilkan wajah baru.

Pihak polis menemui mayat Mazlan pada 2hb Julai 1993, dan sejurus selepas itu, Mona, suaminya, dan Juraimi ditahan polis. Mereka didakwa dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Temerloh oleh seorang hakim dan panel juri seramai 7 orang. Mahkaman Tinggi Temerloh mendapati yang mereka bertiga bersalah dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati. Kes ini kemudiannya dirayu di Mahkamah Persekutuan tetapi rayuan ini ditolak dan hukuman mati disahkan. Lebih-lebih lagi, Lembaga Pengampunan Pahang juga tolak rayuan mereka untuk pengampunan dan akhirnya hukuman mati dilaksanakan ke atas mereka bertiga di Penjara Kajang pada tahun 2001. 

Perbicaraan kes ini mendapat liputan media yang amat luas di dalam dan luar negara. Ramai pula yang mengenali Mona Fandey sebagai bomoh daripada seorang penyanyi. Faktor kes yang sensasi ini menjadi salah satu sebab utama sistem juri dimansuhkan di Malaysia (Kes ini dibawa ke Mahkamah Tinggi pada tahun 1993 dan sistem juri dimansuhkan pada tahun 1995).

Kes yang sensasi amat merbahaya kerana pihak media yang melaporkan kes-kes ini boleh mempengaruhi keputusan pihak juri. Ini boleh membawa kepada keputusan mahkamah yang tidak adil, seperti mana yang boleh dilihat dalam kes Aileen Wuornos di mana pihak media telah memberi laporan yang amat negatif terhadapnya. Pihak pendakwa pula, mengambil kesempatan ini untuk membina kes yang lebih memberat sebelah untuk mereka. Pendedahan media ini juga boleh berlaku sebelum pemilihan juri.

 

Bagaimana sistem juri dijalankan di Malaysia sebelum ia dimansuhkan?

Lebih kurang camni la, tapi badut tu untuk hiasan je. Gambar dari The Simpsons Wikia

Berikut adalah pandangan Hakim terkenal di UK, Lord Denning mengenai sistem juri (yang kita terjemahkan):

Dua belas orang yang dipilih secara rawak merupakan satu perwakilan umum orang ramai yang merentasi semua aspek kemanusiaan.

Jika panel juri dipilih secara rawak, keputusan mereka boleh dikatakan satu keputusan yang diwakili oleh orang awam. Tambahan pula, bilangan juri yang besar boleh menolak pilihan yang tidak adil, dan ini akan mengekalkan sistem yang demokratik.

Di Malaysia, sistem juri hanya digunakan dalam kes yang khusus – iaitu kes yang membabitkan hukuman mati mandatori (seperti kes pengedaran dadah dan kes bunuh). Ini berlainan dari sistem juri di Amerika Syarikat, di mana tertuduh yang didakwa dalam kes yang boleh membawa hukuman penjara lebih dari 6 bulan berhak mendapat perbicaraan yang diadili oleh panel juri.

Sistem juri yang ada di Malaysia dulu, biasanya diwakili oleh 7 orang juri. Sesiapa yang berumur lebih dari 21 tahun layak menjadi juri. Pengecualian diberikan kepada mereka yang mengalami sakit mental dan yang kurang upaya (buta, pekak, dsb.).

Sekiranya anda dipilih untuk menjadi juri, anda diwajibkan untuk menjalankan tugas ini, melainkan anda mempunyai alasan yang munasabah. Tapi apa kata jika anda rasa yang anda tidak mempunyai masa untuk MENJALANKAN KEWAJIBAN ANDA SEBAGAI SEORANG RAKYAT MALAYSIA sebagai ahli juri? Sebenarnya tiada masalah…….cuma bersedialah untuk didakwa di bawah Seksyen 174 Kanun Keseksaan (tiada terjemahan Bahasa Malaysia):

“Barangsiapa, yang di bawah perintah undang-undang untuk hadir, secara persendirian atau melalui wakil, pada tempat dan masa yang ditetapkan untuk saman, notis, perintah atau deklarasi, tindakan dari mana-mana penjawat awam, mengingkari arahan untuk menghadirkan diri pada tempat dan masa yang ditetapkan, atau meninggalkan kawasan di mana dia perlu hadir sebelum tempoh di mana dia perlu berada di kawasan tersebut, boleh dihukum...”

Sesiapa yang didapati bersalah, boleh didenda sebanyak RM2,000 ataupun dipenjara selama 6 bulan maksimum, ataupun kedua-duanya sekali.

Jika kita lihat pada dasarnya, juri harus menilai kesemua bukti dan fakta kes yang dipersembahkan...selepas itu, hakim akan mengarahkan juri untuk memutuskan sama ada yang tertuduh bersalah atau tidak. Untuk mencapai suatu keputusan, panel juri ini akan berbincang perihal ini dalam kamar bicara (bukan kamar tidur ya!).

Adakah anda berpendapat bahawa ia lebih baik untuk orang awam (seperti saya dan kamu), untuk memutuskan jika seseorang itu bersalah atau tidak? Ataupun anda rasa ia lebih baik untuk seorang hakim (yang walaupun berpengalaman, mungkin tidak memahami cara hidup orang awam...sebab biasanya hakim orang atas)?

 

Sistem juri ini ada kelemahannya

Bosan sangat ker abang juri oooi sampai main henpon.. . Gambar dari amazon

 

Satu masalah utama dengan sistem juri ini adalah pendedahan panel juri kepada liputan media, terutamanya jika ia membabitkan kes berprofil tinggi. Ini boleh menyebabkan perbicaraan yang tidak adil kerana panel juri mungkin sudah pun terpengaruh dengan liputan media, dan ini mungkin juga akan menjejaskan penilaian mereka.

John Maude QC (Hakim British) pernah meluahkan pandangan beliau tentang sistem juri di akhbar Daily Telegraph:

  • Sistem juri mengambil masa yang panjang dan menelan belanja yang tinggi
  • Panel juri tidak arif tentang undang-undang secara profesional dan kurang berpengalaman dalam sistem perundangan jenayah
  • Panel juri mungkin khuatir untuk memikul tanggungjawab ke atas hukuman mati yang mungkin akan dijatuhkan ke atas tertuduh
  • Sesetengah pihak yang dipilih mungkin tidak mahu menjadi juri kerana ia adalah satu tugasan yang wajib dilakukan
  • Sesetengah juri mungkin akan memberi keputusan dengan tergesa-gesa dengan alasan mahu mempercepatkan proses

Anda boleh membaca tentangnya dengan lebih lanjut di sini.

Sekitar tahun 1994-1995, Kerajaan Malaysia telah merenungkan idea memansuhkan juri…..dan dalam proses tersebut telah mengemukan beberapa alasan. Salah satu alasan, adalah panel juri tidak arif tentang sistem perundangan dan mudah terpengaruh dengan emosi dan pandangan umum. Parlimen juga telah membincangkan untuk memberhentikan sistem juri ini, dan Kementerian Kehakiman telah memetik beberapa faktor daripada hujahan Parlimen….yang akhirnya membawa kepada sistem juri dihentikan secara muktamad. Menurut Menteri Kehakiman faktor-faktor tersebut adalah: panel juri mudah yakin dengan hujah pihak pembela, juri berkeberatan untuk hadir melaksanakan tanggungjawab menjadi juri, dan kebanyakan juri tidak mahu memikul tanggungjawab memberi hukuman mati kepada pesalah.

Kes Stephen Young merupakan satu contoh bagaimana sistem juri boleh membawa kesan buruk. Stephen Young disabit bersalah membunuh pasangan yang baru berkahwin di Wadhurst, East Sussex, England. Dia dihukum penjara seumur hidup di bawah perbicaraan menggunakan sistem juri. Pihak juri tersebut, telah  menggunakan papan ouija (permainan papan datar) untuk membuat keputusan. Setelah mahkamah diberitahu tentang ini, mereka mengarah  untuk melakukan satu perbicaraan semula.

Bayangkan kalau anda disabitkan berslah kerana papan ni. Gambar dari BrainJar

 

Bukan Malaysia sahaja yang memansuhkan sistem juri.

Boleh dikatakan bahawa tiada sistem yang sempurna – ia bergantung kepada apa yang terbaik untuk negara dan sistem perundangan. 

Sesetengah negara di Asia masih menggunakan sistem juri. Hong Kong yang merupakan bekas jajahan British mempraktikkan sistem perundangan yang sama dengan British, dan menggunakan sistem juri. Jepun pula mengimplementasi sistem ini pada tahun 2009. Namun begitu, sistem juri dimansuhkan di India dan Singapura (dan juga Malaysia).

Ada juga perbincangan berlaku untuk mengembalikan sistem juri di Malaysia pada tahun 2012, tetapi tidak kesampaian. Setakat ini, pemansuhan sistem juri masih lagi berkuat kuasa.

 

 

Tags:
mona fandey
bomoh
mansuh
mazlan idris
sistem juri
Abb3569d 1a37 409d ae68 577ef094832e
Clarence Kuna

clarencekuna@gmail.com


157

Shares

A+

A-