Asklegal
Home banner 02c19b13 cfc2 4c52 b0b8 1b88e858c788

General

5 Perkara asas yang anda harus ingati semasa mengundi pada PRU14

over 6 years ago Clarence Kuna

74

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


Rasa tak bahangnya?

Itulah bahang keghairahan musim pilihanraya, di mana hari mengundi Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) akan menjelang tiba tidak lama lagi.

Imej dari The Malay Mail Online

Tidak kira sama ada anda mengundi buat kali pertama ataupun kali ke-14, anda harus ingat beberapa perkara asas yang patut anda patuhi tatkala anda bersedia untuk beratur di stesen mengundi pada 9hb Mei, 2018.

 

1. Berpakaian sopan

Ini TAK benar. Imej dari The Star Online.

Berita mengenai etika pakaian semasa membuang undi kini telah tersebar luas, namun Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah mengesahkan bahawa berita-berita ini adalah palsu dan tiada pengundi akan dihalang dari mengundi jika mereka berpakaian sopan – dan selipar patut di antara pakaian yang dibenarkan.

“SPR tidak pernah dan tidak akan menghalang pengundi dari memasuki stesen mengundi asalkan mereka berpakaian sopan” – Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, Pengerusi SPR, dipetik dari The Star, diterjemah oleh ASKLEGAL

Akan tetapi, anda akan dihalang dari mengundi jika anda memakai pakaian yang mempunyai nama calon, lambang atau simbol mana-mana parti politik.

Seksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 – Batasan pada hari mengundi (sebahagian):

Tiada seorang pun boleh pada hari mengundi – 
(g) dalam jarak lima puluh meter dari sempadan mana-mana tempat mengundi dan dalam tempat mengundi, memakai, memegang atau membawa apa-apa bentuk atau jenis pakaian, tutup kepala, barang hiasan, roset, botol air atau payung yang padanya tercetak atau tertera nama calon atau nama, lambang atau simbol mana-mana parti politik.

Ya betul, dan ini termasuk juga aksesori seperti payung, barang hiasan dan botol minuman. Memakai atau membawa mana-mana barangan ini di dalam lingkungan 50 meter dari stesen mengundi boleh mengakibatkan anda dihalang dari mengundi dan juga boleh membawa hukuman maksimum satu tahun penjara dan/atau denda maksimum RM5,000.

Kita di sini bukannya perunding fesyen, tetapi adalah dinasihatkan supaya anda berpakaian biasa (neutral) dan sopan.

 

2. Bawa bekal makanan (jika perlu)

Mungkin ini terkelaluan sikit kot. Imej dari Rinaz.net

Jadi, selepas mengenakan pakaian yang sopan, anda sekarang mula melangkah ke stesen mengundi anda, dan anda terserempak dengan sekumpulan orang yang sibuk mengagihkan makanan dan minuman kepada pengundi sebagai tanda terima kasih kerana mengundi calon pilihan mereka. Anda menerima sebotol air dari mereka untuk menghilangkan dahaga – dan mungkin juga tersenyum sinis kerana anda sudah pun bertekad untuk mengundi calon yang lain. Lagipun, tiada logo parti di botol air, jadi apa salahnya?

Ada udang di sebalik mi tu.

Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihanraya menyebut bahawa penerimaan tawaran dalam bentuk makanan, minuman, wang ataupun barangan dengan niat mempengaruhi undi seseorang pengundi adalah salah.

Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 – Menjamu (sebahagian):

“...dan tiap-tiap pemilih atau pengundi yang, secara rasuah menerima atau mengambil apa-apa makanan, minuman, atau makanan atau minuman ringan atau bekalan itu atau mana-mana wang atau tiket itu atau yang menggunakan apa-apa cara atau tipu daya lain itu untuk membolehkan makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan itu didapatkan bersalah atas kesalahan menjamu.”

Kata kunci di sini adalah “secara rasuah”, di mana ada motif tersirat di sebalik pemberian dan penerimaan mana-mana barangan yang disebut di atas. Oleh kerana amat sukar untuk mengetahui motif di sebalik pemberian ini, maka adalah wajar jika kita tidak menerima apa-apa sekali pun. Jika anda masih lagi tergerak untuk menerimanya, ingatlah bahawa hukumannya amat berat sekali, seberat denda RM5,000, ataupun dua tahun penjara ataupun kedua-duanya sekali, dan ini termasuk penggantungan hak mengundi selama lima tahun.

 

3. Semak kertas mengundi anda

Sebagai garis panduan, anda perlu memastikan bahawa kertas undi anda tidak rosak, koyak, disalah cetak atau ditanda dengan apa cara sekali pun. Pegawai stesen mengundi juga akan mengecap kertas undi anda, jadi pastikan ianya dicap di dalam lingkungan kawasan yang diperuntukkan di kertas undi anda. Jika anda rasa ada yang tak kena dengan kertas undi anda, anda berhak untuk meminta kertas undi yang baru.

Imej dari SlideShare

Semasa memilih calon pilihan anda, anda cuma perlu pangkah ‘X’ yang jelas di kotak yang berkenaan, tanpa melampaui sempadan kotak (ingat, ini bukan kelas seni lukis). Mana-mana tanda lain selain dari ‘X’ boleh mengakibatkan undi anda tidak sah dan rosak. Dalam erti kata lain, jangan conteng kertas undi anda!

Imej dari New Straits Times melalui laman Seniors Aloud. Lebih contoh di sini

 

4. Jangan main-main dengan kertas undi anda

via GIPHY

Ianya satu perkara untuk merosakkan undi anda, tapi ada beberapa kesalahan lain yang boleh mengakibatkan hukuman seperti penjara, denda dan penggantungan hak mengundi untuk pilihan raya akan datang.

Kesalahan pertama adalah memasukkan barang asing ke dalam peti undi seperti kertas undi palsu dan barang-barang lain selain dari kertas undi yang sah. Anda hanya boleh menggunakan kertas undi yang sah, yang diberi oleh pegawai SPR apabila membuang undi. Kegagalan untuk berbuat demikian merupakan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Seksyen 3(1)(g) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 – Kesalahan oleh mana-mana orang:

Mana-mana orang yang—
(g) memasukkan ke dalam mana-mana peti undi apa-apa jua, selain kertas undi yang dibenarkan oleh undang-undang untuk dimasukkan olehnya;

Kesalahan ini boleh membawa hukuman maksimum 2 tahun penjara dan/atau denda maksimum RM5,000, dan juga penggantungan hak mengundi selama lima tahun. Sebaliknya, ia juga merupakan satu kesalahan mengeluarkan apa-apa dari peti undi.

Kesalahan kedua adalah membawa keluar kertas undi dari stesen mengundi. Menurut Seksyen 3(1)(h) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, pengundi adalah dilarang sama sekali membawa keluar kertas undi dari stesen mengundi.

Tetapi jika anda masih lagi berdegil untuk membawa keluar kertas undi dari stesen mengundi sebagai cenderahati, ingatlah bahawa hukuman maksimum 2 tahun penjara dan/atau denda maksimum RM5,000, dan juga penggantungan hak mengundi selama lima tahun menanti anda.  Jika anda dapati anda diberi kertas undi yang lebih dari apa yang diperuntukkan, ataupun ada kertas undi yang terlekat di mana-mana bahagian badan anda, sila berjumpa dengan pegawai SPR dan kembalikan kertas tersebut kepadanya.

Swafoto dengan kertas undi ataupun mengambil gambar kertas undi adalah dilarang sama sekali.

 

5. Jangan buat hal selepas mengundi

Janganlah jadi monye-… eh, arnab. Gif dari giphy

Anda sudah habis mengundi dan anda ingin tunggu kawan anda yang masih mengundi? Boleh, apa salahnya – tetapi pastikan bahawa anda berada sekurang-kurangnya 50 meter dari mana-mana stesen mengundi.

Section 26(1)(e)(iv) Akta Kesalahan Pilihanraya menyatakan bahawa tiada sesiapapun yang dibenarkan menunggu atau melepak (loiter) dalam lingkungan 50 meter dari stesen mengundi melainkan tunggu giliran untuk membuang undi. Kesalahan ini boleh membawa hukuman maksimum 1 tahun penjara dan/atau denda maksimum RM5,000.

Lebih-lebih lagi, jangan sekalipun cuba mempengaruhi atau mencegah orang lain dari mengundi.

Seksyen 26(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 – Batasan pada hari mengundi (sebahagian):

Tiada seorang pun boleh pada hari mengundi –

(e) dalam jarak lima puluh meter dari sempadan mana-mana tempat mengundi – 

(iii) merayu-rayu atau memujuk atau cuba memujuk mana-mana orang supaya tidak mengundi dalam pilihan raya itu, atau supaya mengundi atau tidak mengundi mana-mana calon dalam pilihan raya itu;

Dan jangan sekali-kali menyertai ataupun menganjurkan perhimpunan ataupun kempen – walaupun kita hampir pasti yang anda tidak berniat berbuat demikian, kan?

Perhimpunan, kempen ataupun ceramah yang melibatkan orang awam, walaupun dibuat secara aman, boleh membawa hukuman maksimum satu tahun penjara dan/atau denda maksimum RM5,000. Menurut Seksyen 26(1)(b), ini termasuk memasang lagu atau menyebarkan propaganda melalui peralatan muzik ataupun pembesar suara; tidak kira secara perseorangan, dari dalam kereta, ataupun (yang pelik sekali) melalui haiwan.

 

Undilah dengan cermat dan penuh tanggungjawab

Sudah pasti semangat kita berkobar-kobar menjelang 9hb Mei, namun kita harus ingat bahawa adalah tanggungjawab kita sebagai pengundi untuk menjaga tindak-tanduk kita sendiri sebelum dan selepas mengundi. Kita juga harus peka dengan hak pengundi-pengundi lain yang akan hadir, tidak kira parti mana yang mereka sokong.

Senarai di atas bukannya senarai penuh, tetapi selain dari meneliti Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 ataupun artikel kita yang satu lagi, kita harus berwaspada dari melakukan perkara yang tidak masuk akal, seperti mengambil gambar swafoto ataupun berdebat mengenai politik dengan pengundi-pengundi lain ketika menunggu giliran untuk mengundi.

Jika anda tidak pasti ataupun ingin penjelasan yang lebih terperinci, sila hubungi Suruhanjaya Pilihan Raya di talian 03-88927018.

Selamat mengundi!

Tags:
suruhanjaya pilihanraya
akta kesalahan pilihanraya 1954
undi
ge14
stesen mengundi
kertas undi
Abb3569d 1a37 409d ae68 577ef094832e
Clarence Kuna

clarencekuna@gmail.com


74

Shares

A+

A-