Asklegal
Home banner 356a

General

5 undang-undang baru yang meningkatkan tahap perlindungan haiwan di Malaysia

over 6 years ago Khaliq

33

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Artikel asal ditulis dalam Bahasa Inggeris. Click here for the English version]


Pada tahun 2015 yang lalu, Akta Kebajikan Haiwan 2015 telah diluluskan oleh Parlimen tetapi baru dikuatkuasakan (akhirnya) pada 18 Julai 2017, di mana terdapat keprihatinan dan perkembangan dari sudut kebajikan haiwan di Malaysia. Beberapa kumpulan kebajikan haiwan menerima dengan hati terbuka akan akta baru itu dengan harapan besar ke atas perlindungan haiwan di Malaysia.

Akta ini menegaskan perkara-perkara yang berkaitan dengan haiwan, dan seiringan itu Lembaga Kebajikan Haiwan telah ditubuhkan untuk menguatkuasakan akta baru itu. Salah satu fungsi Lembaga ini adalah untuk memupuk kesedaran orang ramai tentang kebajikan haiwan dan memberi khidmat nasihat kepada menteri-menteri berkenaan.

Akta baru ini bukan untuk menggantikan Akta Haiwan 1953 yang lama (atau pindaan 2013); bahkan ia meluaskan lagi skop tentang kebajikan haiwan. Di sini terdapat artikel berasingan tentang latarbelakang undang-undang kebajikan haiwan:

[Baca lebih lanjut: The development of animal welfare laws in Malaysia]

Sebagai pemilik haiwan pemeliharaan, pengusaha premis haiwan, dan masyarakat biasa: inilah perubahan-perubahan penting yang anda harus tahu dan bersiap sedia di bawah ini.


1. Sistem pelesenan baru untuk pengusaha premis haiwan

Imej dari Humane Society CC.

Di bawah akta baru ini, sesiapa yang mengedalikan haiwan untuk tujuan menyara kehidupan haruslah memohon lesen daripada Lembaga Kebajikan Haiwan. Dengan kata lain, khususnya untuk kedai-kedai haiwan, tempat perlindungan haiwan dan sebagainya. Ini tidak termasuk pemilik haiwan pemeliharaan.

Lesen dikeluarkan mengikut syarat-syarat oleh Lembaga. Denda tidak mempunyai lesen adalah dari RM15,000 ke RM75,000, jadi ambil perhatian!

Setelah mendapat lesen, salinannya harus dipaparkan di premis anda dan harus dibawa ke mana jua jika anda membawa keluar haiwan - Umpama IC haiwan anda.

Seksyen 20 Akta Kebajikan Haiwan 2015 – Mempamerkan lesen

"(1) Seseorang pemegang lesen hendaklah mempamerkan lesennya di tempat yang mudah dilihat di premisnya.

(2) Walau apa pun subseksyen (1), seseorang pemegang lesen tidak dikehendaki untuk menyebabkan salinan lesen itu dipamerkan jika dia menjalankan aktiviti di luar premis itu tetapi pemegang lesen hendaklah memastikan dia atau orang yang bertanggungjawab terhadap aktiviti itu mempunyai satu salinan lesen bersamanya.“


2. Tanggungjawab baru kepada pemilik haiwan pemeliharaan dan pemegang lesen

Pemilik haiwan pemeliharaan (terutamanya anjing), sudah mempunyai tanggungjawab tertentu di bawah akta haiwan 1953 yang lama. Pada masa sekarang, pemilik haiwan pemeliharaan dan pemegang lesen harus menjaga keperluan haiwan tersebut dengan baik sesuai dengan Seksyen 24 Akta Kebajikan Haiwan yang menyatakan:

(1) Pemunya atau pemegang lesen hendaklah mempunyai kewajipan untuk –

(a) mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk memastikan keperluan haiwan dipenuhi, termasuklah –

(i) keperluannya kepada persekitaran yang sesuai;

(ii) keperluannya untuk diet yang sesuai;

(iii) keperluan untuk membolehkannya mempamerkan corak kelakuannya yang semula jadi;

(iv) keperluannya untuk ditempatkan bersama dengan atau berasingan daripada haiwan lain; dan

(v) keperluannya untuk dilindungi daripada kesakitan, penderitaan, kecederaan dan penyakit; dan

Sekiranya pemilik haiwan pemeliharan itu didapati bersalah, haiwan pemeliharaannya akan diambil dan pemilik itu tidak dibenarkan mengambil haiwan pemeliharaan lain untuk jagaan selama 1 tahun. Pemegang lesen pula digantung lesennya selama 5 tahun dan sama juga tidak dibenarkan mengambil haiwan pemeliharaan selama 1 tahun.


3. Memperlakukan haiwan sebagai bahan uji?

TIKUUUUSS! Imej dari AboveAverage.

Bagaimana pula dengan kes uji kaji terhadap haiwan? Sungguhpun banyak produk telah dapat dihasilkan daripada haiwan dan juga vaksin untuk manusia, sesetengah orang tidak bersetuju dengan perlakuan itu. Dengan itu, Akta Kebajikan Haiwan mempunyai berita baik berkenaan hal tersebut.

Semua penyelidikan, ujian dan pengajaran menggunakan haiwan harus mendapat lesen terlebih dahulu atau hanya boleh dijalankan oleh sekolah dan universiti sahaja. Tambahan kepada poin nombor 2 di atas, selain daripada harus mempunyai lesen, haiwan tersebut juga harus dijaga keperluannya dengan baik. Walaupun sakit dan perit tidak dapat dielakkan daripada uji kaji, ia harus diminimalkan sebaik mungkin. Jika tidak, penguji itu akan dikenakan tindakan. Seksyen 26 menerangkan bahawa:

(1) Tiada seorang pun boleh menggunakan haiwan dalam penyelidikan, ujian atau pengajaran melainkan jika –

(a) semua langkah-langkah yang munasabah untuk memastikan keperluan fizikal, kesihatan dan kelakuan haiwan itu diambil menurut Akta ini dan mana-mana perundangan subsidiari yang ditetapkan oleh Menteri;

(b) haiwan tersebut hendaklah menerima, jika boleh dilaksanakan, rawatan yang akan melegakan apa-apa kesakitan atau keperitan yang tidak munasabah atau tidak sepatutnya apabila haiwan itu sakit atau cedera; atau;

(c) apa-apa tahap kesakitan atau keperitan itu dikurangkan seminimum yang mungkin dalam hal keadaan apabila ciri penyelidikan, ujian atau pengajaran itu tidak dapat mematuhi perenggan (a) atau (b).

Pesalah akan dikenakan denda antara RM20,000 hingga RM100,000 dan/atau penjara selama 3 tahun.


4. Tidak perlu waran untuk pemeriksaan bukti penganiayaan haiwan di premis anda

Di bawah Seksyen 40 akta baru tersebut, pihak kebajikan haiwan boleh memeriksa premis anda tanpa waran untuk mencari jika terdapat bukti-bukti adanya penganiayaan haiwan. Biasanya waran dikeluarkan menurut Seksyen 56 Kanun Prosedur Jenayah tetapi mereka boleh memeriksa terus premis sebelum adanya waran jika dipercayai bukti-bukti akan musnah sementara menunggu waran.

Pegawai-pegawai kebajikan haiwan ini mempunyai kad kuasa masing-masing. Sama ada mereka ada waran atau tidak, anda mempunyai hak untuk meminta mereka menunjukkan kad tersebut terlebih dahulu sebelum menjalankan pemeriksaan. Jika tidak, mereka sama sekali tidak boleh melakukan penggeledahan. Ini terdapat dalam Seksyen 38(2) yang menyebut:

“Bila mana seseorang pegawai kebajikan haiwan menjalankan mana-mana kuasa di bawah Akta ini atau mana-mana perundangan subsidiari yang dibuat di bawah Akta ini, dia hendaklah, apabila diminta, mengemukakan kepada orang yang terhadapnya kuasa itu sedang dijalankan, kad kuasa yang dikeluarkan kepadanya di bawah subseksyen (1).”


5. Hukuman berat bagi kekejaman haiwan dan lebih perlindungan kepada haiwan

Imej dari PuppeycideDB.

Undang-undang berkenaan kekejaman terhadap haiwan ini telah berkembang skopnya dari asalnya 7 item dalam Seksyen 44(1) Akta Haiwan 1953 kepada 21 item di dalam Seksyen 28 Akta Kebajikan Haiwan 2015. Ini termasuk mencacatkan, mengabaikan, menggunakan alat-alat bahaya ke atas haiwan – seperti sukan menembak dan melaga-lagakan haiwan. Pelaku boleh dikenakan hukuman denda antara RM20,000 dan RM100,00 dan/atau penjara selama 3 tahun.

Akan tetapi terdapat 3 pengecualian, iaitu:

a) apa-apa perbuatan yang telah ditentukan oleh Lembaga sebagai tatacara pengurusan veterinar yang diterima pakai;

b) apa-apa pengumpanan mana-mana haiwan perosak bagi maksud kesihatan awam, pengawalan penyakit, pengawalan populasi dan penempatan semula bagi pemuliharaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa yang sah atau mana-mana orang yang diluluskan oleh Lembaga; atau

c) haiwan tersebut digunakan sebagai makanan untuk haiwan lain menurut tabiat pemakanan semula jadi haiwan tersebut. (cth: memberi tikus hidup untuk dimakan ular)

Pembunuhan haiwan kini telah terkawal oleh undang-undang baru. Sebelumnya, terdapat kes-kes di mana pegawai-pegawai tempatan membunuh haiwan-haiwan liar dengan cara yang kejam. Seksyen 30 dalam akta baru 2015 itu ada menyatakan bahawa, tiada seorang pun boleh membunuh dengan menembak dengan senjata api mana-mana haiwan melainkan jika dibenarkan oleh pihak berkuasa veterinar dalam kecemasan atau demi kawalan penyakit. Pembunuhan haiwan yang sakit teruk atau yang sedang mengalami penderitaan harus mendapat perakuan pihak berkuasa veterinar atau doktor veterinar berdaftar (seperti jika haiwan tersebut mengalami sakit yang tidak dapat dirawat seperti terlibat dalam kemalangan).


Kebajikan haiwan kini menjadi keutamaan dalam undang-undang Malaysia

Penguatkuasaan undang-undang tidaklah begitu kukuh sebelum ini, dan hukuman denda (hanya serendah RM200) tidak setimpal dengan kelakuan penganiayaan dan kekejaman terhadap haiwan pada masa sekarang. Kemudian ia dinaikkan ke RM50,000 melalui Akta Haiwan (Pindaan) 2013 memandangkan nilai RM200 adalah tinggi pada tahun 1953 dahulu. Hukuman denda yang dikenakan sekarang sebanyak RM100,000 menunjukkan bahawa kes penganiayaan haiwan adalah serius dan tidak boleh diambil remeh.

Lihatlah sekeliling kawasan anda jika terdapat kes-kes sebegini dan anda boleh menghubungi talian 999 untuk melaporkan kepada pihak berkuasa. Undang-undang adalah hanya sekadar tulisan di atas kertas jika ia tidak dikuatkuasakan.

Jika anda mahu mengetahui lebih lanjut mengenai undang-undang apa yang dikuatkuasakan ke atas pembunuhan haiwan untuk dijadikan makanan atau bagaimana pula halnya jika membunuh nyamuk, bacalah artikel berkenaan Akta Haiwan 1953 di sini.

Tags:

33

Shares

A+

A-