Asklegal
Home banner 9a178704 0231 4a26 8770 63829e90d689

General,Employment

5 perkara yang pekerja kena tahu sebelum lancarkan mogok terhadap syarikat

over 4 years ago Azar Ishak

38

Shares

A+

A-

This article is for general informational purposes only and is not meant to be used or construed as legal advice in any manner whatsoever. All articles have been scrutinized by a practicing lawyer to ensure accuracy.

A+

A-


[Click here for English version]

Seperti mana yang kita semua dengar, Foodpanda baru-baru ni jadi perbualan ramai bila mana ‘rider’ penghantar makanan syarikat itu melancarkan mogok selama 3 hari. Ini kerana, mereka membantah skim bayaran baru yang diperkenalkan oleh platform penghantaran makanan itu, bila mereka dibayar berdasarkan jumlah penghantaran, dan tak lagi dibayar mengikut jam bekerja. 

Kerana secara amnya, penglibatan pekerja dalam mogok adalah salah di Malaysia. Jadi, persoalan yang timbul sekarang: Adakah rider Foodpanda ni akan dapat masalah nanti?

Tapi, kita semua kena tahu dulu perbezaan yang ada dalam kontrak perkerjaan. Ada dua jenis kontrak iaitu:

  1. Kontrak perkhidmatan 
  2. Kontrak untuk perkhidmatan

Dalam kontrak perkhidmatan, kedua-dua pihak bersetuju untuk menjadikan hubungan mereka sebagai pekerja dan majikan. Ini terpakai kepada kontrak sepenuh masa dan juga kontrak separuh masa

Tapi kontrak untuk perkhidmatan pula berbeza. Sebabnya, ia terpakai pada kontrak freelance. Kontrak ini akan menjadikan seseorang yang bebas itu bersetuju memberikan khidmat mereka kepada pelanggan, dan tidak akan dianggap sebagai pekerja

Jadinya, dalam isu ni – ia bergantung pada kontrak apa yang rider Foodpanda telah buat dengan syarikat mereka. Kalau ia kontrak perkhidmatan, mogok yang dibuat tu sah di sisi undang-undang. Tapi kalau ia kontrak untuk perkhidmatan, mereka mungkin dah langgar undang-undang, sebab mereka tak dilindungi oleh akta yang berkaitan.

Dan kalau ada di antara korang yang sekarang ni pernah terfikir nak buat mogok terhadap syarikat korang. Ini dia garis panduan umum yang korang boleh buat untuk mogok… secara sah. 

 

1. Bentuk kesatuan sekerja dulu sebelum mogok

 Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Imej dari BH Online.

Mula-mula sekali korang mestilah kena ada kesatuan sekerja. Kesatuan ni pula hanya boleh mengisytiharkan mogok sekiranya 2/3 ahli bersetuju untuk buat mogok. Pengundian rahsia akan dibuat untuk mendapatkan persetujuan, dan keputusannya mesti dikemukakan kepada Ketua Pengarah (Kesatuan Sekerja) dalam masa 7 hari. Jadi, kalau cuma korang seorang je yang tak puas hati dengan syarikat, korang tak bolehlah buat mogok sorang-sorang. 

Mogok ditakrifkan dalam Akta Perhubungan Perusahaan 1967 sebagai (tiada terjemahan rasmi, diterjemahkan oleh Asklegal):

“...berhenti dari melakukan kerja oleh badan pekerja yang bertindak dalam gabungan atau di bawah pemahaman yang sama… bertujuan untuk menyebabkan apa-apa batasan, sekatan, pengurangan atau pemberhentian dalam pelaksanaan untuk keseluruhan atau mana-mana bahagian tugas-tugas yang berkaitan dengan pekerjaan mereka...”

Jadi, kalau korang dan rakan-rakan sekerja tak puas hati dengan sesuatu, korang boleh pilih untuk melakukan mogok terhadap syarikat dengan membentuk kesatuan sekerja. Kesatuan ini adalah ejen tawar menawar tunggal untuk menyelesaikan masalah antara majikan dan pekerja. 

Pendaftaran kesatuan perlu dilakukan dalam masa 1 bulan dari tarikh pembentukan kesatuan. Permohonan tu pula mesti dibuat oleh sekurang-kurangya 7 orang ahli dan yuran RM30.00 akan dikenakan. 

Ahli-ahli juga kena serahkan salinan peraturan kesatuan sekerja, salinan minit dari mesyuarat pertama dan butiran para ahli.

 

2. Dapatkan kebenaran untuk buat mogok

Imej dari BH Online.

Artikel 10, Perlembagaan Persekutuan menyatakan, semua warganegara mempunyai hak untuk membentuk persatuan. Jadi dalam kes ni, pekerja boleh membentuk kesatuan sekerja, yang merupakan sejenis persatuan. Bagaimanapun, kalau mogok dijalankan oleh pekerja yang bukan sebahagian dari kesatuan sekerja berdaftar, mogok tu dianggap salah di sisi undang-undang

Seksyen 25(A), Akta Kesatuan Sekerja 1959 menyatakan:

Tiada kesatuan sekerja orang-orang kerja boleh mengisytiharkan sesuatu mogok, dan tiada anggota darinya boleh mogok, dan tiada kesatuan sekerja majikan boleh mengisytiharkan suatu tutup-pintu… sebelum tamat tujuh hari setelah menghantar kepada Ketua Pengarah...”

Selain itu, setiap kesatuan sekerja juga kena berdaftar dengan Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja (DGTU), sebelum mengambil bahagian dalam mogok.

Kalau mogok tu dianggap sebagai tidak sah, setiap ahli akan didenda sebanyak RM2,000 atau penjara tak lebih satu tahun, atau kedua-duanya. Seperti mana yang ada dalam Akta Kesatuan Sekerja.

 

3. Kena tahu juga beza antara piket dan mogok

Imej dari imgflip.com

Sebelum korang dan rakan-rakan buat keputusan nak tunjukkan rasa tak puas hati pada syarikat secara terbuka, korang kena tahu dulu sama ada korang nak buat piket atau mogok

Piket: Satu langkah di bawah mogok 

  • Dilakukan selepas waktu bekerja, di luar tempat bekerja.
  • Selalunya dilakukan untuk memujuk pekerja lain berhenti dari bekerja.
  • Tak boleh dilakukan dengan cara menakutkan atau menghalang pintu masuk ke tempat kerja. 

Mogok: Biasanya dilakukan oleh anggota-anggota kesatuan sekerja berdaftar

  • Dianggap tidak sah sekiranya pertikaian itu telah diletakkan di bawah siasatan. 
  • Tidak sah sekiranya tidak dilakukan oleh kesatuan sekerja berdaftar.
  • Jika pertikaian bukan sebahagian dari syarikat, maka kesatuan hanya sekadar menyokong mogok lain. 

Kalau piket atau mogok didapati tak sah, denda dan penjara boleh dikenakan. Seksyen 40(3) dan Seksyen 46, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 membawa denda sehingga RM1,000, dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Seterusnya, bila korang buat keputusan untuk sertai jenis protes macam ni, dah mesti ada peraturannya. 

 

4. Tulis pada syarikat yang anda akan bercuti

Bila bos korang baca. Imej dari Giphy.

Undang-undang memperuntukkan korang untuk memohon cuti, bila ia berkaitan dengan mana-mana kerja yang melibatkan kesatuan sekerja. Seksyen 6, Akta Perhubungan Perusahaan menyatakan: 

Pekerja yang berhasrat menjalankan tugasnya… sebagai pegawai kesatuan sekerja hendaklah memohon secara bertulis kepada majikan untuk bercuti… yang menyatakan tempoh dan tujuan… cuti dipohon dan majikan hendaklah memberikan permohonan untuk cuti… semunasabahnya diperlukan untuk tujuan yang dinyatakan dalam permohonan itu...” 

Maknanya, walaupun korang ada pertikaian dengan syarikat, korang masih kena maklumkan kepada mereka kalau korang perlu bercuti dari bekerja. Ia mungkin nampak macam tak munasabah, tapi ia lebih baik dari dipecat sebab ambil cuti tanpa alasan yang kukuh. 

Walaupun undang-undang ni tak begitu terpakai untuk mogok, tapi kebanyakannya ia akan digunakan dalam perbicaraan kes di Mahkamah Perusahaan. Jadi, korang kena fikirkan juga akibat yang akan berlaku selepas mogok. 

Oleh itu, mohonlah cuti kalau korang kena mewakili kesatuan sekerja. Syarikat pula kenalah bagi pekerja mereka cuti bila ia melibatkan kesatuan sekerja.

 

5. Korang tak boleh dipecat sebab terlibat dalam mogok yang sah

Imej dari imgflip.com

Selagi korang belum letak jawatan atas kerelaan sendiri, syarikat tak boleh pecat korang sebab terlibat dalam mogok yang sah. Kalau korang buat mogok dengan kebenaran dari Ketua Pengarah, ia dianggap sah di sisi undang-undang. 

Seksyen 10(2), Akta Perhubungan Perusahaan 1967 menyatakan:

Tiada majikan yang boleh mengisytiharkan tutup-pintu atau menamatkan perkhidmatan pekerja setelah kesatuan sekerja pekerja telah berkhidmat kepada majikan atau kesatuan sekerja majikan yang majikan tergolong...” 

Dengan kata lain, syarikat korang tak boleh pecat korang sebab menyertai mogok. Undang-undang kemudiannya menyatakan, syarikat tak boleh menutup tempat kerja atau menggantung pekerja yang mengambil bahagian dalam mogok sah. 

Jadi, kalau korang tersepit antara memperjuangkan hak korang dan kehilangan kerja, korang kena pastikan dulu sama ada mogok yang dijalankan tu sah atau tak.

 

Kalau anda dipecat sebab sertai mogok sah, anda boleh saman syarikat

Imej dari Fire Prevention Centre.

Kalau korang dipecat oleh syarikat sebab terlibat dalam kesatuan berdaftar – korang boleh bawa hal itu ke mahkamah

[BACA LAGI: My boss just fired me for no reason, what can I do now?]

Oleh itu, mana-mana pekerja yang merasakan diri mereka dipecat secara tak adil, mereka boleh minta kerja mereka dikembalikan. Seksyen 20(3), Akta Perhubungan Perusahaan 1967 menyatakan:

“Di mana pekerja… menganggap bahawa dia telah diberhentikan tanpa sebab dan alasan oleh majikannya, dia boleh membuat perwakilan secara bertulis kepada Ketua Pengarah untuk dipulihkan bekas pekerjaannya...” 

Korang boleh memfailkan kes dengan Ketua Pengarah Mahkamah Perusahaan, dalam tempoh 60 hari pemecatan untuk mencabar pemecatan tersebut. Kalau mahkamah mendapati korang telah dipecat secara tak adil, korang akan menerima faedah-faedah tertentu

Selagi mana kesatuan sekerja tu berdaftar dan ada kebenaran dari Ketua Pengarah, tak ada banyak benda yang syarikat boleh buat untuk halang korang dari terlibat dalam mogok. 

 

Tags:
dipecat
saman majikan
akta perhubungan perusahaan
mogok
piket
beza mogok dan piket
akta kesatuan sekerja
kesatuan sekerja
mogok sah
mogok tidak sah
cara nak mogok sah

38

Shares

A+

A-